Tuesday, July 27, 2010

APA GUNANYA KITA MEMBACA AL-QURAN?

Tersebut kisah seorang datuk dan cucunya tinggal di tepi sungai. Mereka adalah beragama Islam. Setiap pagi datuknya membaca al-Quran dengan suaranya yang merdu mengalunkan ayat-ayat indah Al-Quran dan menyuruhnya cucunya mengaji Al-Quran.

Didesak rasa ingin tahu, si cucu bertanya, “Mengapa datuk selalu membaca Al-Quran? Menjadi rutin, setiap pagi?” Menurut si cucu, sukar untuk memahami kandungan ayat-ayat Al-Quran tersebut, walaupun setelah membaca terjemahannya. “Mengapa memaksakan diri membaca sesuatu yang tidak kita mengerti?”

Mendengar pertanyaan tersebut, si datuk terdiam. Dia tidak menjawab, sebaliknya si datuk menyuruh cucunya mengambil air di sungai berdekatan rumah mereka menggunakan bakul bekas arang. Bakul tersebut hitam legam maklumlah bekas tempat arang.

Walaupun tidak faham dan tidak berpuas hati kerana datuknya tidak menjawab soalannya tadi, si cucu mengikut apa yang disuruh oleh datuknya iaitu mengambil air di sungai menggunakan bakul. Tetapi setiap kali air diceduk menggunakan bakul biasalah air akan keluar dari lubang bakul yang diperbuat dari rotan tersebut.

Si cucu memberitahukan hal tersebut kepada datuknya, mustahil untuk mengambil air menggunakan bakul rotan tersebut. Tetapi datuknya menyuruhnya mencuba lagi. Dengan patuh, si cucu kembali ke sungai dan menceduk air dengan bakul tersebut. Dapat diceduk tetapi air dengan cepat keluar balik. Cucu tersebut berfikir dan si cucu memutuskan untuk berlari sambil membawa bakul berisi air tersebut. Mungkin saja setibanya di rumah masih ada air yang tersisa di bakulnya.

Namun begitu bakul tersebut tinggal kosong ketika si cucu sampai rumahnya. Airnya sudah keluar sepanjang perjalanannya. Tidak menerima kegagalan, sang datuk tetap menyuruh si cucu untuk kembali ke sungai dan mengambil air dengan bakul rotan tersebut.

Berkali-kali cucunya berlari dari sungai menuju rumahnya sambil membawa bakul berisi air tersebut. Dia cuba berlari dengan lebih laju, namun hasilnya tetap sama. Air sungai tersebut tak pernah sampai ke rumahnya, ke hadapan datuknya. Termengah-mengah, si cucu akhirnya berkata pada datuknya bahawa benar-benar mustahil mengambil air dengan bakul rotan tersebut.

Mendengar pernyataan cucunya, datuknya tersenyum. Ia mengajak cucunya duduk dekat. Lalu berkata, "Begitulah cucuku. Maaf membuatkan kamu penat. Memang tidak ada air yang sampai kesini. Tetapi lihatlah, adakah perubahan yang dapat kau lihat pada bakul tersebut?”

Si cucu memperhatikan bakul yang dibawanya tadi untuk pertama kali. Benarlah, ia memang tidak menyedari sebelumnya karena terlalu memikirkan cara bagaimana membawa air dengan bakul tersebut, tapi bakul yang tadinya hitam legam kerana arang tersebut sekarang sudah bersih, berwarna asli seperti rotan asalnya.

“Seperti itulah membaca Al-Quran, ucap si datuk. “Mungkin masa ini kita belum faham ertinya, belum mengerti pengajarannya. Tapi, tanpa kita sedari, ayat-ayat yang selalu kita lantunkan tersebut akan membuat hati kita bersih dari noda-noda kehidupan, dari buruknya sifat-sifat makhluk fana yang mungkin bersemayam dalam hati kita. Amalkanlah membaca Al-Quran cucuku, sebagai alat pembersih hati.”

Si cucu masih terduduk lelah dengan nafas sedikit termengah-mengah, namun ia mengangguk faham. Rasa ingin tahunya dapat jawapan yang memuaskan hatinya, ia mendapat sesuatu yang berharga hari itu.

"Ya Allah! Bimbinglah hamba-MU ini untuk selalu membaca firman-firman-Mu setiap hari, timbulkanlah rasa rindu di hati ini untuk selalu mengkaji kitab-Mu."

Amin.

*** artikel dari isuhangat.

Monday, July 26, 2010

BENIH YANG MENGHASILKAN YANG TERBAIK


"Ekonomi bukanlah kejahatan.
Ekonomi sejati selalu berkait penciptaan penghasilan yang lebih besar daripada pengeluaran."


Adalah didapati tidak ramai orang yang ingin mensia-siakan waktu dan dan bersikap boros dengan wang ringgit di dunia ini. Namun, semakin ramai orang yang ingin bermaksud begitu tetapi pada akhirnya akan membuat ekonominya merosot. Mereka seringkali bermaksud ingin berjimat tetapi sebaliknya akan berbelanja dengan wang ringgit mereka lebih banyak daripada yang disimpannya.

Tidak ada khayalan yang lebih hebat daripada anggapan segelintir orang bahawa murah adalah bererti ekonomi. Kita sering tertipu dalam situasi yang sedemikian. "Barang yang paling murah" seringkali boleh berubah menjadi paling mahal dalam jangka masa panjang. Sewajarnya kita tidak boleh menggabungkan material murah dan tenaga kerja yang murah untuk menghasilkan suatu keluaran yang bermutu. Adalah amat diperlukan, material yang baik dan pekerja yang baik untuk menghasilkan barang yang baik. Perkara yang sebegini adalag perlu dipertahankan oleh setiap pengeluar untuk mempertahankan nama baik perusahaan.

"Jangan kelirukan diri sendiri dengan usaha yang dianggap salah perhitungan."

Umpamanya, seorang pengusaha yang ingin mengerjakan sendiri hasilan perusahaannya, pada hal waktunya sendiri bernilai paling tidak RM100 sejam dalam menangani perusahaannya. Keinginannya mengerjakan sendiri pekerjaan yang bernilai RM5 sejam adalah suatu usaha yang dianggap salah perhitungan. Ia menjadikan perusahaan dalam situasi ekonomi yang keliru.

Begitu jugalah dengan situasi seseorang yang rela mengeluarkan tambang yang lebih untuk berbelanja di bandar untuk mendapatkan barangan yang lebih murah. Sekiranya perbezaan harga barangan di bandar tersebut terlalu kecil dibandingkan harga di daerahnya, tindakan tersebut adalah menjadi sia-sia dan lebih merugikan. Adalah menjadi suatu kebodohan kepada kita yang perlu membuat perjalanan yang jauh lagi meletihkan untuk mendapatkan potongan harga yang terlalu kecil.

"Mengapa perlu menyiksa diri sendiri padahal kita mampu untuk membahagiakannya?"

Kita tidak sepatutnya melakukan ekonomisasi wang dengan mengorbankan kesihatan dan juga kesenangan kita. Kita tidak semestinya melakukan ekonomisasi dengan tebusan kemajuan diri kita. Fikirkanlah bagaimana seseorang yang membeli minuman keras setiap minggu dengan harga RM15, padahal dengan wang sejumlah itu ia boleh membeli makanan untuk kesihatan diri. Wang sejumlah itu juga boleh membeli buku untuk peningkatan diri.

Jangan kita kedekut kepada mereka yang telah membantu kita. Umpamanya kita wajar untuk menghargai orang yang membantu kita membawa barang ke rumah kita atau pun yang telah memberikan keuntungan lain kepada kita. Adalah amat diperlukan benih yang baik untuk mendapatkan hasil yang baik.

"Mengapa kita menjadi kedekut
pada tempat yang sepatutnya kita menjadi pemurah?"

Sunday, July 25, 2010

MENGAPA KITA MEMUSUHI DIRI SENDIRI?

"Menjadi tugas mulia setiap orang untuk menjaga dirinya tetap dalam kedudukan bersedia melakukan perkara-perkara terbesar yang boleh dilakukannya."

Kita semua perlukan yang terbaik. Semua bidang kita inginkan yang terbaik. Ungkapan cemerlang seringkali kali kita laungkan. Kita sering merancang untuk menghasilkan yang terbaik dari dalam diri kita untuk mencapai hasrat hati kita. Oleh itu, adalah perlu kita bersikap baik terhadap diri kita sendiri. Ia perlu untuk kita tetatap berada dalam kedudukan yang terbaik setiap saat.

Seseorang itu adalah sesuai dengan apa yang difikirkan tentang dirinya. Ia tidak hanya mencakup pada keseluruhan diri seorang manusia. Ia menjangkau setiap kedudukan dan keadaan dalam hidupnya. Melalui proses hidup, pendapat yang ada di fikiran kita tentang diri kita sendiri, cenderung untuk menghasilkan semula pendapat itu dan menjadi nyata.

Sewajarnya kita berbuat yang terbaik dalam hidup kita untuk secara maksima sebagai mencapai hasrat hati kita. Adalah sangat penting bagi kita untuk menyedari kebenaran tentang diri kita. Kita perlu melihat betapa diri kita dicipta dengan baik. Perasaan yang diberikan oleh Maha Pencipta kita yang mengaku bahwa kita adalah ciptaan terbaik dari semua ciptaan-Nya.

Ramai antara kita bersikap baik kepada orang lain tetapi kita memusuhi diri kita sendiri dan kita tidak menjaga kedudukan kita untuk menjadi yang terbaik. Kita sering membiarkan tubuh kita dengan makanan dan minuman yang tidak baik. Kita juga membazirkan simpanan tenaga kita dengan menjalani hidup yang rumit dan tidak memberikan kerehatan yang cukup dengan tidur nyenyak.

Tujuan besar kita dalam hidup adalah menjaga agar mekanisme kemanusiaan kita beroperasi dengan cekap. Kita harus bersikap baik terhadap mekanisme kemanusiaan ini dan harus mengambil berat tentangnya. Dengan berbuat begitu, kita akan berada dalam kedudukan membuat semua perkara mencapai kejayaan.

Apabila kita mengenali diri kita, kita menyedari pentingnya kemampuan kita yang hebat. Kita mengakui kemualiaan kemanusiaan yang ada di dalam diri kita. Pengenalan ini adalah bermula hadirnya kejayaan abadi.

Thursday, July 22, 2010

MENGKOME FIKIOLER SENDIRI.... YER!

Oleh Mishabul Munir

Umno BN mendakwa kononnya kerajaan PR 11 bulan memerintah Perak tidak buat apa-apa untuk rakyat. Kononnya PR kerjanya saban hari saban malam ceramah memburuk-burukkan Umno. Ini memberi gambaran seolah-olah MB, EXCO dan seluruh adun-adunnya bersama pegawai-pegawai kerajaan tidak buat apa-apa untuk kebajikan rakyat.

Kita akui sepanjang 11 bulan memerintah, pimpinan PR terpaksa menemui rakyat samada dalam program rasmi kerajaan atau ceramah politik yang dianjurkan oleh parti. PR buat begitu kerana inilah caranya menjelaskan kepada rakyat polisi dan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh PR dalam menerajui negeri Perak, selain menjawab tohmahan Umno BN. Kalau peluang tersebut kita boleh perolehi melalui radio, tv dan akhbar media perdana, tidak perlu PR keluar saban hari dan malam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Ini adalah satu pembohongan besar UMNO BN kepada rakyat. Bukan itu sahaja, malahan mereka sentiasa mendakwa negeri Perak diperintah oleh Cina DAP, Hj Nizar dan PAS boneka serta kuda tunggangan Cina. PAS gadai tanah orang Melayu kepada orang Cina. Tohmahan ini sedikit sebanyak meresap juga kepada orang Melayu. Sebuah Ngo Melayu menghantar memorundum kepada Sultan Perak konon nak selamatkan tanah-tanah orang Melayu. Itulah persepsi buruk yang cuba digambarkan oleh Umno BN melalui media.

Sebenarnya program-program kebajikan yang UMNO BN buat sekarang untuk rakyat di Perak itulah dulunya dibuat oleh PR. Dalam akhbar Sinar Harian semalam dan hari ini Kerajaan Negeri telah mengumumkan pemberian 1000 hektar tanah kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 2000 hektar tanah kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR). BN juga turut memberi bantuan dermasiswa kepada pelajar-pelajar Perak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT dan sebagainya. Berita-berita tersebut memberi gambaran seolah-olah PR dulu tidak buat apa-apa pun pada rakyat.

Pada hal Umno BN meniru dan meneruskan apa yang PR buat dulu. Kita tidak pula mempertikaikan apa yang mereka buat. Cuma dulu apabila PR mengumumkan pemberiaan tanah 1000 hektar tanah kepada sekolah Cina dan memberi peruntukan kewangan 60 ribu setahun kepada SJKC ini, seluruh pemimpin Umno menjaja merata Perak kononnya Hj Nizar ikut telunjuk Cina dan DAP untuk bantu sekolah Cina manakala SAR kononnya diabaikan. Inilah fitnah jahat Umno BN. Pada hal PR juga memberi 1000 hektar tanah kepada SAR dan mengembalikan semula bantuan perkapita kepada SAR.

Ada juga yang bertanya, BN bagi pada SAR lagi banyak 2000 hektar. Baguslah kalau begitu, persoalannya PR yang memulakan dulu, tapi UMNO menapikan apa yang kita buat untuk rakyat. Media mereka tidak pernah menyiarkannya. Pada saya 1000 hektar pun sudah cukup baik berbanding dulu UMNO BN 50 tahun perintah Perak tak pernah bagi tanah kepada SAR. Lagipun SAR dapat semula bantuan perkapitan yang ditarik oleh UMNO sejak tahun 2002. 1000 hektar tanah yang UMNO BN tambah itu sama nilainya dengan jumlah bantuan perkapita setahun kepada SAR.

Yang hairannya bila UMNO BN umum bantu kaum Cina, umum peruntukkan kepada semua MCA bahagian, bagi bantuan kewangan kepada gereja, kuil dan tookong dan sebagainya, tidak ada pula pemimpin UMNO dan Ngo Melayu yang membantah. Kita tidak pula menyuruh bantah pemberian seumpama itu, baguslah, itu hak rakyat. Persoalannya janganlah double standart, PR bantu Cina dan kaum lain, dituduhnya khianat, jual dan gadai kepentingan Melayu, boneka, kuda tunggangan dan bermacam-macam lagi momokan.

Saya nak sebut semula apa yang kerajaan PR telah buat dan laksana sepanjang 11 bulan memerintah Perak yang didakwa oleh UMNO BN tidak buat apa-apa untuk rakyat. Antaranya mengembalikan semula bantuan perkapitan kepada SAR, memberi 1000 hektar tanah kepada SAR dan SJKC, memberi bantuan dermasiswa RM 1000 kepada pelajar-pelajar IPT, memberi air percuma 20 meterpadu kepada rakyat miskin, menaikan peruntukan musibah di setiap daerah dari 30 ribu kepada 50 ribu, menaikan bantuan kebajikan dari serendah-rendah RM 50 kepada RM 200 dan semaksima RM 400, memberi suratan hak milik kepada penduduk Melayu di kampung tersusun dan juga penduduk Cina di Kampung-kampung Baru, memberi elaun bulanan kepada Ketua Kampung RM 400 sebulan dan RM 200 sebulan kepada SU JKKK, menubuhkan Tabung Kebajikan Rakyat untuk membantu anak-anak yatim, warga tua, miskin tegar, ibu tunggal. Menubuhkan Tabung Kebajikan Khas bagi membantu pesakit-pesakit kronik. Menubuhkan Tabung Pinjaman Kecil bagi membantu peniaga-peniaga yang mahu berniaga secara kecil-kecilan tanpa sebarang faedah dikenakan.

Semua itu diluluskan dalam bajet 2009 yang dibentangkan dalam sidang DUN bajet 2009. Banyak lagi sebenarnya yang dibuat oleh PR sepanjang 11 bulan memerintah Perak yang kebanyakannya ditiru dan diteruskan oleh UMNO BN. Tetapi UMNO BN membutakan mata rakyat dengan maklumat ini, sebaliknya menyebarkan fitnah dan tohmahan kepada rakyat.

Disebabkan ari nih teman malas nak nulis, jadi teman copy and paste ajer artikel di atas untuk mengkome seme membaca dan mengkome sendiri boleh ler memikionyer dengan fikiran mengkome yang waras.

Tuesday, July 20, 2010

SITC, MPSI, IPSI DAN UPSI, APA BEZANYA?

UPSI ialah nama singkatan kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terletak di Tanjung Malim dalam daerah Batang Padang di negeri Perak. UPSI ini sebenarnya telah mengalami beberapa kali perubahan nama yang satu ketika dulu merupakan maktab perguruan yang terulung di negeri Perak Darul Ridzuan dan juga yang terulung di Malaysia. Ramai tokoh cendekiawan Melayu dilahirkan dari sini.

Lebih dikenali pada peringkat awalnya dengan Sultan Idris Training College (SITC). SITC juga dikenali dengan nama Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Penubuhan SITC ini adalah dengan galakan dan restu daripada Paduka Seri Sultan Perak ketika itu, Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah. Baginda adalah seorang raja yang amat mengambil berat tentang pendidikan orang Melayu di negeri Perak Darul Ridzuan. Kampus induk UPSI "Kampus Sultan Abdul Jalil" di Tanjung Malim adalah mengambil sempena nama baginda manakala kampus baru UPSI yang terletak di bandar Proton pula bergelar "Kampus Sultan Azlan Shah".

Menyingkap kembali kegemilangan dan kecemerlangan lembaran sejarah tanah air, tokoh-tokoh seperti Allahyarham Buyung Adil, Ibrahim Yaakob, Pendeta Za'aba, Aminuddin Baki dan lain-lain adalah antara tokoh yang terbabit secara langsung di institut ini. Mereka bukan sahaja telah memberi perkhidmatan tetapi juga telah menjadi pemangkin kesedaran pentingnya pelajaran dan ilmu pengetahuan kepada bangsa Melayu.

Mereka ini mempunyai usaha yang penuh gigih dan semangat yang jitu. Terlalu banyak sekali pengorbanan yang telah mereka curahkan demi masa depan orang Melayu. sewajarnya mereka ini menjadi inspirasi dan aspirasi kepada kita untuk menyambung perjuangan UPSI hari ini. Namun, yang menjadi kemusykilan kepada kita ialah, kalau dulunya "perguruan" mengapakah sekarang menjadi "pendidikan" dan mengapakah UPSI itu tidak sebagai singkatan "Universiti Perguruan Sultan Idris"?

"Pendidikan adalah landasan untuk membina bangsa dan negara.
Kekuatan dan ketahanan negara bergantung kepada
kekuatan dan ketahanan rakyatnya.
Rakyat harus berjiwa besar, berhat
i waja dan berakhlak mulia."

Bidang pendidikan hari ini sedang mengalami cabaran dan perubahan yang pesat. Pendidikan adalah landasan untuk membina bangsa dan negara. Kekuatan dan ketahanan negara bergantung kepada kekuatan dan ketahanan rakyatnya. Rakyat harus berjiwa besar, berhati waja dan berakhlak mulia. Segala sifat murni ini boleh dicapai menerusi pendidikan yang sempurna. Pendidikan yang sempurna hanya dapat diterapkan oleh pendidik yang mendapat didikan dan latihan yang baik.

Seseorang pendidik haruslah mendapat latihan ikhtisas yang sempurna bagi membolehkannya menjadi seorang yang profesional dalam bidang tugasnya. Disamping itu juga, mereka harus mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan mendalam bukan sahaja dalam bidang kerjayanya bahkan juga dalam bidang kehidupan yang lain. Keseimbangan dalam semua bidang adalah perlu untuk menjadi insan yang dianggap sempurna.

Namun begitu, jika dilihat masa kini adalah terlalu banyak Institut Pengajian Tinggi (IPT), sama ada awam atau swasta yang menawarkan pengajian di bidang pendidikan. Ini akan menjadikan suatu lambakan yang mengakibat tiada penempatan yang dapat dibuat kepada mereka setelah selesai belajar. UPSI sendiri mengalami masalah untuk menempatkan pelajarnya. Persoalannya ialah mengapakah Kementerian Pengajian Tinggi "membuka pntu yang begitu luas" pengajian bidang pendidikan kepada IPTS sedangkan IPTA sendiri telah banyak menawarkan pengajian dalam bidang pendidikan?

Sebagai pendidik, guru-guru perlu memainkan peranan mereka secara berkesan dan komprehensif apabila berada di tengah-tengah masyarakat dan tinggal di tempat mereka mengajar. Mereka bukanlah orang luar yang hanya datang pada waktu mengajar dan pulang setelah kewajipan mengajar selesai.

"Mereka juga disanjung, dimulia dan dikasihi.
Mereka mengajar di dalam bilik darjah dan mendidik di luar sekolah."


Peranan guru sebagai pemimpin dalam semua lapangan hidup masyarakat telah telah menjadikan mereka terhormat lagi dihormati. Mereka juga disanjung, dimulia dan dikasihi. Mereka mengajar di dalam bilik darjah dan mendidik di luar sekolah. Mereka adalah sebagai agen perubahan, tambahan pula kemudahan yang terdapat di sekolah hari ini jauh lebih banyak dan lebih baik daripada sebelumnya. Apa yang perlu diperbaharui ialah sikap, minat dan semangat untuk bekerja.

"Jadikan kehadiran kita di sekolah tempat kita berkhidmat
sebagai satu kehadiran yang bererti dan bermanfaat
kepada pelajar, guru d
an masyarakat di tempat itu."

Setelah selesai menimba ilmu, pindahkanlah segala yang dipelajari itu ke bilik darjah tempat kita berkhidmat. Guna dan praktikkan segala teori pengajaran dan pembelajaran yang telah diperolehi supaya pengajaran kita lebih berkesan. Kita sewajarnya menjadikan kehadiran kita di sekolah tempat kita berkhidmat sebagai satu kehadiran yang bererti dan bermanfaat kepada semua pelajar, guru dan masyarakat di tempat itu. Teori pendidikan dan kaedah pengajaran yang kita perkenalkan akan menjadikan sesebuah sekolah itu menjadi lebih dinamik.

UPSI itu bermulanya dengan SITC. Pada peringkat awalnya SITC adalah khusus untuk anak-anak Melayu dilatih untuk menjadi guru. 100% pelajarnya adalah Melayu, sehinggalah namanya bertukar kepada IPSI. Namun begitu setelah namanya menjadi UPSI, kemasukan pelajarnya terbuka kepada semua bangsa. Demikianlah berakhirnya satu kemegahan bangsa Melayu di bumi Perak ini yang dileburkan oleh bangsan Melayu sendiri.

Apakah rasionalnya IPSI itu dijadikan UPSI? Mengapakah tidak dikekalkan sebagai IPSI agar ia terus berbakti seperti institut-institut perguruan yang lain yang telah pun menjadi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Lagipun IPGM sekarang telah pun menawarkan pengajian peringkat ijazah kepada bakal-bakal guru yang menjadi graduannya. IPSI sewajarnya terus dikekalkan seperti mana Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

"Mengapakah bangsa Melayu itu sendiri
yang telah melenyapkan kemegahan bangsanya?"

Monday, July 19, 2010

MEMAHAMI KONSEP PERUBAHAN

TAKRIFAN ISTILAH PERUBAHAN
Perubahan merujuk kepada peralihan atau pemindahan atau peningkatan keadaan kepada tahap yang lebih baik. Subjek perubahan itu boleh merujuk kepada individu, mana-mana entiti, keadaan, tahap pencapaian atau sesuatu yang boleh diukur tahap kemajuannya.

Oleh itu, perubahan yang dimaksudkan semestinya hanya bernatijahkan pada sesuatu yang baik. Dalam erti kata lain, ia menolak kaitan perubahan dengan apa-apa kehendak untuk mencapai sesuatu yang boleh memudaratkan, mengaibkan atau melemahkan.

MENGAPAKAH PERUBAHAN MESTI BERLAKU?
Perubahan pasti berlaku pada setiap masa kerana proses pembaikan adalah sesuatu proses berterusan dan tidak ada tahap penghabisannya. Yang penting adalah untuk memastikan bahawa arah perubahan itu sentiasa kepada yang lebih baik dan apa yang telah dicapai tetap kekal.

Antara justifikasi di sebalik sesuatu perubahan yang mungkin berlaku adalah seperti berikut:
1. Untuk memperbaiki kemampuan diri
2. Untuk meningkatkan tahap prestasi
3. Untuk bersedia menghadapi cabaran yang baru atau yang lebih getir
4. Untuk merancang bagi masa depan
5. Untuk menepati tuntutan keadaan, zaman dan setempat
6. Untuk menjaga tahap daya saing
7. Untuk menambah nilai pada penggunaan sumber sedia ada
8. Untuk menyambut dengan berkesan dan tepat mana-mana saranan baru
9. Untuk menguji idea atau inovasi baru
10. Untuk mengelak daripada tertinggal dalam zon selesa

KIASAN-KIASAN PROSES PERUBAHAN
Proses-proses perubahan boleh mencerminkan ciri-ciri yang berbeza antara satu sama lain. setiap satu proses perubahan yang berlaku akan bergantung pada kekuatan niat, kesungguhan, ketelitian perancangan dan pelaksanaan serta kebijaksanaan dalam penggunaan sumber-sumber dan peluang-peluang yang sedia ada atau yang diperoleh.

Antara kiasan yang boleh dikenal pasti ialah:-
1. Perubahan yang luarannya nampak berbeza tetapi dari segi dalamannya sama - air > wap > ais > salji
2. Perubahan yang bersifat bermusim iaitu tidak kekal - musim bunga > musim panas > musim luruh > musim sejuk
3. Perubahan yang semakin cantik - telur > larva > pulpa > imago
4. Perubahan yang semakin canggih tetapi di mana penggunaannya akan bergantung pada pengisian dan penggunanya - tulisan atas batu > skrol > mesin taip > komputer
5. Perubahan yang bertempoh dan ada penghujungnya - janin > bayi > insan tua > mayat

JENIS SIKAP TERHADAP PERUBAHAN
Tidak semua pihak akan menerima atau bersedia untuk berubah. Jika kekuatan rohani, akhlak, jasmani, ekonomi, emosi, minda dan keadaan persekitaran tidak berada pada tahap yang kuat serta kondusif untyk perubahan ke arah baik, maka sikap terhadap perubahan akan lesu dan negatif.

Oleh itu, berikut adalah jenis-jenis sikap terhadap usaha untuk berubah:
1. Proaktif:-
Sentiasa mencari perubahan yang positif tanpa disuruh kerana keinginan untuk menjadi cemerlang danb berjaya itu tinggi.
2. Reaktif:-
Hanya akan bertindak jika digugat tetapi perubahan begini tidak cekap kerana tidak dirancang dan lebih bersifat spontan.
3. Sederhana:-
Hanya berubah jika perlu dan itu pun atas sikap tunggu dan lihat dahulu atas apa yang akan berlaku ke atas orang lain yang mendahului mereka dalam melakukan perubahan.
4. Statik:-
Sukar untuk berubah kerana tidak menerima perubahan yang baik sebagai sesuatu yang dituntut oleh agama dan fitrah hidup di dunia.
5. Negatif:-
Akan menghalang dan kadangkala melawan arus perubahan yang baik kerana masih menghendaki kemungkaran dan amalan buruk.

Sunday, July 18, 2010

TAHAYUL, MELEMAHKAN AKAL KITA

"Kita tidak dapat menghapuskan kegelapan tetapi kita sanggup meneranginya."

Kita telah dikejutkan dengan pelbagai berita sensasi yang berlaku di negara kita ini. Ada manusia yang masih tinggal di pondok buruk persis reban ayam. Begitu juga yang bergelimpangan di kaki-kaki lima dan di bawah jejambat yang begitu banyak terutama di bandar raya. Memang sungguh aneh bahawa di negara Malaysia yang paling subur sepanjang zaman ini masih ada orang yang hidup dalam kemiskinan.

Dalam bidang hiburan pula semua bangsa banyak mengutarakan filem-filem seram, hantu dan sebagai. Ini tidak kira filem Melayu, filem Inggeris, filem China, Filem Korea dan sebagainya. Ini pun sungguh aneh bahawa di zaman orang yang mendapat ilmu pengetahuan atau zaman ICT ini masih begitu ramai orang yang menjadi korban tahayul.

Dalam berbagai bentuknya, tahayul diwariskan dari generasi ke generasi. Seperti juga kebenaran, kesalahan juga mempunyai cara untuk mempertahankan kelangsungan hidupnya. Ia seolah-olah berlumba-lumba untuk memperkenalkan kepercayaan karut yang terdapat dalam satu-satu bangsa itu.

Kebiasaannya, gagasan dan amalan tahayul masa kini dengan kuatnya bersarang pada diri orang yang kurang atau sama sekali tidak berpendidikan. Namun begitu, mereka yang berpendidikan tinggi pun ada yang turut sama mempercayai tahayul. Tahayul lebih banyak diamalkan di antara orang yang tertekan secara ekonomi, walaupun dimana mereka berada.

Sungguh mengejutkan bahawa kaum terpelajar boleh mengabaikan martabatnya dengan mempercayai nasihat dari astrologi, 'ahli' rajah tangan dan peramal nasib. kita juga mungkin mempercayai bahawa diri kita adalah boneka keadaan. Umpama mempercayai tentang tanda-tanda bernasib buruk dan bernasib baik. Dalam pertandingan bola sepak bagi merebut piala dunia baru-baru ini juga, seekor sotong telah berjaya memperdaya dan mengugat akidah manusia.

Tahayul sebenarnya cenderung melemahkan akal kita. Sesungguhnya ia merupakan suatu kesalahan jika kita memasukkan fikiran-fikiran buruk. Mereka akan membayangkan orang berkaitan seumur hidupnya. Pendapat mereka bahawa tahayul atau kepercayaan karut ini bergantung kepada kekuatan yang berada di luar Maha Kuasa dan hukum-hukum alam di dunia. Ilmu moden mempercayai bahawa apa pun yang berada di alam merupakan hasil hukum dan peraturan.

Semua orang yang berhasrat untuk memperolehi kejayaan, harus tegas terhadap dirinya dalam melindungi mentalnya dari tahayul. Kepercayaan sebegini cenderung melemahkan kepercayaan diri dan penghargaan diri sendiri. Selama kita menjadi hamba ketakutan dan tahayul, kita tidak akan mendapat kebebasan mental.

Friday, July 16, 2010

CIRI-CIRI POLITIK MELAYU

Apabila disebut politik, sering kali dikaitkan dengan parti politik sedangkan makna politik sebenarnya adalah ilmu pemerintahan, ilmu siasah atau ilmu kenegaraan. Politik amat penting kerana melibatkan kuasa mentadbir dan membangunkan masyarakat dengan nilai dan model yang dikehendaki.

Dalam Islam, terkandung prinsip-prinsip politik merana Islam bukan sekadar akidah tetapi juga merupakan sistem hidup yang lengkap serta turut mencakupi sistem ekonomi dan politik. Istilah politik dan pelaksanaannya tidak asing lagi bagi umat Melayu kerana sejarah Melayu telah membuktikan bahawa umat Melayu telah terlibat dengan politik dan perjuangan sejak dahulu lagi.
Sejarah perjuangan politik Melayu telah lama bertapak dalam diri umat Melayu.

Perkembangan dan perubahan politik Melayu dapat dilihat melalui rentetan sejarah, antaranya:
* sistem politik tradisional dengan penglibatan raja-raja Melayu seperti sejarah Kesultanan Melayu Melaka
* perjuangan mendapatkan kemerdekaan dan kedaulatan negara
* pentadbiran kerajaan pascamerdeka (1957)
* politik selepas pembentukan Malaysia (1963)

Sistem politik tidak terkecuali daripada melalui perubahan. Misalnya, perkembangan politik yang berlaku pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, pada peringkat awalnya raja mempunyai kuasa mutlak dan mengamalkan sistem monarki. Namun, berlaku perubahan apabila Perlembagaan Tanah Melayu 1957 telah menghadkan kuasa raja-raja Melayu.

Raja-raja masa kini tidak mempunyai kuasa mutlak tetapi hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan hal ehwal berkaitan adat masih termaktub di bawah kuasa raja. Pentadbiran negara ditadbir oleh pemimpin yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Hal ini menunjukkan bahawa bidang dan sistem politik sentiasa berkembang dan menerima perubahan.

Politik dalam Islam diharuskan dan dianggap sebagai satu ibadah selagi amalan politik tersebut mengikut lunas-lunas yang diredhai Allah swt. Nilai-nilai politik Islam sekiranya dihayati dan dijadikan pegangan boleh menyokong kewibawaan seseorang ahli politik. Nilai-nilai merupakan asas pertimbangan yang penting bagi seseorang ahli politik memandangkan perjuangan politik merupakan satu usaha yang bersifat infinit.

Oleh itu, diharapkan agar umat Melayu mampu menjadi model mithali sebagai ahli politik yang berwibawa dan disegani bukan sahaja melalui cerminan peribadi malah dari segi rohani, akliah, emosi dan jasmani.

Bagi merealisasikan perjuangan politik Islam sebagai model mithali, Islam menuntut agar memelihara dua perkara:
* Niat yang diredhai oleh Allah swt iaitu niat yang ikhlas bagi tujuan kebaikan dan menegakkan agama Islam dalam bentuk yang lengkap dan menyeluruh.
* Cara yang diredhai oleh Allah swt iaitu cara politik yang diharuskan dan tidak melanggar batas-batas agama dan kemanusiaan. Penglibatan dan pengendalian politik hendaklah sentiasa merujuk kepada sumber-sumber utama perundangan Islam serta memahami dengan jelas asas-asas politik dalam Islam.

Niat dan cara yang diredhai oleh Allah swt akan menjadikan berpolitik sebagai satu ibadah yang pastinya mendapat ganjaran daripada Allah swt. Di samping itu, politik yang berlandaskan Islam dalam semua bentuk pelaksanaannya merupakan salah satu bentuk dakwah. Politik yang diredhai Allah swt dan pendekatan yang diamalkan oleh Rasulullah saw dalam menegakkan pemerintahan perlu dijadikan asas dalam pentadbiran politik.

Ciri-ciri Utama Politik Melayu:-
Sebuah masyarakat yang tersusun diterajui oleh kepemimpinan yang mampu menentu dan mengemudi hala tuju yang jelas dan bermakna. Menurut perspektif Islam, menegakkan institusi politik dan kepemimpinan merupakan satu kefardhuan dan juga menjadi keperluan bagi masyarakat.

Oleh itu, seseorang ahli politik perlu mempunyai kredibiliti tersendiri kerana seseorang ahli politik secara tidak langsung turut memainkan atau sekurang-kurangnya mendukung peranan seorang pemimpin. Terdapat ciri-ciri politik yang perlu bagi politik Melayu;
1. Sahsiah
2. Sikap
3. Daya tahan/Stamina
4. Kepemimpinan
5. Ilmu
6. Kemahiran
7. Penggunaan kuasa
8. Daya fikir
9. Wawasan
10. Etika kepartian
11. Daya pengaruh
12. Strategi
13. Standart/Piawaian prestasi
14. Lokus kawalan
15. Strategi daya tindak

Wednesday, July 14, 2010

KEMUNDURAN BERPUNCA DARI KECIL HATI?

"Semakin lama kita membiarkan nasib buruk, semakin besar kekuatannya untuk menghancurkan kita."

Sifat kecil hati akan melahirkan kebiasaan mundur dan bukannya terus maju. Keberanian seseorang seringkali merupakan alat penguji yang nyata tentang nilai orang tersebut. Keberanian juga merupakan penunjuk yang baik tentang kejayaan seseorang untuk sampai pada matlamatnya.

Kemenangan tidak akan ditemui bila kita menarik diri. Penarikan diri dan berundur adalah cara yang diambil oleh kebanyakan orang ketika keadaan terasa berat baginya. Mereka bukannya maju terus dengan tatapan ke arah sasaran dan bila diperlukan juga menambah kekuatan untuk maju dan melepasi halangan, melainkan mereka sebaliknya berehat, berhenti, berundur dan menyerah. Kita harus membakar jambatan yang ada di belakang kita sehingga kita tidak mempunyai kemungkinan untuk berundur.

Kita menjadi musuh besar diri kita sendiri bila kita membiarkan fikiran kecil hati menetap dalam ruang mental. Nasib buruk, masalah, penghalang, penundaan, lawan dan kesulitan adalah hal-hal yang dengan segera dilalui oleh orang yang teguh hati yang memelihara harapan, berfikiran optimis dan orang yang memiliki kepercayaan diri. Halangan berupa kesulitan itu dapat kita ubah menjadi batu loncatan menuju pencapaian kejayaan bila kita tetap membuka mata, fikiran dan hati.

Masalah yang dihadapi oleh kebanyakan orang adalah ketika keadaan menjadi keras dan berat. Mereka akan menutup mata, fikiran dan hati secara menyeluruh dengan menjadi kecil hati. Segala bentuk sikap kecil hati bertindak menjadi musuh kita. Pemandu kapal terbang yang menghadapi cuaca buruk akan membuka mata, hati dan fikirannya dan menaikkan pesawatnya ke atas awan gelap. Pemandu bagaimana yang berfikir untuk menutup bahan bakar pesawatnya dalam menghadapi saat kritis dalam penerbangan ini? Namun, bukanlah memang begitu yang dilakukan kebanyakan orang?

Kemanusiaan tidak bersorak gembira menyambut orang yang tidak memiliki keberanian. Begitu juga dengan orang yang kurang memiliki kekuatan karakter dan kemanusiaan pada saat menghadapi kegagalannya. Kita selalu menghargai orang yang tetap ceria ketika menghadapi kemalangan,

PENDIDIKAN WADAH KECEMERLANGAN

Beberapa dekad sebelum adanya sekolah menengah dan universiti di negara kita, pusat pengajian tinggi bagi anak-anak Melayu ialah sekolah-sekolah agama yang dikenali sebagai sekolah Arab. Sekolah ini lahir melalui semangat dan pengorbanan rakyat tanpa adanya sebarang bantuan dari pihak berkuasa pada masa itu. Sekolah ini telah memberi pelajaran agama yang begitu meluas kepada anak-anak Melayu. Usaha ini adalah sebagai membanteras kegiatan sekolah mubaligh di samping melahirkan tokoh agama dan pemimpin masyarakat.

Sekolah agama ini juga dikenali sebagai sekolah pondok. Pertumbuhan pesat sekolah menengah kebangsaan pada tahun-tahun 1060-an telah memberi satu cabaran kepada sekolah Arab dan sekolah pondok. Ramai pelajar yang dahulunya memasuki sekolah Arab selepas tamat pengajian mereka di sekolah Melayu kini meneruskan pelajaran ke sekolah menengah kebangsaan. Akibatnya bilangan pelajar sekolah Arab telah merosot.

Zaman perubahan bagi sekolah Arab mula dilakukan dengan penyesuaian sukatan pelajaran oleh Kementerian Pelajaran. Mata pelajaran sastera dan sains mula diajar di sekolah Arab. Pelajarnya telah menduduki peperiksaan kerajaan dan memasuki universiti. Ada kemungkinan bahawa perubahan itu telah berlaku kerana desakan masa dan keadaan, namun yang penting "zaman kegerhanaan" sekolah Arab telah berlalu.

"Mata pelajaran sains dan sastera bukanlah mata pelajaran barat."

Islam bukan hanya agama akhirat. Mata pelajaran sains dan sastera bukanlah mata pelajaran Barat. Pada masa benua Eropah masih berada dalam "Zaman Gelap", umat Islam telah maju dalam ilmu-ilmu tersebut. Malangnya kejatuhan tamadun Islam dan kebangkitan negara-negara Eropah telah menyebabkan ianya berlaku disebaliknya. Malahan orang Islam suatu ketika telah menentang pembelajaran ilmu-ilmu yang diambil oleh Barat. Alasan yang kedengaran ialah ianya adalah ilmu dunia yang dipelopori oleh orang Barat yang beragama Kristian.

Sekolah-sekolah Arab hari ini terutama pentadbirnya telah dapat memahami keadaan yang sebenar. Mereka telah membuat perubahan yang perlu pada masa yang sesuai. Pelajar-pelajar yang belajar di sekolah Arab ini amat beruntung kerana disamping dapat mempelajari pelajaran agama mereka juga diajar mata pelajaran yang biasa diajar di sekolah menengah kebangsaan kerajaan. Pelajar yang lulus dari sekolah Arab ini akan menjadi individu muslim yang sempurna.

Ketika dahulu, semasa pemerintah tidak mengambil berat tentang pelajaran anak-anak Melayu, sekolah Arab telah memberi pelajaran kepada mereka. Semasa negara masih dijajah, sekolah Arab telah berjaya menanam semangat kemerdekaan di dada mereka. Semasa ekonomi orang Melayu dan Islam mundur, sekolah Arab dapat wujud tanpa bantuan pemerintah. Ini adalah suatu pengorbanan orang Melayu dan Islam.

Apabila negara mencapai kemerdekaan, pembangunan rancak berjalan. Ekonomi orang Melayu dan Islam bertambah baik. Kebangkitan semula Islam telah mula ternampak di seluruh dunia. Umat Islam sepatutnya menjadi lebih kuat, lebih kukuh dan lebih bersatu.

"Umat Islam dan bangsa Melayu menghadapi suatu ancaman baru yang lebih besar dan lebih berbahaya. Ancaman baru itu adalah perpecahan sesama sendiri."

Masa kini adalah amat malang bagi orang Melayu dan Islam iaitu setelah pelbagai faktor yang melemahkan itu dapat diatasi satu demi satu, umat Islam dan bangsa Melayu menghadapi suatu ancaman baru. Ancaman yang lebih besar. Ancaman yang lebih berbahaya. Ancaman baru itu adalah perpecahan sesama sendiri.

Perpecahan umat Islam dan bangsa Melayu semakin hari semakin ketara. Ianya telah mula menjalar ke merata tempat dan pelusuk. Perpecahan tersebut juga telah mula sampai ke dalam masjid. Seandainya ianya tidak diatasi maka akan binasalah padahnya.

Ulama dan guru agama telah memainkan peranan yang amat penting pada saat-saat genting pada masa lepas. Oleh itu, kepada mereka jugalah diharapkan dapat memainkan peranan sekali lagi. Kalau dulu mereka menentang penjajah tetapi kali ini adalah untuk membasmikan ajaran sesat dan perpecahan umat Islam di negara ini.

Ulama dan guru agama ini wajar melaksanakan peranan masing-masing untuk mengatasi masalah ini dengan jujur. Usaha mereka ini adalah untuk kemantapan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini. Begitu juga dengan mereka yang lain agar sama-sama menyedari bahaya yang sedang mengancam umat Islam hari ini dan bersama-sama berusaha mengatasinya.

Sunday, July 11, 2010

PERLUKAH MENJATUHKAN YANG LAIN UNTUK BERJAYA?

"Lakukan segala kebaikan yang boleh kita kerjakan dengan segala kelengkapan yang kita dapatkan dalam segala cara yang boleh kita jalankan, di segala tempat yang kita gunakan, pada segenap waktu yang kita perlukan, kepada semua orang yang kita temukan dan selama masih boleh dan lakukan."

Setiap pemikiran dan tindakan kita dalam hidup mempunyai cara untuk kembali kepada kita. Ianya seperti gema untuk iaitu cepat atau lambat untuk memberi ganjaran perbuatan baik atau mencela perbuatan jahat. Selama kita meneruskan perjalanan hidup, gema yang terus-menerus kembali kepada kita ini. Sesungguhnya ia boleh membuat kita bahagia atau menderita.

Hukum Alam tentang reaksi adalah pedang bermata dua. Perkara ini boleh memberikan perkhidmatan kepada kita atau sebaliknya melah boleh melukai kita. Begitu juga dalam pertanian. Hasil yang kita tuai itu adalah bergantung kepada jenis benih yang kita taburkan. Setiap pemikiran atau perbuatan pada akhirnya akan kembali kepada penanamnya yang sesuai dengan benih yang ia sediakan.

Jika perbuatan kita itu manis, murah hati, bersedia menolong dan baik maka gema akan kembali cenderung mengangkat, mendukung dan memuaskan. Begitulah sebaliknya, jika pemikiran dan perbuatan kita merosakkan karakter, rendah, jahat, tidak senang atau mungkin juga kita mengambil keuntungan dengan merugikan orang lain. Gema yang datang kepada kita akan mengulangi suara yang melahirkannya.

Ramai orang yang telah mengalami Hukum Reaksi masih berfikir bahawa mereka boleh "membuang" atau menghindari akibatnya yang tidak dapat dihindarkan. Mereka berpendapat bahawa mereka boleh meningkatkan perniagaan mereka sendiri dengan menghancurkan saingan mereka. Perbuatan jahat mereka menjadi "bomerang" dan perniagaan mereka sendiri yang kemudiannya gagal. Kita sama sekali tidak pernah bertemu dengan agen insuran yang berjaya dalam perniagaan insuran dengan cara menjatuhkan polisi saingannya.

"Taburlah bunga kita ketika kita pergi sebab kita sama sekali tidak boleh lagi menempuh jalan yang sama."

Thursday, July 8, 2010

PENDIDIKAN TERAS KEGEMILANGAN BANGSA


Ke mana sahaja kita pergi, semua akan membicarakan tentang pentingnya ilmu pengetahuan. Kita semua sedia maklum bahawa pentingnya ilmu pengetahuan itu telah mula disedari semenjak permulaan sejarah manusia. Di sini yang membezakannya ialah bidang ilmu pengetahuan itu sendiri dan taraf ketinggian ilmu pengetahuan tersebut.

Pada zaman gua batu, mungkin pengetahuan memburu binatang liar adalah sudah mencukupi untuk mencari rezeki. Namun, ketika zaman ICT ini, teknologi komputer sudah pun menjadi perkara wajib dalam menjalani kehidupan harian. Ketika dulu dengan hanya memperolehi sijil persekolahan adalah memadai jika dibandingkan pada hari ini dengan segulung ijazah untuk mendapat pekerjaan.

Kita kini nhidup dalam zaman persaingan dan perubahan. Kita perlu "berhijrah" iaitu mengikut setiap perubahan. Teknologi masa lepas sudah pun menjadi "ketinggalan zaman" pada tahun ini. Keperluan kelmarin berbeza dengan keperluan hari ini dan keperluan hari esok mungkin berbeza pula daripada keperluan hari ini. Setiap perubahan yang berlaku itu adalah terlalu pantas dan agak sukar kita mengikutinya.

Oleh itu, semua bangsa yang ingin maju dan terus maju, mestilah menyedari keperluan hari ini disamping perlu memikirkan pula keperluan untuk hari esok. Kalau kita masih lagi leka tanpa ingin melakukan perubahan, pastinya kita akan ketinggalan zaman fan akan tertinggal ke belakang dari mereka yang lain.


Tugas yang kita hadapi ini adalah berat. Tumpuan yang seharusnya diberikan adalah kepada pelajar. Kepada merekalah kita letakkan harapan kita bagi menghadapi situasi ini. Aristotle, seorang ahli falsafah Greek berkata: "Semua orang yang telah berfikir dengan mendalam tentang seni memerintah manusia yakin bahawa nasib sesebuah empayar adalah terletak di atas pelajaran anak-anak muda."

Pendapat tersebut telah pun tercatat lebih dari dua ribu tahun dahulu. Pendapat tersebut masih benar malah lebih ketara. Bagi pelajar, meskipun mereka itu adalah harapan negara, ini tidak bererti bahawa mereka menganggap diri mereka sebagai anak emas yang patut ditatang seperti minyak yang penuh. Ianya bererti bahawa tanggungjawab kepada diri, ibu bapa, masyarakat dan negara adalah lebih berat. Terserahlah kepada pelajar sama ada boleh menggunakan kesempatan itu sepenuhnyanya atau tidak.

Bagi pelajar-pelajar yang telah dipilih untuk melanjutkan pengajian mereka kep institut-institut pengajian tinggi adalah yang bernasib baik. Mereka dapat menyambung pelajaran dan di sini bukanlah untuk berbangga dan takbur. Bersyukurlah kepada Allah swt dan berterima kasihlah kepada ibu bapa dan mereka yang telah membantu kita. Di samping itu, kita juga janganlah melupai pelajar yang lain yang kurang bernasib baik.

Usaha adalah tangga kejayaan. Oleh itu, tiada sebab untuk kita tidak boleh maju dalam apa-apa nbidang terutama pelajaran. Mendapatkan sijil atau ijazah yang baik adalah penting tetapi itu tidak menjamin kejayaan dan kebahagiaan seseorang. Faktor yang lebih penting ialah peribadi. Oleh itu, pelajaran bukanlah sekadar memperolehi pengetahuan akademik semata-mata. Ia seharusnya meliputi pembentukan peribadi yang baik termasuk akhlak yang mulia.

Kerajaan sering melaung-laungkan "budaya membaca" kepada kita semua. Namun dari segi kajian, adalah amat mendukacitakan bahawa masyarakat kita amat kurang membaca. Kajian juga menyatakan bahawa terdapat pelajar yang langsung tidak membaca selain buku teks. Bagi lepasan sekolah, maktab atau universiti tidak membaca buku pun semenjak keluar dari belajar seolah-olah tidak ada apa lagi yang hendak dipelajari.


Bagi mereka yang sudah bekerja pula, ramai di kalangan mereka cuma membaca fail-fail di pejabat sahaja. Perkara ini adalah amat mendukacitakan. Ilmu pengetahuan adalah umpama angkasa lepas yang tidak terbatas. Belajar itu tidak akan tamat sehingga ke liang lahat. Membaca adalah asas pengetahuan. Rasulullah saw pun dalam wahyu yang pertama diterima menyuruh Baginda membaca.

Francis Bacon membuat kenyataan yang tepat iaitu: "Reading make a full man, conference a ready man and writing an exact man."

Sunday, July 4, 2010

TANDA-TANDA ZAMAN KEJATUHAN?

ROGER FEDERER
Kesedihan terpapar di wajah. Adakah tahun 2010 ini merupakan detik-detik kejatuhannya? Gagal mempertahankan beberapa kejuaraan termasuklah Wimbledon telah meletakkan dirinya ke tangga kedua dalam Rankings ATP Tour. RogerFederer nama agung dalam dunia tenis, namun kekalahan demi kekalahan yang dialami itu akan terus menghilangkan namanya di bibir peminat tenis?

QATAR EXXON MOBIL OPEN
Suku Akhir
Kalah kepada Nikolay Davydenko (Russia)
4-6, 4-6

AUSTRALIA OPEN
Akhir
Menang ke atas Andy Murray (Great Britain)
6-3, 6-4, 7-6 (13-11)

BNP PARIBAS OPEN
Pusingan Ketiga
Kalah kepada Marcos Baghdatis (Cyprus)
7-5, 5-7, 6-7 (4-7)

SONY ERICSSON OPEN
Pusingan Keempat
Kalah kepada Tomas Berdych (Czech Republic)
4-6, 7-6 (7-3), 6-7 (6-8)

INTERNAZIONAL BNL D'ITALIA
Pusingan Kedua
Kalah kepada Ernests Qulbis (Latvia)
6-2, 1-6, 5-7

ESTORIL OPEN
Separuh Akhir
Kalah kepada Albert Montanes (Spain)
2-6, 6-7 (5-7)

MUTUA MADRILENA MADRID OPEN
Akhir
Kalah kepada Rafael Nadal (Spain)
4-6, 6-7 (5-7)

FRENCH OPEN
Suku Akhir
Kalah kepada Robin Soderling (Sweden)
6-3, 3-6, 5-7, 4-6

GERRY WEBER OPEN
Akhir
Kalah kepada Lieyton Hewitt (Australia)
6-3, 6-7 (4-7), 4-7

WIMBLEDON
Suku Akhir
Kalah kepada Tomas Berdych (Czech Republic)
4-6, 6-3, 1-6, 4-6

BERDIKARI UNTUK KEMAJUAN DIRI

"Percayalah kepada diri kita sendiri, semua dada akan bergetar kerana kekuatan itu."

Ramai lelaki dan perempuan muda berbakat yang tidak mendapat hadiah berharga dari hidup kerana mereka tidak pernah belajar untuk berdiri di atas kaki sendiri (berdikari). Mereka sentiasa bersandar dan bergantung kepada orang lain untuk kemajuan diri mereka. Mereka tidak mampu melakukan tindakan sendiri.

Orang yang selalu bersandar tidak mempunyai kepercayaan lagi. Mereka ini tidak percaya bahawa diri mereka mempunyai kekuatan sehingga mereka bergantung kepada orang lain yang boleh mengangkat, mendorong atau menarik diri mereka. Mereka seperti "caravan" atau "rumah kereta" yang memerlukan kereta sebagai penarik.

Seawal mungkin sejak muda, pada masa mudah dibentuk, kita seharusnya mengajar anak-anak untuk mengambil keputusan mereka sendiri. Pengetahuan tentang diri sendiri, tentang kekuatan yang ada di dalamnya akan membentuk suatu kepercayaan diri yang diperlukan dalam membuat keputusan. Kita melakukan suatu pertimbangan yang tidak diperhitungkan dan tidak adil terhadap orang muda bila kita berfikir dan mengambil keputusan bagi mereka. Kejayaan dalam hidup banyak bergantung pada kemampuan mereka sendiri untuk berdikari.

"Apabila kita membantu anak kita menaiki tangga dan menjaganya agar ia tidak terjatuh dari tangga itu, maka ia benar-benar akan terjatuh apabila kita meninggalkannya dan ia akan merasa kesepian."

Inilah hukum alam yang harus kita gunakan atau kita sama sekali akan kehilangan kesempatan kekuatan menggunakannya. Bila kita kalah atau gagal mengembangkan kekuatan kita sendiri, kita akan menjadi tidak berdaya di tengah lautan kehidupan. Ia ibarat kapal rapuh yang terumbang-ambing dan akhirnya terdampar di pantai sebagai bangkai.

Kalau kita mengenali diri kita yang sebenarnya, kita menjadi pemimpin, bukan pengikut. Kita menjadi pemikir asli, bukan peniru. Kita menjadi pengambil keputusan, bukannya pencari nasihat. Kita menjadi tiang yang kukuh, bukannya orang yang memerlukan sandaran.