Tuesday, August 16, 2011

ANCAMAN TERHADAP ORANG YANG MAKAN MAKANAN YANG HARAM

Kalau dulu telah dijelaskan betapa pentingnya menjaga agar makanan yang masuk ke dalam perut harus berasal dari barang yang halal, maka di sini akan diterangkan bahaya atau mudarat memakan makanan yang haram itu.

Ibnu Abbas r.a. mengemukakan sebuah hadis di mana baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:-
"Sesungguhnya Allah mempunyai seorang malaikat di Baitul Maqdis, yang setiap malam berseru: Barang siapa memakan makanan yang haram, tidak akan diterima amalnya sedikit pun, baik yang sunnah mahupun yang wajib." (Hadis Riwayat Ad-Dailamy).

Dan sabda Rasulullah s.a.w.
"Berapa banyak orang yang rambutnya kusut, pakaiannya berdebu, kerana telah melakukan perjalanan jauh, makanannya haram, pakaiannya haram dan hidup dari barang yang haram, ia mengangkat tangannya seraya berdoa: Oh Tuhan, Oh Tuhan! Bagaimana doanya boleh dikabulkan?" (Hadis Riwayat Muslim).

Dan sabda Rasulullah s.a.w. lagi:-
"Barangsiapa membeli sehelai baju dengan harga sepuluh dirham sedang di dalamnya ada satu dirham haram, maka Allah tidak menerima solatnya selama wang haram itu masih ada padanya." (Hadis Riwayat Ahmad).

Sabda Nabi s.a.w.:-
"Barang siapa tidak peduli dari mana ia memperolehi harta, maka Allah pun tidak akan peduli dari pintu mana akan memasukkan ia ke neraka." (Hadis Riwayat Ad-Dailamy).

Dan sabda Nabi s.a.w.:-
"setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka nerakalah tempat yang layak baginya." (Hadis Riwayat At-Thurmudzi).

Dan sabda Nabi s.a.w.:-
"Barang siapa memperolehi harta jalan yang haram, lalu dengan harta itu ia hubungkan tali silaturrahim atau disedekahkan atau dibelanjakan di jalan Allah, maka Allah akan mengumpulkan semuanya itu dan kemudian dilemparkannya ke dalam neraka." (Hadis Riwayat Abu Daud).

Dan sabda Nabi s.a.w.:-
"Barang siapa mengusahakan harta dari jalan haram kalau ia sedekahkan maka sedekahnya itu tidak diterima, dan kalau dibiarkannya begitu sahaja maka hartanya itu akan menjadi bekalnya ke dalam neraka." (Hadis Riwayat Ahmad).

Demikianlah bahaya dan mudarat harta yang dihasilkan dari jalan haram itu. Kerana itulah, wajib atas individu muslim untuk mempelajari halal dan haram ini, untuk menjaga keselamatan agamanya.

No comments: