Penilaian prestasi adalah antara perkara yang sering dijadikan fokus utama dalam kajian berkenaan dengan pendidikan. Webb dan Norton (1998) berkata salah satu fokus utama dalam reformasi pendidikan sejak 15 tahun yang lalu adalah berkenaan dengan meningkatkan prestasi kakitangan pendidikan, di mana tanggungjawab dan kualiti guru serta pentadbir sekolah cuba ditingkatkan melalui penggunaan sistem penilaian yang "kuat" serta diterima oleh semua pihak (Stufflebeam dan Shinkfield - 1995).
Loo (1989) menyatakan penilaian prestasi merupakan amalan yang paling banyak menimbulkan tekanan dan kontroversi kepada organisasi. Keadaan ini berlaku kerana semua pihak berasa tertekan semasa melaksanakan sistem ini. Ab. Aziz Yusof (2000) menyatakan penilaian presatsi perlu diaplikasikan secara strategik untuk mendapat nilai tambah yang tinggi di samping membaiki keputusan hasil kerja.
Kementerian Pendidikan Malaysua (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan Penilaian Prestasi Sistem Saraan Baru SSB) untuk menilai prestasi kakitangan awam termasuk guru. Pengumuman tersebut dibuat pada tahun 1992 telah membawa harapan sebagai satu sistem yang dapat diterima sepenuhnya oleh semua kakitangan awam. Harapan mereka juga sistem tersebut sebagai kayu ukur prestasi mereka yang terlibat.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan SSB telah menerima banyak kritikan daripada masyarakat terutama kesatuan guru, kesatuan sekerja dan guru-guru sendiri yang mempertikaikan tentang keberkesanannya untuk menilai guru. Kesatuan guru melalui Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), melalui presidennya Muhammad Mustafa turut menerima pelbagai aduan guru-guru yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap SSB
Pelaksanaan SSB sebenarnya telah menerima banyak kritikan dari pelbagai golongan. Pertikaian tersebut bukan hanya dari individu malahan turut menerima kritikan dari kesatuan-kesatuan. Ini meliputi kesatuan guru dan kesatuan sekerja yang lain.
Sebagai tindak balas kepada kritikan dan permintaan pihak yang tidak berpuas hati dengan SSB dan sebagai jawapan kepada kertas cadangan NUTP yang meminta SSB diubah, maka pada 30 Jun 2002, pihak kerajaan telah mengumumkan Skim Saraan Malaysia (SSM) sebagai satu skim baru yang akan digunakan bagi menilai prestasi kakitangan awam termasuk guru-guru. Walau bagaimanapun kakitangan awam diberi opsyen sama ada ingin kekal dalam SSB atau memilih SSM sebagai skim baru untuk menilai prestasi mereka.
Walaupun terdapat perbezaan dari segi cara dan syarat untuk Anugerah Perhidmatan Awam (APC) dan bentuk ganjaran bagi guru-guru yang berprestasi cemerlang, tetapi pada dasarnya kriteria penilaian dan cara pelaksanaan penilaian masih lagi sama. Borang yang tidak berfokus kepada tugas guru masih lagi digunakan dan pihak pentadbir sekolah iaitu pengetua/guru besar, penolong kanan dan penyelia petang masih lagi bertindak sebagai penilai dan akan menentukan markah-markah guru bagi maklumat yang terdapat dalam borang penilaian.
Walau apapun yang digunakan untuk menilai prestasi anggota perkhidmatan awam terutama guru, tidak akan menjanjikan sebarang perubahan sekiranya cara pelaksanaan penilaian masih tetap sama. Perubahan dalam bentuk ganjaran dan faktor-faktor pemilihan untuk APC sahaja adalah tidak mencukupi.
Di samping itu, pengetua/guru besar sebagai pegawai penilai haruslah mengambil peringatan bahawa penilaian prestasi patut dilaksanakan dengan sebaik mungkin kerana akan membawa impak yang besar kepada guru seterusnya impak kepada sekolah. Penilai harus mempunyai kemahiran yang tinggi dan perlu dilatih agar pelaksanaan penilaian dapat memuaskan hati dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Apabila SSM telah berada di penghujungnya, akan timbul pula pelbagai pendapat bahawa SSM itu akan diganti dengan sistem saraan yang baru. Ini menimbulkan semangat baru kepada kakitangan awam iaitu apabila ada sistem saraan yang baru, maka akan berlakulah semakan gaji yang membawa kepada kenaikan gaji kepada kakitangan awam. Persoalannya apakah sistem saraan baru ini akan dinamakan Sistem Saraan Satu Malaysia (SSSM)? Apakah sistem ini juga akan menimbulkan kritikan dari kakitangan awam?
1 comment:
pi mai pi mai..dok tang tuuuu lah jugak....
Post a Comment