Wednesday, July 14, 2010

PENDIDIKAN WADAH KECEMERLANGAN

Beberapa dekad sebelum adanya sekolah menengah dan universiti di negara kita, pusat pengajian tinggi bagi anak-anak Melayu ialah sekolah-sekolah agama yang dikenali sebagai sekolah Arab. Sekolah ini lahir melalui semangat dan pengorbanan rakyat tanpa adanya sebarang bantuan dari pihak berkuasa pada masa itu. Sekolah ini telah memberi pelajaran agama yang begitu meluas kepada anak-anak Melayu. Usaha ini adalah sebagai membanteras kegiatan sekolah mubaligh di samping melahirkan tokoh agama dan pemimpin masyarakat.

Sekolah agama ini juga dikenali sebagai sekolah pondok. Pertumbuhan pesat sekolah menengah kebangsaan pada tahun-tahun 1060-an telah memberi satu cabaran kepada sekolah Arab dan sekolah pondok. Ramai pelajar yang dahulunya memasuki sekolah Arab selepas tamat pengajian mereka di sekolah Melayu kini meneruskan pelajaran ke sekolah menengah kebangsaan. Akibatnya bilangan pelajar sekolah Arab telah merosot.

Zaman perubahan bagi sekolah Arab mula dilakukan dengan penyesuaian sukatan pelajaran oleh Kementerian Pelajaran. Mata pelajaran sastera dan sains mula diajar di sekolah Arab. Pelajarnya telah menduduki peperiksaan kerajaan dan memasuki universiti. Ada kemungkinan bahawa perubahan itu telah berlaku kerana desakan masa dan keadaan, namun yang penting "zaman kegerhanaan" sekolah Arab telah berlalu.

"Mata pelajaran sains dan sastera bukanlah mata pelajaran barat."

Islam bukan hanya agama akhirat. Mata pelajaran sains dan sastera bukanlah mata pelajaran Barat. Pada masa benua Eropah masih berada dalam "Zaman Gelap", umat Islam telah maju dalam ilmu-ilmu tersebut. Malangnya kejatuhan tamadun Islam dan kebangkitan negara-negara Eropah telah menyebabkan ianya berlaku disebaliknya. Malahan orang Islam suatu ketika telah menentang pembelajaran ilmu-ilmu yang diambil oleh Barat. Alasan yang kedengaran ialah ianya adalah ilmu dunia yang dipelopori oleh orang Barat yang beragama Kristian.

Sekolah-sekolah Arab hari ini terutama pentadbirnya telah dapat memahami keadaan yang sebenar. Mereka telah membuat perubahan yang perlu pada masa yang sesuai. Pelajar-pelajar yang belajar di sekolah Arab ini amat beruntung kerana disamping dapat mempelajari pelajaran agama mereka juga diajar mata pelajaran yang biasa diajar di sekolah menengah kebangsaan kerajaan. Pelajar yang lulus dari sekolah Arab ini akan menjadi individu muslim yang sempurna.

Ketika dahulu, semasa pemerintah tidak mengambil berat tentang pelajaran anak-anak Melayu, sekolah Arab telah memberi pelajaran kepada mereka. Semasa negara masih dijajah, sekolah Arab telah berjaya menanam semangat kemerdekaan di dada mereka. Semasa ekonomi orang Melayu dan Islam mundur, sekolah Arab dapat wujud tanpa bantuan pemerintah. Ini adalah suatu pengorbanan orang Melayu dan Islam.

Apabila negara mencapai kemerdekaan, pembangunan rancak berjalan. Ekonomi orang Melayu dan Islam bertambah baik. Kebangkitan semula Islam telah mula ternampak di seluruh dunia. Umat Islam sepatutnya menjadi lebih kuat, lebih kukuh dan lebih bersatu.

"Umat Islam dan bangsa Melayu menghadapi suatu ancaman baru yang lebih besar dan lebih berbahaya. Ancaman baru itu adalah perpecahan sesama sendiri."

Masa kini adalah amat malang bagi orang Melayu dan Islam iaitu setelah pelbagai faktor yang melemahkan itu dapat diatasi satu demi satu, umat Islam dan bangsa Melayu menghadapi suatu ancaman baru. Ancaman yang lebih besar. Ancaman yang lebih berbahaya. Ancaman baru itu adalah perpecahan sesama sendiri.

Perpecahan umat Islam dan bangsa Melayu semakin hari semakin ketara. Ianya telah mula menjalar ke merata tempat dan pelusuk. Perpecahan tersebut juga telah mula sampai ke dalam masjid. Seandainya ianya tidak diatasi maka akan binasalah padahnya.

Ulama dan guru agama telah memainkan peranan yang amat penting pada saat-saat genting pada masa lepas. Oleh itu, kepada mereka jugalah diharapkan dapat memainkan peranan sekali lagi. Kalau dulu mereka menentang penjajah tetapi kali ini adalah untuk membasmikan ajaran sesat dan perpecahan umat Islam di negara ini.

Ulama dan guru agama ini wajar melaksanakan peranan masing-masing untuk mengatasi masalah ini dengan jujur. Usaha mereka ini adalah untuk kemantapan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini. Begitu juga dengan mereka yang lain agar sama-sama menyedari bahaya yang sedang mengancam umat Islam hari ini dan bersama-sama berusaha mengatasinya.

No comments: