Secara umumnya peranan Jabatan Pelajaran Perak ialah untuk memberi pendidikan formal yang bersistematik kepada anak-anak tempatan, khususnya orang Melayu. Disamping itu ianya juga bertanggungjawab terhadap sekolah-sekolah yang ada di seluruh negeri Perak.
Di peringkat awal penubuhannya, Jabatan Pelajaran menghadapi pelbagai cabaran. Paling mencabar ialah masalah hendak mengubah sikap dan syak wasangka masyarakat Melayu terhadap matlamat pendidikan sekular ini. Selama ini masyarakat Melayu telah berpuas hati apabila anak-anak mereka sudah boleh membaca Quran dan menulis Jawi.
Sebelum tahun 1899 Sekolah Melayu hanya setakat Darjah III sahaja dengan kurikulumnya meliputi bacaan, tulisan, karangan dan Ilmu Alam. Collinge membawa inovasi dengan memperkenalkan tulisan Rumi ke dalam kurikulum Sekolah Melayu dalam tahun 1891 mulai dari Darjah III. Syak wasangka masyarakat Melayu dari golongan agama semakin melonjak dengan inovasi itu. Walau bagaimana pun, Collinge mempertahankan tulisan Rumi dan mulai tahun 1899 Darjah IV dimulakan di sekolah-sekolah Melayu dengan dimasukkan pula pelajaran Objek (bunga dan tumbuhan di Tanah Melayu) ke dalam kurikulumnya. Dalam tahun 1904, tulisan Rumi dimulakan dari Darjah II lagi.
Cabaran kedua ialah keadaan sosio-ekonomi masyarakat Melayu keseluruhannya. Ibu bapa masyarakat tani enggan menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana takut kehilangan tenaga pembantu untuk mengusahakan sawah ladang. Pendidikan formal melalui sekolah Melayu yang ada terpaksa menambahkan pula perbelanjaan untuk pakaian dan wang saku. Soalnya, apakah keuntungannya menghantar anak-anak belajar di sekolah-sekolah berkenaan?
Kajian H.B. Collinge yang tersiar dalam Annual Report on Perak dalam tahun 1896 menunjukkan output dari lulusan sekolah-sekolah di Perak tidak begitu menjaminkan pekerjaan kerana lebih dari 70% daripada kira-kira 5,183 orang muridnya kembali ke sawah ladang atau menjadi nelayan. Pekerjaan yang paling baik ketika itu ialah menjadi guru atau kerani yang bergaji kecil.
Tegasnya, satu daripada peranan Jabatan Pelajaran ialah untuk mengekalkan kedatangan murid-murid di peringkat maksima dengan cara pujukan, nasihat atau menerusi guru-guru besar atau orang-orang kenamaan tempatan. Itulah dasar yang diamalkan oleh Collinge, walaupun di Selangor ketika itu sudah ada undang-undang yang memaksa ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah.
Satu agi cabaran yang dihadapi oleh Jabatan Pelajaran Perak ialah kewangan. Untuk kelicinan pentadbiran, sejumlah wang yang mencukupi adalah diperlukan, terutama bila bilangan sekolah dan kaki tangan bertambah. Dalam tahun 1881, perbelanjaan yang diperuntukan untuk pelajaran ialah $122.92 sen, berbanding, misalnya dengan $10,364.00 untuk Jabatan Polis ataupun jika dibandingkan dengan seluruh perbelanjaan kerajaan negeri Perak yang berjumlah lebih dari $650,000.00. Walaupun jumlah itu merupakan jumlah perbelanjaan 9 tahun sebelum tertubuhnya Jabatan Pelajaran Perak, namun ianya dapat memberi gambaran kepada kita tentang terbiarnya soal pelajaran ketika itu. Dalam tahun 1890, apabila tertubuhnya Jabatan Pelajaran Perak itu sejumlah peruntukan $1,256.00 telah diberikan kepadanya.
Masalah kewangan ini menjadi lebih kemas dengan wujudnya 'Education Code' 1899 di mana Jabatan Pelajaran terpaksa menyediakan bantuan (grants to aid) mengikut jumlah murid dan guru dan berdasarkan kelicinan sesebuah sekolah (terdahulu dari ini, bantuan diberi berdasarkan jumlah murid yang lulus dalam peperiksaan kerajaan).
Jabatan Pelajaran Perak lebih merupakan agensi yang melaksanakan polisi kerajaan British melalui 'Education Code 1899'. Selain dari bertanggungjawab terhadap bantuan kewangan ke sekolah-sekolah, ianya juga bertanggungjawab dalam pelaksanaan kurikulum mengikut sekolah-sekolah yang berlainan media.
Di sekolah Melayu, sistem 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) diperkenalkan. Contohnya:-
a) Membaca dan menulis Rumi dan Jawi
b) Karangan (dalam Darjah I dan II, karangan ini diajar dengan cara guru bercerita kepada murid dan kemudiannya murid menceritakan semula secara lisan seterusnya melakunkannya).
c) Perumpamaan dan Resaman Bahasa (untuk Darjah IV dan V)
d) Kira-Kira
e) Ilmu Alam
f) Ilmu Kesihatan
g) Tarawikh
h) Pengetahuan Am dan Kejadian Hari-Hari
i) Pekerjaan Tangan (untuk murid-murid lelaki sahaja)
j) Pekerjaan Tangan (untuk murid-murid perempuan sahaja)
k) Urusan Rumah Tangga
l) Ilmu Kejadian dan Tanaman
m) Latihan Tubuh
Di sekolah Inggeris kurikulumnya hampir sama kecuali meduia pengajarannya sahaja di dalam Bahasa Inggeris. begitu juga untuk sekolah-sekolah Cina da India mengajar bidang bahasa masing-masing dan ditambah pula dengan pelajaran Ilmu Hisab, Pengetahuan Am, Kesihatan, Tata Rakyat, Lukisan Latihan Tubuh dan Nyanyian. Dalam tahun 1920, Mandarin menjadi bahasa pengantar sekolah-sekolah Cina. Bahasa Inggeris mula diajar dari tahun 1918, sementara dalam tahun 1931Sekolah Rendah Cina Kook Ming, Kampung Koh, Sitiawan mengadakan kelas Bahasa Melayu.
Sekolah India pula mempunyai media pengajaran yang berlainan, iaitu Tamil (1900), Telegu (1933), Punjabi (1921) dan sekolah Malayalam (1914, tetapi dtutup dalam tahun1956).
Peranan Jabatan Pelajaran Perak semakin pesat dengan tertubuhnya sekolah-sekolah Menengah Inggeris, iaitu darjah IV ke atas, terutama dalam pengendalian Peperiksaan Junior Certificate dan School Certificate. Kelas menengah ini bermula dari tahun 1891. Peperiksaan School Certificate diselenggarakan bersama dengan Cambridge Local Examination Certificate. Sebelum itu hanya ada Queen's Local Scholarship yang menghantar murid-murid belajar di England.
Kesimpulannya, peranan Jabatan Pelajaran Perak di tahap-tahap awal dahulu berkembang mengikut keadaan politik dan pertambahan sekolah-sekolah dan media pengajaran. Pada amnya dapatlah dirumuskan bahawa segala-gala yang ada hubungan dengan pelajaran adalah terletak di bahu Jabatan Pelajaran Perak, antaranya ialah pentadbiran sekolah-sekolah, guru-guru, murid-murid, kewangan, kurikulum, kokurikulum, pembangunan, peperiksaan, biasiswa (diperkenalkan di Perak oleh J.P. Rodger di mana murid-murid kampung diberi peluang menduduki asrama dan belajar di sekolah-sekolah Inggeris terkemuka di bandar-bandar seperti Taiping, Kuala Kangsar dan Ipoh), dan menjalankan polisi kerajaan pusat melalui Education Code yang dipinda dari masa ke semasa.
petikan dari buku Sejarah Perkembangan Pendidikan Negeri Perak.
No comments:
Post a Comment