Monday, May 31, 2010

KENANGAN LALU MENGUSIK JIWA







Sunday, May 30, 2010

SEMANGAT PENDORONG PENINGKATAN DIRI

"Dengan sedikit pengecualian, penghargaan tinggi dari hidup diberikan kepada manusia yang memiliki fizikal tegap. Alam menuntut manusia agar bertahan pada puncak kedudukannya. manusia yang melanggar hukum alam pasti akan mendapat hukumannya, walaupun manusia itu menduduki singgahsana."

Semangat adalah:-
1. roh yang terdapat dalam segala makhlok. Ia dipercayai mempunyai kuasa-kuasa tertentu.
2. perasaan hati atau jiwa
3. maksud atau tujuan yang terkandung dalam sesuatu perjanjian
4. kemahuan untuk melakukan sesuatu atau nafsu

Daripada maksud-maksud yang terkandung dalam Kamus Dewan maka semangat bolehlah kita definisikan sebagai berada dalam keadaan "sihat secara fizikal atau daya mental atau kekuatan". Di dalam semnagat itu terdapat suatu kekuatan kreatif yang hebat. Ini adalah disebabkan semangat meningkatkan kekuatan yang ada pada seluruh kemampuan kita. Semangat akan memungkinkan semuanya menjadi lebih cekap dan berhasil.

Semangat, stamina fizikal, daya kreatif adalah kumpulan kekuatan kita iaitu kekuatan yang menjadi pendorong hidup kita. Terlalu sedikit antara kita yang menyedari pentingnya peranan yang dimainkan oleh pendorong ini dalam segala bentuk peningkatan diri. Terlalu ramai yang meletakkan nasib apabila sesuatu kejayaan itu dinikmati dengan meninggalkan semangat yang kuat untuknya.

Orang tua selalu berharap bahawa mereka mempunyai tenaga luarbiasa seperti yang dimiliki oleh anak-anak mereka. Apabila kita dapat memasukkan tenaga anak-anak kecil ke dalam botol dan menjualnya, pasti kita akan mencetak berjuta-juta ringgit. Sebenarnya anak-anak kecil belum mempelajari cara mensia-siakan waktu dan menghancurkan semangat muda mereka.

Kita dianugerahkan sumber kekuatan yang boleh kita gunakan seumur hidup. Pada masa kuliah atau awal masa dewasa, kita menyedut sumber itu secara berhabis-habisan. Kita diibaratkan telah mengeringkan penampung bahan bakar itu. Kemudian kita merasa sukar untuk kita membangkitkan semangat muda kita. Kita juga merasa sulit untuk melakukan sesuatu yang bererti untuk meningkatkan diri.

Alam menuntut agar kita menjaga tubuh dan akal kita agar tetap murni apabila kita mahu mencapai kejayaan abadi. Akhirnya kita harus yakin bahawa rasa takut, khuatir, kelewatan dan berkhayal akan menghancurkan kejayaan. Ini termasuklah kejayaan sementara yang kita pegang sekalipun walaupun itu sangat-sangat menjanjikan. Kejayaan itu akan berubah menjadi kegagalan. Ini akan menghancurkan semangat dan daya hidup. Seterusnya ia juga akan turut menghancurkan seluruh kesempatan menikmati kejayaan abadi.

Tuesday, May 25, 2010

KENANGAN LALU MENGUSIK JIWA










Monday, May 24, 2010

KESEMPATAN YANG SENTIASA ADA DI SISI


"Orang bijak akan membuat lebih banyak kesempatan daripada yang ditemuinya".

Mengikut Kamus Dewan, sempat bermaksud ada peluang, ada waktu dan ada masa. Apabila diberi imbuhan ke di awal dan imbuhan an di akhir perkataan ia menjadi kesempatan yang memberi maksud peluang untuk dan waktu terluang untuk.
Antara ayat yang diberi contoh ialah;
1. "Rejab mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri."
2. "Situasi yang sedemikian telah tidak memberikan kesempatan kepadanya untuk membalas."


Kesempatan sebenarnya bergantung kepada tindakan yang sepatutnya kita lakukan. Peluang atau ruang masa perlakuan tersebut akan memberi peluang untuk kita melakukannya. Oleh itu, kesempatan itu ada di mana-mana. Terpulanglah kepada kita untuk mencari dan mengambil peluang menggunakannya.

Masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan orang adalah kenyataan bahawa mereka terlalu jauh mencari-cari kesempatan. Mereka yang sebenarnya tidak tahu bahawa kesempatan itu sudah ada di tangan. Mereka ini boleh diibaratkan mengharapkan burung yang terbang tinggi, punai di tangan dilepaskan. Kebanyakan kesempatan itu tidak akan kita temui ketika atau semasa kita tercari-cari kerana sebenarnya ia sebenarnya ada di dalam diri kita masing-masing.

Kenapa harus duduk-duduk dan menunggu sesuatu padahal kita dapat menciptanya? Satu ketika, setelah Alexander memenangi suatu medan pertempuran ia ditanya, apakah ia bermaksud untuk menyerang kota berikutnya kalau ada kesempatan yang muncul? "Kesempatan? Wah, sayalah yang menciptakan kesempatan itu," jawab Alexander.

Benih kejayaan tidak terdapat kepada orang yang duduk-duduk dan menunggu kesempatan terbaik, orang yang percaya bahawa rumput jiran lebih hijau, orang yang mengharapkan bahawa suatu hari akan lebih beruntung kerana datangnya kesempatan yang lebih besar. Pada saat mereka terbukti gagal, mereka dengan berapi-api mengatakan bahawa mereka tidak mendapat kesempatan. Mereka juga mengatakan tidak ada seorang pun yang membantu. Pemerintah juga dikatakan tidak membantu mereka. Mereka tidak memulai suatu kejayaan. Mereka menuntut tentang kurangnya pendidikan tinggi.

Kita semua diberi kesempatan untuk mencapai tempat yang paling tinggi tetapi sebahagian besar orang tetap berada di bawah kerana mereka tidak bersiap-siap untuk melakukan suatu perjalanan. Seorang Presiden atau Perdana Menteri itu tidak hanya menongkat dagu boleh masuk ke parlimen. Dengan mempelajari seni membantu diri, ketetapan hati yang kuat, kerja yang tidak kenal mundur dan dengan menyingkirkan segala penghalang yang menghalang di tengah jalan, maka seseorang Presiden atau Perdana Menteri itu menciptakan kesempatan yang akhirnya membuatnya berada di parlimen.

Seperti tanaman yang tumbuh dengan perlahan-lahan sejak dari benih sehingga menjadi pokok besar, demikianlah juga kesempatan yang tumbuh di dalam diri kita masing-masing.

Sunday, May 23, 2010

JIHAD DALAM PENDIDIKAN

Menurut sumber Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi pada hari ini terdapat seramai 5.7 juta orang anak-anak kita sedang belajar di sekolah-sekolah dan seramai 930,000 orang lagi sedang menuntut di Pusat-Pusat Pengajian Tinggi Awam dan Swasta secara formal di seluruh negara. Selain itu terdapat juga orang dewasa dan warga emas sedang belajar secara tidak formal di masjid, surau dan kelas-kelas pengajian lain.

Tumpuan besar pelajar-pelajar yang mencari dan dahagakan ilmu sebenarnya selari dengan tuntutan Islam. Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl, ayat 43 yang bermaksud:-
"Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-Rasul sebelummu melainkan orang lelaki, yang Kami wahikan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui".

Rasulullah SAW menyifatkan bidang pendidikan adalah perjuangan fisabilillah - berjuang di jalan Allah. Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:-
"Sesiapa yang keluar menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali."
(Riwayat: at-Tarmizi)

Pekerjaan sebagai guru, murabbi dan pendakwah diiktiraf amat mulia di sisi agama dan masyarakat kerana mereka mewarisi tugas-tugas Rasul membimbing menusia ke jalan yang benar, pencetus hidayah, membantu mengubah nasib seseorang, mengangkat darjat seseorang, membebaskan seseorang dari kemiskinan dan membentuk tamadun manusia melalui pendidikan dan penyebaran ilmu. Betapa besar peranan guru ini, maka mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan menerangi laluan sama di desa atau di bandar, di darat atau di lautan.

Anas bin Malik RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:-
"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenaatau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan."
(Riwayat: Imam Ahmad)

Ruang lingkup pendidikan ini amat luas. Ia memerlukan perkhidmatan guru, murabbi dan pendakwah rasmi. Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi seorang tokoh ulama' semasa yang amat berpengaruh menyatakan,
"Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan."

Walaubagaimana pun kejayaan dan keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur penting membantu kecemerlangan pendidikan.

Berdasarkan bilangan institusi pendidikan dan bilangan pelajarnya ternyata guru mempunyai pengikut yang ramai, sentiasa berkerumun mengelilingi guru-guru serta amat berpengaruh pula dalam mencorakkan nilai-nilai hidup anak-anak kita. Persoalan besar timbul apa akan terjadi jika tidak ada guru sepenuh masa membimbing anak-anak kita dalam mengharungi pancaroba kehidupan ini?

Banyak hadis-hadis sahih menjelaskan Allah SWT sendiri, para Malaikat, penghuni langit dan bumi hatta semut sekalipun berselawat kepada guruatau orang yang mengajar kebaikan kepada manusia. Saidina Umar RA pernah berkata;
"Kematian seribu ahli ibadat adalah sedikit kesannya berbanding kematian seorang alim (ahli ilmu) yang mahir dalam ilmu halal haram dalam syariat Allah".

Imam Shafie amat menghormati gurunya. beliau pernah berkata:
"Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan guruku seperti Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama'-ulama' negeri Hijaz ini".

Saidina Ali RA juga pernah berkata;
"Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepadaku."

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin memetik nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya supaya menghormati guru, jatanya;
"Wahai anakku, pergaulilah para guru dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, kerana Allah SWT menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan dari langit".

Semua amat yakin habuan, pangkat dan hadiah tinggi menggunung bukanlah dituntut oleh para guru. Tetapi apa yang penting ialah murid-murid yang dibimbingnya menjadi manusia yang berguna dan mampu mengembalikan maruah agama dan martabat negara. Bagaimanapun kadangkala guru-guru menghadapi cabaran besar dalam membentuk murid yang berjaya dan bertamadun. Berdasarkan pemerhatian, walaupun besar pengorbanan guru tetapi terdapat juga di kalangan ibubapa dan murid yang tidak menghormati guru.

Penghormatan kepada guru semakin longgar dan semakin luntur dalam masyarakat kita. Ingatlah bahawa tidak salah jika kita berkawan rapat dengan guru tetapi adalah salah jika kita tidak beradab dan kurang ajar kepadanya. Sejahat-jahat guru, selagi mana dia menumpahkan ilmu maka adalah perlu untuk kita menghormatinya.

Ingatlah pesan Saiyidina Ali RA yang bermaksud;
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".

Jika kita hendak menegur seseorang guru hendaklah dilakukan dalam keadaan penuh beradab. Setinggi mana pun kita mencapai kedudukan, ingatlah kepada guru yang membimbing kita. Tiada sebab untuk seseorang murid mendabik dada kepada gurunya. Malah kalau hubungan antara murid dan guru ini baik, maka akan terhasil satu gabungan dan perkongsian ilmu yang cantik. Apa yang nyata tidak rugi jika kita menghormati guru tetapi sebaliknya satu kerugian besar jika kita tidak mengambil peluang menimba ilmu bersama guru.

Guru adalah manusia biasa. Merekajuga mempunyai kelemahan, tetapi kita sebagai anak muridnya perlu berlapang dada dan menerimanya secara waras kerana dia memberikan manfaat yang banyak kepada kita.

Ibubapa dan guru-guru adalah institusi utama yang amat berpengaruh dalam membari pendidikan dan membentuk nilai murni dikalangan pelajar. Peranan ibubapa dan guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara malah memberi pelaburan yang menguntungkan berterusan hingga hari akhirat.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;
"Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya".
(Riwayat: Muslim)

Muhasabah pentingnya ilmu dalam kehidupan, kita ikuto Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 9 yang bermaksud;
"Apakah orang yang taat beribadat di waktu malam dengan sujud dan berdiri, ia takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal".

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Sekolah tempat teman mengajar telah membuat sambutan Hari Guru tahun 2010 pada
17 Mei 2010 (Isnin).

Tarikh sambutan ini adalah serentak di seluruh negara dengan tema,
"Guru Pembina Negara Bangsa"
.
Kelab Warga Sekolah telah menghadiahkan sehelai tuala kepada teman. Apa yang teman terkejut ialah ada seorang bapa telah menghadiahkan kepada teman
seutas tali leher
(GENE MARTINO)

yang sungguh cantik. Istimewanya lagi tali leher itu ialah
Buatan Tangan
"Hand Made"
.


Hadiah istimewa Hari Guru 2010 yang teman terima dari bekas murid yang sekarang ini sedang menuntut di Universiti Sains Malaysia. Hadiah ini disampaikan melalui adiknya yang bersekolah di sekolah tempat teman mengajar. Hadiah berupa sebuah buku lama yang pada teman ada kaitannya dengan sambutan Hari Guru kerana buku ini merupakan
"Pemenang Pertama Sayembara Novel Hari Guru 1976"
.
Novel yang ditulis oleh
BAHARUDIN C.D.

ini bertajuk
"ARCA BERDIRI SENJA"
.
Cetakan Pertama pada tahun 1978 terbitan Utusan Publications & Distributors (Anggota Kumpulan Utusan Melayu) dan dicetak oleh Utusan Printcorp Sdn. Bhd., Kuala Lumpur. Bertambah lagi lah koleksi teman dengan buku-buku yang boleh dianggap antik ini dan buku ini dah lebih 30 tahun umurnya.
Kepada mereka yang lain terima kasih diucapkan atas hadiah yang diberi sempena Hari Guru Tahun 2010 ini.
TERIMA KASIH SEMUA.

Wednesday, May 19, 2010

KEKAYAAN. LIHAT DIRINYA ATAU MILIKNYA?

"Orang kaya bukanlah orang yang memiliki kekayaan itu, melainkan orang yang menikmatinya."

Semasa di sekolah rendah, apabila ditanya cita-cita kita dengan secara terus kita menjawabnya dengan apa yang terlintas di hati kita. Kadang-kadang jawapan itu dipengaruhi oleh apa yang kita lihat ketika itu. Biasanya ketrampilan seseorang itu akan menjadi sumber kepada kita untuk menyatakan cita-cita kita. Kesegakan anggota polis yang lengkap uniformnya umpamanya. Kegagahan pasukan tentera atau pasukan bomba juga menjadi impian kita masa itu.

Begitu juga masa kini. Kehebatan seseorang itu menjadi impian kita. Bagaimana seseorang itu mencapai kejayaan menjadi inspirasi kita untuk meneruskan kehidupan kita. Orang yang telah berjaya sering menjadi "idola" kita tak kiralah dalam apa bidang. Seringkali kekayaan seseorang itu kita ingin kongsi bersama. Kita juga ingin menjadi kaya, hidup mewah dengan berbagai kemudahan yang selesa dan terjamin.

"Janganlah kita tertipu dengan apa yang kita lihat, gunakanlah fikiran untuk menilainya."

Untuk menjadi orang kaya, kita harus meletakkan diri kita dalam sikap orang kaya. Pertama sekali, melalui pengetahuan dan pemahaman, kita harus dibiasakan dengan keadaan diri kita yang sejati. Kita wajar menjaga hubungan kita dengan Maha Pencipta, Tuhan yang Maha Penyayang dan Pemurah. Setelah uasaha-usaha kita lakukan, kita perlu berserah kepada Tuhan agar setiap yang kita usahakan itu menjadi kenyataan.

Apabila kita sedar bahawa diri kita menghendaki kemakmuran dan nikmat hidup yang lebih berharga, maka tidak ada pembatasan di dalam pendirian kita yang lebih tinggi iaitu jiwa, fikiran dan karakter. Disamping itu kita perlu menghindarkan diri kita dari perkara-perkara yang boleh membebankan diri kita sendiri. Perlu juga menggelak dari berlakunya konflik dalam diri kita yang boleh membantutkan impian kita.

"Isilah mental kita untuk pembangunan dan perkembangan semasa agar terciptalah suatu landasan yang boleh kita lalui."

Untuk memenuhkan mental kita tidak ada batasannya. Sebelum sesuatu itu menjadi kenyataan, seharusnya ianya telah pun dicipta dalam fikiran. Setelah kita belajar membangunankan mental, kita akan menjadi benar-benar lebih baik dalam membangun secara material. Kita juga harus secara mental menciptakan tapak-tapak yang membolehkan kekayaan itu mengalir kepada diri kita.

Dalam usaha membasmikan kemiskinan, terdapat pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan juga pihak-pihak yang lain. Program-program yang berkaitan dengan "anti kemiskinan" telah banyak diterapkan kemana-mana di seluruh pelusuk dunia. Ini adalah program yang pertama sekali untuk menundukkan kemiskinan mental dalam diri kita. Setelah itu barulah kita dapat mengubah dunia luar yang mencabar. Perkara ini adalah tepat sekali kepada semua orang yang menginginkan nasib lebih baik dalam hidup ini.

Kedudukan yang kita cari dalam hidup ini harus pertama sekali diciptakan dalam mental. Setelah ia tertanam dan terpahat maka barulah ia boleh menjadi kenyataan. Kita perlu ingat bahawa tidak ada orang yang boleh mengatakan, apakah dirinya kaya atau miskin dengan hanya melihat daftar kekeyaan materialnya. Ingatlah bahawa hatilah yang membuat seseorang kaya. Seseorang disebut kaya itu adalah sesuai dengan dirinya bukan dengan miliknya.

"Adalah terlalu malang bagi seseorang yang kaya dengan material tetapi terlalu miskin dalam jiwanya."

Kekayaan sejati adalah kesedaran yang tunggal dengan sumber segala sudut keteguhan. Ini adalah terletak kepada keteguhan karakter, keteguhan kemanusiaan dan keteguhan semua perkara mengenai kehidupan yang baik untuk diri kita dan seluruh kemanusiaan. Wang dan kebendaan saja sama sekali bukan menjadi alat pengukur kejayaan seseorang. Pengertiantentang nilai yang sejati akan membuatkan kita terlebih dahulu melihat ke dalam hati dan jiwa.

"Apakah kita peduli akan pembangunan umat manusia itu seperti kita memerhatikan jawatan?"

Tuesday, May 18, 2010

PERCAYALAH KEPADA DIRI KITA SENDIRI

"Sesuatu yang sangat kita rindukan menunggu di kejauhan, merayap diam-diam tanpa kelibat dan membisu, hakiki bagi jiwa dan kehidupan kita, hidup menghargainya, dipanggil ia akan datang."

Seawal-awalnya ketika kita dilahirkan ke dunia ini sehinggalah saat-saat kematian yang kita akan meninggalkan dunia ini. Itulah perjalanan kehidupan kita yang pastinya sentiasa mempunyai rasa kerinduan dan keinginan. Ramai orang menganggap perkara ini wajar dipenuhi. Setakat ini boleh dikatakan kita semua menginginkan kesempurnaan. Namun begitu, kita perlu menyedari bahawa hanya sedikit yang berhasil mencapainya.

Masalah utama yang sering kita hadapi ialah tiadanya keyakinan diri. Kita tidak mempercayai kepada diri sendiri dan sering menganggap tidak boleh. Kesempatan kita untuk mencapai hasrat hati akan menjadi kenyataaan hanya dengan belajar hidup dan secara mental dalam dunia ideal keinginan kita.

Jika kita mencapai kejayaan, kita seharusnya belajar untuk mengharapkan datangnya kejayaan. Apabila kita mencari kesihatan yang baik, kita harus belajar mengharapkan datangnya kesihatan baik. Ada suatu kekuatan yang luar biasa terdapat dalam kebiasaan yang selalu mempunyai harapan. Melalui perhitungan kita mampu mencapai objek keinginan dan hasrat hati kita.

Apa-apa pun yang kita inginkan dalam hidup, kita harus selalu menggenggam gambaran mental tentang perkara pada setiap saat. Kesempatan kita untuk berjaya sering bergantung kepada ketajaman gambaran kita dan juga ketahanan untuk terus menjaga gambaran itu. Kita perlu menjaganya agar gambaran itu tetap terbayang serta terus bersinar. Gigihlah sehingga segala usaha kita dipenuhi.

Apa pun keinginan manusia yang akhirnya akan dipenuhi. Baik dalam hal penemuan mahupun yang lain kita mulakan perkara itu dengan gambaran mental yang diperlahankan secara kukuh di dalam pemikiran kita. Lima ratus tahun dahulu, Columbus mempunyai gambaran mental untuk mengelilingi dunia sebagai awal penemuannya yang penting. Hampir semua orang tidak mempercayainya kecuali dirinya sendiri. Kita dapat mencapai dan menjadi sesuatu, baik orang lain percaya atau tidak. Namun kita sekali tidak akan dapat mencapai kejayaan bila kita tidak percaya terhadap diri sendiri.

"Percaya dan berjayalah. Apa pun yang kita inginkan dari hidup, bayangkanlah kita telah memilikinya."

Sunday, May 16, 2010

KENALI BULAT DALAM ANAK MAT LELA GILA

Ishak Haji Muhammad (14 November 1909 - 7 November 1991) atau lebih dikenali sebagai Pak Sako merupakan seorang penulis yang giat menulis sekitar tahun 1930-an sehingga 1950-an. Ishak Haji Muhammad adalah seorang nasionalis negara. Kelibatnya bermula pada era sebelum kemerdekaan dan pascamerdeka. Gagasan yang ingin diperjuangkan oleh Pak Sako ialah penyatuan Melayu Raya yang mana Indonesia, Malaya dan Brunei disatukan dalam satu rumpun.

BULAT - apa yang ganjil pada bulat? Berbagai-bagai benda di dalam dunia yang luas ini keadaannya bulat, rupanya bulat dan asalnya bulat.

Pokok-pokok kayu dan buah-buahan banyak yang bulat. Di tubuh badan kita maka bukan sedikit anggota-anggota kita yang bulat keadaannya, kepala, mata, lengan, leher dan jari-jari kita bukan pun bukankah bulat?

Itu di bumi; di langit atau di angkasa pula matahari berupa bulat dan bulan pun masa penuhnya, waktu bulan pernama disebut orang rupanya pun bulat juga. Barangkali bintang yang banyak itu pun bulat keadaannya jika boleh dilihat dekat.

Sesungguhnya apakah yang ganjil pada bulat? Dalam percakapan kerapkali orang menyebut perkataan bulat seperti dikata: hal itu telah diputuskan dengan sebulat suara. Mengapa dikata dengan sebulat suara pada halnya suara tiada boleh dilihat, bukan tumpat atau beku seperti kayu atau batu?

Dalam peribahasa Melayu ada tersebut juga perkataan bulat seperti dikata: bulat kata dek muafakat; bulat air dek pembuluh dan yang bulat datang menggolek, yang pipih datang melayang. Bahkan dunia yang amat besar itu pun mengikut kata orang-orang pandai, mengikut ilmu alam atau "geography" pun bulat juga. Bukannya bulat sahaja, kononnya berpusing-pusing pula ia siang dan malam tiada berhenti-henti.

Ya - tiada ganjil dan tidak ada pentingnya pada bulat. Akan tetapi jika difikir-fikirkan, dihalusi dan diamat-amati nescaya akan didapati keadaan, rupa atau sifat bulat itu sangat menghairankan hingga harus manusia yang lemah akan menyoal kepandaian Tuhan yang maha kuasa.

Umpamanya kenapa Tuhan tidak jadikan pokok-pokok kayu itu pipih, leper, licin, empat segi, lima, enam, tujuh, delapan, hatta dua belas persegi? Bukankah Tuhan berkuasa berbuat demikian? Tidakkah lebih elok pada pandangan jika ada pokok-pokok kayu yang buahnya bersegi-segi, berukir-ukir seperti benda-benda yang direka dan dilarik manusia.

Mengapa Tuhan tidak jadikan bulan itu bersegi-segi atau bersudut-sudut, berpenjuru-penjuru seperti permata intan yang diukir-ukir oleh jauhari? Alangkah indahnya bulan itu jika ia berbunga-bunga berkelarai tepinya, berkerawang, bersulam dan berukir-ukir?

Siapakah yang boleh menjawab pertanyaan-pertanyaan itu dengan jawapan yang memberi puashati? Apakah gerangannya kelebihan sifat bulat dan kesempurnaan keadaan yang bulat itu?

Sekarang titik pula kepada benda-benda yang lain - barang-barang yang baharu yang direka dan dibuat oleh manusia. Maka tak dapat tiada apa-apa juga dan di mana-mana jua pun sifat dan keadaan yang bulat itulah juga lebih.

Pinggan, mangkuk, periuk, belanga, cawan, piring, kuali, kawah dan bermacam-macam barang lagi boleh dikatakan kebanyakannya berupa bulat keadaannya.

Roda-roda keretapi, motokar, basikal dan sebarang roda juga semuanya bulat. Jikalau keadaannya empat persegi, tiga persegi, bersegi-segi maka tiada digelar roda dan tiada lazim berpusing-pusing ia di atas bumi. Kebanyakan benda-benda yang berpusing atau bergolek-golek maka lazimlah baginya bersifat dan berkeadaan bulat. Oleh sebab itu benarlah seperti pepatah Melayu: yang bulat datang menggolek, yang pipih datang melayang. Tetapi apakah makna dan maksud papatah itu?

Jikalau asal sesuatu itu tidak bulat sekalipun tetapi jika bergoleh-golek, berpusing-pusing dan berguling ia njescaya akan jadi bulat juga. Batu-batu yang pejal dan keras dan bulat rupanya yang kita jumpai di pantai laut itu telah menjadi bulat sebab dikisar-kisar, digiling-giling, digolek-golekkan oleh ombak - dilarik dan diukir oleh air.

Batu-batu bulat yang kita lihat ditepi-tepi sungai telah bergoleh-golek daripada juraman gunung-ganang, jatuh ke celah bukit-bukau hanyut melalui gunung-guntung dari suatu tingkat ke suatu tingkat berbelok-belok, melilit-lilit, merempuh teluk dan tanjung, lubuk dan pantai - ada kalanya cepat, timpa-menimpa dan bertunda di antara satu dengan lain hingga pecah bersepai-sepai - ada kalanya lambat, tersangkut pada reba yang besar atau tenggelam di dalam lumpur berhari berbulan-bulan hingga bertahun-tahun lamanya.

Wah bukan kepalang susah hendak menjadi bulat! Sebenarnya sifat bulat itu ada kelebihannya, ada kepentingannya jikalau tidak masakan Tuhan yang maha mengetahui menjadikan bulan dan matahari itu berupa bulat. Harus bulat itu suatu sifat yang sempurna; sifat pilihan dan mulia.

Adapun asal binatang yang terbang, yang melata, yang merayap, yang merangkak dan yang berenang itu lazimnya bulat. Telur ayam, telur itik, telur ikan, penyu, buaya, ular, burung-burung - besar dan kecil - dan berjenais-jenis binatang lagi kebanykannya bulat atau seakan-akan bulat keadaannya. Benih pokok-pokok dan biji-biji pun bulat bukan?

Sesungguhnya bulat itu suatu sifat yang bukan luarbiasa tetapi haruslah yang demikian itu menunjukkan keadaan yang lengkap dan sempurna. Tentu ada hikmat-Nya Tuhan mengadakan berbagai-bagai benda dalam dunia-Nya yang amat luas ini bersifat bulat. Tuhanlah juga yang mengetahui sebab dan maksud-Nya. Ia menjadikan pokok-pokok kayu, kelapa, pinang, buluh rotan, akar dan berjenis-jenis buah-buahan itu berupa bulat. Tuhanlah jua yang lebih mengetahui hikmat-Nya maka mata manusia dan binatang itu bulat kerana Dialah yang maha kuasa lagi maha bijaksana iaitu Tuhan seru sekalian alam yang menjadikan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta sekalian yang di antaranya. Ia itu Tuhan yang asa lagi kekal selamanya.

Demikianlah dengan kehendak Tuhan, dengan kuasa dan hikmat-Nya yang dijadikan-Nya seorang hamba-Nya manusia yang bernama Bulat. Tiadalah diketahui adakah nama Bulat itu namanya yang asal diberi baginya tatkala ia lahir kedunia ini? Barangkali Bulat itu cumbu-cumbuan sahaja - nama timang-timangannya, tetapi hingga besar ia dengan itulah juga ia dikenali, disebut dan dipanggil orang.

Adapun Si Bulat atau Encik Bulat ini bukanlah ganjil sebab namanya Bulat tetapi ialah dari kerana tingkah-lakunya, perangainya dan keadaan hidupnya yang sangat berlainan dari orang-orang lain.

Sifatnya cukup sempurna - satu anggota pun tidak kurang; rupanya elok, orangnya masih muda, sihat, segar-bugar, sajak dan pembersih. Tetapi kelakuannya terlalu ganjil hingga dikatakan orang iaitu gila. Bak kata bidalan: bulat kata dek muafakat. Maka manakala semuafakat orang ramai di dalam kampung Si Bulat itu mengatakan ia gila maka gilalah ia pada sangka dan mata mereka itu. Jika sudah sebulat suara orang ramai mengatakan ia gila maka haruslah tentu Encik Bulat gila. Aturan hidup, undang-undang masyarakat di dunia lazimnya memang begitu. Tetapi entah entah betul entah tidak Si Bulat itu gila Allah jua yang mengetahui.

Adapun yang menyebabkan kebanyakan orang yang mengetahui akan dia mengatakan Bulat itu gila ialah dari kecilnya akan dia tinggal bersama-sama dengan seorang tua yang dikatakan gila juga. Namanya Mat Lela, gelarannya Lela Gila. Orang tua inilah yang membela-pelihara akan dia; memberi rumah tempat ia tinggal berteduh daripada hujan dan panas, mengadakan pakaiannya dan makanan baginya. Orang tua yang dikatakan gila inilah yang mengasuh, mengajar dan mendidik akan dia semenjak Bulat berumur enam bulan lebih-kurang, iaitu tatkala ia merah lagi, matanya baharu celik, pusatnya baharu kering dan ubun-ubunnya masih lembek.

Hairan bukan? Seorang gila boleh memelihara, mengasuh dan mendidik seorang anak. Tetapi yang lebih menghairankan ialah daripada mana datangnya kenak-kanak itu maka terjatuh ke tangan seorang gila? Siapa ibu dan bapanya, apa bangsanya dan bagaimana asal keturunannya? Aadapun Mat Lela Gila yang memelihara akan dia itu tidak pernah beristeri dan tidak diketahui ia membuat perhubungan sulit hingga terlahir ke alam ini anak kecil itu.

MUTUA MADRILENA MADRID OPEN 2010


Mampukah ROGER FEDERER mempertahankan kejuaraannya?

dan

Bolehkah RAFAEL NADAL menjadi juara di negaranya sendiri?

Friday, May 14, 2010

DAH LEBIH LIMA PULUH TAHUN WEH!

Pagi tadi ade seorang kawan singgah kat sekolah tempat teman ngajor. Kebetulan ari nih banyak bebeno "masa free" teman, jadi teman boleh layan kawan teman tuh kat kantin sekolah. Kawan teman tuh pulak memang dah lame bebeno teman tak jumpe. Cam biase kawan teman nih memang suker bawak beg sandang. Ape yang diisinyer idak ler teman tau, tapi yang teman cam kat dalam beg tuh mesti ader "laptop".

Kebetulan ari nih oghang kantin kat sekolah nih masak gulai ikan sungai. Kembang kingcup idung kawan teman tuh dapat makan ikan sungai. Rezeki kawan teman tuh ari nih memang hebat.
Pertama:-
Ikan Kelah masak lemak campur belimbing.
Kedua:-
Sambal tumis Ikan Bilis campur jering campur "terung belanda".
Ketige:-
Sayur pucuk "leweh" (paku rawan) rebus cecah sambal belacan.
Keempat:-
Ulam "geduak" (kerdas) ngan sambal nyor.

Mengkome tentu dapat bayangkan "menu" kat atas tuh. Pade teman memang menyelerakan. Tak tahu ler pulak pade mengkome, tapi kalo ler mengkome nih jenis yang rajin balik kampung (yang ade kampung ler) tentu terlior jugak nak "melantak" bile nengok "menu cam kat atas tuh. Maafkan teman sebab guner perkataan "melantak" tuh yer.

Mase tengah sedap makan, tetiber ajer kawan teman tuh nyelok begnyer dgan tangan kirinyer. Tangan kanannyer dah "selemuis" dgan kuah masak lemak. Teman nengok ader satu bungkusan yang teman dapat agak isi dalamnyer buku. Kerotas surat habor yang jadi pembungkus tuh kawan teman bukak dan memang sohih dalamnyer buku. Ade beberape buah buku lame yang kawan teman tuh sedekah pade teman. Timer kasih bebanyak ler.

Salah sebuah buku tuh tajuknyer "Anak Mat Lela Gila", karangan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Dicetak oleh Armada Sdn. Bhd, Malaysia dan dikeluorkan oleh Federal Publications Sdn. Bhd. 170, Jalan Sungei Besi, Kuala Lumpur, Malaysia. Cetakan Pertamanya pada tahun 1960. Jadi, umor buku nih dah 50 tahun. Ceriter dalam buku ini pade teman menarik bebeno sebab jalan ceriternyer mudah difahami tak kireler saper2 yang membacernyer.

Akan datang teman akan cuber citerkan sikit2 tentang "Anak Mat Lela Gila" nih. Mengkome tuh kener ler sabor2 nunggunyer.

Monday, May 10, 2010

KEJUJURAN MELAMBANGKAN KELURUSAN HATI

"Pertahankan satu hal dalam hidup ini, kebenaran dan bila kita melakukannya, meskipun nampaknya akan membuat kita jauh dari orang lain. Perkara ini akan membuat kita menerima mahkota Tuhan."

JUJUR 1

Lurus hati, tulus ikhlas

KEJUJURAN
Perihal jujur, kelurusan hati

JUJUR 2
Wang yang diberikan oleh pengantin lelaki kepada orang tua pengantin perempuan

MENJUJURI
Membayar wang jujur

JUJURAN
Wang jujur

Kualiti utama watak seseorang itu adalah sifat jujur yang dimilikinya. Kejujuran yang dimiliki oleh seseorang itu adalah merupakan kemurnian dan kelurusan hati. Oleh itu, kejujuran adalah salah satu nilai yang paling penting sebagai tanda atau lambang kemanusiaan sejati.

Ingatlah, bahawa kebenaran dan kejujuran itu adalah jalan alam. Manakala ketidakjujuran pula adalah hasil dari tindakan manusia. Kebenaran itu mengalir secara bebas, teratur dan ianya benar-benar alamiah. Di pihak lain, ketidakjujuran itu adalah bersifat tidak alamiah.

Membaca, menulis dan mengira memang bermanfaat bagi anak-anak muda. Namun begitu, ianya tidak bermakna jika dibandingkan dengan perlunya mempelajari kebenaran. Kebenaran perlu diterapkan dalam setiap sendi kehidupan. Kita sewajarnya memahami perkara ini sejak diawal usia lagi.

Kita perlu memahami kebenaran dan berbicara mengenainya dengan bebas. Kita tidak akan mendapat kedamaian fikiran tanpa keduanya. Orang yang tidak mempedulikan bagaimanapun lingkungannya, orang yang tidak mengungkapkan kebenaran, kebenaran seutuhnya, adalah orang yang menjadi hamba mental.

Kita telah mendengar tentang adanya "separuh kebenaran". Ini adalah amat mengelirukan. Sebenarnya kebenaran itu tidak boleh dibahagi-bahagikan. Kita hanya boleh berpihak kepada kebenaran yang sejati atau pada ketidakjujuran yang menjadikan kita tenggelam. Jadikanlah kebenaran itu sebagai pengisi hati dan akal kita.

Tidak ada erti kekalahan dalam kebenaran yang berasal dari dalam diri kita. Kita akan menjadi pemenang, kecuali bila kebenaran dalam diri kita telah rosak. Cinta Tuhan yang ada dalam diri kita adalah cinta akan kebenaran dan keadilan.

"Ganjaran terbesar yang boleh kita berikan terhadap kebenaran adalah dengan menggunakannya atau mengamalkannya".

Sunday, May 9, 2010

TAKDIR MENENTUKAN SEGALANYA

Sebenor-benornye teman nih memang ader beberape kotak lagi yang belum teman bukak. Kat rumah teman nih ajer ader beberape kotak. Itu belum lagi kotak-kotak yang teman tengge kat rumah arwah mak teman. Seme-seme kotak tuh isinyer buku. Macam-macam buku ader. Kirenyer teman nih rajin membace ler kirenyer. Itu sudah semestinyer maklumlah kita nak nanamkan "budaye membace".

Pagi nih teman sekali lagi ngemas kotak-kotak yang ader kat rumah teman. Maklumler cumer pagi-pagi minggu camni baru boleh ngemas rumah. Kalo ari keroje, keluor pukui 6.30 pagi mesti sampa rumah pukui 6.30 petang. Kali nih teman jumpe pulak sebuah buku jaman abang ngan kakak teman sekolah rendah dulu-dulu.

Tajuknyer simple ajer "BUANG" Oleh Tajul Ariffin bin Darus. Sesape nak nengok tulisan lame, boleh bace buku ini yang cetakan pertamenyer pada tahun 1965.

Di sini teman salin balik sinopsisnyer mengikut ejaan dalam buku tersebut:-
Siapa-kah yang lebeh bertanggong-jawab terhadap sa-orang bayi, sa-lain daripada ibu bapa-nya sendiri? Dan bagaimana-kah nasib si-anak apabila tidak ada persefahaman antara pehak si-bapa dan ibu-nya?

Persoalan ini-lah yang chuba di-sampai dan di-gambarkan oleh Tajul Ariffin dalam karya-nya "Buang" ini. Sa-orang kanak2 yang di-lahirkan dalam sa-buah keluarga terpelajar dan mewah pula hidup-nya, telah terpaksa merempoh hidup yang tiada tentu arah akibat dari asohan dan didekan yang tiada sempurna.

Dari nama-nya "Buang" sudah membayangkan betapa pahit dan terseksa-nya kehidupan kanak2 itu. Untok meneruskan hidup, dalam erti untok boleh bernafas dan bergerak, ia terpaksa mengemis ka-sana ka-mari. Penanggongan dzahir dan batin-nya mencapai klimaks apabila ia di-penjarakan, kerana satu tudohan menchuri, waktu mana ia telah di-perchayai menjadi 'gila' dan tergamak membunoh ayah-nya sendiri.

Akibat-nya, Buang telah di-tembak. Maka dari itu, berakhir-lah riwayat-nya yang pendek. Saperti pokok yang baharu tumboh, belum pun chukup subor hidup-nya dan belum pun mengalami masa berbunga, ia telah layu terkulai dan gugor ka-taman.

Teman masih mencari-cari buku abang teman yang peronah teman bace mase kecik-kecik dulu kut2 ader tersimpan dalam kotak teman, "DESA PINGITAN" oleh Ibrahim Omar.

Friday, May 7, 2010

NAPER SEMEDANG JADI BEGINI WEH???

Bapa kecewa anak dapat 10A SPM gagal dapat biasiswa lanjut pelajaran ke luar negara

Jumaat 7 Mei 2010


BILA keputusan SPM 2009 diumumkan pada pertengahan Mac lalu, hati seorang ayah terlalu gembira bila anaknya mendapat keputusan cemerlang (10A) kerana harapan agar anak dapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Dengan itu, permohonan dibuat melalui internet ke lawan web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas dengan hati yang gembira. Tetapi apabila keputusan dikeluarkan, anak tidak berjaya (temu duga pun tidak dapat)

Saya menghubungi pihak JPA di Putrajaya untuk membuat rayuan tetapi mendapat jawapan yang memanaskan telinga apabila pegawai yang menjawab mengatakan anak saya tidak mengambil subjek biologi bagi mengikuti program kejuruteraan.
Dalam hal ini, saya ingin bertanya pada pihak yang berkenaan:-

* Anak saya bersekolah di asrama penuh dan guru sudah menetapkan, jika memilih bidang kejuruteraan, tidak perlu mengambil subjek biologi.

Apakah guru dan pihak sekolah yang salah?

* Apakah kerana saya tidak mempunyai kenalan orang kenamaan atau orang atasan, maka anak orang kampung tidak mempunyai peluang untuk belajar ke luar negara?
* Bagi Petronas dan TNB, jika memilih untuk anak kakitangan saja janganlah diiklankan dalam surat akhbar kerana membazirkan wang dan menipu rakyat saja.

Ingatlah buat pemilihan secara adil dan saksama kerana kita akan ditanya di sana apa yang kita buat di sini.

BAPA KECEWA, Teluk Intan, Perak.

Persoalannya:-
Mengapekah setiap tahun cerita seperti ini terus berlaku? Mengkome fikioler sendiri.

Tuesday, May 4, 2010

DARI BUKIT MERTAJAM KE BUKIT MERAH

Tempat Persidangan

'Penyambut Tetamu" yang cun melecun

Bilik Peraduan

Pemandangan dari bilik peraduan

Sempat main bowling

Aneh jugak! Mane pegi nombor 4 kat lif nih?

Balik dari Bukit Mertajam, singgah kat R & R Bukit Merah. Heran pulak teman, tak ader jualan. Kalo ler tak ader "operasi" jual beli, tutup kat jalan masuk lagi. Sesape yang lapo boleh menyinga sebab duit ade, makanan ader, tapi takder jual beli. Bile tanye deme kat situ kata arahan "PLUS". Teman tetanye2, betui ker?

Sunday, May 2, 2010

DIAM ITU LEBIH BAIK DARI BERBICARA

"Kita sering menyesali saat-saat kita berbicara, bukannya ketika kita diam."

Hiruk pikuk suasana akan menyebabkan kerunsingan fikiran. Justeru, bagi merehatkan fikiran saat kesunyian adalah yang terbaik. Tidur yang cukup akan menyegarkan tubuh. Kesunyian adalah saat tidur bagi batin kita. Kesunyian boleh membungkus kebodohan. Dapat menghindari suasana yang bising. Apa yang penting, kesunyian dapat mencegah dosa.

Diam itu lebih baik daripada berbicara. Namun, adalah lebih baik bertanya daripada kita hanya membiarkan orang lain yang berbicara. Bicara yang lancar adalah dari kerajinan kita mendengar bicara orang lain. Untuk berbicara mestilah dengan bicara yang menarik. Pengucapan mesti tepat, padat dan mudah difahami. Berbicara adalah suatu tanggungjawab untuk menyatakan sesuatu yang betul.

Adalah lebih baik kita mendiamkan diri daripada menghujahkan sesuatu pendapat yang tidak berlandaskan fakta. Jangan kita terlalu cepat membuat penilaian sekiranya kita tidak memiliki keseluruhan faktanya. Membaca surat khabar atau majalah setiap hari tidak bermakna kita telah mengetahui fakta yang membolehkan kita untuk terus berhujah.

Terdapat orang yang menghabiskan tenaga cuma selalu tergesa-gesa iaitu berbicara tanpa ada tujuan yang jelas. Oleh itu, ada pendapat yang menyatakan bahawa kehidupan bisu itu ada mempunyai kegembiraan yang tersangat manis. Gunakan waktu untuk kita berbicara agar kita dapat menikmati perjalanan hidup ini. Sewajarnya kita akan menemui nilainya yang tersangat nyata.

"Elakkan berbicara yang boleh mendatangkan fitnah dan jauhilah berbicara kisah silam yang penuh kemungkaran."