Guru adalah insan biasa. Guru bukan maksum. Guru juga melakukan kesalahan. Setiap guru mempunyai ramai anak muridnya. Seandai seorang guru itu tersalah maka akan ramailah yang akan ikut tersalah. Kelakuan atau tingkah laku guru menjadi ikutan. Cara berpakaian. Cara berjalan. Cara sikat rambut. Dan boleh dikatakan hampir semua akan menjadi ikutan. Tambahan pula kalau seseorang guru itu menjadi tumpuan dan perhatian murid atau pelajarnya.
Tadi ada dikatakan guru juga melakukan kesalahan. Betul, sebagai manusia biasa ia tetap akan berlaku. Kesalahan guru juga perlu ditegur. Kesalahan guru juga perlu diperbetulkan. Ia sama seperti kesalahan yang dilakukan oleh murid yang patut ditegur oleh guru. Yang patut diperbetulkan oleh guru. Namun, teguran itu perlulah berhemah. Seseorang guru yang beriman pasti mudah menerima setiap teguran. Terutama teguran dari pelajarnya. Juga teguran dari ibu bapa. Teguran dari sesiapa sahaja. Asalkan teguran tersebut adalah teguran yang membina.
Setiap murid tidak akan melupakan jasa dan bakti gurunya. Guru biasa tidak meminta untuk dibalas jasa mereka. Cara mudah untuk membalas jasa guru adalah dengan menghormati mereka. Taat kepada mereka. Satu lagi cara yang agak mudah untuk membalas jasa guru ialah dengan mengamalkan ilmu yang diajar oleh guru. Ilmu itu pula hendaklah diajarkan kepada orang lain. Kita pula menjadi guru dengan ilmu yang kita terima. Amal jariah ini akan terus bersambungan.
Guru yang baik biasanya boleh mengubah murid yang biasa kepada luar biasa. Apatah lagi kalau guru itu hebat pastinya akan mampu menjadikan muridnya cemerlang. Yang pastinya menjadikan murid itu melebihi pencapaian guru mereka. Guru itu adalah hebat. Guru itu ibu bapa kedua kepada murid di sekolah. Guru adalah satu profesion yang mengajar dan mendidik pelajar ke arah pelbagai profesion. Yang pastinya ada yang lebih hebat dari profesion keguruan itu sendiri.
Hadir guru ke sekolah adalah membentuk dan mendidik agar lebih baik dari mereka. Ini adalah niat yang terlalu mulia dari seorang guru. Pernahkah kita berjumpa seorang guru yang inginkan pelajarnya menjadi lebih bodoh daripadanya? Namun, hakikatnya tidaklah seratus peratus pelajar seorang orang itu mencapai kecemerlangan tapi, yang pasti ada yang menjadi tokoh atau individu yang cemerlang hasil didikan seorang guru. Hormatilah guru. Sayangilah guru dan taatilah setiap ajaran guru. Pasti hidup kita akan berjaya di dunia dan juga di akhirat.
1 comment:
Saya masih ingat lagi bagaimana Cikgu Syamsiah mampu membuatkan saya tertaut kepada sains semasa darjah 5. Alhamdulillah, berkat didikan cikgu, berjaya juga saya ke menara gading. Terima kasih cikgu.
Post a Comment