Sunday, May 16, 2010

KENALI BULAT DALAM ANAK MAT LELA GILA

Ishak Haji Muhammad (14 November 1909 - 7 November 1991) atau lebih dikenali sebagai Pak Sako merupakan seorang penulis yang giat menulis sekitar tahun 1930-an sehingga 1950-an. Ishak Haji Muhammad adalah seorang nasionalis negara. Kelibatnya bermula pada era sebelum kemerdekaan dan pascamerdeka. Gagasan yang ingin diperjuangkan oleh Pak Sako ialah penyatuan Melayu Raya yang mana Indonesia, Malaya dan Brunei disatukan dalam satu rumpun.

BULAT - apa yang ganjil pada bulat? Berbagai-bagai benda di dalam dunia yang luas ini keadaannya bulat, rupanya bulat dan asalnya bulat.

Pokok-pokok kayu dan buah-buahan banyak yang bulat. Di tubuh badan kita maka bukan sedikit anggota-anggota kita yang bulat keadaannya, kepala, mata, lengan, leher dan jari-jari kita bukan pun bukankah bulat?

Itu di bumi; di langit atau di angkasa pula matahari berupa bulat dan bulan pun masa penuhnya, waktu bulan pernama disebut orang rupanya pun bulat juga. Barangkali bintang yang banyak itu pun bulat keadaannya jika boleh dilihat dekat.

Sesungguhnya apakah yang ganjil pada bulat? Dalam percakapan kerapkali orang menyebut perkataan bulat seperti dikata: hal itu telah diputuskan dengan sebulat suara. Mengapa dikata dengan sebulat suara pada halnya suara tiada boleh dilihat, bukan tumpat atau beku seperti kayu atau batu?

Dalam peribahasa Melayu ada tersebut juga perkataan bulat seperti dikata: bulat kata dek muafakat; bulat air dek pembuluh dan yang bulat datang menggolek, yang pipih datang melayang. Bahkan dunia yang amat besar itu pun mengikut kata orang-orang pandai, mengikut ilmu alam atau "geography" pun bulat juga. Bukannya bulat sahaja, kononnya berpusing-pusing pula ia siang dan malam tiada berhenti-henti.

Ya - tiada ganjil dan tidak ada pentingnya pada bulat. Akan tetapi jika difikir-fikirkan, dihalusi dan diamat-amati nescaya akan didapati keadaan, rupa atau sifat bulat itu sangat menghairankan hingga harus manusia yang lemah akan menyoal kepandaian Tuhan yang maha kuasa.

Umpamanya kenapa Tuhan tidak jadikan pokok-pokok kayu itu pipih, leper, licin, empat segi, lima, enam, tujuh, delapan, hatta dua belas persegi? Bukankah Tuhan berkuasa berbuat demikian? Tidakkah lebih elok pada pandangan jika ada pokok-pokok kayu yang buahnya bersegi-segi, berukir-ukir seperti benda-benda yang direka dan dilarik manusia.

Mengapa Tuhan tidak jadikan bulan itu bersegi-segi atau bersudut-sudut, berpenjuru-penjuru seperti permata intan yang diukir-ukir oleh jauhari? Alangkah indahnya bulan itu jika ia berbunga-bunga berkelarai tepinya, berkerawang, bersulam dan berukir-ukir?

Siapakah yang boleh menjawab pertanyaan-pertanyaan itu dengan jawapan yang memberi puashati? Apakah gerangannya kelebihan sifat bulat dan kesempurnaan keadaan yang bulat itu?

Sekarang titik pula kepada benda-benda yang lain - barang-barang yang baharu yang direka dan dibuat oleh manusia. Maka tak dapat tiada apa-apa juga dan di mana-mana jua pun sifat dan keadaan yang bulat itulah juga lebih.

Pinggan, mangkuk, periuk, belanga, cawan, piring, kuali, kawah dan bermacam-macam barang lagi boleh dikatakan kebanyakannya berupa bulat keadaannya.

Roda-roda keretapi, motokar, basikal dan sebarang roda juga semuanya bulat. Jikalau keadaannya empat persegi, tiga persegi, bersegi-segi maka tiada digelar roda dan tiada lazim berpusing-pusing ia di atas bumi. Kebanyakan benda-benda yang berpusing atau bergolek-golek maka lazimlah baginya bersifat dan berkeadaan bulat. Oleh sebab itu benarlah seperti pepatah Melayu: yang bulat datang menggolek, yang pipih datang melayang. Tetapi apakah makna dan maksud papatah itu?

Jikalau asal sesuatu itu tidak bulat sekalipun tetapi jika bergoleh-golek, berpusing-pusing dan berguling ia njescaya akan jadi bulat juga. Batu-batu yang pejal dan keras dan bulat rupanya yang kita jumpai di pantai laut itu telah menjadi bulat sebab dikisar-kisar, digiling-giling, digolek-golekkan oleh ombak - dilarik dan diukir oleh air.

Batu-batu bulat yang kita lihat ditepi-tepi sungai telah bergoleh-golek daripada juraman gunung-ganang, jatuh ke celah bukit-bukau hanyut melalui gunung-guntung dari suatu tingkat ke suatu tingkat berbelok-belok, melilit-lilit, merempuh teluk dan tanjung, lubuk dan pantai - ada kalanya cepat, timpa-menimpa dan bertunda di antara satu dengan lain hingga pecah bersepai-sepai - ada kalanya lambat, tersangkut pada reba yang besar atau tenggelam di dalam lumpur berhari berbulan-bulan hingga bertahun-tahun lamanya.

Wah bukan kepalang susah hendak menjadi bulat! Sebenarnya sifat bulat itu ada kelebihannya, ada kepentingannya jikalau tidak masakan Tuhan yang maha mengetahui menjadikan bulan dan matahari itu berupa bulat. Harus bulat itu suatu sifat yang sempurna; sifat pilihan dan mulia.

Adapun asal binatang yang terbang, yang melata, yang merayap, yang merangkak dan yang berenang itu lazimnya bulat. Telur ayam, telur itik, telur ikan, penyu, buaya, ular, burung-burung - besar dan kecil - dan berjenais-jenis binatang lagi kebanykannya bulat atau seakan-akan bulat keadaannya. Benih pokok-pokok dan biji-biji pun bulat bukan?

Sesungguhnya bulat itu suatu sifat yang bukan luarbiasa tetapi haruslah yang demikian itu menunjukkan keadaan yang lengkap dan sempurna. Tentu ada hikmat-Nya Tuhan mengadakan berbagai-bagai benda dalam dunia-Nya yang amat luas ini bersifat bulat. Tuhanlah juga yang mengetahui sebab dan maksud-Nya. Ia menjadikan pokok-pokok kayu, kelapa, pinang, buluh rotan, akar dan berjenis-jenis buah-buahan itu berupa bulat. Tuhanlah jua yang lebih mengetahui hikmat-Nya maka mata manusia dan binatang itu bulat kerana Dialah yang maha kuasa lagi maha bijaksana iaitu Tuhan seru sekalian alam yang menjadikan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta sekalian yang di antaranya. Ia itu Tuhan yang asa lagi kekal selamanya.

Demikianlah dengan kehendak Tuhan, dengan kuasa dan hikmat-Nya yang dijadikan-Nya seorang hamba-Nya manusia yang bernama Bulat. Tiadalah diketahui adakah nama Bulat itu namanya yang asal diberi baginya tatkala ia lahir kedunia ini? Barangkali Bulat itu cumbu-cumbuan sahaja - nama timang-timangannya, tetapi hingga besar ia dengan itulah juga ia dikenali, disebut dan dipanggil orang.

Adapun Si Bulat atau Encik Bulat ini bukanlah ganjil sebab namanya Bulat tetapi ialah dari kerana tingkah-lakunya, perangainya dan keadaan hidupnya yang sangat berlainan dari orang-orang lain.

Sifatnya cukup sempurna - satu anggota pun tidak kurang; rupanya elok, orangnya masih muda, sihat, segar-bugar, sajak dan pembersih. Tetapi kelakuannya terlalu ganjil hingga dikatakan orang iaitu gila. Bak kata bidalan: bulat kata dek muafakat. Maka manakala semuafakat orang ramai di dalam kampung Si Bulat itu mengatakan ia gila maka gilalah ia pada sangka dan mata mereka itu. Jika sudah sebulat suara orang ramai mengatakan ia gila maka haruslah tentu Encik Bulat gila. Aturan hidup, undang-undang masyarakat di dunia lazimnya memang begitu. Tetapi entah entah betul entah tidak Si Bulat itu gila Allah jua yang mengetahui.

Adapun yang menyebabkan kebanyakan orang yang mengetahui akan dia mengatakan Bulat itu gila ialah dari kecilnya akan dia tinggal bersama-sama dengan seorang tua yang dikatakan gila juga. Namanya Mat Lela, gelarannya Lela Gila. Orang tua inilah yang membela-pelihara akan dia; memberi rumah tempat ia tinggal berteduh daripada hujan dan panas, mengadakan pakaiannya dan makanan baginya. Orang tua yang dikatakan gila inilah yang mengasuh, mengajar dan mendidik akan dia semenjak Bulat berumur enam bulan lebih-kurang, iaitu tatkala ia merah lagi, matanya baharu celik, pusatnya baharu kering dan ubun-ubunnya masih lembek.

Hairan bukan? Seorang gila boleh memelihara, mengasuh dan mendidik seorang anak. Tetapi yang lebih menghairankan ialah daripada mana datangnya kenak-kanak itu maka terjatuh ke tangan seorang gila? Siapa ibu dan bapanya, apa bangsanya dan bagaimana asal keturunannya? Aadapun Mat Lela Gila yang memelihara akan dia itu tidak pernah beristeri dan tidak diketahui ia membuat perhubungan sulit hingga terlahir ke alam ini anak kecil itu.

No comments: