Monday, February 15, 2010

MILIKILAH KESEDERHANAAN DAN KELEMBUTAN

"Seseorang itu tidak akan memiliki sikap lembut kalau tidak memiliki hati yang lembut."

Kesederhanaan dan kelembutan adalah unsur penting untuk mencapai kejayaan. Unsur ini bukan dirumuskan oleh kumpulan minoriti dalam masyarakat tetapi boleh dikatakan oleh semua pihak terutama oleh para penulis dalam abad ini. Ibarat hujan yang turun, kesederhanaan dan kelembutan seringkali akan memberikan hasil yang sangat menguntungkan.

Bagi mereka yang digerakkan oleh semangat kesederhanaan dan kelembutan akan dapat mengerahkan segala tenaganya kepada sebarang tindakan. Semangat ini tidak akan membiarkan pembaziran dalam keriuhan, melainkan akan menuju ke arah yang tepat melalui pengertian yang tenang dan sepenuhnya.

Kesederhanaan dan kelembutan akan terlibat dalam penampilan seseorang sebagai suatu kewujudan yang lahir dari hati dan akalnya. Melalui kata-katanya yang bersopan maka akan terdapat suatu kekuatan yang istimewa yang tidak ada pada orang lain.

Kesederhanaan dan kelembutan merupakan pengimbang yang sangat hebat. Situasi ini bagaikan penjaga kepada kita agar tetap berada pada landasan yang benar lagi penuh mantap. Pembawaan kesederhanaan dan kelembutan bukannya lahir kerana kejayaan. Ia juga bukannya menjadi hancur kerana kegagalan. Kesederhanaan dan kelembutan akan menjadi menjadi pembawaan yang tetap untuk mempertahankan secara kukuh kepada peribadi yang memilikinya.

Dalam aspek ini, cuba kita lihat dan cuba kita amati para pemimpin di semua peringkat atau bidang. Kita boleh melihat pemimpin lembaga kewangan, pemimpin perusahaan industri, para majikan di dunia korporat dan para tokoh dunia. Dari mereka akan diperolehi kenyataan bahawa salah satu sifat yang paling menarik pada mereka adalah kesederhanaan dan kelembutan. Melalui proses inilah kelakuan yang bersopan dapat dilahirkan.

Kebanyakan mereka ini bukanlah orang yang angkuh dan mengada-ngada. Sebaliknya, mereka adalah orang yang sopan dan peramah terhadap orang lain. Mereka ini juga mudah didekati dan amat disenangi.

Kesederhaan dan kelembutan ini diibaratkan seperti pengaruh dalam diam. Ianya bagaikan cahaya yang memberikan warna bagi alam. Sifat ini jauh lebih kuat pengaruhnya daripada bentakan atau paksaan. Ia juga jauh lebih indah dari segala keindahan.

Sifat kesederhanaan dan kelembutan akan mengukuhkan jalan secara diam-diam. Diibarat seperti bunga bakung yang cantik di musim bunga yang menyembul keluar dari dalam tanah.

No comments: