Pengalaman boleh mematangkan seseorang. Pengalaman boleh memantapkan diri seseorang. Pengalaman juga membolehkan seseorang itu dihormati atau disegani. Disamping itu, melalui pengalaman juga akan membolehkan seseorang itu menambahkan ilmu pengetahuannya. Terlalu banyak ilmu atau pengetahuan yang diperolehi oleh seseorang melalui pengalaman sama ada yang telah dialami atau yang telah didengari.
"Mok cak mok skulah" merupakan kata-kata keramat yang terpaksa saya hadapi semasa mengajar di sekolah orang Asli satu ketika dulu. Mungkin kata-kata keramat tersebut telah pun lupus pada masa ini apabila pengurusan asrama sekolah orang Asli telah pun diambil alih oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.
"Ada makan ada sekolah" adalah maksud kepada kata-kata keramat "mok cak mok skulah" itu. Pada pendapat saya, sememang wajar kata-kata keramat tersebut diluahkan oleh mereka (murid-murid orang Asli). Apa pendapat kita sekiranya anak kita yang duduk di asrama tidak mendapat makanan yang sepatutnya? Anak kita yang duduk di asrama tidak makan selama beberapa hari? Sudah sewajarnyanya kita akan mengambil anak kita pulang ke rumah untuk mengelakkan masalah kesihatan akan dialami oleh anak-anak kita.
Untuk mengelakkan murid-murid yang tinggal di asrama ini kelaparan, pernah kami guru-guru yang mengajar di sekolah murid orang Asli ini mengumpulkan wang sendiri untuk membeli beras dan sardin. Situasi sebegini telah menjadi suatu kelaziman di asrama sekolah murid orang Asli. Kadang-kadang bekalan yang sepatutnya sampai tidak kelihatan. Ada ketikanya bekalan yang datang tidak mencukupi.
Pihak pengurusan sekolah adalah di bawah Kementerian Pelajaran manakala pengurusan asrama pula di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Kedudukan sebegini menjadi sukar untuk pengurusan sekolah membuat pemantauan dan penyeliaan di asrama terutama di stor dan dapur asrama. Kesukaran ini wujud apabila terdapat dua pengurusan yang berbeza di sesebuah organisasi iaitu sekolah dan asrama.
"Mok cak mok skulah" telah menjadi senjata kepada murid orang Asli apabila diminta bersekolah. "Buat apa bersekolah kalau anak saya kelaparan". kata-kata yang sering diluahkan oleh mereka. Dalam perkara seperti ini mereka tidak boleh dipersalahkan. Adalah wajar mereka untuk menuntut hak mereka. Wajar mereka meminta jaminan agar keselamatan dan kesihatan anak mereka terjaga dan dipelihara.
Pada masa ini apa yang saya difahamkan, masalah sebegini tidak lagi berlaku. Pengurusan asrama telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran. Kini, setiap sebuah sekolah murid orang Asli ada pengurusan sendiri. Setiap sekolah ada guru besar dan penolong-penolong kanan sendiri. Penyelia asrama juga dilantik melalui Kementerian Pelajaran. Apabila pengurusan dibuat di bawah satu kementerian maka tiada pertindihan berlaku. Pengurusan dapat dibuat dengan lebih mudah.
Kata-kata keramat "mok cak mok skulah" akan saya semadikan dalam diari hidup saya. Ini merupakan salah satu pengalaman yang telah saya tempuhi semasa mengajar di sekolah murid orang Asli. Selain itu bahasa orang Asli juga dapat dipelajari apabila kita bersama mereka untuk memudahkan kefahaman dalam pengajaran dan pembelajaran.
No comments:
Post a Comment