Sunday, February 28, 2010

KEARIFAN YANG PENUH BIJAKSANA

"Orang yang mudah percaya tanpa berfikir adalah orang yang bodoh."

Kearifan adalah suatu kesempurnaan dalam penelitian. Kearifan juga merupakan pembimbing kepada kita dalam menjalani setiap tugas dalam kehidupan. Kearifan ini adalah diumpamakan seperti "tengok kiri tengok kanan" ketika hendak menyeberang jalan raya. Oleh itu, secara ringkasnya, kearifan adalah suatu sikap yang berhati-hati penuh dengan bijaksana.

Secara umumnya kita ini sering sahaja menilai karakter orang lain dengan berdasarkan prinsip, karakter dan pertimbangan diri kita sendiri. "Musang berbulu ayam" akan sentiasa bebas berkeliaran di mana-mana untuk mencuri hasil kerja orang lain. Ia juga boleh diibaratkan sebagai "serigala berbulu kambing". Orang yang sedemikian adalah seorang yang penipu yangt akan berada di mana sahaja. Kita yang lalai akan dengan mudah menjadi korbannya seandainya kita mengabaikan bimbingan dari kearifan kita.

Sesungguhnya tidak mudah bagi seorang usahawan yang berjaya untuk berbicara tentang kekalahannya dalam kehidupan. Namun begitu, usahawan tersebut akan berasa yakin bahawa sungguh penting untuk menceritakan pengalaman pahitnya untuk dijadikan sebagai teladan. Di sini penerapan kearifan adalah penting dalam segala tingkat kehidupan.

Seluruh urusan perniagaan harus dilakukan dengan cara perniagaan. Jika masalah yang bersangkutan dengan kewangan maka seharusnya dilakukan dengan prinsip kewangan yang baik iaitu bank yang terbaik. Usahawan yang berjaya senang seandainya kita mendapat pelajaran dari kepahitan yang telah dialaminya.

Pengalaman boleh menjadi guru yang mahal. Kearifan adalah dasar jaminan untuk menanggung segala kegagalan. Mengetahui fakta-fakta sebelum melakukan tindakan adalah hukum yang baik. Inilah suatu sikap yang berjati-hati yang bijak. Inilah yang dinamakan kearifan.

Friday, February 26, 2010

PENGAMATAN BERGERAK KE ARAH KEJAYAAN

"Perkara-perkara yang besar tersedia bagi mereka yang membiasakan dirinya mengamati perkara-perkara yang kecil dalam kehidupannya."

Tingkat pengamatan terhadap perkara-perkara tertentu bagaikan tidak memberi erti dalam kehidupan. Namun apa yang pasti, melalui pengamatanlah akan dapat menentukan kejayaan seseorang. Melalui pengamatan, karier seseorang dapat dinilai kejayaannya. Ini merangkumi semua bidang tidak mengira seseorang itu ahli perniagaan, ahli akademik, ahli perubatan, ahli perundangan dan sebagainya.

Pengamatan yang kuat telah membuatkan peradaban bergerak maju menuju ke arah berbagai penemuan. Melalui pengembangan kemampuan ini, kita sering akan dapat menjumpai banyak peluang untuk mencapai kejayaan. Namun begitu ada juga mereka yang tidak menjumpai sebarang peluang tersebut kerana melihat ianya sebagai satu kesulitan dan kegagalan.

Pengamatan telah banyak diabaikan dalam pengembangan keperibadian yang menarik. Ia juga telah dilupakan sebagai faktor penting untuk mendapatkan kejayaan yang lebih besar dalam kehidupan. Inilah kualiti yang berharga untuk menggali potensi diri. Potensi diri apabila diserlahkan akan menjanjikan satu keyakian kepada diri seseorang. Pengalamatan yang dilakukan ke atas potensi diri seseorang juga dapat membantu meningkatkan kepercayaan orang lain kepada kita.

Peniaga yang baik tahu bahawa usahawan cenderung memperlihatkan sesuatu yang sangat disayangi dan perkara ini boleh diketahui dari hiasan atau pameran yang ada di kedainya. Ada juga yang menganggap perkara tersebut kelihatan tidak bererti kepadanya. Bagi seorang peniaga dengan mempamerkan kedainya agar nampak menarik akan memberi pengamatan kepada pembeli untuk singgah untuk membeli.

Seorang pelanggan akan berasa hairan apabila memasuki kedai cermin kata yang menjadikan bahan-bahan antik sebagai perhiasan. Pengamatan yang sewajarnya harus dibuat dan dengan sendirinya pelanggan tersebut mula mendekati kedai tersebut. Pengamatan kepada bahan yang dipamerkan menjadi daya penarik kepada pelanggan.

Terdapat juga seseorang itu mengumpul berbagai jenis batu yang boleh dikatakan tidak memberi apa-apa faedah. Namun jikalau kita membuat pengamatan yang positif, mesti ada perkara yang hendak disampaikan oleh pengumpul batu tersebut kepada mereka yang ingin mengetahuinya. Kemungkinan pada suatu ketika nanti melalui pengamatan yang jelas batu-batu yang dikumpulkan akan memberi makna yang tersirat yang boleh dirungkaikan.

"Lihat dan dengar" bukanlah suatu nasihat yang baik untuk kita menyeberang jalan raya. Pengamatan yang baik adalah dengan melaluinya sendiri dengan pengalaman untuk menyeberangi jalan raya kerana melalui pengalaman akan menjadikan seseorang itu lebih bersedia dan boleh mempraktikkannya. Tambahan pula perjalanan hidup kita ini mempunyai masa yang berbeza. Ada yang jangka hayatnya panjang dan ada yang pendek.

Oleh itu, kita jangan merasa diri kita adalah terlalu baik kerana pengamatan orang lain belum tentu meletakkannya sebegitu. Kita jangan terlalu banyak mendengar muzik kita sendiri tetapi dengarkanlah juga muzik milik orang lain. Apa yang penting, kita perlu melihat, memerhati, mendengar dan mengasimilasi.

Wednesday, February 24, 2010

MOK CAK MOK SKULAH

Pengalaman boleh mematangkan seseorang. Pengalaman boleh memantapkan diri seseorang. Pengalaman juga membolehkan seseorang itu dihormati atau disegani. Disamping itu, melalui pengalaman juga akan membolehkan seseorang itu menambahkan ilmu pengetahuannya. Terlalu banyak ilmu atau pengetahuan yang diperolehi oleh seseorang melalui pengalaman sama ada yang telah dialami atau yang telah didengari.

"Mok cak mok skulah" merupakan kata-kata keramat yang terpaksa saya hadapi semasa mengajar di sekolah orang Asli satu ketika dulu. Mungkin kata-kata keramat tersebut telah pun lupus pada masa ini apabila pengurusan asrama sekolah orang Asli telah pun diambil alih oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Ada makan ada sekolah" adalah maksud kepada kata-kata keramat "mok cak mok skulah" itu. Pada pendapat saya, sememang wajar kata-kata keramat tersebut diluahkan oleh mereka (murid-murid orang Asli). Apa pendapat kita sekiranya anak kita yang duduk di asrama tidak mendapat makanan yang sepatutnya? Anak kita yang duduk di asrama tidak makan selama beberapa hari? Sudah sewajarnyanya kita akan mengambil anak kita pulang ke rumah untuk mengelakkan masalah kesihatan akan dialami oleh anak-anak kita.

Untuk mengelakkan murid-murid yang tinggal di asrama ini kelaparan, pernah kami guru-guru yang mengajar di sekolah murid orang Asli ini mengumpulkan wang sendiri untuk membeli beras dan sardin. Situasi sebegini telah menjadi suatu kelaziman di asrama sekolah murid orang Asli. Kadang-kadang bekalan yang sepatutnya sampai tidak kelihatan. Ada ketikanya bekalan yang datang tidak mencukupi.

Pihak pengurusan sekolah adalah di bawah Kementerian Pelajaran manakala pengurusan asrama pula di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Kedudukan sebegini menjadi sukar untuk pengurusan sekolah membuat pemantauan dan penyeliaan di asrama terutama di stor dan dapur asrama. Kesukaran ini wujud apabila terdapat dua pengurusan yang berbeza di sesebuah organisasi iaitu sekolah dan asrama.

"Mok cak mok skulah" telah menjadi senjata kepada murid orang Asli apabila diminta bersekolah. "Buat apa bersekolah kalau anak saya kelaparan". kata-kata yang sering diluahkan oleh mereka. Dalam perkara seperti ini mereka tidak boleh dipersalahkan. Adalah wajar mereka untuk menuntut hak mereka. Wajar mereka meminta jaminan agar keselamatan dan kesihatan anak mereka terjaga dan dipelihara.

Pada masa ini apa yang saya difahamkan, masalah sebegini tidak lagi berlaku. Pengurusan asrama telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran. Kini, setiap sebuah sekolah murid orang Asli ada pengurusan sendiri. Setiap sekolah ada guru besar dan penolong-penolong kanan sendiri. Penyelia asrama juga dilantik melalui Kementerian Pelajaran. Apabila pengurusan dibuat di bawah satu kementerian maka tiada pertindihan berlaku. Pengurusan dapat dibuat dengan lebih mudah.

Kata-kata keramat "mok cak mok skulah" akan saya semadikan dalam diari hidup saya. Ini merupakan salah satu pengalaman yang telah saya tempuhi semasa mengajar di sekolah murid orang Asli. Selain itu bahasa orang Asli juga dapat dipelajari apabila kita bersama mereka untuk memudahkan kefahaman dalam pengajaran dan pembelajaran.

Monday, February 22, 2010

KESETIAAN BERSAMAMU

Kesetiaan adalah merupakan sifat yang terkandung dalam keperibadian seseorang yang menyenangkan. Dalam kita bersahabat, kesetiaan adalah amat diperlukan. Begitu juga seandainya kita berada di dalam alam percintaan, kesetiaan adalah amat dituntut bagi memelihara kasih sayang antara kita dengan pasangan kita.

Sebelum saya meneruskan tulisan ini yang berkaitan dengan kesetiaan ini, teringat saya pada hari ini (22 Februari 2010) merupakan hari ulang tahun kelahiran seseorang yang penting bagi saya. Oleh itu, di sini saya melafazkan ucapan "selamat hari jadi" kepada Mohazam. Semoga Allah merestui usiamu yang lampau dan juga yang mendatang. Pohonlah kepada Allah agar dikurniakan kemewahan dunia dan akhirat. Tanamkan sifat kesetiaan yang sepenuh dalam dirimu.

Hari ini juga adalah hari kelahiran "Bapa Bangsa Amerika", George Washington. Secara kebetulan, sesuatu yang kita renungkan hari ini boleh dikatakan sifat yang ada pada peribadi orang besar ini. Oleh itu, kepada Mohazam, sifat yang ada pada George Washington wajar ada dalam diri sebagai pendorong ke arah kesetiaan yang abadi.

Kesetiaan adalah kepercayaan, sentiasa melaksanakan dan mengabdi kepada tugas atau kewajipan terhadap seseorang atau sesuatu. Tugas dan kewajipan adalah suatu yang wujud dari pancaran peribadi. Oleh itu, kesetiaan adalah sifat yang hanya dipelajari oleh setiap manusia sejak memasuki usia dewasa.

Setia bererti jujur. Jujur kepada Yang Maha Berkuasa. Jujur kepada diri sendiri. Jujur kepada negara. Jujur kepada pemimpin. Jujur kepada keluarga. jujur kepada kawan dan juga jujur kepada setiap kemanusiaan.Jujur tersebut boleh dizahirkan serta disemadikan di mana-mana.

Cuba kita lihat sekitar diri kita dan apakah yang kelihatan? Dalam setiap perjalanan hidup, kita akan menemui individu yang penipu, putare belitserta busuk hati. Kumpulan ini mencari kejayaan dengan merosakkan peraturan asasi. Karakter penipu ini boleh kita samakan dengan cuba menyelesaikan persoalan kira-kira dengan melanggar "hukum matematik".

Cepat atau lambat ganjaran yang akan diterima dan bayarannya boleh dalam bentuk sama atau berbeza dengan pelanggaran itu. Keadaan alam selalu kembali pada keseimbangan.

Tidak ada orang yang boleh menyandarkan tanggungjawab tanpa adanya tingkat kekuasaan yang sebanding. Tidak ada orang yang dapat menikmati kehormatan tanpa menyandarkan kewajipan yang sebanding.

"Gunakan atau musnahnya" adalah semboyan alam. Kebijaksanaan praktikal memberitahu kita, kalau kita tidak memenuhi kewajipan, menunjukkan rasa setia maka kita tidak menampilkan kemampuan terbaik dalam diri kita.

Sunday, February 21, 2010

MASIH ADA HUKUM SYAYYET?

"Belajar cara belajar". Begitulah tajuk buku yang amat digemari. Melalui buku ini kita akan belajar bagaimana kita ingin belajar. Buku ini banyak memberi faedah kepada semua peringkat yang ingin belajar. Belajar cara belajar memberi penekanan yang mendalam cara-cara yang terbaik untuk kita belajar mengikut peringkat umur dan pencapaian.


Banyak cara kita belajar. Ada yang belajar dengan hadir ke kelas-kelas. Ada yang belajar melalui pos. Ada juga yang belajar melalui internet. Salah satu cara kita belajar adalah melalui pengalaman. Belajar melalui pengalaman ini adalah lebih berkesan kerana ianya dilalui atau dialami oleh kita sendiri.


Memang menjadi kebiasaan kepada kita belajar melalui pengalaman. Pengalaman tersebut boleh dilalui oleh diri kita sendiri atau pun melalui penceritaan pengalaman rakan atau sahabat. Pengalaman akan menjadikan seseorang itu lebih matang dan bersedia untuk menghadapi kehidupan masa mendatang.


Kalau dulu, aku menceritakan bagaimana pengalaman menghadapi situasi mencemaskan apabila nyaris kena sumpit, kali ini ingin pula aku menceritakan pengalaman mengenai “hukum syayyet”. Pengalaman ini aku harap dapat dikongsi bersama dengan mereka yang mungkin tidak pernah merasainya.


Apakah bendanya “hukum syayyet” ini? Menurut penceritaan dari orang Asli (suku kaum Temiar), semasa aku bertugas di perkampungan mereka, “hukum syayyet” ini amat dipatuhi dan diikuti sepenuhnya oleh mereka. Menurut mereka adalah buruk padahnya apabila “hukum syayyet” ini dicerobohi atau dilanggar.


“Hukum syayyet” ini mengutamakan kanak-kanak atau anak-anak. Kanak-kanak atau anak-anak diagungkan dan setiap apa yang disuarakan oleh kanak-kanak atau anak-anak pasti diikuti atau dipatuhi. Kanak-kanak atau anak-anak mempunyai kuasa yang besar walaupun terdapat apa yang disuarakan itu akan merugikan mereka kelak.


“Hukum syayyet” adalah bermaksud “hukum kanak-kanak”. Hukum ini terkandung dan diamalkan oleh masyarakat orang Asli. Kanak-kanak atau anak-anak mempunyai peranan atau kuasa yang amat tinggi kerana ia boleh menidakkan perintah atau arahan dari ibu bapa atau penjaga.


Walau bagaimanapun “hukum syayyet” ini sedikit demi sedikit ditolak dan dikikis apabila masyarakat orang Asli ini terdedah dengan dunia luar. Percampuran dan pergaulan mereka dengan komuniti luar telah banyak mengubah cara hidup mereka. Mereka telah mula meninggalkan banyak pantang larang dan termasuk “hukum syayyet” tersebut.


Perkara-perkara yang terkandung di dalam “hukum syayyet” ini adalah apabila anak-anak membuat pilihan untuk tidak ke sekolah pada hari itu, ibu bapa atau penjaga akan akur. Anak-anak tidak boleh dipaksa oleh ibu bapa atau penjaga. Kedudukan ini adalah salah satu punca mengapa anak-anak orang Asli ketinggalan dalam bidang akademik.


Begitu juga apabila anak-anak tidak mahu membantu ibu bapa untuk mencari rezeki. Pencarian rezeki bagi masyarakat orang Asli ketika itu adalah mencari rotan, menebang buluh, memungut petai, mengumpul madu lebah dan sebagainya. Ada juga dikalangan mereka yang pergi menoreh getah sebagai pencarian harian mereka.


Apabila murid-murid dari anak-anak orang Asli ini tidak hadir ke sekolah, guru-guru akan pergi menjejaki mereka ke rumah. Di sini kita boleh melihat bagaimana ibu bapa atau penjaga akan menyerah seratus peratus kepada anak-anak mereka untuk membuat keputusan. Di sinilah peranan guru-guru diperlukan untuk memujuk anak-anak orang Asli ini supaya hadir ke sekolah.


Melalui kunjungan rumah ke rumah atau kampung ke kampung oleh guru-guru ini telah banyak membawa perubahan kepada anak-anak orang Asli. “Hukum syayyet” sedikit demi sedikit ditinggalkan. Pada masa kini telah ramai anak-anak orang Asli yang telah berjaya dalam bidang akademik dan juga berjaya dalam kerjaya mereka.


Di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, terdapat seorang doktor yang sedang berkhidmat di situ. Doktor ini adalah berasal dari masyarakat orang Asli. Disamping itu, terdapat ramai juga di kalangan mereka yang telah menjadi guru, pegawai-pegawai di jabatan-jabatan kerajaan, pegawai-pegawai di sektor-sektor swasta, menjadi usahawan-usahawan yang berjaya dan sebagainya.


Pada masa ini, “hukum syayyet” boleh diibaratkan tinggal kenangan dan tinggal sejarah sahaja. "Hukum syayyet" ini telah pun mereka tinggalkan sama seperti mereka telah meninggalkan “hukum merotan” yang dikatakan “sial” bagi mereka. Kini rotan telah dianggap sebagai "pembolehubah" kepada mereka.


Meninggalkan “hukum syayyet” ini telah banyak memberi perubahan cara hidup mereka. Kepentingan pelajaran kini lebih diutamakan demi untuk masa depan anak-anak mereka. Guru-guru yang berkhidmat di sekolah murid orang Asli juga berperanan dalam perubahan ini.

Friday, February 19, 2010

CINTA ITU ADA DI MANA-MANA?

"Hidup adalah bunga dan cinta adalah madunya."

Cinta adalah perasaan atau berperasaan
yang sangat sayang kepada sesuatu. Cinta ini boleh disampaikan atau diberikan kepada pelbagai aspek. Cinta kepada negara melalui mempertahankan kedaulatan negara. Cinta kepada orang tua dengan hormat dan mentaatinya. Cinta kepada kekasih dengan kasih sayangnya. Cinta kepada keamanan dengan membenci kepada peperangan dan sebagainya.

Cinta boleh dianggap sebagai unsur penentu dalam kehidupan. Ini jika dilihat dari berbagai aspek atau peringkat. Cinta juga menjadi 'peralatan' alam yang sangat hebat. Cinta akan menjadi pengikat dan boleh menyatukan jiwa masyarakat dunia ini. Cinta juga boleh memutuskan perhubungan antara dua pihak. Namun terdapat juga cinta yang boleh menyatukan dua pihak yang tidak sehaluan.

Kata cinta adalah merupakan istilah umum dan amat luas pengertiannya. Ia digunakan untuk melukiskan pelbagai tingkat perasaan yang ada pada seseorang manusia. Perasaan cinta ini dimulai dengan menyukai berbagai perkara sehinggalah kepada perasaan satu dengan Tuhan dan ciptaan-Nya.

Dalam tingkat duniawi ini, bentuk cinta yang tertinggi boleh kita temui dengan penyatuan seorang lelaki dan seorang perempuan. Ianya diterjemahkan melalui perkahwinan. Cinta adalah satu keanggunan yang unggul bagi manusia. Ia merupakan hak yang paling mulia yang datang dari jiwa. Ia sebagai rantau emas yang mengikat kita dengan tugas dan kebenaran. Ia juga sebagai prinsip yang utama dalam menentukan kedamaian hidup dan merupakan suati kebaikan yang abadi.

Segala bentuk cinta seharusnya merupakan batu loncatan kita mendampingi Tuhan. Penyatuan cinta dalamm perkahwinan wujud melalui kemurnian moral. Ia juga lahir melalui keikhlasan yang berdasarkan kepada perhargaan dan hormat antara satu sama lain. Hubungan ini akan meningkatkan aspirasi. Memperluaskan batin dan meransang kekuatan mental. Hubungan imitatif yang dilakukan di luar perkahwinan yang sah merupakan perlepasan nafsu semata. Ini akan merosakkan kualiti hati dan pertumbuhan mental.

Di antara sekian banyak bentuk pelbagai dari isltilah ini, maka terdapat kehangatan hubungan personal yang terjadi dengan kawan dan jiran. Tentunya juga harus diingat tentang perasaan mendalam yang terjadi dalam lingkungan keluarga. Umpamanya hubungan antara orang tua dengan anak-anak, hubungan antara kakak dengan adik dan hubungan dengan anggota keluarga yang lain.

Kita juga sering menjumpai adanya cinta sebagi suatu rasa suka yang kuat terhadap sesuatu. Ada rasa cinta kita kepada hobi atau kegemaran. Ini boleh dilihat melalui asyiknya seseorang kepada hobi atau kegemarannya. Keasyikan seorang pemancing dapat kita lihat betapa cintanya ia kepada memancing. Begitu juga dengan yang lain seperti pengumpul setem, membaca dan sebagainya.

"Apa yang pasti seseorang yang tidak mempunyai rasa cinta boleh dianggap tidak mengenal Tuhan kerana Tuhan adalah cinta."

Wednesday, February 17, 2010

KEJAYAAN ADALAH MELALUI KEJUJURAN

"Setiap perkosaan terhadap kebenaran adalah suatu penyakit bagi masyarakat manusia yang sihat."

Kehormatan bagi seorang manusia adalah yang tertinggi. Tiada yang lebih baik selain memelihara kehormatan dari tercemar dan ternoda. Adalah sewajarnya kehormatan bagi setiap manusia itu dipelihara dan dijaga rapi. Oleh itu, keyakinan diri adalah perlu dalam memelihara kehormatan. Kejayaan kita memelihara kehormatan adalah melalui kejujuran.

Telah dapat dilihat bahawa jalan yang paling menyakinkan untuk kehormatan, keyakinan diri dan kejayaan adalah kejujuran. Manakala jalan paling pendek untuk menuju kegagalan adalah dengan membuat kekeliruan.

Kejujuran itu adalah satu sifat yang sewajarnya sentiasa tertanam dalam diri kita. Kejujuran perlu berterusan dan berpanjangan. Kejujuran tidak sepatutnya dilakukan sekadar sebagai peraturan modal boleh diikuti dan boleh ditinggalkan berdasarkan keadaan hidup yang sedang dihadapi. Kejujuran adalah kualiti yang penting bagi hidup kita. Kejujuran adalah seperti darah yang sentiasa mengalir kalam pembuluh badan kita.

"Apa sahaja yang disemai oleh seseorang, pastinya ia akan memetik hasilnya." Ia adalah suatu pernyataan tentang 'hukum gantian' yang seharusnya difahami oleh manusia sejak usia awal sebagai suatu kebenaran hidup. Kita mungkin sahaja menolak hukum yang dibuat oleh manusia tetapi tidak mungkin dapat menentang 'hukum alam'.

Setiap apa yang kita lakukan, pastinya akan kembali kepada kita sebagai suatu kebaikan atau seksaan. Kehangatan cahaya matahari itu adalah kebaikannya kepada diri kita tetapi sekiranya berlebihan, maka kita akan terbakar kerananya. Umpama api, kecil menjadi kawan tetapi bila besar akan menjadi lawan.

Ketidakjujuran atau penyimpangan adalah merupakan kekeliruan dalam karakter. Orang yang tidak jujur itu adalah penyeleweng (tidak amanah). Orang yang tidak jujur ini boleh didapati di mana-mana. Ada yang terdapat dalam penjara dan ada yang hidup bebas tanpa dibelenggui rasa bersalah. Ada yang mempunyai kekayaan yang melimpah ruah dan ada juga dikalangan yang papa kedana.

Ketidakjujuran merupakan suatu penyimpangan dari hak asasi manusia. Tindakan ini adalah tidak alamiah dan boleh menghancurkan jiwa kita. Ketidakjujuran itu tidak mengira siapa. Apa yang pasti ketidakjujuran perlu terus dihindarkan dari jiwa kita. Buangkan ketidakjujuran itu dan ambillah kejujuran dalam diri kita.

"Kalau aku menolong kamu, apakah kamu akan bertindak jujur?" Ini adalah sepatutnya kata-kata yang keluar dari seseorang yang ingin mencari kebenaran dan kejujuran. Jawapan yang sepatutnya diterima melalui persoalan di atas ialah, "Saya akan tetap jujur, sama ada tuan membantu saya atau pun tidak."

Oleh itu, jangan kita terhina apabila kita kaya raya diletakkan bersama orang yang miskin. Kita mestilah berada di suatu tempat yang menjunjung tinggi karakter dan bukannya menyanjung tinggi harta benda.

Monday, February 15, 2010

MILIKILAH KESEDERHANAAN DAN KELEMBUTAN

"Seseorang itu tidak akan memiliki sikap lembut kalau tidak memiliki hati yang lembut."

Kesederhanaan dan kelembutan adalah unsur penting untuk mencapai kejayaan. Unsur ini bukan dirumuskan oleh kumpulan minoriti dalam masyarakat tetapi boleh dikatakan oleh semua pihak terutama oleh para penulis dalam abad ini. Ibarat hujan yang turun, kesederhanaan dan kelembutan seringkali akan memberikan hasil yang sangat menguntungkan.

Bagi mereka yang digerakkan oleh semangat kesederhanaan dan kelembutan akan dapat mengerahkan segala tenaganya kepada sebarang tindakan. Semangat ini tidak akan membiarkan pembaziran dalam keriuhan, melainkan akan menuju ke arah yang tepat melalui pengertian yang tenang dan sepenuhnya.

Kesederhanaan dan kelembutan akan terlibat dalam penampilan seseorang sebagai suatu kewujudan yang lahir dari hati dan akalnya. Melalui kata-katanya yang bersopan maka akan terdapat suatu kekuatan yang istimewa yang tidak ada pada orang lain.

Kesederhanaan dan kelembutan merupakan pengimbang yang sangat hebat. Situasi ini bagaikan penjaga kepada kita agar tetap berada pada landasan yang benar lagi penuh mantap. Pembawaan kesederhanaan dan kelembutan bukannya lahir kerana kejayaan. Ia juga bukannya menjadi hancur kerana kegagalan. Kesederhanaan dan kelembutan akan menjadi menjadi pembawaan yang tetap untuk mempertahankan secara kukuh kepada peribadi yang memilikinya.

Dalam aspek ini, cuba kita lihat dan cuba kita amati para pemimpin di semua peringkat atau bidang. Kita boleh melihat pemimpin lembaga kewangan, pemimpin perusahaan industri, para majikan di dunia korporat dan para tokoh dunia. Dari mereka akan diperolehi kenyataan bahawa salah satu sifat yang paling menarik pada mereka adalah kesederhanaan dan kelembutan. Melalui proses inilah kelakuan yang bersopan dapat dilahirkan.

Kebanyakan mereka ini bukanlah orang yang angkuh dan mengada-ngada. Sebaliknya, mereka adalah orang yang sopan dan peramah terhadap orang lain. Mereka ini juga mudah didekati dan amat disenangi.

Kesederhaan dan kelembutan ini diibaratkan seperti pengaruh dalam diam. Ianya bagaikan cahaya yang memberikan warna bagi alam. Sifat ini jauh lebih kuat pengaruhnya daripada bentakan atau paksaan. Ia juga jauh lebih indah dari segala keindahan.

Sifat kesederhanaan dan kelembutan akan mengukuhkan jalan secara diam-diam. Diibarat seperti bunga bakung yang cantik di musim bunga yang menyembul keluar dari dalam tanah.

Friday, February 12, 2010

MEMBENTUK KOMUNIKASI YANG BERKESAN

"Lakukannya kepada semua orang seakan-akan kita sedang menghadapi tetamu terkemuka."

Ramah adalah satu sifat seseorang yang elok dan menarik budi bahasanya terhadap sesiapa yang berhubungan atau berkomunikasi dengannya. Oleh itu, seseorang yang peramah amat mudah didekati dan senang dihubungi. Namun ada juga seseorang yang ramah tapi apabila berbicara mengandungi ungkapan sinis yang boleh menghalang komunikasi yang berkesan.

Perkara yang ingin ditekankan di sini adalah bagi orang yang peramah itu adalah orang yang tidak sukar untuk didekati. Ianya mudah diajak berbicara. Pembawaannya yang bersopan akan mengekalkan persahabatan. Ia juga sederhana dan tidak suka mengasingkan diri. Tidak kaku dalam berkomunikasi dengan orang lain.

Sifat peramah adalah amat penting apabila kita sentiasa berhubungan dengan komuniti atau masyarakat umum. Seharusnya ia tidak terlepas dari semua bentuk hubungan sosial. Secara umumnya adalah amat sedikit yang mempraktikkan mesti pun perkara ini boleh meletakkan kita ke tempat yang tinggi dalam kehidupan ini.

Seseorang yang peramah boleh berhadapan secara mudah dengan siapa sahaja dalam semua lapisan masyarakat. Ada kata-kata mutiara yang menyatakan, " Lakukan kepada semua orangt seakan-akan kita sedang menghadapi tetamu terkemuka". Kata-kata ini menegaskan bahawa sifat peramah itu perlu diamalkan pada semua peringkat sama ada dengan orang 'kebanyakan' atau pun dengan orang 'atasan'.

Kejayaan yang terbesar adalah kemampuan berkomunikasi dengan segala jenis orang. Kita harus yakin tentang keramahan ini dan harus sentiasa mempraktikkannya sekiranya kita bermaksud menjadikannya sebagai sifat kita.

Keramahan yang pura-pura atau dibuat-buat mungkin sahaja menarik perhatian beberapa orang dalam saat-saat tertentu. Perkara ini akan nampak jelas bagi orang-orang yang cerdas. Ia diibaratkan, "sejelas minyak yang mengapung di permukaan air."

Ada orang-orang yang mencapai kejayaan atau mempunyai kedudukan tertentu atau kekuasaan kerana ia adalah seorang pelakon. Ada juga yang merupakan penampil yang baik. Kebanyakan orang yang berjaya adalah orang yang mampu membongkar segala kepura-puraan dalam setiap penampilannya.

Kejayaan sementara sering dapat diramalkan dengan melihat cara bertindak seseorang ketika kali pertamanya merasakan kejayaan. Jika kejayaan atau wang membuatnya lupa daratan, jika ia menjadi angkuh, mengasingkan diri dan tidak mahu berhubungan lagi dengan orang lain maka dapat dipastikan bahawa kejayaannya itu sementara sahaja. Bibit kejayaan tidak terdapat dalam dirinya.

Wednesday, February 10, 2010

MARTABAT DIRI YANG SEJATI

"Yang memuliakan segala jenis kesopanan itu adalah martabat."

Martabat yang sejati bukannya lahir dari sifat yang mementingkan diri sendiri. Ia lahir dari kebaikan hati. Ia juga lahir dari perasaan yang mementingkan hidup. Martabat sejati akan berlaku adil. Keadilan yang dibuat adalah sangat dituntut. Oleh itu keputusan yang 'berat sebelah' tidak pernah wujud demi untuk melahirkan martabat yang sejati. Kewujudan luarnya tidak pernah berlebihan.

Jika kita menganggap bahawa nasib yang diberikan oleh Maha Pencipta kepada kita hanyalah yang buruk, maka akan sulitlah bagi kita atau tidak mungkin sama sekali untuk kita mengembangkan suatu martabat yang sejati.

Sekiranya kita menyakini bahawa kita adalah ciptaan hidup dari Tuhan, maka kita akan merasakan bahawa diri kita itu berharga. Kita akan merasa tanggungjawab yang mana akan menghasilkan karakter bermartabat yang sejati.

Martabat tidak wajar atau tidak boleh dirosakkan oleh perasaan kebanggaan. Ia juga terpelihara dari kesombongan dan keegoaan. Martabat berasal dari perasaan yang mengagungkan dengan penciptaan suci. Martabat yang sejati akan memancar dari dalam diri kita.

Kebanggaan, kesombongan, keangkuhan dan kebongkakkan mempunyai pergantungan kepada hal-hal jasmaniah. Ia berkait rapat dengan kekayaan, jawatan dan kekuasaan. Oleh itu, singkirkanlah hal-hal jasmaniah itu dari orang yang bersangkutan. Semua kebanggaan itu akan musnah seperti belon yang kempis.

Martabat yang sejati itu wujud bila ada kemanusiaan. Perkara ini tidak akan diperolehi denhgan cara yang mudah. Ianya boleh didapati dalam bentuk kesederhanaan. Kualiti yang memuliakan diri kita boleh didapati pada diri orang kaya juga orang yang miskin. Perlu diingatkan bahawa orang yang miskin menjadi kaya sekiranya memiliki martabat yang sejati. Orang kaya akan menjadi miskin tanpanya.

Apabila seseorang mempunyai kesedaran yang cukup tentang harga dirinya maka ia akan mempunyai kehendak yang secukupnya untuk menghargai orang lain. Seseorang itu perlu menunjukkan martabat yang sejati dalam sikapnya dan perlu menghormati orang lain.

Monday, February 8, 2010

ERTI SEBUAH KEGEMBIRAAN

"Matahari bersinar setelah badai menghilang, selalunya ada pemecahan bagi setiap masalah dan tugas yang tertinggi dari jiwa adalah untuk bergembira. Maka jadikanlah diri berada di dalam kegembiraan kerana kegembiraan itu akan mengatasi segalanya."

Gembira lawannya sedih, maka kegembiraan lawannya kesedihan. Kegembiraan berasal dari perkataan gembira yang membawa erti sangat suka, sangat girang dan sangat besar hati. Kegembiraan pula membawa erti keadaan gembira, kesukaan, kegirangan, kebanggaan dan keberanian.

Kegembiraan adalah harta kejayaan yang paling berharga. Ianya adalah merupakan suatu tonik yang paling hebat di dunia bagi akal dan juga tubuh badan kita. Manfaat yang tidak ternilai dari kegembiraan yang tidak perlu dibayar dengan apa pun. Melalui kegembiraan, kita akan dapat nikmati hidup yang boleh kita hayati.

Apakah kita pernah terfikir. mengapakah begitu ramai makhluk yang berwajah menyedihkan di muka bumi ini? Ramai orang tak kira yang sedang berjalan atau duduk dan sebagainya terutama yang hilir mudik dengan wajah yang membayangkan penderitaan atau kesedihan. Keadaan muka yang muran ini akan merisaukan orang yang lain. Kadang-kadang orang lain harus melihat dua kali demi untuk menyakinkan diri apakah si muka muram itu bukannya memakai topeng.

Khalayak akan melihat orang ini seperti anak ayam kehilangan ibu atau seperti tikus kuyup kerana mereka belum tahu siapa mereka. Dari mana asal usul mereka. Tidak tahu kemana arah yang mereka hendak pergi. Pada dasarnya mereka ini belum dapat mengenal diri mereka sendiri.

Apabila manusia mengetahui bahawa mereka adalah ciptaan Tuhan Yang Mana Agong, bahawa diri mereka adalah sebahagian gabungan dari hukum, peraturan dan rancangan. Mereka bukannya tercipta secara kebetulan maka ia akan mulai tahu tentang nilai diri mereka. Pengenalan diri ini akan terlibat melalui penampilan mereka, suara mereka, cara jalan mereka dan umumnya seluruh tindakan fizikal mereka.

Mungkin saja seseorang itu memiliki sejumlah besar kekayaan material. Mungkin juga mempunyai jawatan tinggi dalam pemerintahan. Juga mungkin menjadi putera mahkota atau mempunyai kekuasaan besar dalam dunia ini. Namun semua itu tidak bererti bila dibandingkan dengan harga sebuah kegembiraan.

Mengapakah perlu kita meletakkan diri kita berada di dalam kesedihan, pada hal kita sudah pun bersedia untuk menikmati kegembiraan?

Saturday, February 6, 2010

BERFIKIRLAH SEBELUM BERBICARA

"setiap kali kita berbicara, fikiran kita sedang tersusun."

Berkomunikasi adalah sebagai penghubung antara dua pihak dan juga selebihnya. Ia juga boleh disamakan dengan maksud berbicara. Pelbagai cara berkomunikasi atau berbicara dapat kita lakukan untuk memberi kefahaman kepada pihak yang menerima. Apabila kedua-dua pihak boleh berkomunikasi serta faham isi kandungannya maka dianggap sebagai komunikasi yang berkesan.

Oleh itu, seni (cara) berkomunikasi atau berbicara berperanan penting dalam menentukan kemampuan kita untuk berkomunikasi secara berkesan. Umpamanya, seseorang penjual ubat itu, keuntungan dan pendapatan yang diterima adalah juga bergantung kemampuannya mempengaruhi orang ramai. Adakah mereka akan bercakap secara benar atau sebaliknya.

Begitu juga ketika kita berkawan. Kawan akan kita perolehi atau akan hilang melalui komunikasi kita. Seseorang yang jujur akan berkomunikasi secara positif dan manakala yang sebaliknya akan berkomunikasi secara negatif. Maka jelaslah kepada kita bahawa percakapan atau komunikasi itu mempunyai peranan penting dalam kehidupan kita semua.

Salah satu hukum pertama seni bercakap ialah menganjurkan agar kita jangan terlalu banyak berbicara tentang diri kira sendiri. Ramai antara kita yang mempunyai kecenderungan untuk bercerita tentang dirinya sendiri dan para pendengarnya pula berusaha agar cepat dapat keluar dari situasi itu.

Sama ada kita berkerja sebagai juru jual atau pun bukan, kita tetap sahaja akan menjual diri kita melalui percakapan yang kita lakukan dengan orang lain. Dari percakapan ini akan memberikan hasil yang baik atau tidak adalah bergantung kepada pendengar kita iaitu sama ada mereka tertarik atau pun tidak.

Kita seharusnya berusaha sekeras mungkin untuk menghindar istilah 'saya' dalam percakapan. Jika kita ingin mengajak lawan bicara kita agar membicarakan dirinya atau membicarakan tentang sesuatu yang menarik hatinya, maka biarlah ia berbicara. Ia mungkin membuat kita berasa sangat bosan tetapi ia dengan bersungguh-sungguh akan menganggap kita sebagai teman bicara yang hebat.

Jadilah pendengar yang baik. Memang lebih mudah mengucapkan dari melakukan tetapi cubalah untuk mempraktikkannya. Kembangkanlah kemmapuan kita untuk mendengar dengan penuh perhatian terhadap apa yang diucapkan oleh orang lain.

Ramai orang yang terkemuka menyatakan bahawa menjadi pendengar yang baik adalah suatu sifat berharga bagi mereka yang mengejar kejayaan. Sesekali kemukakan pertanyaan yang bermanfaat untuk membuat para pendengar tetap memberikan perhatiannya. Sebenarnya perkara inilah yang memungkinkan peranan bagi pendengar.

Masukkan perasaan ke dalam kata-kata kita dengan memberikan perubahan tekan suara ketika kita berbicara. Berfikir, berfikir dan berfikir, baru berbicara.

Thursday, February 4, 2010

MEMBERI LEBIH BAIK DARI MENERIMA

"Dengan memberi dan bukannya menerima, kita boleh menjadi kaya."

Kebajikan yang dihulurkan biasanya terdapat beberapa peringkat. Ada kebajikan yang tinggi, sederhana dan rendah diberikan oleh setiap lapisan masyarakat. Kebajikan tidak semestinya di perolehi dari golongan atasan kepada golongan bawahan. Ada ketikanya kebajikan boleh diberi oleh golongan bawahan kepada golongan atasan. Kebajikan tersebut disampaikan adalah mengikut keperluan.

Kebiasaannya kebajikan secara sederhana boleh dianggapkan sebagai kehendak bagi kita melakukan sesuatu yang baik kepada orang lain. Melakukan sesuatu yang baik adalah satu-satunya kebahagiaan yang pasti dirasai dalam kehidupan manusia. Penerima kebajikan pasti akan menyanjungi sumbangan kebajikan dari pemberi.


Kejayaan yang sebenar dalam kehidupan ini adalah dengan melibatkan orang lain. Kejayaan tidak kedekut, tidak berpusat kepada diri sendiri dan ia tidak bersifat individual dalam erti yang sempit. seseorang itu tidak boleh benar-benar menjadi kaya kalau ia hanya mementingkan diri sendiri.


Oleh itu, ikutilah kebijaksanaan secara praktikal dalam menghadapi mereka yang berjuang untuk kejayaan. Biasakanlah dengan ucapan kata-kata semangat yang boleh membantu mereka yang tidak berjaya. Ingatlah, apabila kita membantu orang lain untuk mencapai tahap yang lebih tinggi maka sebenarnya kita juga telah meningkatkan diri kita sendiri.


Kebaikan terhadap orang lain itu adalah suatu manifestasi dari kebaikan dan cinta yang ada dalam diri kita. Kebajikan adalah suatu gambaran bagi menampakkan kualiti diri kita. Melakukan sesuatu yang baik walaupun kecil ianya akan terus berkembang di dunia. Kita adalah seharusnya tidak mengharapkan pembalasan atau imbuhan secara peribadi terhadap kebajikan yang telah kita lakukan itu.

Kebajikan dari beberapa orang jutawan itu sebenarnya terbatas untuk maksud menciptakan peringatan bagi diri mereka sendiri. Sememangnya ramai orang yang memberikan sesuatu sumbangan kepada masyarakat akan menghebahkan kebaikannya itu seandainya mempunyai maksud yang tersirat terutama yang mempunyai kepentingan sesuatu.

Mereka ini bukanlah orang yang 'baik' dalam erti kata yang sebenarnya. Barangkali jumlah harta yang ada telah meletakkan jutawan namun sebenarnya mereka itu merupakan manusia yang kerdil. Darjat mereka adalah sama dengan manusia yang lain.

Sekuntum bunga akan menghasilkan keharumannya. Namun begitu, kemekaran kelopaknya itu tidak akan dapat menarik perhatian semua walau pun keindahannya itu ditujukan kepada semua. Oleh itu, kebaikan kita sewajarnya dihulurkan kepada segenap lapisan manusia. Hati yang penuh kasih itu, seharusnya nampak dalam kebaikan yang ditujukan kepada semua orang.

Hati yang lapang adalah merupakan suatu yang suci. Manakala jiwa yang paling baik adalah jiwa yang paling dekat dengan Tuhan. Sifat ego adalah merupakan akar bagi setiap kejahatan (penyakit). Manakala kebaikan itu adalah ubat kepada penyakit tersebut.

Menghulurkan kebajikan dan kebaikan adalah salah satu cara untuk kita mendekati diri dengan Tuhan. Oleh itu cuba dekati diri kita dengan Tuhan dan nescaya Tuhan akan mendekati diri kita.

Tuesday, February 2, 2010

"HANTARLAH KE MANA JUA"

Hari ini aku memang betul-betul panas. Bukan suhu politik Malaysia yang memang sentiasa panas yang telah memanaskan aku. Juga bukan suhu ekonomi Malaysia yang sentiasa hangat masa kini yang telah menjadikan aku panas. Juga bukan situasi politik negeri Perak (negeri kelahiran aku) yang tidak menentukan itu yang aku berasa panas. Panas aku ini tak memerlukan 'ENO' untuk menyejukkannya.

Sebenarnya aku panas hati dengan seorang guru baru Bahasa Inggeris. Guru ini yang sepatutnya telah datang untuk bertugas di sekolah ini sampai sekarang masih belum menampakkan muka. Bayangkanlah bagaimana 'terpaksa'nya guru-guru di sini membuat 'relief' untuknya. Sepatutnya kena melaporkan diri pada 4 Januari 2010 yang lalu, namun sampai sekarang (2 Februari 2010)belum nampak bayangnya.

Maka bertambahlah 'baran'nya aku bila mendengar 'cikgu' tersebut sudah pun melaporkan diri di sebuah sekolah di bandar. "Apa? Sekolah kat kampung ni teruk sesangat ke?" bentak hatiku. Menambahkan panasnya hati aku ini bila diberitahu oleh seseorang bahawa 'cikgu' tu anak 'VIP'. Bila jadi anak 'VIP' bolehlah nak 'posting' kat mana-mana ke? Lebih baik suruh 'bapak' dia buat sekolah dekat rumah dia lagi senang.

"Buat sekolah dekat rumah!" Ini adalah kata-kata keramat yang sering diluahkan oleh 'pegawai' di PPD apabila adanya guru-guru baru 'posting' yang merayu minta ditempatkan dekat dengan rumah mereka. Adakah kata-kata keramat itu diluahkan kepada semua guru yang membuat rayuan, tak kira anak siapa pun? Atau hanya kepada anak-anak dari 'kelas bawahan' atau 'orang kebanyakan'? Untungnya menjadi anak 'VIP' atau 'orang atasan'.

Bila aku kenang-kenangkan, kasihan sungguh anak-anak orang kebanyakan bila menjadi guru. Ada yang kena posting jauh serta di pedalaman pula. Tak ada pula mereka merayu nak 'baring bawah ketiak emak'. Dari semenanjung posting ke Sabah atau Sarawak. Sabah atau Sarawak kena posting ke semenanjung. Mereka akan patuh pada surat arahan penempatan yang diterima.

Di maktab (kolej) sebelum dipostingkan bukan main lagi berikrar dengan nyanyian:-
"Kami guru Malaysia
berjanji dan berikrar
mendidik dan memimpin
putera puteri negara kita."

Slogan "hantarlah ke mana jua" yang diikrarkan masa belum diposting hanya tinggal slogan sahaja. Kata-kata itu hanya sedap di dengar sahaja. Terkenang aku semasa mengajar di sekolah murid orang Asli dulu. Seorang guru perempuan telah dipostingkan ke sana. Bayangkan betapa susah payahnya guru ini untuk datang ke sekolah yang hanya boleh dihubungi dengan kenderaan 'empat pacuan' atau motosikal sahaja. Guru tersebut sanggup menerima penempatan tersebut tanpa membuat rayuan. Adakah kita boleh begitu?

Itulah sebabnya di bandar-bandar terdapat guru yang berlebihan. Tak kiralah dalam 'opsyen' apa pun, terutamanya guru perempuan. Guru-guru yang telah berkhidmat jauh di perantauan agak susah bertukar ke bandar tempat asal mereka. Kalau ada pun yang dapat, mereka ini di tempatkan di daerah-daerah yang berhampiran. Sudahlah mereka lama berkhidmat di Sabah dan Sarawak (umpamanya), bila memohon balik ke semenanjung, alangkah sedihnya apabila di tempatkan di negeri lain, bukan negeri yang dipohon. Di manakah silapnya?

Sesungguhnya adalah tidak dinafikan bahawa adalah terlalu sukar untuk berlaku adil dalam penempatan guru ini. Memang susah untuk kita memuaskan hati setiap orang dan memang sukar untuk kita menguruskan manusia. Walau bagaimana pun, adakah situasi sebegini berlaku kerana adalah terlalu sukar untuk kita menghadapi orang atasan atau golongan 'VIP' ini?