Saturday, October 15, 2011

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN - PENGLIBATAN PELAJAR (2)

MAIN PERANAN
Dalam aktiviti ini, pelajar perlu melakonkan suatu adegan seperti dalam sandiwara. Guru menetapkan babak, mewujudkan situasi dan pelajar melakonkan pelbagai peranan. Pelajar terlibat sepenuhnya dalam aktiviti seperti ini.

Bagi menjayakan aktiviti ini, banyak persediaan perlu dibuat yang melibatkan watak yang dilakonkan, cara dilakonkan dan orang yang melakonkannya. Semua yang terbabit mesti berusaha mewujudkan suatu situasi yang realistik. Guru tidak perlu menyediakan skrip lengkap. memadai dengan membincangkan situasi yang akan berlaku, watak terbabit dan reaksi setiap watak dalam situasi yang diwujudkan. Selepas itu, pelajar sendiri membuat perubahan dan pindaan mengikut keadaan.

Apabila pelajar lebih muda berlakon sebagai pekedai dan pelanggan, cuba sediakan wang syiling dan wang kertas ataupun item lain bagi melambangkan wata wang. Telefon buruk ataupun telefon mainan boleh digunakan dalam aktiviti yang menerangkan cara menggunakan telefon bagi pelajar yang lebih matang. Ini lebih realistik berbanding penggunaan pembaris ataupun kayu. Pelajar yang lebih muda suka dengan aspek lakonan dalam aktiviti yang memainkan peranan. Pembelajaran berlaku tanpa mereka sedari.

Pelajar remaja pula kadang kali tidak begitu berminat bahkan mungkin berasa malu. Oleh itu, guru perlu menjual iadea ini kepada mereka. Misalnya, yakinkan pelajar bahawa tidak lama lagi mereka mula bekerja. Oleh itu, mereka mendapat manfaat dengan menyertai aktiviti temu duga kerja. Terangkan penyertaan dan pengalaman dalam temu duga olok-olok adalah penting bagi menghadapi situasi sebenar pada masa akan datang.

Projek atau Penyelidikan:-
Pelajar tertarik dengan aktiviti kuar bilik darjah. Pembelajaran yang diperluas di luar bilik darjah dan dibawa ke alam nyata dapat menimbulkan motivasi dalam kalangan pelajar. Kedua-dua projek dan penyelidikan ini dapat dijalankan oleh kelas secara keseluruhan, berkumpulan ataupun secara individu.

Guru perlu membuat persiapan asas dengan tepat. Pelajar pula mesti betul-betul tahu peranan mereka dan diberi bimbingan secukupnya. Adakan perbincangan dan tetapkan perkara berikut:
1. Format penyampaian hasil kerja
2. Tempoh masa yang diperlukan
3. Tarikh kerja disempurnakan
4. Adakah pelajar sudah diberikan segala maklumat yang membolehkan mereka meneruskan kerja sendiri?

Mungkin guru mencadangkan topik projek serta idea bagi penyelidikan. Apabila pelajar diberi kebebasan memilih topik, latihan dinilai dari segi bentuk penyampaian dan penggunaan bahasa. Aspek yang sama juga diambil kira apabila guru memilih topik. Nilai tugasan bertambah apabila dapat mengemukakan kaitan antara kerja yang dijalankan dengan sukatan kursus.

PENGGUNAAN NAMA
Pelajar muda selalunya dikenali dengan nama sendiri. Tiada persetujuan seperti ini dalam kalangan pelajar lebih matang, tetapi lazimnya nama mereka sendiri ataupun nama keluarga digunakan. Sekiranya diberi pilihan, ramai pelajar lebih suka dikenali dengan nama mereka sendiri. Sebenarnya ini lebih mesra dan memudahkan komunikasi dengan kelas dan individu.

Bagaimanakah pelajar memanggil guru? Ada orang terkejut apabila mendengar ada cara lain bagi menyapa guru selain Encik, Puan ataupun Cik. Memang ada cara lain. Gelaran rasmi, dan nama keluarga digunakan dalam kalangan pelajar muda dan kumpulan pertengahan belasan tahun. Pelajar yang lebih matang dan dewasa kadang kala digalakkan menggunakan nama guru itu sendiri dengan lebih tidak rasmi.

Guru dan organisasi pendidikan yang menggalakkan pendekatan ini yakin ia dapat menimbulkan suasana pembelajaran yang lebih selesa. tetapi tidak semua orang bersetuju. Rutin kelas malam serta kelas latihan dewasa berbeza daripada rutin sekolah dan maktab. Kemungkinan suasana tidak rasmi digalakkan dan penggunaan nama sendiri lebih kerap digunakan.

Guru baharu hendaklah mendapat mendapatkan panduan tentang amalan umum di sekolah mereka supaya memahami prosedur sedia ada. Walaupun begitu, langkah yang bijak adalah mendapatkan bimbingan lanjut apabila guru ingin memulakan sesuatu yang baharu berkaitan prosedur sekolah itu. Nama adalah milik peribadi pada seseorang manusia.

Dalam usaha menjalin hubungan dengan pelajar, perkara mustahak bagi guru adalah untuk mengetahui nama mereka secepat mungkin. Perkara ini bukan mudah dilakukan terutamanya di dalam kelas yang besar. Ramai guru bersetuju, di dalam setiap kelas ada golongan pelajar yang namanya diingati, antaranya;
1. Pelajar yang cerdik
2. Pelajar yang lemah
3. Pelajar yang bersemangat
4. Pelajar yang mencari perhatian
5. Pelajar yang sering lewat
6. Pelajar yang sering ponteng

Selain kumpulan tadi, wujud sebilangan besar pelajar yang tidak begitu menonjol dan sukar dikenal pasti. Usaha mengatasi masalah ini boleh dilakukan pada peringkat awal kursus, mungkin mengambil sedikit masa pelajaran di kelas. Dengan merujuk buku kedatangan kelas, sebutkan nama dan minta pelajar itu memperkenalkan dirinya.

Seterusnya sebagai alasan memanggilnya, ajukan soalan ataupun suruh lakukan suatu tugas. Pada masa yang sama, guru berusaha mengingat namanya dengan mengaitkan nama yang disebut dengan pelajar itu misalnya "Abu budak yang tinggi lampai itu". Begitu juga "Salmah yang berambut panjang".

Salah satu kaedah lagi adalah dengan menggunakan kad nama. Bawa bersama kad kecil kosong dan pensel penanda pada masa pelajaran pertama. Minta pelajar tulis nama masing-masing pada sekeping kad dan letakkan di hadapan meja tulis mereka. Kad ini boleh disimpan di dalam buku teks, fail, atau beg yang dibawa bersama setiap mata pelajaran. Minta pelajar letakkan kad itu di depan meja pada permulaan kelas.

PELAJAR KURANG UPAYA
Adakah pelajar dapat melihat papan hitam dan mendengar penyampaian guru? Pelajar yang mengalami masalah pendengaran ataupun memerlukan kaca mata mesti ditempatkan di baris hadapan. Guru perlu peka dan berwaspada dalam perkara seperti ini kerana pelajar selalunya malu memberitahu masalah mereka. isu ini bertambah kritikal di dalam kelas yang mempunyai ramai pelajar.

No comments: