Wednesday, February 17, 2010

KEJAYAAN ADALAH MELALUI KEJUJURAN

"Setiap perkosaan terhadap kebenaran adalah suatu penyakit bagi masyarakat manusia yang sihat."

Kehormatan bagi seorang manusia adalah yang tertinggi. Tiada yang lebih baik selain memelihara kehormatan dari tercemar dan ternoda. Adalah sewajarnya kehormatan bagi setiap manusia itu dipelihara dan dijaga rapi. Oleh itu, keyakinan diri adalah perlu dalam memelihara kehormatan. Kejayaan kita memelihara kehormatan adalah melalui kejujuran.

Telah dapat dilihat bahawa jalan yang paling menyakinkan untuk kehormatan, keyakinan diri dan kejayaan adalah kejujuran. Manakala jalan paling pendek untuk menuju kegagalan adalah dengan membuat kekeliruan.

Kejujuran itu adalah satu sifat yang sewajarnya sentiasa tertanam dalam diri kita. Kejujuran perlu berterusan dan berpanjangan. Kejujuran tidak sepatutnya dilakukan sekadar sebagai peraturan modal boleh diikuti dan boleh ditinggalkan berdasarkan keadaan hidup yang sedang dihadapi. Kejujuran adalah kualiti yang penting bagi hidup kita. Kejujuran adalah seperti darah yang sentiasa mengalir kalam pembuluh badan kita.

"Apa sahaja yang disemai oleh seseorang, pastinya ia akan memetik hasilnya." Ia adalah suatu pernyataan tentang 'hukum gantian' yang seharusnya difahami oleh manusia sejak usia awal sebagai suatu kebenaran hidup. Kita mungkin sahaja menolak hukum yang dibuat oleh manusia tetapi tidak mungkin dapat menentang 'hukum alam'.

Setiap apa yang kita lakukan, pastinya akan kembali kepada kita sebagai suatu kebaikan atau seksaan. Kehangatan cahaya matahari itu adalah kebaikannya kepada diri kita tetapi sekiranya berlebihan, maka kita akan terbakar kerananya. Umpama api, kecil menjadi kawan tetapi bila besar akan menjadi lawan.

Ketidakjujuran atau penyimpangan adalah merupakan kekeliruan dalam karakter. Orang yang tidak jujur itu adalah penyeleweng (tidak amanah). Orang yang tidak jujur ini boleh didapati di mana-mana. Ada yang terdapat dalam penjara dan ada yang hidup bebas tanpa dibelenggui rasa bersalah. Ada yang mempunyai kekayaan yang melimpah ruah dan ada juga dikalangan yang papa kedana.

Ketidakjujuran merupakan suatu penyimpangan dari hak asasi manusia. Tindakan ini adalah tidak alamiah dan boleh menghancurkan jiwa kita. Ketidakjujuran itu tidak mengira siapa. Apa yang pasti ketidakjujuran perlu terus dihindarkan dari jiwa kita. Buangkan ketidakjujuran itu dan ambillah kejujuran dalam diri kita.

"Kalau aku menolong kamu, apakah kamu akan bertindak jujur?" Ini adalah sepatutnya kata-kata yang keluar dari seseorang yang ingin mencari kebenaran dan kejujuran. Jawapan yang sepatutnya diterima melalui persoalan di atas ialah, "Saya akan tetap jujur, sama ada tuan membantu saya atau pun tidak."

Oleh itu, jangan kita terhina apabila kita kaya raya diletakkan bersama orang yang miskin. Kita mestilah berada di suatu tempat yang menjunjung tinggi karakter dan bukannya menyanjung tinggi harta benda.

No comments: