Cahaya yang sentiasa menerangi bumi Allah. Ya Allah! Engkau terangilah hati hamba-Mu ini dengan hidayah-Mu sebagaimana Engkau menerangi bumi ini dengan cahaya matahari pada siang hari dan Engkau menerangi bumi ini dengan cahaya bulan pada malam hari. AMIN.
Monday, August 22, 2011
MAKANAN DAN MINUMAN YANG HARAM (1)
1. DAGING DAN LEMAK BABI
Tentang daging babi ini telah disebut dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:-
"Telah diharamkan atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi." (Al-Maidah:3)
Dalam ayat ini dengan jelas Allah s.w.t. telah mengharamkan memakan daging babi. Kerana daging babi itu haram hukumnya untuk dimakan, maka segala yang ada pada tubuhnya pun menjadi haram pula. termasuk, uratnya, otaknya, tulangnya, darahnya, lemaknya dan lain-lain. Hal ini berkaitan dengan kaedah hukum fikah, iaitu:-
"Menyebutkan satu bahagian yang dimaksud keseluruhan."
Sedangkan haramnya memperjual belikan daging babi itu, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Sesungguhnya Allah dan RasulNya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan berhala." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis ini sekali gus menjadi nas bagi kaedah di atas, sebab disebutkan yang tidak boleh diperjual belikan itu adalah babi. Sedangkan yang dimaksud dengan babi di dalam hadis itu adalah keseluruhan yang ada pada babi itu. sebab seandainya ada bahagian-bahagiannya yang halal, sudah barang tentu tidak diharamkan memperjual belikannya. Dengan demikian jelas, semua yang ada pada diri babi itu, haram hukumnya, tanpa kecuali.
2. BANGKAI
Bangkai adalah haiwan yang mati dengan sendirinya, tanpa diusahakan oleh manusia dengan jalan menyembelihnya menurut ketentuan agama, atau dengan jalan berburu, termasuk juga bahagian yang terpotong dari haiwan yang masih hidup.
"Telah diharamkan atas kamu (memakan) bangkai." (Al-Maidah:3)
Dalam ayat ini, bangkai menempati urutan pertama dari makanan yang diharamkan Allah.
Haiwan yang mati kerana tercekik, atau terpukul, atau terjatuh, atau tertanduk, atau diterkam binatang buas, semuanya haram dimakan, kecuali bila sebelum matinya sempat disembelih menurut ketentuan agama.
Keharaman bangkai itu sudah jelas atas dasar ayat di atas tadi, namun ada pengecualiannya iaitu:-
a) Bangkai ikan dan belalang. Kedua-duanya halal.
Rasulullah s.a.w. bersabda:-
"Telah dihalalkan bagi kita dua macam bangkai dan dua macam darah. Kedua macam bangkai itu adalah: bangkai ikan dan belalang. Sedangkan kedua macam darah itu ialah: hati dan limpa." (Hadis Riwayat Ahmad, Syafi'i, Ibnu Majah dan Daaruquthny).
b) Bangkai dari haiwan yang tidak mempunyai darah mengalir. Misalnya, semut, lebah dan lain-lain.
Apabila di antara haiwan tadi jatuh ke dalam suatu bejana atau piring makanan dan mati di situ, maka tidak menyebabkan najis.
c) Tulang, tanduk, bulu, kuku, kulit dan gigi dan lainnya yang sejenis, dari bangkai, hukumnya suci. Sebab asalnya adalah suci, dan tidak ada dalil mengatakan najisnya. Tetapi sesuatu bahagian tubuh haiwan hidup yang dipotong, hukumnya seperti bangkai, hal ini berdasarkan pada hadis Nabi s.a.w. berikut:-
"Apa-apa yang dipotong dari haiwan, sedangkan ia masih hidup, adalah bangkai." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Thurmudzi).
3. HAIWAN YANG DISEMBELIH TIDAK MENURUT KETENTUAN AGAMA
Haiwan yang ketika menyembelihnya tidak menyebut nama Allah, hukumnya haram. Berdasarkan firman Allah yang berbunyi:-
"Maka makanlah haiwan-haiwan (halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya." (Al-An'aam:118)
Dan firmanNya:-
"Dan janganlah kamu memakan haiwan-haiwan yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya." (Al-An'aam:121)
Termasuk juga haiwan yang disembelih atas nama selain Allah, seperti disebutkan dalam ayat berikut:-
"Dan binatang yang disembelih kerana selain Allah." (Al-Maidah:3)
Atau yang disembelih untuk berhala:-
"Dan binatang yang disembelih untuk berhala." (Al-Maidah:3)
4. PENGHARAMAN SEMUA YANG MENJIJIKKAN
Dalam mengharamkan sesuatu makanan atau minuman, tentu Allah telah mengetahui akan mudarat atau bahaya yang terkandung dalam makanan dan minuman itu. Oleh itu, semua yang diharamkan Allah itu pasti ada bahayanya bagi kesihatan manusia.
Allah berfirman:-
"Dan dihalalkan bagi mereka segala yang baik-baik, serta diharamkan atas mereka segala yang kotor-kotor." (Al-A'raf:157)
Semua yang dianggap baik oleh perasaan manusia secara umum adalah baik.
Sedangkan yang dianggap kotor adalah segala sesuatu yang dianggap jijik oleh perasaan manusia secara umum, walaupun ada beberapa golongan yang tidak menganggapnya kotor. Contohnya: kahak, hingus, peluh, kutu, nyamuk, lalay dan lain-lain.
Namun dalam hal ini, Imam Syafi'i lebih mengkhususkan lagi, beliau berpendapat bahawa, yang dimaksudkan dengan At Thayyibat dalam ayat di atas adalah semua yang dianggap baik oleh orang Arab, bukan selain mereka. Yang dimaksud dengan orang Arab di sini adalah mereka yang mendiami perkampungan dan pedesaan, bukan orang-orang asli (Badwi). Demikian pula, yang dimaksud dengan Al Khabaits adalah apa-apa yang dianggap menjijikkan oleh mereka.
Imam Syafi'i mengambil perbandingan dengan orang-orang Arab itu, disebabkan oleh faktor bahawa umumnya orang Arab itu mempunyai perasaan yang halus.
Pendek kata, semua haiwan yang dianggap menjijikkan, maka hukumnya haram.
Dan termasuk juga haiwan yang menjijikkan itu adalah haiwan yang suka makan kotoran atau najis, baik ia seekor ayam, kambing, lembu, kerbau dan lain-lain. Haiwan yang gemar memakan kotoran itu disebut Jallaalah.
Dalam hadis disebutkan:-
"Rasulullah s.a.w. melarang makan daging keldai kampung dan binatang yang suka makan kotoran (Jallalah), menungganginya dan memakan dagingnya." (Hadis Riwayat Ahmad, Annasai dan Abu Daud).
Larangan terhadap haiwan yang suka makan kotoran ini selama haiwan itu masih memakan kotoran-kotoran saja. Namun kalau sudah dijauhkan dari kotoran dan diberi makanan yang baik-baik, dikenderai atau diminum susunya, maka hilang pula sebutan Jallaalah atas dirinya.
5. BINATANG BUAS
Binatang buas termasuk haiwan yang diharamkan. Berdasarkan hadis yang disebutkan oleh Imam Maliki dalam kitabnya Al Muwattha', dari sahabat Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda:-
"Memakan semua binatang buas yang bertaring hukumnya haram."
Termasuk juga kera. Kerana Rasulullah s.a.w. telah melarangnya.
Burung-burung yang menyerang dengan cakarnya, seperti burung garuda, helang, gagak dan lain-lain, menurut jumhur ulama, haram.
Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis yang bersumber dari sahabat Ibnu Abbas r.a.:
"Rasulullah s.a.w. telah melarang (mengharamkan) semua binatang buas yang bertaring dan semua burung yang bercakar." (Hadis Riwayat Muslim).
Maksud binatang buas yang bertaring adalah semua haiwan yang menyerang dangan taringnya, seperti: harimau, singa, kucing, anjing. Semua ini diharamkan menurut jumhur ulama. Dan semuanya disebut binatang buas.
Dan Imam Hanafi menambahkan bahawa, semua haiwan yang memangsa (pemakan daging) itu dikategorikan sebagai binatang buas, termasuk ke dalamnya gajah, tupai dan kucing. Semuanya haram.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment