PENGERTIAN LEGAL LITERACY
Para pendidik, pengetua, guru besar dan pegawai perkhidmatan pendidikan yang lain sentiasa terdedah kepada keadaan yang boleh menyebabkan mereka melanggar peraturan dan undang-undang pendidikan. Ini adalah disebabkan mereka tidak faham, atau tidak tahu tentang peraturan dan undang-undang dalam pendidikan.
Kadang-kadang mereka terperangkap dengan arahan-arahan yang bertentangan dengan undang-undang pendidikan. Pentadbir pendidikan di sekolah khasnya pengetua dan guru besar tidak peka tentang peraturan-peraturan yang sedia ada dan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya ke atas pelajar-pelajar. Kejahilan pentadbir dan pengurus sekolah adalah antara faktor yang dikenal pasti sebagai punca sekolah sering didakwa oleh ibu bapa. Disamping itu, mentaliti yang sedia mengambil tindakan mahkamah ke atas guru adalah unsur yang sudah meresap masuk ke dalam bidang pendidikan di Malaysia.
Namun demikian, para pendidik adalah terdiri daripada mereka yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang. Ini terbukti daripada laporan kes-kes di mahkamah yang amat kecil bilangannya yang membabitkan para pendidik. Malah terdapat juga ibu bapa atau pelajar yang mengheret guru-guru ke mahkamah kerana 'kecuaian' yang dilakukan oleh mereka.
Profesion perguruan ini sentiasa menerima tekanan daripada orang awam dan masyarakat yang mengharapkan segala yang terbaik daripada golongan ini, dan apa sahaja yang kurang menyenangkan berlaku dalam masyarakat, sekolah, guru sentiasa dipersalahkan. Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan para pendidik memberi sumbangan yang tidak sedikit dalam pembangunan negara.
Disamping itu, pegawai perkhidmatan pendidikan seharusnya celik undang-undang pendidikan iaitu legal literacy yang sepatutnya dipelajari ataupun didedahkan di maktab-maktab perguruan ataupun institusi pendidikan tinggi sebelum berkhidmat di sekolah. Dengan cara ini, mereka lebih bertanggungjawab dan bertindak mengikut peraturan semasa mendidik pelajar-pelajar di sekolah.
No comments:
Post a Comment