Thursday, August 27, 2015

PENUTUP BICARA JPN PERAK

Sebagai kesimpulan dapat rasanya dikatakan bahawa sistem pentadbiran pendidikan yang diuruskan melalui Jabatan Pelajaran Perak telah mengalami perubahan yang pesat selaras dengan pembangunan negara sekarang. Di zaman sebelum merdeka, pentadbir-pentadbir pelajaran lebih mementingkan pendidikan di sekolah-sekolah Inggeris. Sekolah Melayu hanya mendapat perhatian yang meinimum. Sekolah Cina dan Tamil dibiarkan bersendirian.


Apabila semangat kebangsaan orang-orang Melayu mula meluap-luap masyarakat Melayu mula menilai kepentingan pendidikan formal dan pelajaran tinggi. UMNO dan Kesatuan Guru-Guru Melayu memainkan peranan penting dalam usaha mengadakan sistem pendidikan kebangsaan. Bilangan sekolah Melayu bertambah sebagai bukti wujudnya kesedaran terhadap pentingnya pelajaran.
 Image result for gambar sejarah jpn perak

Selepas merdeka, Jabatan Pelajaran Perak mula melaksanakan dasar pelajaran kebangsaan, mengikut acuan sistem sekolah menengah Inggeris. Negeri Perak mendapat banyak kemudahan dalam pembinaan sekolah-sekolah menengah dalam tahun-tahun 60'an melalui Rancangan Malaysia. Secara beransur-ansur tampuk kepimpinan pentadbiran Jabatan Pelajaran Perak diambil alih oleh Pegawai Pelajaran Melayu bagi menjamin pelaksanaan dasar pelajaran kebangsaan dengan lebih berkesan.

Struktur dan organisasi pentadbiran di Jabatan Pelajaran diperkemaskan dengan menambah pegawai-pegawai profesional dan perkeranian serta kemudahan-kemudahan fizikal. Pengarah Pelajaran merupakan wakil Kementerian Pelajaran di peringkat negeri, diberi tugas untuk mempastikan dasar dan polisi Kementerian Pelajaran dilaksanakan mengikut tatacara yang sama dengan negeri-negeri lain di negara ini.

Penurunan kewibawaan dan tanggungjawab dari Kementerian Pelajaran ke Jabatan Pelajaran egeri terus disalurkan ke bawah hingga ke peringkat sekolah. Dengan lain perkataan segala perubahan yang dilakukan di peringkat Kementerian akan melibatkan pula perubahan di peringkat negeri, daerah dan sekolah kerana sifat sistem pentadbiran yang berpusat.

petikan dari buku Sejarah Perkembangan Pendidikan Negeri Perak

No comments: