TAKRIFAN ISTILAH PERUBAHAN
Perubahan merujuk kepada peralihan atau pemindahan atau peningkatan keadaan kepada tahap yang lebih baik. Subjek perubahan itu boleh merujuk kepada individu, mana-mana entiti, keadaan, tahap pencapaian atau sesuatu yang boleh diukur tahap kemajuannya.
Oleh itu, perubahan yang dimaksudkan semestinya hanya bernatijahkan pada sesuatu yang baik. Dalam erti kata lain, ia menolak kaitan perubahan dengan apa-apa kehendak untuk mencapai sesuatu yang boleh memudaratkan, mengaibkan atau melemahkan.
MENGAPAKAH PERUBAHAN MESTI BERLAKU?
Perubahan pasti berlaku pada setiap masa kerana proses pembaikan adalah sesuatu proses berterusan dan tidak ada tahap penghabisannya. Yang penting adalah untuk memastikan bahawa arah perubahan itu sentiasa kepada yang lebih baik dan apa yang telah dicapai tetap kekal.
Antara justifikasi di sebalik sesuatu perubahan yang mungkin berlaku adalah seperti berikut:
1. Untuk memperbaiki kemampuan diri
2. Untuk meningkatkan tahap prestasi
3. Untuk bersedia menghadapi cabaran yang baru atau yang lebih getir
4. Untuk merancang bagi masa depan
5. Untuk menepati tuntutan keadaan, zaman dan setempat
6. Untuk menjaga tahap daya saing
7. Untuk menambah nilai pada penggunaan sumber sedia ada
8. Untuk menyambut dengan berkesan dan tepat mana-mana saranan baru
9. Untuk menguji idea atau inovasi baru
10. Untuk mengelak daripada tertinggal dalam zon selesa
KIASAN-KIASAN PROSES PERUBAHAN
Proses-proses perubahan boleh mencerminkan ciri-ciri yang berbeza antara satu sama lain. setiap satu proses perubahan yang berlaku akan bergantung pada kekuatan niat, kesungguhan, ketelitian perancangan dan pelaksanaan serta kebijaksanaan dalam penggunaan sumber-sumber dan peluang-peluang yang sedia ada atau yang diperoleh.
Antara kiasan yang boleh dikenal pasti ialah:-
1. Perubahan yang luarannya nampak berbeza tetapi dari segi dalamannya sama - air > wap > ais > salji
2. Perubahan yang bersifat bermusim iaitu tidak kekal - musim bunga > musim panas > musim luruh > musim sejuk
3. Perubahan yang semakin cantik - telur > larva > pulpa > imago
4. Perubahan yang semakin canggih tetapi di mana penggunaannya akan bergantung pada pengisian dan penggunanya - tulisan atas batu > skrol > mesin taip > komputer
5. Perubahan yang bertempoh dan ada penghujungnya - janin > bayi > insan tua > mayat
JENIS SIKAP TERHADAP PERUBAHAN
Tidak semua pihak akan menerima atau bersedia untuk berubah. Jika kekuatan rohani, akhlak, jasmani, ekonomi, emosi, minda dan keadaan persekitaran tidak berada pada tahap yang kuat serta kondusif untyk perubahan ke arah baik, maka sikap terhadap perubahan akan lesu dan negatif.
Oleh itu, berikut adalah jenis-jenis sikap terhadap usaha untuk berubah:
1. Proaktif:-
Sentiasa mencari perubahan yang positif tanpa disuruh kerana keinginan untuk menjadi cemerlang danb berjaya itu tinggi.
2. Reaktif:-
Hanya akan bertindak jika digugat tetapi perubahan begini tidak cekap kerana tidak dirancang dan lebih bersifat spontan.
3. Sederhana:-
Hanya berubah jika perlu dan itu pun atas sikap tunggu dan lihat dahulu atas apa yang akan berlaku ke atas orang lain yang mendahului mereka dalam melakukan perubahan.
4. Statik:-
Sukar untuk berubah kerana tidak menerima perubahan yang baik sebagai sesuatu yang dituntut oleh agama dan fitrah hidup di dunia.
5. Negatif:-
Akan menghalang dan kadangkala melawan arus perubahan yang baik kerana masih menghendaki kemungkaran dan amalan buruk.
No comments:
Post a Comment