"Belajar cara belajar". Begitulah tajuk buku yang amat digemari. Melalui buku ini kita akan belajar bagaimana kita ingin belajar. Buku ini banyak memberi faedah kepada semua peringkat yang ingin belajar. Belajar cara belajar memberi penekanan yang mendalam cara-cara yang terbaik untuk kita belajar mengikut peringkat umur dan pencapaian.
Banyak cara kita belajar.
Memang menjadi kebiasaan kepada kita belajar melalui pengalaman. Pengalaman tersebut boleh dilalui oleh diri kita sendiri atau pun melalui penceritaan pengalaman rakan atau sahabat. Pengalaman akan menjadikan seseorang itu lebih matang dan bersedia untuk menghadapi kehidupan masa mendatang.
Kalau dulu, aku menceritakan bagaimana pengalaman menghadapi situasi mencemaskan apabila nyaris kena sumpit, kali ini ingin pula aku menceritakan pengalaman mengenai “hukum syayyet”. Pengalaman ini aku harap dapat dikongsi bersama dengan mereka yang mungkin tidak pernah merasainya.
Apakah bendanya “hukum syayyet” ini? Menurut penceritaan dari orang Asli (suku kaum Temiar), semasa aku bertugas di perkampungan mereka, “hukum syayyet” ini amat dipatuhi dan diikuti sepenuhnya oleh mereka. Menurut mereka adalah buruk padahnya apabila “hukum syayyet” ini dicerobohi atau dilanggar.
“Hukum syayyet” ini mengutamakan kanak-kanak atau anak-anak. Kanak-kanak atau anak-anak diagungkan dan setiap apa yang disuarakan oleh kanak-kanak atau anak-anak pasti diikuti atau dipatuhi. Kanak-kanak atau anak-anak mempunyai kuasa yang besar walaupun terdapat apa yang disuarakan itu akan merugikan mereka kelak.
“Hukum syayyet” adalah bermaksud “hukum kanak-kanak”. Hukum ini terkandung dan diamalkan oleh masyarakat orang Asli. Kanak-kanak atau anak-anak mempunyai peranan atau kuasa yang amat tinggi kerana ia boleh menidakkan perintah atau arahan dari ibu bapa atau penjaga.
Walau bagaimanapun “hukum syayyet” ini sedikit demi sedikit ditolak dan dikikis apabila masyarakat orang Asli ini terdedah dengan dunia luar. Percampuran dan pergaulan mereka dengan komuniti luar telah banyak mengubah cara hidup mereka. Mereka telah mula meninggalkan banyak pantang larang dan termasuk “hukum syayyet” tersebut.
Perkara-perkara yang terkandung di dalam “hukum syayyet” ini adalah apabila anak-anak membuat pilihan untuk tidak ke sekolah pada hari itu, ibu bapa atau penjaga akan akur. Anak-anak tidak boleh dipaksa oleh ibu bapa atau penjaga. Kedudukan ini adalah salah satu punca mengapa anak-anak orang Asli ketinggalan dalam bidang akademik.
Begitu juga apabila anak-anak tidak mahu membantu ibu bapa untuk mencari rezeki. Pencarian rezeki bagi masyarakat orang Asli ketika itu adalah mencari rotan, menebang buluh, memungut petai, mengumpul madu lebah dan sebagainya.
Apabila murid-murid dari anak-anak orang Asli ini tidak hadir ke sekolah, guru-guru akan pergi menjejaki mereka ke rumah. Di sini kita boleh melihat bagaimana ibu bapa atau penjaga akan menyerah seratus peratus kepada anak-anak mereka untuk membuat keputusan. Di sinilah peranan guru-guru diperlukan untuk memujuk anak-anak orang Asli ini supaya hadir ke sekolah.
Melalui kunjungan rumah ke rumah atau kampung ke kampung oleh guru-guru ini telah banyak membawa perubahan kepada anak-anak orang Asli. “Hukum syayyet” sedikit demi sedikit ditinggalkan. Pada masa kini telah ramai anak-anak orang Asli yang telah berjaya dalam bidang akademik dan juga berjaya dalam kerjaya mereka.
Di Hospital Raja Permaisuri Bainun
Pada masa ini, “hukum syayyet” boleh diibaratkan tinggal kenangan dan tinggal sejarah sahaja. "Hukum syayyet" ini telah pun mereka tinggalkan sama seperti mereka telah meninggalkan “hukum merotan” yang dikatakan “sial” bagi mereka. Kini rotan telah dianggap sebagai "pembolehubah" kepada mereka.
Meninggalkan “hukum syayyet” ini telah banyak memberi perubahan cara hidup mereka. Kepentingan pelajaran kini lebih diutamakan demi untuk masa depan anak-anak mereka. Guru-guru yang berkhidmat di sekolah murid orang Asli juga berperanan dalam perubahan ini.
No comments:
Post a Comment