Pembelajaran lebih berkesan apabila pelajar merasakan dirinya terlibat dalam hal yang berlaku di dalam bilik darjah. Semua pelajar tidak kira umur, gembira apabila diberi peluang menyumbang kepada aktiviti bilik darjah dan dianggap sebagai salah seorang daripada ahli pasukan. Akan tetapi, masalah mungkin timbul.
KEBOSANAN DAN KEKURANGAN INTERAKSI
Apakah bentuk pengajaran yang peling tidak berkesan? Jawapannya adalah, situasi apabila guru bercakap di hadapan kelas dan pelajar duduk secara pasif. Mungkin pembelajaran berlaku dalam tempoh beberapa minit pada awal pengajaran, tetapi hanya guru yang menjalankan aktiviti. Talian komunikasi antara guru dengan pelajar sangat rapuh dan dalam sekelip mata sahaja terputus kerana pelajar kurang berminat. Malahan, dalam situasi pelajaran seperti ini, pelajar yang dedikasi sekalipun berasa bosan dan terus 'hanyut' jauh dari kelas.
Walau apa pun yang dikatakan oleh guru, sebilangan pelajar beranggapan, lebih baik duduk di rumah dan dapatkan segala maklumat daripada buku teks. Perbuatan ponteng sekolah menjadi masalah apabila tiada insentif bagi mereka mengikuti pelajaran di dalam kelas.
Halangan Di Dalam Bilik Darjah:-
Ada masalah lain berkaitan 'guru murai'. Tidak berlaku pertukaran maklumat kerana guru bercakap kepada pelajar. Ini menjadi jurang, dinding ataupun halangan antara guru dengan pelajar.
Berbagai-bagai cara dapat dilakukan bagi menghapuskan halangan ini. Salah satu daripadanya adalah setiap kali mengajar, guru bergerak di sekitar bilik darjah, menyemak kerja pelajar seorang demi seorang dan pada masa yang sama memberikan bimbingan individu. Ini bermakna, guru bersama dengan pelajarnya dari segi fizikal dan terlibat secara aktif dengan mereka.
Masa yang ditumpukan pada setiap individu mungkin begitu terhad, tetapi hasilnya adalah interaksi dengan seorang demi seorang yang dianggap sungguh penting. Interaksi seperti ini hanya dapat berlaku apabila seluruh kelas terlibat secara aktif dalam suatu tugas dan guru bebas bergerak di sekitar bilik darjah. Oleh itu, guru harus cuba menjalinkan hubungan seperti ini dalam masa pengajaran.
Individu:-
Guru perlu sentiasa ingat, bilik darjah bukan hanya dipenuhi oleh pelajar tetapi juga individu. Setiap individu mempunyai nama khas dan personaliti tersendiri. Setiap individu juga mempunyai keinginan yang berkaitan manfaat yang diperoleh daripada mata pelajaran yang diajar. Guru mestilah mengenali nama pelajar secepat mungkin, dan dalam tempoh masa yang singkat sudah mengetahui sedikit sebanyak harapan mereka dalam kursus itu.
Interaksi Di Dalam Kelas:-
Interaksi dan pertukaran maklumat harus berlaku antara guru dengan pelajar di dalam kelas. Ini bagi memastikan motivasi terus kekal dan kemajuan berterusan. Guru sebenarnya tiada masa duduk menandai tugasan dan latihan serta membuat persediaan pelajaran semasa berada di dalam kelas.
Interaksi di dalam kelas terhad dan amat penting. Oleh itu, guru mesti menggunakan sepenuhnya masa ini dengan membuat persediaan yang lengkap. Aspek pelajaran yang memerlukan kehadiran guru hendaklah diberi perhatian khas. Masa interaksi tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila masa di dalam kelas banyak dihabiskan dengan menyuruh pelajar membaca dan menulis bersendirian sahaja. Aktiviti ini boelh dilakukan sebagai tugasan kerja rumah.
Pelajar patut melakukan sesuatu selain duduk dan mendengar. Mereka harus sibuk dengan aktiviti yang mengekalkan ,minat mereka dan menghindar kebosanan. Ini bagi memastikan pembelajaran terus berlaku. Mata pelajaran yang berasaskan kemahiran adalah paling mudah dan sesuai bagi mencapai objektif ini kerana sifat kemahiran memang memerlukan aktiviti. Walaupun begitu perlu diingat bahawa semua mata pelajaran mempunyai unsur kemahiran yang melibatkan aktiviti pelajar.
Masalah yang berkemungkinan timbul adalah apabila guru bercakap terlalu lama sebelum pelajar diberi kesempatan menjalankan suatu aktiviti. Pelajar seronok membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti dan masa yang menggembirakan adalah apabila diberi peluang mencipta dan menghasilkan sesuatu melalui daya usaha mereka sendiri.
Tunjuk Cara:-
Tunjuk cara bagi aktiviti yang terlibat dalam suatu mata pelajaran mendahului aktiviti yang sebenarnya. Pelajar belajar cara melakukan tugas dengan memerhati tunjuk ajar yang diadakan. Sebaik sahaja sudah memperoleh cukup maklumat, pelajar ingin segera memulakan kerja.
Oleh itu, tunjuk cara perlulah tepat dan ringkas. Apabila pelajar mula aktif guru boleh menumpukan perhatiannya kepada tugas membimbing individu. Pentingnya penglibatan pelajar secara aktif di dalam bilik darjah sudah pun ditegaskan. Sekarang, sampai masanya memperkatakan aplikasinya secara praktik.
SUKATAN DAN GARIS PANDUAN KURSUS
Setiap guru harus tahu apa yang patut dilakukan pada masa pelajaran pertama, mengetahui sukatan dan garis panduan kursus bagi pelajarnya. Ini dapat melancarkan proses pengajaran guru di dalam kelas.
Pelajaran Pertama:-
Sebahagian besar masa pelajaran pertama ditumpukan kepada mengurus buku daftar. Contohnya, adakah pelajar ditempatkan di dalam kelas yang sepatutnya? Pentingnya berbincang dengan pelajar tentang perkara yang berkaitan mata pelajaran yang akan dipelajari. Pelajar termuda juga berminat mengetahui hala tuju kursus yang mereka ambil. Oleh yang demikian, memang menjadi kebiasaan apabila perbincangan lebih banyak berlaku daripada pengajaran pasa masa pelajaran pertama.
Sukatan:-
Terangkan kepada pelajar sukatan yang sebahagian besarnya menentukan kandungan dan corak kursus. Lebih baik membrikan salinan sukatan kepada semua pelajar kecuali yang lebih muda. Ini dapat memberikan gambaran kepada pelajar berkenaan kandungan kursus yang akan diajar pada masa akan datang. Guru juga menerangkan matlamat yang ingin dicapai.
Maklumat Kursus:-
Pelajar patut tahu tahap mereka dan kerja yang perlu disempurnakan. Mereka perlu diberitahu tentang strategi pengajaran walaupun mereka tidak terbabit dalam persediaan perancangan kursus. Maklumat seperti ini dapat meyakinkan mereka bahawa guru menyusun kerjanya dengan baik dan membuat perancangan rapi meliputi segala kerja dalam kursus itu. Ini dapat memotivasikan dan meyakinkan mereka. Bandingkan situasi ini dengan keadaan apabila tiada langsung berlaku pertukaran maklumat. Pelajar dapat belajar serba sedikit berkaitan mata pelajarannya tanpa mengetahui arah tujuan mereka.
Soalan daripada pelajar harus dialu-alukan, bahkan pada masa pertama, berikan galakan positif kepada pelajar mengemukakan soalan. Masa yang ditumpukan begi sesi pengenalan ini patut dianggap sebagai pelaburan masa yang berharga. Berikan peluang kepada pelajar merasakan corak pelajaran yang akan ditempuhi jika ada masa.
SOALAN DAN JAWAPAN
Guru menyoal pelajar menjawab, pelajar menyoal guru menjawab. Ini adalah bentuk penglibatan pelajar yang lazim berlaku di dalam bilik darjah. Aktiviti ini tinggi nilainya apabila dikendalikan dengan betul. Akan tetapi, sebilangan guru yang berpengalaman juga gagal mengendalikan prosedur ini dengan baik. Bahkan guru sendiri tidak menyedari kegagalan mereka.
Contoh:-
Soalan - Hamzah, apakah nama ibu negara Thailand?
Soalan - Hamizah, apakah fungsi utama Falsafah Pendidikan Negara?
Kadang-kadang setiap soalan adalah salah, bukan soalannya yang salah tetapi cara mengemukakan soalan itu yang salah. Apakah yang berlaku? Seorang pelajar disisih dan dipilih sebelum soalan diajukan. Apabila berlaku keadaan ini, kemungkinan besar pelajar lain menutup mata dan telinga dan merasakan diri mereka tidak terlibat serta boleh bersenang-senang, mengelamun, melakukan apa sahaja sehingga soalan nberikutnya dikemukakan. Kesilapan di sini adalah dengan menyebut nama pelajar dahulu sebelum menyoal.
Berikut adalah soalan yang sama selepas membaiki strukturnya:-
Soalan - Apakah nama ibu negara Thailand? Hamzah?
Soalan - Apakah fungsi utama Falsafah Pendidikan Negara? Hamizah?
Setiap soalan dikemukakan kepada seluruh kelas. Setiap pelajar terpaksa memikirkan jawapan kerana tiada seorang pun tahu siapa yang akan disuruh menjawab. Sentiasa ambil sedikit masa sebelum meminta sebelum meminta jawapan bagi memberi pelajar masa berfikir. Perubahan kecil ini dapat menghasilkan perbezaan besar dalam situasi pembelajaran. Proses pembelajaran berlaku sepanjang masa dan semua pelajar bersama-sama maju ke hadapan.
Semasa masuk ke kelas buat pertama kali, guru patut menerangkan bagaimana pelajar harus memberikan rsepons dan bertindak balas dalam suatu situasi. Bagaimanakah menjawab soalan semasa disoal? Melalui panggilan ataupun mengangkat tangan sebagai isyarat ingin menjawab? Ataupun duduk berdiam sahaja sehingga guru memilih seseorang untuk menjawab soalan? Guru perlu menetapkan rutin. Rutin ini biasanya berbeza bagi setiap kelas. Di dalam kelas yang dipenuhi remaja belasan tahun, kaedah penggilan mungkin menimbulkan huru-hara, Kelas yang dipenuhi pelajar dewasa pula mungkin berasa malu jika dikehendaki mengangkat tangan bagi memberikan respons.
Biasanya di dalam kelas ada pelajar yang suka dan gemar menjawab sebarang soalan yang dikemukakan. Kadang kala pelajar seperti ini dialu-alaukan terutamanya dalam kumpulan pelajar yang kurang bersemangat. Bahayanya dalam situasi seperti ini adalah pelajar lain berasa senang hati dengan sikap proaktif dan kesanggupan pelajar itu kerana mereka dapat terus duduk berdiam diri tanpa gangguan.
Guru yang belum mengingati nama pelajar mudah terperangkap dengan amalan kerap menumpu kepada pelajar yang sentiasa sanggup memberikan jawapan. Apabila menghadapi masalah ini, kerana masih belum mengetahui dan mengingati nama pelajar, guru boleh merujuk buku daftar kelas, pilih satu nama dan minta pelajar itu menjawab.
Ada kalanya, gangguan berlaku semasa guru sedang menerangkan idea daripada suatu teori ataupun semasa menerangkan topik baru. Secara tiba-tiba ada soalan daripada pelajar. Soalan yang relevan boleh terus dimanfaatkan walaupun tidak termasuk dalam rancangan pelajaran. Sebaliknya jika soalan itu tidak relevan, ataupun relevan hanya pada penyoal, syorkan perbincangan bagi soalan itu ditangguhkan selepas tamat pelajaran. Mungkin timbul situasi apabila soalan yang dikemukakan oleh pelajar tidak dapat didengar oleh kebanyakan pelajar yang lain, tetapi guru terus memberikan jawapan. Lebih teruk lagi apabila guru memberikan jawapan secara langsung kepada penyoal tadi sehingga menyebabkan terputusnya hubungan dengan pelajar lain. Usaha menjalin semula interaksi selepas itu sukar dilakukan dan membazirkan masa. Situasi begini perlu dielakkan sebelum menjadi masalah.
No comments:
Post a Comment