PENUBUHAN JPN PERAK
Sehingga tahun 1990, terdapat 64 buah sekolah Melayu dan 7 buah sekolah Inggeris di dalam Negeri Perak. Sekolah Melayu yang pertama di Perak ditubuhkan dalam tahun 1826 di Matang Gelugur, Di daerah Matang. Sekolah Inggeris yang pertama pula dtubuhkan dalam tahun 1883 dengan nama Central School di Taiping.
Sebelum perjanjan Pangkor termaktub dalam tahun 1874, hanya ada tiga buah sekolah Melayu sahaja iaitu di Matang Gelugur, Matang; di Teluk Pial, Kuala Kurau dan di Temelok, Trong. Sekolah-sekolah ini lebih merupakan sekolah Quran yang berkurikulumkan pelajaran agama Islam dan tulisan jawi. Penubuhannya adalah atas inisiatif pembesar-pembesar Melayu dan orang-orang perseorangan yang sudah pun melihat kejayaan-kejayaan pendidikan formal di Negeri-Negeri Selat.
Dengan adanya hubungan yang rapat dengan Empayar British dan adanya penempatan Residen British dalam sistem pemerintahan negeri selepas Perjanjian Pangkor itu maka soal pelajaran formal mula mendapat perhatian Residen British. Sistem pelajaran di Eropah yang telah dibawa masuk ke Negeri-Negeri Selat, dicuba pula di Negeri-Negeri Bersekutu termasuklah Perak.
Desakan juga datang dari pembesar-pembesar negeri yang inginkan kerajaan menubuhkan sekolah-sekolah Melayu seperti yang terdapat di Negeri-Negeri Selat ketika itu. Untuk menjaga hati pembesar-pembesar Melayu dan masyarakat Melayu seluruhnya, maka tertubuhlah beberapa buah sekolah Melayu di Negeri Perak. Sehingga tahun 1890 terdapat 18 buah sekolah Melayu di Perak, iaitu dalam tempoh kira-kira 16 tahun selepas Perjanjian Pangkor. Sementara itu tiga buah sekolah Inggeris yang dikelolakan oleh Mubaligh Kristian sudah pun tertubuh dalam tempoh yang sama.
Oleh kerana pertumbuhan sekolah yang begitu menggalakkan ketika itu dan atas desakan Residen dari masa ke semasa maka pada tahun 1890 tertubuhlah Jabatan Pelajaran di Perak. H.B. Collinge, seorang guru Sekolah Kerajaan di Melaka mengetuai Jabatan Pelajaran Perak dengan gelaran Inspector of School (Nazir Sekolah-Sekolah)
STRUKTUR ORGANISASI JABATAN PELAJARAN PERAK
Memang tidak dapat dinafikan bahawa keadaan sekolah Melayu sebelum penubuhan Jabatan Pelajaran Perak adalah terbiar. Buku-buku teks sangat berkurangan, murid-muridnya bersekolah hanya setahun dua sahaja. Tidak ada kesungguhan dari pihak Residen British untuk mengkaji atau melihat bagi memperbaiki keadaan sekolah-sekolah yang wujud ketika itu. Pendeknya, sekolah-sekolah Melayu dalam dekad tersebut berjalan sesuka hati sahaja.
Dengan tertubuhnya Jabatan Pelajaran Perak, usaha untuk memperbaiki keadaan sekolah Melayu dan sekolah Inggeris dapat dipusatkan di bawah kelolaan Nazir Sekolah-Sekolah. Dengan adanya Nazir Sekolah-Sekolah ini maka sekolah-sekolah yang wujud pada masa itu mendapat perhatian dan nasihat. Segala masalah dapat disuarakan kepada pihak kerajaan.
Setelah lebih banyak sekolah Inggeris dan Melayu ditubuhkan dan setelah mendapati keadaannya memuaskan maka tugas Jabatan Pelajaran adalah lebih penting dan memerlukan tenaga yang lebih banyak. Di peringkat Negeri-Negeri Bersekutu maka ditubuhkan jawatan Nazir Persekutuan (Federal Inspectorate) yang dijawat oleh J.M. Driver dalam tahun 1898 tetapii dimansuhkan dalam tahun 1906 selepas R.J. Wilkinson. Tegasnya, mulai dari tahun 1898, iaitu kira-kira lapan tahun setelah penubuhan Jabatan Pelajaran Perak, Inspector of School adalah di bawah arahan Nazir Persekutuan.
Disamping pertambahan sekolah di akhir-akhir abad ke 19, pihak British juga telah mulai sedar tentang minat yang mulai timbul dikalangan masyarakat Melayu terdapat pelajaran sekular dan matlamat Jabatan Pelajaran ketika itu. Kesedaran tu pula ditambah lagi dengan suara lantang Pembesar-Pembesar Melayu ketika itu yang ingin memperlengkapkan orang-orang Melayu dengan pelajaran moden untuk menghadapi cabaran dari pendatang-pendatang India dan Cina yang mula dibawa masuk oleh British.
Oleh itu, organisasi Jabatan Pelajaran menjadi lebih kompleks dan perlu diperluaskan. Pertambahan sekolah itu sendiri sudah tidak dapat diliputi oleh Nazir Sekolah-Sekolah. Dengan itu diwujudkan jawatan Assistant Inspector of School (Penolong Nazir Sekolah-Sekolah) seramai dua orang. Dalam tahun 1916, jawatan ini digelarkan 'Assistant Director of Malay Vernacular Education' yang dijawat oleh seorang pegawai perkhidmatan awam yang tahu berbahasa Melayu dan faham tentang pemikiran orang-orang Melayu. Assistant Inspector of School yang pertama ialah R.O. Windstedt. Di bawah Assistant Inspector of School terdapat seorang Guru Pelawat Melayu (Malay Visiting Teacher). Jawatan ini ditubuhkan dalam tahun 1890 ditambah menjadi dua-tiga orang beberapa tahun kemudian. Salah seorang Pelawat Melayu yang terawal ialah Sheikh Nasir.
Dengan tertubuhnya Sekolah-Sekolah Perempuan Melayu maka diwujudkan pula jawatan 'Lady Supervisor' (Penyelia Perempuan). Jawatan ini dimansuhkan ketika ekonomi dunia meleset dalam tahun 1931.
Sebelum ini telah dinyatakan bahawa objektif Jabatan Pelajaran ialah untuk membuat penyeliaan terhadap sebarang bentuk pendidikan formal yang wujud di Negeri Perak bahkan di seluruh Negeri Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat. Disamping sekolah Melayu terdapat pula sekolah-sekolah Inggeris yang lebih merupakan sekolah 'missionary' (mubaligh) daripada sekolah kerajaan. Untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyelewengan terutama sekali dari segi pemungutan wang dan kegunaannya maka Kod Pelajaran diwujudkan untuk menyelaraskan semua sekolah dari segi bantuan kewangan dan nasihat.
Penglibatan kerajaan dalam memberi bantuan kewangan (grants) kepada sekolah-sekolah Inggeris ini menyebabkan perlunya diwujudkan satu jawatan lagi dalam pentadbiran Jabatan Pelajaran di Perak. Maka dalam tahun 1919 diadakanlah jawatan 'Chief Inspector of English Schools' yang lebih berfungsi sebagai pentadbir dalam menentukan jumlah bantuan wang yang perlu diberi kepada sekolah-sekolah daripada kerja -kerja menyelia atau melawat sekolah-sekolah tersebut.
Kod Pelajaran juga menetapkan kurikulum yang perlu ada di setiap sekolah. Antara yang dianggap penting dan perlu penyeliaan tersendiri ialah kerjatangan dan Latihan Tubuh. Maka diwujudkan pula jawatan 'Art Superintendant' dan 'Superintendant of Physical Education'. Mereka ini melatih dan melawat guru-guru yang terlibat dalam kedua-dua mata pelajaran itu.
Kedatangan orang-orang Cina dan India masing-masing membawa bersama-sama mereka sistem pendidikan dari negara masing-masing. Dalam tahun 1900 sebuah sekolah Tamil ditubuhkan di Simpang Lima, Parit Buntar oleh masyarakat India tempatan. Dalam tahun 1919 sekolah ini menjadi sekolah kerajaan. Sementara itu, dalam tahun 1902 masyarakat Cina di Sitiawan telah menubuhkan sebuah Taman Anak-Anak Yatim di Kampung Koh, Sitiawan yang menjadi asas kepada sekolah Cina yang pertama dalam negeri Perak.
Dengan terwujudnya kedua-dua jenis sekolah ini, maka kawalan Jabatan Pelajaran Perak juga mestilah meliputi sekolah-sekolah tersebut. Dalam tahun 1924 satu jawatan yang diberi nama "Assistant Director of Education' untuk sekolah Cina dibentuk di peringkat pusat (Kuala Lumpur). Pegawai ini mengawal pendaftaran sekolah-sekolah Cina dan juga membuat lawatan ke sekolah-sekolah tersebut dari masa ke semasa.
Dalam tahun 1930 pula diwujudkan pula jawatan "European Inspector of Tamil Schools' yang bertanggungjawab mendaftar sekolah-sekolah Tamil dan melawat sekolah-sekolah berkenaan dari masa ke semasa.
Jabatan Pelajaran Perak, walaupun tidak terlibat terus dengan sekolah-sekolah berkenaan adalah bertanggungjawab juga kepada pegawai-pegawai di peringkat pusat itu.
Sebagai kesimpulannya, di peringkat awal penubuhan Jabatan Pelajaran Perak dan sistem pentadbirannya menunjukkan bahawa telah ada seorang Nazir Sekolah-Sekolah, Penolong Nazir Sekolah-Sekolah, Guru-Guru Pelawat Melayu, Penyelia Sekolah-Sekolah Perempuan Melayu, 'Art Superintendant' dan 'Superintendant of Physical Education,' Hingga tahun 1930 jawatan-jawatan Penolong Pelawat Sekolah-Sekolah Tamil dan 'Domestic Science Mistress' menambahkan lagi kaki tangan jabatan.
Jabatan Pelajaran Perak ketika itu berpusat di Central Schools, Taiping (dinamakan semula sebagai 'King Edward VII School' dalam tahun 1905).
petikan dari buku Sejarah Perkembangan Pendidikan Negeri Perak.
No comments:
Post a Comment