Thursday, April 7, 2011

ADIGURU KRAF ANYAMAN DAUN SAL

ALLAHYARHAMAH HAJAH RAMLAH BINTI ISMAIL

Anyaman daun sal di antara kegiatan kemahiran tangan yang diusahakan di sekitar Kampung Paka, Terengganu. Daun sal yang lembut lebih mudah diproses dan menghasilkan anyaman yang halus dan tidak mudah reput. Di antara penganyam daun sal yang terkenal di Paka ialah Hajah Ramlah Ismail. pokok sal atau pokok kipas dari keluarga palma yang hidup subur di sekitar kampung dimanfaatkan oleh Hajah Ramlah sebaik mungkin.

Dengan bantuan suami, daun sal diproses dan dikeringkan kemudian dianyam menjadi tudung saji dan bakul-bakul kecil yang dapat memenuhi keperluan harian. Beliau menghasilkan anyaman tudung saji yang dihias dengan pelbagai warna dan motif-motif menarik seperti bunga cengkih, bunga pecah lapan dan tapak sulaiman. Garapan kreativiti dan ilham Hajah Ramlah menyerlahkan penampilan setiap produk anyamannya.

Hajah Ramlah membina keyakinan bahawa hasil kerja tangan ini mampu untuk dimajukan. Berpegang kepada prinsip hendak seribu daya, mahu seribu usaha, beliau menerokai bidang kemahiran anyaman daun sal bersama jiran-jiran dengan mengusahakan bengkel anyaman daun sal yang menjanjikan tambahan pendapatan keluarga.

Adunan bakat seni dan semangat yang kental beliau membuahkan hasil. Hasil kerja tangan beliau dan rakan-rakan berjaya dipasarkan ke sekitar Terengganu dan Kuala Lumpur. Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai ADIGURU KRAF ANYAMAN DAUN SAL pada tahun 1999.

ANYAMAN DAUN SAL

Daun sal amat sesuai untuk anyaman tudung saji kerana sifatnya yang halus, lembut dan tidak mudah reput. Jalinan daun-daun sal menghasilkan tudung saji yang berkualiti, kemas dan teratur. Keindahan corak-corak kelarai dengan gabungan warna-warna menarik memberikan nilai estetik pada tudung saji daun sal.

dipetik dari Adiguru Kraf (Master Craftsperson).

2 comments:

puanstoberi said...

Err...ini dari tpt keroje saya ni. Terkojut gak lah ada org berminat plak pada Adiguru Kraf ni. huhu

amalhaj said...

dalam dok nyelak2 buku2 tuh teman jumper satu buku yg teman anggap menaghek jd teman cadang nak kongsi ler ngan kekawan ghoper2 kat tempat miker keghojer... dunia makin kecil??