Cahaya yang sentiasa menerangi bumi Allah. Ya Allah! Engkau terangilah hati hamba-Mu ini dengan hidayah-Mu sebagaimana Engkau menerangi bumi ini dengan cahaya matahari pada siang hari dan Engkau menerangi bumi ini dengan cahaya bulan pada malam hari. AMIN.
Thursday, July 8, 2010
PENDIDIKAN TERAS KEGEMILANGAN BANGSA
Ke mana sahaja kita pergi, semua akan membicarakan tentang pentingnya ilmu pengetahuan. Kita semua sedia maklum bahawa pentingnya ilmu pengetahuan itu telah mula disedari semenjak permulaan sejarah manusia. Di sini yang membezakannya ialah bidang ilmu pengetahuan itu sendiri dan taraf ketinggian ilmu pengetahuan tersebut.
Pada zaman gua batu, mungkin pengetahuan memburu binatang liar adalah sudah mencukupi untuk mencari rezeki. Namun, ketika zaman ICT ini, teknologi komputer sudah pun menjadi perkara wajib dalam menjalani kehidupan harian. Ketika dulu dengan hanya memperolehi sijil persekolahan adalah memadai jika dibandingkan pada hari ini dengan segulung ijazah untuk mendapat pekerjaan.
Kita kini nhidup dalam zaman persaingan dan perubahan. Kita perlu "berhijrah" iaitu mengikut setiap perubahan. Teknologi masa lepas sudah pun menjadi "ketinggalan zaman" pada tahun ini. Keperluan kelmarin berbeza dengan keperluan hari ini dan keperluan hari esok mungkin berbeza pula daripada keperluan hari ini. Setiap perubahan yang berlaku itu adalah terlalu pantas dan agak sukar kita mengikutinya.
Oleh itu, semua bangsa yang ingin maju dan terus maju, mestilah menyedari keperluan hari ini disamping perlu memikirkan pula keperluan untuk hari esok. Kalau kita masih lagi leka tanpa ingin melakukan perubahan, pastinya kita akan ketinggalan zaman fan akan tertinggal ke belakang dari mereka yang lain.
Tugas yang kita hadapi ini adalah berat. Tumpuan yang seharusnya diberikan adalah kepada pelajar. Kepada merekalah kita letakkan harapan kita bagi menghadapi situasi ini. Aristotle, seorang ahli falsafah Greek berkata: "Semua orang yang telah berfikir dengan mendalam tentang seni memerintah manusia yakin bahawa nasib sesebuah empayar adalah terletak di atas pelajaran anak-anak muda."
Pendapat tersebut telah pun tercatat lebih dari dua ribu tahun dahulu. Pendapat tersebut masih benar malah lebih ketara. Bagi pelajar, meskipun mereka itu adalah harapan negara, ini tidak bererti bahawa mereka menganggap diri mereka sebagai anak emas yang patut ditatang seperti minyak yang penuh. Ianya bererti bahawa tanggungjawab kepada diri, ibu bapa, masyarakat dan negara adalah lebih berat. Terserahlah kepada pelajar sama ada boleh menggunakan kesempatan itu sepenuhnyanya atau tidak.
Bagi pelajar-pelajar yang telah dipilih untuk melanjutkan pengajian mereka kep institut-institut pengajian tinggi adalah yang bernasib baik. Mereka dapat menyambung pelajaran dan di sini bukanlah untuk berbangga dan takbur. Bersyukurlah kepada Allah swt dan berterima kasihlah kepada ibu bapa dan mereka yang telah membantu kita. Di samping itu, kita juga janganlah melupai pelajar yang lain yang kurang bernasib baik.
Usaha adalah tangga kejayaan. Oleh itu, tiada sebab untuk kita tidak boleh maju dalam apa-apa nbidang terutama pelajaran. Mendapatkan sijil atau ijazah yang baik adalah penting tetapi itu tidak menjamin kejayaan dan kebahagiaan seseorang. Faktor yang lebih penting ialah peribadi. Oleh itu, pelajaran bukanlah sekadar memperolehi pengetahuan akademik semata-mata. Ia seharusnya meliputi pembentukan peribadi yang baik termasuk akhlak yang mulia.
Kerajaan sering melaung-laungkan "budaya membaca" kepada kita semua. Namun dari segi kajian, adalah amat mendukacitakan bahawa masyarakat kita amat kurang membaca. Kajian juga menyatakan bahawa terdapat pelajar yang langsung tidak membaca selain buku teks. Bagi lepasan sekolah, maktab atau universiti tidak membaca buku pun semenjak keluar dari belajar seolah-olah tidak ada apa lagi yang hendak dipelajari.
Bagi mereka yang sudah bekerja pula, ramai di kalangan mereka cuma membaca fail-fail di pejabat sahaja. Perkara ini adalah amat mendukacitakan. Ilmu pengetahuan adalah umpama angkasa lepas yang tidak terbatas. Belajar itu tidak akan tamat sehingga ke liang lahat. Membaca adalah asas pengetahuan. Rasulullah saw pun dalam wahyu yang pertama diterima menyuruh Baginda membaca.
Francis Bacon membuat kenyataan yang tepat iaitu: "Reading make a full man, conference a ready man and writing an exact man."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment