Wednesday, May 19, 2010

KEKAYAAN. LIHAT DIRINYA ATAU MILIKNYA?

"Orang kaya bukanlah orang yang memiliki kekayaan itu, melainkan orang yang menikmatinya."

Semasa di sekolah rendah, apabila ditanya cita-cita kita dengan secara terus kita menjawabnya dengan apa yang terlintas di hati kita. Kadang-kadang jawapan itu dipengaruhi oleh apa yang kita lihat ketika itu. Biasanya ketrampilan seseorang itu akan menjadi sumber kepada kita untuk menyatakan cita-cita kita. Kesegakan anggota polis yang lengkap uniformnya umpamanya. Kegagahan pasukan tentera atau pasukan bomba juga menjadi impian kita masa itu.

Begitu juga masa kini. Kehebatan seseorang itu menjadi impian kita. Bagaimana seseorang itu mencapai kejayaan menjadi inspirasi kita untuk meneruskan kehidupan kita. Orang yang telah berjaya sering menjadi "idola" kita tak kiralah dalam apa bidang. Seringkali kekayaan seseorang itu kita ingin kongsi bersama. Kita juga ingin menjadi kaya, hidup mewah dengan berbagai kemudahan yang selesa dan terjamin.

"Janganlah kita tertipu dengan apa yang kita lihat, gunakanlah fikiran untuk menilainya."

Untuk menjadi orang kaya, kita harus meletakkan diri kita dalam sikap orang kaya. Pertama sekali, melalui pengetahuan dan pemahaman, kita harus dibiasakan dengan keadaan diri kita yang sejati. Kita wajar menjaga hubungan kita dengan Maha Pencipta, Tuhan yang Maha Penyayang dan Pemurah. Setelah uasaha-usaha kita lakukan, kita perlu berserah kepada Tuhan agar setiap yang kita usahakan itu menjadi kenyataan.

Apabila kita sedar bahawa diri kita menghendaki kemakmuran dan nikmat hidup yang lebih berharga, maka tidak ada pembatasan di dalam pendirian kita yang lebih tinggi iaitu jiwa, fikiran dan karakter. Disamping itu kita perlu menghindarkan diri kita dari perkara-perkara yang boleh membebankan diri kita sendiri. Perlu juga menggelak dari berlakunya konflik dalam diri kita yang boleh membantutkan impian kita.

"Isilah mental kita untuk pembangunan dan perkembangan semasa agar terciptalah suatu landasan yang boleh kita lalui."

Untuk memenuhkan mental kita tidak ada batasannya. Sebelum sesuatu itu menjadi kenyataan, seharusnya ianya telah pun dicipta dalam fikiran. Setelah kita belajar membangunankan mental, kita akan menjadi benar-benar lebih baik dalam membangun secara material. Kita juga harus secara mental menciptakan tapak-tapak yang membolehkan kekayaan itu mengalir kepada diri kita.

Dalam usaha membasmikan kemiskinan, terdapat pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan juga pihak-pihak yang lain. Program-program yang berkaitan dengan "anti kemiskinan" telah banyak diterapkan kemana-mana di seluruh pelusuk dunia. Ini adalah program yang pertama sekali untuk menundukkan kemiskinan mental dalam diri kita. Setelah itu barulah kita dapat mengubah dunia luar yang mencabar. Perkara ini adalah tepat sekali kepada semua orang yang menginginkan nasib lebih baik dalam hidup ini.

Kedudukan yang kita cari dalam hidup ini harus pertama sekali diciptakan dalam mental. Setelah ia tertanam dan terpahat maka barulah ia boleh menjadi kenyataan. Kita perlu ingat bahawa tidak ada orang yang boleh mengatakan, apakah dirinya kaya atau miskin dengan hanya melihat daftar kekeyaan materialnya. Ingatlah bahawa hatilah yang membuat seseorang kaya. Seseorang disebut kaya itu adalah sesuai dengan dirinya bukan dengan miliknya.

"Adalah terlalu malang bagi seseorang yang kaya dengan material tetapi terlalu miskin dalam jiwanya."

Kekayaan sejati adalah kesedaran yang tunggal dengan sumber segala sudut keteguhan. Ini adalah terletak kepada keteguhan karakter, keteguhan kemanusiaan dan keteguhan semua perkara mengenai kehidupan yang baik untuk diri kita dan seluruh kemanusiaan. Wang dan kebendaan saja sama sekali bukan menjadi alat pengukur kejayaan seseorang. Pengertiantentang nilai yang sejati akan membuatkan kita terlebih dahulu melihat ke dalam hati dan jiwa.

"Apakah kita peduli akan pembangunan umat manusia itu seperti kita memerhatikan jawatan?"

No comments: