Lepas sembahyang Jumaat, saya berpeluang untuk mengemas buku-buku yang berselerak di pejabat. Dalam masa mengemas tersebut, saya terjumpa sebuah buku yang bertajuk "Anak Merdeka, 31 Ogos 1957 - 31 Ogos 2007. Ini bermakna sudah lebih kurang empat tahun buku ini berada di pejabat saya. Memang banyak buku-buku bacaan di rak-rak buku dalam pejabat saya ini. Kebanyakan buku-buku tersebut yang menjurus kepada pengurusan dan pentadbiran. Ini termasuklah Pekeliling-Pekeliling dan Akta, terutama yang berkaitan dengan pendidikan.
Buku "Anak Merdeka, 31 Ogos 1957 - 31 Ogos 2007" ini terhasil selepas Program Perhimpunan Anak-Anak Merdeka. Program ini merupakan salah satu acara dalam kalendar Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan Negara di bawah Kementerian Penerangan. Program ini bertujuan untuk menyedarkan rakyat Malaysia terutama generasi muda tentang betapa patriotiknya dan bangganya rakyat terhadap Kemerdekaan Negara. Atas rasa bangga mereka sehingga ada yang mengabadikan perkataan "Merdeka" dan "Malaysia" pada nama anak-anak mereka.
Terdapat 60 orang "Anak-Anak Merdeka" yang tersenarai dalam buku ini. Antara mereka yang menarik perhatian saya ialah Wang Merdeka. Wang Merdeka adalah satu nama yang unik dan menarik. Tambahan pula nama tersebut diberikan oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Itulah yang paling istimewa buat insan yang bernama Wang Merdeka.
Satu dan istimewa. Itulah gambaran yang tepat diberikan kepada Wang Merdeka, yang merupakan anak merdeka. Anak kelahiran Batu Pahat yang dilahirkan ketika negara meraikan hari kemerdekaan. Nama tersebut mungkin kedengaran agak pelik namun memahat sejarahnya yang tersendiri kerana nama itu telah diberikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
No comments:
Post a Comment