Tuesday, August 31, 2010

MADINAH MUNAWWARAH SEPANJANG SEJARAH (1)

PENDUDUK PERTAMA DI MADINAH
Diriwayatkan bahawa orang pertama yang menghuni Madinah (Yatsrib) setelah banjir dan badai taufan Nabi Noh a.s. adalah Qainah bin Mahla Beil bin 'Ubail. Beliau adalah keturunan Nabi Noh a.s. Manakala diriwayatkan pula bahawa orang pertama yang membangun Madinah terutama dalam pertanian ialah Al-'Amalik Banu 'Amlak bin Arfakhsyuz bin Sam. Kabilah yang menetap di Madinah (Yatsrib) terdiri dari Bani Haf dan Bani Mathruwil.

BATAS-BATAS DAN NAMA-NAMA MADINAH
Madinah terletak di suatu lembah yang subur du bahagian barat laut Arab Saudi dan di sebelah timur Laut Merah. Di sebelah barat Madinah terdapat Jabal (Gunung) Al-Hujjaj dan di barat lautnya Jabal Sala' yang dirangkul oleh dua gunung dan dua lembah. Ia dikenali sebagai Jabal Al-'ler dan Lembah Al-'Aliq dari arah selatan dan dari arah utaranya oleh Jabal Uhud dan Lembah Qanah (Uhud). Madinah dibelah di tengah-tengah oleh Lembah Bathan (Abu Jayyidah) setelah menyambung dengan Lembah Ranuna di Quba'.

Dari arah selatan, Madinah bersempadan (berbatasan) dengan JabalAl-'ler dan dari arah utara dengan Jabal Tsur. Manakala dari arah timur dengan dataran rendah perbukitan di Al-Harrah Al-Gharbiyyah (kawasan bebatuan barat). Jabal Tsur terletak sejauh sekitar 8 km dari Masjid Nabawi dan Jabal Al-'ler juga terletak kira-kira 8 km dari Masjid Nabawi.

Beberapa orang sejarawan Madinah mengatakan bahawa kedua dataran rendah perbukitan itu termasuk ke dalam sempadan-sempadan Madinah Munawwarah, berbeza dengan kedua Jabal tersebut yang menurut riwayat Nabi Muhammad s.a.w. bahawa baginda pernah berada di kawasan pebatuan timur iaitu dirumah-rumah Bani Harithsah. Ketika itu baginda bersabda kepada mereka:- "Ya Bani Harithsah, aku lihat kalian sudah keluar dari sempadan tanah suci," kemudian baginda menoleh dan berkata:- "Tidak, tapi kalian berada di dalam sempadan tanah suci."

Diriwayatkan beberapa hadia yang menyatakan bahawa keluasan tanah suci (tanah haram) Madinah adalah barid X barid. Satu barid adalah 4 fursakh dan satu fursakh adalah 4 km. Oleh itu luas tanah suci Madinah adalah 4 km X 4 km bersamaan 16 km persegi. Jarak dari Jabal Tsur ke Jabal Al-'ler adalah sekitar 16 km. Keluasan Madinah masa kini adalah 151,990 km persegi.

Jarak dari Madinah ke Laut Merah (Yanbu') adalah 275 km, ke Jeddah 425 km, ke Makkah 497 km dan ke ibubota Riyadh 901 km. Dari Madinah ke Damaskus (ibukota Suriah) jaraknya adalah 1,303 km dan ke sempadan Yordania 844 km. Madinah dihubungkan dengan Makkah, Jeddah dan Yanbu' melalui jaringan jalan raya moden (jalan tol). Sementara dengan Amman (ibukota Yordania) dan Damaskus, Madinah dihubungkan dengan jalan keretapi yang didirikan di akhir masa Turki Utsmani. Namun begitu, jalan kereta api ini telah musnah pada saat pemberontakan orang-orang Arab melawan orang-orang Turki Utsmani.

Secara georgrafi, berkenaan dengan garis lintang dan garis bujur dari bumi (dunia), maka Madinah terletak pada 39 darjah, 36 minit, 1 detik dan 61% dari garis bujur timur dan 24 darjah, 28 minit, 5 detik dan 35% dari garis lintang utara dan berada pada ketinggian 597 m - 639 m di atas permukaan laut.

Suhu udara di Madinah amat panas di musim panas yang menjangkau 59 darjah Celcius. Sejuk dan segar di musim gugur dab musim semi serta dingin di musim dingin mencapai 2 darjah Celcius. Pada hari-hari tertentu di musim dingin warga Madinah merasa perlu menghidupkan pemanas dengan menutup jendela-jendela. Penduduk Madinah pada tahun 1345H (1926M) dianggarkan berjumlah 50,000 orang. Kini penduduknya dianggarkan hampir 2 juta orang.

Madinah Munawwarah menyandang 95 nama. Antara lain adalah: Thabah, Thiebah, Al-'Ashimah, Qoryatul Anshar, Qubbatul Islam, Qakbul Iman, Al-Mahbubah, Al-Mahrusah, Al-Mu'minah, Al-Mubarakah, Al-Muharramah, Al-Mukhtarah, Al-Muqaddasah, Ardhullah, MadinaturRasul, Al-Muslimatul Muhabbabah, Darul Iman, Haram Rasulullah, Darul Abrar, Darul Akhsar, Darus Sunnah, Daris Salam, Darul Rath, Ad-Dara' Al-Hashinah, Zatul Hirar, Zatun Nakhl, Sayyidatul Buldan, Bait Rasulullah, Akilatul Buldan, Al-Barrah dan Al-Jabiran.

Sunday, August 29, 2010

BERKORBAN DEMI MENCAPAI KEJAYAAN


"Janganlah berputus asa kerana seringkali anak kunci terakhir
yang dapat membuka lubang pintunya."

Telah dikatakan dengan bijaksana, "seorang pemenang tidak pernah berhenti berusaha dan seorang yang berhenti berusaha tidak pernah menang."

Berbicara tentang kejayaan hidup, faktor yang paling hakiki adalah ketahanan atau ketetapan hati untuk tidak membiarkan tenaga kita menjadi susut kerana putus asa yang pasti akan datang. Saya percaya bahawa dalam pekerjaan apa pun di arena kehidupan ini, yang lebih berjaya adalah orang yang mempunyai ketabahan hati kuat biarpun bakatnya kecil dibandingkan dengan orang yang mempunyai bakat besar tetapi tidak mempunyai ketepan hati yang mencukupi.

Para pendidik terkejut mendapat sejumlah besar drop-out dari sekolah, namun di mana-mana tetap saja tidak ada proses pendidikan yang menekankan bidang pembangunan mental orang muda. Dasar-dasar kejayaan yang menyertakan pembangunan asas, tidak juga mendapat tempat dalam kurikulum akademik. Jika anak-anak kita tidak diajar tentang perlunya stamina dan ketahanan sebagai sifat dasar yang hakiki untuk memindahkan mereka dari keadaan sekarang menjadi keadaan yang mereka inginkan - dari tingkat pertengahan ke tingkat lebih tinggi - maka kita tidak perlu terkejut bila mereka telah berhenti berusaha bahkan sebelum mereka memulai.

Latihan yang diperlukan untuk mendapat kejayaan lebih besar seharusnya juga mencakup bukan sekadar membaca, menulis, mengira dan sejumlah ilmu pengetahuan umum mahupun ilmu pengetahuan alam. Kita harus berdisiplin, kita harus terlatih, kita harus tahu tentang cara bekerja, kita harus tahu cara berkorban demi mendapatkan kejayaan.

Para drop-out, iaitu anak-anak muda yang berhenti sekolah, kemungkinan besar juga akan menjadi orang yang berhenti berusaha di dalam hidup. Selain keengganan mereka untuk berkorban demi mencapai kejayaan, mereka juga tidak menemui diri mereka sendiri. Mereka tidak mempelajari kenyataan bahawa berjaya atau gagalnya seseorang terletak di tangan mereka sendiri.

Thursday, August 26, 2010

HIDUP BUKAN RANGKAIAN KEBETULAN

"Hal paling bijaksana,
mungkin,
yang boleh dilakukan seorang manusia di tanah ini,
adalah pekerjaan yang ada di depan hidungnya,
dengan alat yang ada berhampiran tangannya."

Suatu prestasi tidak hanya terdiri dari pertumbuhan keuntungan sahaja. Ramai orang kecundang dengan percaya bahawa mereka juga akan tumbuh semakin besar dan semakin besar bila nasib mereka juga semakin besar. Tidak ada kejayaan, tidak ada prestasi yang layak untuk diucapkan, kalau tidak ada pertumbuhan peribadi, gaya, ketinggian dan perluasan mental.

Pertumbuhan peribadi adalah pencapaian terbesar yang boleh dilakukan oleh manusia. Ramai orang memperlihatkan nilai-nilai yang keliru dalam hal ini dengan percaya bahawa pertumbuhan kewangan adalah segalanya. Kita perlu sedar bahawa tujuan hidup adalah perkembangan. Inilah rahsia kejayaan yang berterusan.

Tidak ada kata-kata terlambat untuk menciptakan kehidupan yang baik. Bahkan pada usia yang lanjut pun kita masih boleh mengisi waktu-waktu lapang dengan pelbagai aktiviti. Salah satu aktiviti yang wajar kita lakukan pada waktu lapang ialah dengan membaca buku. Waktu lapang kita terlalu banyak terutama sewaktu menunggu bas, menunggu temu janji, menunggu waktu penerbangan dan sebagainya. Kita jangan mensia-siakan waktu kosong yang boleh kita gunakan untuk peningkatan isi fikiran kita.

Kalau ada rahsia berprestasi, maka hal itu adalah menggunakan kesempatan sehari-hari secara sebenar. Kesempatan jarang ditemui di luar diri namun selalu dapat ditemui di bahagian dalam diri.. Bukanlah bantuan dari luar yang lebih banyak meningkatkan kesempatan tetapi bantuan dari dalam diri kita iaitu diri kita sendiri. Hidup bukanlah rangkaian kebetulan. Hidup adalah suatu kesempatan untuk mencapai sesuatu yang berharga.

Tugas kita adalah menemukan alat yang berhampiran tangannya. Semua penerapan hak asasi kita diserahkan kepada diri kita sendiri iaitu untuk menggunakan barang yang telah diberikan kepada kita untuk bercita-cita menjadi seseorang. Ingatlah, bukannya tidak menjadi siapa-siapa, menebus harganya dengan persiapan untuk berprestasi.

Wednesday, August 25, 2010

APE KATE MENGKOME?

Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati S.S Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salahfaham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh UMNO yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya ‘malu’) dengan fatwa S.S Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan muslim, saya jawab saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: “apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”.

Setelah mendapat sms itu saya cuba mencari kenyataan S.S Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh S.S Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain di luar apa yang saya faham. Perkataan ‘sejahtera’ itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut;

1. Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu. Adapun S.S Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh –bukan lemah seperti saya- dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

2. Pandangan agama yang membabitkan hal bukan muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam. Kita memberitahu dunia ‘Islam adalah agama yang rahmat’, pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

3. Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan –terutama di media-media kerajaan- “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”. Walaupun Nabi s.a.w –seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik baginda, jika ada bukan muslim bersama dengan muslim baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja. Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksudkesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan ‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’. Tidakkah ‘salam sejahtera kepada bukan beragama Islam’ itu satu doa untuk mereka. Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan muslim. Mengapa tidak diharamkan?. Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

4. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas. Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

5. Kata Abdullah bin Mas’ud:

“Aku seakan masih melihat Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

6. Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi s.a.w pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”. Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan muslim.

7. Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan muslim yang bermusuh dengan Islam. Firman Allah: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

8. Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu muslim atau bukan muslim. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113).

9. Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik. Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama:

“Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

10. Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredhaan sesuatu pihak semata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau pendetilan.

11. Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda. Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman? Jika seorang pemimpin muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan mereka?

12. Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan muslim menerima Islam ini. Orang cina khusus mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh. Jika Nabi s.a.w pernah berdoa:

“Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya S.S Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

DULU, KINI DAN MUNGKINKAH SELAMANYA?

Parlimen Sunga Siput, DULU, KINI DAN MUNGKINKAH SELAMANYA, Wakil Parlimennya oghang India (kafio). Ape yang teman ingat (sebab teman nih rase2nyer masih WARAS). setiap kali nak diadakan Pilihan Raye, seme oghang Sunga Siput (umNO) mesti buat majelis membace Yasin ngan Semayang Hajat nak bagi oghang India (kafio) tuh menang. Yang teman herannyer BOLEH PULAK TUH?????

dan................... mungkinkah seme tempat yang oghang kafio bertanding (PAStinyer calon BN) tuh deme seme (oghang umNO) wat majelis yang same? Deme juge bace Yasin ngan Semayang Hajat tok bagi menang?

Mengkome kireler ade berape majelis Membace Yasin ngan Semayang Hajat bagi oghang-oghang kafio yang telah dibuat oleh oghang-oghang umNO pade tiap kali nak Pilihan Raye kat Melesia nih?????

Tuesday, August 24, 2010

WALKING AROUND YOUR SCHOOL


WAYS adalah akronim yang bermaksud "Walking Around Your School" atau berjalan sekeliling kawasan sekolah anda. Ia adalah sama sebagai suatu penyeliaan atau pemantauan sekeliling kawasan kawalan masing-masing. Pengurusan secara ini mempunyai persamaan dengan model pengurusan "Management By Walking About (MBWA), Management By Walking Around (MBWA) dan Management By Walking Around And Listening (MBWAL)".

Kaedah WAYS memberi peluang kepada pentadbir melihat sendiri, mendengar dan belajar sesuatu dari orang yang melaksanakan tugas yang ditetapkan. Dengan itu, pentadbir dapat membuat keputusan dengan cepat dan tepat terhadap sesuatu masalah yang dihadapinya.

Prinsip WAYS adalah seperti berikut:-
a) Lakukan kepada semua orang bawahan kita.
b) Lakukan sekerap yang mungkin bagi membolehkan kita berhubung dengan semua orang bawahan kita.
c) Lakukan seorang diri supaya hubungan kita lebih akrab dan jujur dalam mendapatkan sebarang maklumat.
d) Tidak cepat terpengaruh dengan komen negatif tentang seseorang.
e)Banyak bertanya untuk mengetahui sejauh mana tugas dijalankan secara jujur. Pertanyaan biarlah dengan kaedah ingin belajar.
f) Lihat dan dengar. Kita dapat melihat reaksi mereka ketika bercakap dan ini memberi peluang kepada kita setakat manakah minat dan motovasi mereka terhadap kerja.
g) Kongsi visi dan misi kita bersama-sama mereka. Tanyakan juga visi mereka dan sama-sama mempengaruhi mereka ke arah visi dan misi organisasi.
h) Cuba lakukan tugas mereka dengan membantu menunjukkan cara melakukan sesuatu tugas dengan lebih baik.
i) Bawakan berita-berita baik seperti pujian terhadap tugas-tugas yang boleh dilaksanakan.
j) Berjenaka supaya orang bawahan dapat bekerja dalam suasana yang menyeronokkan dan tidak dalam keadaan tegang.
k) Lihat kepada kejayaan yang telah dilakukan. Secara spontan berikan penghargaan ke atas kejayaan cemerlang yang diberikan.
l) Jangan terlalu kritikal. Tegur secara baik sesuatu kesalahan yang dilakukan si tempat yang sesuai.


OBJEKTIF
1. Membantu pemimpin-pemimpin di semua peringkat membuat pemantauan menyeluruh ke atas program Perak Gemilang secara berterusan.
2. Mewujudkan suasana bekerja yang menyeronokkan.
3. Membantu sesebuah organisasi mencapai objektifnya dan meningkatkan prestasi organisasi tersebut ke tahap yang lebih tinggi.
4. Mewujudkasn suasana saling belajar di antara satu dengan yang lain.
5. Meningkatkan kemahiran memimpin yang efektif dalam proses penambahbaikan prestasi organisasi secara berterusan.

Friday, August 20, 2010

MENYAYANGI DIRI SENDIRI

"Menghormati diri, mengenal diri, mengawal diri dan tiga hal yang mengarahkankan hidup kepada kekuasaan."

Kurangnya oengawalan diri dan sikap ragu atau was-was yang merupakan akibat dari rasa malu
adalah suatu penghalang besar untuk mencapai kejayaan hidup. Hal ini menghalang dan merugikan orang berkaitan dalam hubungan sosial mahupun dunia perniagaan.

Rendah diri yang berlebihan, rasa malu. dilahirkan dari kurangnya pengenalan diri. Kebanyakan orang tidak tahu tentang kemampuan mereka, walaupun mereka tidak menunjukkannya dengan sikap malu-malu atau berbagai bentuk kesedaran diri lainnya.

Apabila sikap malu ini tidak diatasi pada masa kanak-kanak, jika dibiarkan tumbuh bersama usia dan membuat cengkaman yang tidak dapat dilepaskan pada diri seseorang, padahal keinginan cenderung mendorong orang itu untuk maju, maka rasa malu itu boleh menimbulkan masalah besar.

Seperti juga perasaan takut, khuatir dan berbagai fikiran buruk lainnya, rasa malu juga merupakan hasil dari imajinasi. Mangsanya selalu cuba untuk mengelak dari tanggungjawab dan dengan begitu membuat orang ituterputus hubungannya dengan suatu hal yang paling berkesan untuk pertumbuhan.

Rasa malu berlebihan dan semua rasa lain yang menimbulkan penderitaan di dunia akan segera terhapus dari bumi pada saat semua anak-anak di mana saja diajar sejak usia awal tentang prinsip pencapaian kejayaan yang mendasar iaitu pada ketika akal yang masih peka itu diberi bimbingan dan pengarahan secukupnya.

Untuk membuang rasa malu, betapa pun dalamnya perasaan ini berakar pada diri seseorang maka pertama sekali ia harus menyedari kemuliaan kemanusiaannya, kebebasannya, kekuasaannya dan martabatnya. Pengetahuan yang benar-benar tentang dirinya akan membuat manusia membuang segala rasa rendah dirinya iaitu suatu ketakutan bahawa orang lain dapat atau akan memerhati atau mengetawakan dirinya. Pengetahuan ini di dukung oleh kehendak untuk menerima tanggungjawab yang ada bersama hak asasinya dan melaksanakan tan ggungjawab itu.

Wednesday, August 18, 2010

MENJELANG ULANGTAHUN KEMERDEKAAN









Tuesday, August 17, 2010

TERPINGGIRKAH BANGSA MELAYU?

Melayu ialah suatu bangsa dan Islam ialah agama. Kewujudan bangsa Melayu itu merupakan suatu fitrah. Al-Quran memberikan asas bahawa manusia itu dijadikan berbangsa-bangsa (surah Al-Hujurat: 13). Bangsa Melayu adalah salah satu bangsa yang wujud di dunia. Islam ialah ajaran dan agama yang datang daripada Allah s.w.t. Diturunkan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w. untuk disampaikan kepada manusia supaya mendapat petunjuk dan membina taqwa.

Al-Quran turun kepada bangsa Arab yang bermula dengan Rasulullah s.a.w. kemudian berkembang kepada bangsa-bangsa lain termasuk juga kepada bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Islam ialah agama rahmat. Ajaran Islam mendukung sifat alamiah. Ajaran Islam tidak terbatas kepada bangsa Arab tetapi juga kepada seluruh bangsa yang ada di dunia ini.

Bangsa Melayu pada asalnya menganut fahaman animisme. Setelah itu ditindikkan keyakinan Melayu dengan agama Hindu dan Buddha. Melayu yang animisme, Hindu dan Buddha dibentuk oleh kepercayaan dan cara hidup yang sesuai dengan ajaran agama tersebut. Apabila Islam datang, cara berfikir, tradisi dan budaya yang dibina dan cara beribadah adalah mengikut ajaran Islam.

Islam telah membebaskan keyakinan orang Melayu daripada faktor tahyul dan syirik. Islam mengangkat minda dan intelek orang Melayu supaya berfikir selari dengan fitrah akal. Islam bukan sahaja satu sistem kepercayaan tetapi mengatur kehidupan. Islam dalam sejarahnya di Alam Melayu telah membangunkan suatu tamadun sama ada dalam kepimpinan dan kepengikutan mahupun dalam karya-karya yang terhasil serta sistem pendidikan yang berlangsung.

Bangsa Melayu menjadi hebat kerana ajaran Islam ditindikkan kepada bangsa itu. Ajaran Islam menjadikan orang Melayu beralih daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah s.w.t. yang Esa. Dari situ lahirlah kesedaran tauhid vahawa Allah s.w.t. ialah Pencipta, bukannya direka bentuk seperti berhala dan benda-benda bikinan manusia yang kemudiannya disembah sebagai tuhan.

Bangsa Melayu menjadi hebat kerana dilatih agar taat kepada imam dan pemimpin selagi imam dan pemimpin tidak melakukan perkara-perkara yang terlarang. Al-Quran, sumber utama ajaran Islam bukan sahaja menghasilkan kisah-kisah manusia terdahulu untuk dijadikan ibrah atau teladan kepada orang terkemudian tetapi mengajar bangsa Melayu mengenai prinsip-prinsip hidup, kekeluargaan, masyarakat dan negara.

Al-Quran juga mengatur kehidupan orang Melayu dengan prinsip syariah atau hukum, mengetahui benda yang makruf dan mungkar, wajib dan haram supaya orang-orang Melayu tidak melampaui batas. Daripada ajaran tersebut, bangsa Melayu membentuk budaya hidupnya selari dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Oleh itu, kekuatan bangsa Malayu tidak dapat dipisahkan dengan ajaran Islam. Islamlah yang membentuk jalan berfikir, jalur budaya dan pedoman hidup yang mendorong mereka untuk maju dan cemerlang bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Hal yang sama juga berlaku kepada bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain. Mereka mampu membina tamadun dan menghasilkan penerokaan ilmu sains dan teknologi kerana menerima perisyaratan dan pedoman daripada al-Quran.

Al-Quran menjadi sumber petunjuk untuk membangunkan jiwa tadabbur (kaji selidik), mengajak mereka berfikir tentang tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t. Terdapat hampir 2000 ayat-ayat al-Quran yang memberikan pedoman tentang perkara-perkara sains yang akhirnya mencetuskan Baghdad dan Andalusia dalam suatu siri tamadun yang amat menakjubkan.

Bangsa Melayu yang ditindikkan dengan Islam mendukung maksud ummah dalam erti kata yang luas. Al-Quran memberikan pedoman mengenai konsep khaira ummah atau umat terbaik sebagai asas kejayaan. Umat terbaik terdiri daripada kalangan bangsa yang melakukan hal-hal yang makruf dan mencegah kepada yang mungkar dan beriman kepada Allah s.w.t. Apabila bangsa Melayu cinta akan kebaikan dan bencikan kejahatan dan sentiasa menghubungkan perbuatan dan gelagatnya untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. maka bangsa Melayu menjadi sebahagian daripada umat Islam yang berjaya, maju dan cemerlang.

Bangsa Melayu bertukar menjadi sebahagian daripada bangsa yang lebih besar. Makna alamiah dalam Islam menjadikan dokongan terhadap tamadun mengatasi dokongan terhadap bangsa itu sendiri. Apabila asas-asas tamadun Islam dijadikan landasan dalam membangunkan kekuatan berfikir, kehebatan bekerja, kebaikan peribadi kepada bangsa Melayu dengan sendirinya bangsa Melayu berada dalam barisan bangsa contoh.

Bayangkan bangsa Melayu yang tidak menghayati cara hidup Islam, dapat menyebabkan kemungkaran dan kefasadan akan menjadi perkara biasa. Kezaliman dan pecah amanah menjadi amalan. kebendaan dan nafsu-nafsi menjadi matlamat dalam hidup. Akhirnya, bangsa Melayu akan kecundang dalam pertarungan sengit untuk memajukan bangsanya.

Menjadi Islam tidak harus menjadikan kita mundur kerana Islam mendorong bangsa Melayu untuk maju. Berpegang kuat ajaran Islam tidak harus dikaitkan dengan halangan untuk maju kerana tamadun Islam diambil oleh pihak Barat untuk memajukan diri mereka. Berpegang kepada watak amanah dan adil, tidak harus menyebabkan bangsa Melayu terkebelakang kerana rasuah, salah guna kuasa, lupa amanah untuk membangunkan Melayu, mementingkan diri sendiri, oportunis terhadap peluang dan kesempatan terbukti menyebabkan bangsa Melayu tiris dalam banyak bidang.

Pemahaman Islam secara dinamik dan diaplikasikan dalam budaya hidup dan bekerja bangsa Melayu adalah jawapan terbaik untuk membangunkan Malaysia mengikut acuan kita sendiri. Tidak menolak faedah berbanding dengan yang terdapat dari Barat dan Timur, mengunggulkan jati diri bangsa dengan hal yang berfaedah dan menjadi sebahagian daripada tamadun umat. Inilah asas-asas kukuh yang perlu dipertahankan oleh orang-orang melayu supaya kemajuan yang diterima tidak menolak kepentingan budaya dan adab.

Sunday, August 15, 2010

PAGI MINGGU DI JALAN KUALA KANGSAR















Thursday, August 12, 2010

TAUBAT ITU HUKUMNYA ADALAH WAJIB

"Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'Taubat Nasuha'.
Mudah-mudahan Tuhan kami akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu
dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi
dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya;
cahaya (iman dan amal soleh) mereka,
bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita):
'Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami,
dan limpahkanlah keampunan kepada kami;
sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu'."
(SURAH AT-TAHRIIM : AYAT 8)

Kebanyakan orang menyedari bahawa bertaubat itu hukumnya wajib bagi setiap orang Islam. Ini disebabkan setiap manusia itu terdedah kepada dosa, sama ada disedari atau tidak. Sama ada dosa besar atau pun dosa kecil. Namun begitu, kebanyakan orang juga tidak menyedari bahawa setiap hari mereka pasti ada melakukan dosa walaupun kecil.

Di antara dosa-dosa yang selalu dilakukan sama ada disedari atau tanpa disedari itu ialah lambat mengerjakan sembahyang lima waktu sehingga terlepas waktunya. Kadang-kadang kita berbuat dosa dalam perjalanan kita. Lelaki memandang wanita yang bukan muhrimnya. Begitu juga dengan wanita yang memandang lelaki yang bukan muhrimnya.

Sikap kita yang memarahi orang lain dan memaki orang boleh mengakibatkan berlakunya pertengkaran juga boleh mendatangkan dosa. Bagitu juga kadang-kadang kita tidak menunaikan janji, bercakap kasar kepada ibu bapa atau guru. Makan dan minum sesuatu yang haram sama ada benda itu dari jenis yang haram atau didapati dengan cara yang haram.

Ada pula orang yang menipu, berlagak sombong dan menyakiti hati orang lain. Ada pula orang yang setiap hari kerjanya mengumpat dan menghina orang. Terdapat pula orang yang membalas dendam disamping suka berbohong, menghasut dan sebagainya.

Semua perbuatan itu adalah berdosa. Dosa-dosa itu akan dibalas oleh Allah s.w.t dengan balasan seksaan dalam neraka di akhirat kelak. Dosa-dosa itu tidak akan hapus kecuali dengan memohon ampun dan bertaubat kepada Allah s.w.t. Untuk memohon ampun dan bertaubat itu mestilah dengan cara-cara dan syarat-syarat yang tertentu.

Manusia ini mempunyai dua sifat atau pun disebut juga dua tabiat. Satu tabiat lebih mirip kepada dan dipengaruhi oleh kebaikan dan ibadat. Satu lagi yang dipengaruhi syaitan iaitu tabiat yang jahat, buruk dan keji. Biasanya manusia akan mengikut salah satu daripada dua tabiat itu. Sebahagian akan cenderung kepada kebaikan dan beribadat kepada Tuhan serta meninggalkan maksiat. Sebahagian lagi suka mengerjakan maksiat dan kejahatan serta meninggalkan suruhan Allah s.w.t.

Dalam pada itu ada juga manusia yang berbuat kebaikan dan beribadat, namun mereka juga selalu mengerjakan maksiat dan kejahatan. Mereka mengerjakan sembahyang lima waktu, puasa Ramadhan dan menunaikan Haji tetapi mereka juga adalah kaki judi dan kaki botol. Mereka berpendapat bahawa mereka mengerjakan kejahatan dan maksiat selama setahun, lalu pergi ke Mekah mengerjakan Haji untuk menghapuskan dosa-dosa yang mereka lakukan.

Apabila balik dari Mekah, mereka mengerjakan semula maksiat dan kejahatan dan tahun berikutnya mereka akan ke Mekah lagi untuk bertaubat. Pergi ke Mekah untuk menghapuskan dosa-dosa yang baru. Adakah cara begini dinamakan taubat dan boleh diterima Allah s.w.t? Mereka ini sewajarnya dinamakan orang menafik. Mereka tahu perbuatan maksiat dan melakukan kejahatan itu berdosa, namun mereka melakukan juga perkara-perkara tersebut.

Sebahagian lagi orang munafik ialah orang yang lain dikata dan lain dikota. Lain yang mereka cakap dan lain yang dibuat. Mereka menyuruh orang lain agar berbuat baik dan patuh kepada segala suruhan Allah s.w.t serta menjauhi segala larangan-Nya. Namun begitu, mereka sendiri tidak melaksanakan perintah-perintah Allah s.w.t itu dan melanggar pula segala larangan-Nya.

Itulah dikatakan sebagai orang munafik. Orang yang tidak boleh kita ikuti perbuatannya dan tidak boleh kita patuh kepada arahannya. Allah s.w.t. telah menjanjikan bahawa mereka ini akan ditempatkan dalam neraka untuk menjalani seksaan.

Tuesday, August 10, 2010

RAMADHAN! KAU DATANG LAGI

PUASA DALAM ISLAM
Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala yang membatalkan puasa. Waktunya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

PERINTAH WAJIB PUASA
Orang-orang Islam mula diwajibkan puasa dalam tahun kedua hijrah dengan ayat yang bermaksud:-
"Wahai orang-orang yang beriman; kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum dari kamu. Semoga kamu beroleh taqwa".

KELEBIHAN BERPUASA
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:-
"Orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana didorong oleh rasa keimanan kepada Allah dan dengan penuh kesedaran diampunkan Allah segala dosanya yang telah lalu".

HIKMAH DAN RAHSIA PUASA
1. Melatih jiwa dan menahan nafsu syaitan. Dengan itu adalah sebagai cabaran kepada manusia sejauh manakah kesabaran dan ketabahan hati mereka memikul beban yang diamanatkan oleh Allah.
2. Memberikan rasa insaf dan belas kasihan orang-orang kaya atau berada terhadap golongan melarat dan miskin yang sentiasa menderita lapar dan dahaga.
3. Menyihatkan badan. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud:-
"Berpuasalah kamu supaya sihat".
4. Melatih manusia bersifat jujur dalam segala hal kerana orang yang berpuasa itu bukanlah ia berpuasa kerana malu dilihat orang sebaliknya ia tetap berpuasa sekali pun ia tinggal seorang diri.

HUKUM PUASA
1. Wajib
2. Sunat
3. Haram

PUASA WAJIB
Puasa Wajib atau disebut juga Puasa Fardhu atau pun Puasa Ramadhan adalah wajib atas tiap-tiap seorang mukalaf. Orang yang ingkarkan hukum wajibnya adalah dihukum Murtad iaitu keluar daripada agama Islam. Kanak-kanak yang belum baligh walaupun tidak diwajibkan berpuasa tetapi ibu bapa mereka hendaklah menyuruh anak-anak itu menunaikan puasa.

PUASA SUNAT
1. Pada tiap-tiap hari Isnin dan hari Khamis.
2. Pada tiap-tiap tiga belas, empat belas dan lima belas haribulan bagi bulan Qamariah melainkan pada 13 Zulhijjah iaitu haram.
3. Sepuluh haribulan Muharram tiap-tiap tahun atau lebih dikenali dengan nama ASURA.
4. Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah (bulan Haji) bagi yang bukan mengerjakan Haji.
5. Enam hari dalam bulan Syawal.
6. Pada tiap-tiap 15 Syaaban.

HARAM BERPUASA
1. Hari Raya Fitrah disebut juga Hari Raya Puasa iaitu pada 1 Syawal.
2. Hari Raya Qurban atau juga disebut Hari Raya Haji iaitu pada 10 Zulhijjah.
3. Hari Tasyreiq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
4. Hari Syak

SYARAT WAJIB PUASA
1. Islam
2. Baligh (cukup umur)
3. Berakal
4. Upaya mengerjakannya
5. Menetap dan bukan musagir
6. Suci daripada haidh dan nifas

ORANG-ORANG YANG TIDAK WAJIB BERPUASA
1. Orang kafir
2. Kanak-kanak
3. Orang gila
4. Orang tua yang tiada harapan sembuh
5. Orang pitam
6. Orang mabuk
7. Perempuan sedang haidh dan nifas
8. Orang sakit
9. Orang musafir

RUKUN PUASA
1. Niat mengerjakan puasa pada tiap-tipa malam bulan Ramadhan kecuali Puasa Sunat boleh diniatkan sebelum tergelincir matahari selama ia belum melakukan sesuatu yang membatalkan puasa.
2. Meninggalakan segala yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

SYARAT-SYARAT SAH PUASA
1. Islam
2. Berakal
3. Suci dari haidh dan nifas
4. Pada hari yang dibolehkan berpuasa

SUNAT-SUNAT BERPUASA
1. Makan sahur. Waktunya mulai tengah malam hingga terbit fajar.
2. Melambatkan makan sahur hingga hampir terbit fajar.
3. Meninggalkan menyebut perkataan-perkataan yang lucah serta tidak berfaedah.
4. Menyegerakan berbuka puasa sebaik-baik sahaja terbenam matahari.
5. Mendahulukan berbuka puasa daripada sembahyang Maghrib.
6. Mendahulukan berbuka dengan kurma atau sesuatu yang manis yang tidak bermasak.
7. Membaca doa berbuka puasa.

MAKRUH KETIKA BERPUASA
1. Bersugi (menggosok gigi) selepas tergelincir matahari.
2. Melambatkan berbuka setelah jatuh matahari.
3. Berbekam.
4. Bertengkar.
5. Bercakap dusta.
6. Mengulumsesuatu jika tidak bercerai-cerai ia di dalam mulut.
7. Mengeluarkan perkataan keji.

MEMBATALKAN PUASA
1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.
2. Bersetubuh atau mengeluarkan mani dengan sengaja.
3. Keluar haidh atau nifas atau melahirkan anak.
4. Gila walaupun sebentar.
5. Mabuk atau pengsan sepanjang hari.
6. Makan atau minum dengan sengaja.
7. Murtad (keluar Islam).

CARA-cARA MENGERJAKAN PUASA
1. Terlebih dahulu hendaklah berniat tiap-tiap malam antara terbenam matahari dan terbit fajar.
2. Kemudian makan sahur. Seelok-eloknya waktu sahur itu antara tengah malam dengan terbit fajar.
3. Setelah itu tahanlah diri dari melakukan segala yang membatalkan puasa hinggalah terbenam matahari.

ORANG-ORANG YANG DIBOLEHKAN BERBUKA PUASA
1. orang yang sakit yang mudharat (merbahaya) bagi dirinya jika ia berpuasa.
2. Musafir (orang yang berjalan dengan tujuan yang duharuskan oleh agama Islam) sejauh perjalanan 56 batu atau 90.72 km.
3. Orang yang berpuasa lantas ia menjadi terlalu amat lapar dan dahaga serta membahayakan dirinya.
4. Orang yang bekerja berat dan tak berdaya meneruskannya wajib berniat terlebih dahulu pada malamnya kemudian apabila ia merasa keberatan sangat barulah ia boleh berbuka.
5. Perempuan yang mengandung atau yang menyusukan anak yang bimbangkan keselamatan diri dan anaknya.
6. Perempuan yang mengandung atau yang menyusukan anak merasa perlu berbuka puasa demi keselamatan anaknya.
7. Orang tua yang sakit tidak ada harapan sembuhnya.
8. Orang sakit yang tidak ada harapan sembuhnya.

HUKUM MELAMBAT-LAMBATKAN PUASA
Orang yang melambat-lambatkan qadha puasa Ramadhan hingga sampai ke Ramadhan yang lain dengan tidak ada halangan, ia wajib mengqadha puasa dan wajib juga membayar fidyah. bagi yang terlambat mengqadha kerana sesuatu halangan seperti kerana musafir, sakit, terlupa atau tidak mengetahui hukumnya wajib qadha dan juga wajib membayar fidyah. Fidyah itu pula berlipat ganda dengan berulang tahun.

KIFFARAH PUASA
Orang yang membatalkan puasa Ramadhan disebabkan bersetubuh wajib mengqadha puasa dan wajib pula membayar kiffarah. Kiffarah ialah memerdekakan seorang hamba. Jika ia tidak sanggup hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika ia tidak sanggup juga hendaklah ia memberi makan 60 orang miskin. Perempuan yang disetubuhi tidak wajib kiffarah.

AMALAN BAIK DALAM BULAN PUASA
1. Sembahyang Tarawih
2. Tadarus
3. Bersedekah
4. Memperbanyakkan amal

"SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA.
SEMOGA RAMADHAN TAHUN INI
AKAN LEBIH MEMBERI ERTI
KEPADA KITA SEMUA".

Monday, August 9, 2010

KEJAYAAN ITU ADALAH HAK ASASI MANUSIA


"Di luar kedalaman yang paling rendah
terdapat jalan menuju ketinggian paling memuncak."


Selagi manusia itu mengizinkan kejahilan berada di dunia, maka akan tetap ada manusia yang hidup dengan katakutan dan kekhuatiran. oleh itu, selama mana orang tidak tahu tentang suatu kemungkinan yang sebenarnya dimilikinya, maka akan tetap ada orang yang melakukan kejahatan kepada masyarakat. Manusia itu juga akan tetap berada dalam kemiskinan dan juga tetap ada rasa ketidsakpuasan.

Apabila kita memegang tanggapan lebih luas tentang kemungkinan kita, suatu pengetahuan dan kepercayaan kepada diri sendiri, maka kita akan mampu mencapai yang lebih baik. Kita juga sama sekali tidak akan ikut menikmati keberkatan yang melimpah dari kehidupan sekiranya kita tetap mempertahankan fahaman yang salah. Fahaman salah yang dimaksudkan ialah bahawa kita adalah makhluk malang yang tidak dapat ditolong. Sewajarnya memang kita tidak boleh diselamatkan apabila ada tanggapan sedemikian dalam diri kita.

Sebenarnya tiada yang kekurangan antara manusia yang diciptakan oleh Tuhan. Setiap kekurangan yang ada pada diri kita adalah kekurangan yang kita letakkan pada diri kita sendiri. Tuhan menciptakan kita bersifat sempurna. Kita dewasa secara fizikal, namun dalam prosesnya kita gagal menjadi dewasa secara mental kerana kehendak diri kita sendiri.

Masalah yang dihadapi oleh kebanyakan manusia adalah, ketika hasrat untuk mencapai kejayaan, kita belum menyiapkan keadaan kita untuk menang. Kita terlalu banyak percaya kepada nasib baik. Kita mempertaruhkan kesempatan kita untuk meraih kejayaan yang lebih besar. Kenyataannya, kita tidak akan dapat mencapai tempat yang lebih tinggi dari yang kita yakini boleh kita capai.

Kejayaan kita adalah kekuatan diri kita. Tidak ada orang yang boleh berjaya seandainya ada keraguan dalam diri sendiri. Kepercayaan kepada diri sendiri itu penting untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, untuk kejayaan, jangan biarkan kepala kita dipenuhi dengan fikiran tentang kegelapan. Sewajarnya fikiran kita sentiasa ke arah kejayaan kepada diri kita sendiri.

Kejayaan adalah hak asasi setiap manusia. Namun begitu kejayaan tidak akan menjadi milik kita seandainya kita tidak mengakuinya dan menggunakannya. Manusia diciptakan untuk berdiri tegak dan membawa dirinya sebagai penguasa atau penakluk. Jangan biarkan diri kita menjadi makhluk yang gagal. Penuhilah hak asasi yang diberikan Tuhan kepada seluruh umat manusia. Bersyukurlah dengan pemberian tersebut.

Sunday, August 8, 2010

MELAHIRKAN ANAK YANG SOLEH

"Berikan sedikit cinta kepada anak
dan anda akan mendapat ganjaran yang berlimpah."


Kita semuanya telah mengetahui bahawa cinta itu adalah segalanya. Cinta kepada Tuhan. Cinta kepada ibu bapa. Cinta kepada negara. Cinta kepada semua. Cinta itu adalah kunci semesta alam yang boleh membuka segala jenis pintu. Tidak ada tempat penerapan cinta yang lebih baik dibandingkan terhadap anak-anak yang sedang membesar.

Sungguh baik apabila para ibu diberi tugas untuk menjadi pengasah hidup dan nasib anak-anak mereka. Di dalam alam demokrasi para ibu boleh dengan leluasa mengerahkan hal terbaik yang ada di dalam diri anak-anak mereka. Tekanan yang dibuat kepada individu, anak-anak tidak sepatutnya menjadi korban ketidakberesan yang ada di dalam masyarakat.a

Fikiran anak-anak kita yang masih kecil beroperasi mirip dengan mesin fotostat. Ia juga seperti dengan filem peke yang ada di kamera. Fikiran anak-anak kecil selalu mencatat dan cemderung mengekalkan segala pemikiran atau sasaran yang dibekalkan kepadanya. Menyedari kenyataan ini, orang tua yang berfikiran penuh seharusnya sangat berhati-hati. Berhati-hati dalam memberikan pengisian ke dalam fikiran anak-anak mereka.

Pemikiran anak-anak harus disogok dengan pengisian perkara-perkara yang terbaik seperti meningkatkan diri, penuh kesediaan membantu dan sikap membangun. Mereka juga wajar dibangunkan dengan yang positif. Dibangunkan dengan adanya perasaan cinta. Perasaan kasih dan sayang. Pengisian seperti ini ke dalam fikiran mereka akan memudahkan membentuk fikiran mereka.

Sebenarnya kita boleh mengharap akan tumbuh pada pemikiran anak-anak kita untuk menjadi orang yang mempunyai peraturan. Dapat mencapai perkara-perkara yang berharga dalam kehidupan. Namun, adakah kita boleh membentuk pemikiran anak-anak kita sekiranya masa pertumbuhan mereka hanya dipenuhi oleh rasa ketakutan? Dipenuhi dengan rasa khuatir dan perasan dengki? Dipenuhi dengan pertengkaran dan kebencian?

Melalui maksud menyingkirkan perselisihan dan kesalahan, kita sepatutnya mengisi pemikiran anak-anak kecil dengan keharmonian, kebenaran dan cinta. Anak-anak kita memerlukan sejumlah besar penghargaan, pujian dan sokongan. Hal ini akan memberi jauh lebih banyak terhadap anak-anak daripada segala ancaman atau hukuman.

Bahagian paling penting dari pendidikan anak-anak adalah pengetahuan bahawa dia dilahirkan adalah untuk kejayaan. Orang tua yang bijak akan mengajar anak-anak mereka untuk mempercayai kepada diri mereka sendiri. Mereka perlu memiliki keyakinan diri yang kuat. Sewajarnya kita memberikan bimbingan dan pengarahan kepada anak-anak kita dengan membantunya mengembangkan akal yang positif dan kreatif. Ini adalahn usaha yang jauh lebih bernilai dan penting daripada segala nasib yang mungkin mereka perolehi.

Saturday, August 7, 2010

KEJAYAAN ABADI ADALAH YANG BERTERUSAN

"Ruang terbesar di dunia adalah ruang yang diisikan kemajuan diri."

Hanya ada satu cara untuk mencapai kejayaan, kebahagiaan dan kedamaian akal. Hal ini tidak boleh dicapai dengan sedikit usaha dan waktu yang singkat.

Kejayaan abadi adalah kejayaan yang bertahan lama. Ia adalah hasil dari kesabaran, ketahanan, persediaan, pertumbuhan yang berterusan. Tubuh kita dapat dipenuhi otot yang kuat setelah berlatih beberapa saat. Ia tidak sama halnya dengan mengembangkan suatu kejayaan yang tahan lama. Akal kita harus sentiasa berada dalam gelanggang kehidupan untuk berlatih.

Kita tidak berbicara tentang orang yang menjadi kaya dengan cepat kemudian jatuh miskin semula. Kita tidak berbicara tentang hakim yang melacurkan karakternya untuk mendapat sejumlah besar wang tetapi kehilangan jawatannya.

Semua orang dapat mencapai kejayaan lebih besar jika mereka menyediakan diri untuk mencapainya. Untuk menjadi doktor gigi, ia harus belajar di fakulti pergigian. Untuk mempraktikkan undang-undang, ia harus terlebih dahulu mempunyai tauliah menjadi peguam. Supaya berjaya dalam hidup kita harus bersedia untuk kejayaan.

Kita tidak dapat sampai ke tempat tujuan bila kita tidak terlebih dahulu menempuh perjalanan ke arah itu. Untuk mencapai kebahagiaan dan kedamaian akal, kita harus belajar untuk mengatasi kemalangan dan kegagalan. Sama seperti tanah, akal hanya memberi kita hasil yang subur setelah kita membuat persediaan dan mengolahnya.

Pertumbuhan mental serupa dengan pertumbuhan kewangan. Semakin banyak waktu yang kita sediakan untuk mempelajari hal-hal yang memajukan diri kita maka akan semakin kaya akal kita dan semakin baik kemampuan kita untuk mempersiapkan kedatangan kejayaan. Semakin banyak wang yang kita tabung, kita akan semakin kaya.

Hukumnya begini, sedmakin besar kemajuan yang kita perolehi melalui usaha untuk menciptakan diri kita menjadi manusia yang lebih lengkap dan lebih utuh. Semakin besar pula kesempatan kita untuk berjaya untuk berjaya hidup.

Monday, August 2, 2010

TERUSKAN PERJALANAN UNTUK KEJAYAAN

"Hasil yang besar tidak dapat dicapai dalam sekali gerakan
dan kita harus puas untuk bergerak ke hadapan
selangkah demi selangkah
seperti ketika kita sedang berjalan."


Setelah menonton filem "back to the future", kita dapat melihat bagaimana masa silam diputarkan kembali agar kita dapat menikmati masa tersebut meskipun saat itu kita masih tiada. Dalam filem Melayu pula kita dihidangkan oleh "x-xray" yang mengimbas kembali masa silam di zaman Hang Tuah di Melaka. Selepas itu kita disaji lagi pelbagai filem bukan sahaja imbas kembali ke zaman silam malahan kita diminta pergi jauh ke hadapan.

Oleh itu, seandainya manusia mampu melihat masa depan kita maka akan terjadilah pelbagai keputusan yang perlu manusia rungkaikan. Manusia yang diberi peluang menikmati masa hadapan akan pastinya akan menyerah atau berhenti berusaha ketika pencapaian sudah terlalu hampir. Tak kiralah mereka itu diberi peluang ke hadapan beberapa jam, beberapa hari, beberapa minggu, beberapa bulan atau pun beberapa tahun.

Mereka sudah hampir berjaya tetapi mereka kurang memiliki ketahanan yang diperlukan untuk bergerak. Mereka hampir sahaja meraih dan menggenggam objek hasrat hati mereka tetapi mereka terlalu cepat berhenti berusaha. Mereka lupa dengan hanya sedikit usaha lagi, sedikit gerakan ke hadapan, sedikit ketetapan hati, sedikit ketabahan dan kesabaran lagi, mereka akan mendapat mahkota kejayaan.

Dunia ini dipenuhi dengan orang yang memulai atau yang memulakan. Namun begitu, orang yang boleh mencapai penamat adalah yang jarang ditemui. Menagapakah begitu ramai orang yang memulakan namun hanya sedikit yang boleh mencapai penamat? Pelbagai alasan untuk manusia keluar dari arena kehidupan. Mereka lebih rela untuk menjadi penonton. Mereka telah terumbang-ambing ditelan waktu dan membuang masa dengan sia-sia.

Memang sukar dinafikan bahawa ramai manusia yang merancang sesuatu pencapaian kejayaan. Namun sukar untuk menafikan bahawa hanya ada sedikit yang bersedia menebusnya dengan pengorbanan. Pada hal pengorbanan itulah yang boleh menjurus diri mereka mencapai objek hasrat hati mereka.

Ramai orang yang mempunyai kehendak untuk bergerak menuju kejayaan ketika keadaan belum sarat. Ketika mereka berhadapan dengan kesulitan, pada saat penghalang menghalang perjalanan, mereka bukan berusaha untuk menyingkirkan semua penghalang tersebut tetapi mereka hanya sanggup untuk berhenti. Mereka telah gagal menemui jalan penyelesaian yang mudah bagi meneruskan perjalanan mereka.

Untuk berjaya kita harus terus bergerak ke hadapan. Oleh itu untuk mencapai kejayaan atau untuk memenangi pertandingan dalam arena kehidupan ini, kita jangan sekali-kali berhenti di tengah jalan. Kita harus terus bergerak ke hadapan dengan melalui liku-liku perjalanan ini. Jika tujuan kita jelas, kita seharusnya dapat menundukkan semua kesulitan. Kita harus tetap bertahan untuk tetap bertahan maju. Walaupun betapa gelapnya hari, walaupun betapa curamnya jalan yang dilalui, teruskan maju ke hadapan untuk kejayaan.

Sunday, August 1, 2010

DIBAYANGI KEPAHITAN MASA LAMPAU

"Akal yang mulialah yang memiliki kepuasan tertinggi."

Segala bentuk perselisihan atau perpecahan adalah merupakan pembunuh kejayaan. Perselisihan meracuni akal dan tubuh kita serta membuat kita tetap terkongkong. Ianya selalu menahan kita untuk mencapai sesuatu yang sebenarnya boleh kita capai apabila tidak adanya perselisihan. Inilah kekurangan keharmonian yang boleh ditemui di mana-mana.

Perselisihan terjadi ketika kita ingin mencari kemenangan tetapi kita tidak meletakkan diri dalam kedudukan untuk menang. Inilah masalahnya yang dialami oleh kebanyakan orang.

Kita tidak boleh berharap untuk mencapai sesuatu seandainya kita membiarkan minda kita telah dipenuhi fikiran tentang kegagalan. Setiap hari baru yang kita lalui sepatutnya kita anggap sebagai suatu cabaran. Ia juga boleh dijadikan sebagai titik permulaan Hari itu seharusnya akan membuat kita melebihi pencapaian sebelumnya. Hari yang seharusnya membuat kita meraih tempat yang lebih tinggi. Juga merupakan hari yang membuat kita memperolehi pencapaian yang lebih besar.

"Kenangan masa lampau akan membantutkan keceriaan kehidupan kita."

Namun, bukannya melakukan setiap fajar baru sebagai hari baru. Sebahagian besar dari kita sebaliknya mencampurkan hari baru dengan masa lampau. Kita turut menganggunya dengan ingatan tentang pengalaman pahit pada hari sebelumnya. Sama dipadankan hari baru dengan kekalahan kelmarin. Sewajarnya kita kuburkan masa lalu yang pahit itu untuk selama-lamanya.

Ada orang yang mempunyai gangguan untuk membicarakan nasib mereka yang berat atau yang malang. Ini termasuklah kepahitan yang mereka lalui. Penderitaan yang ditanggung. Penyakit dan ketidaksenangan yang mereka alami. Fikiran mereka dipenuhi dengan perselisihan sehingga nampaknya mereka tidak mampu berkomunikasi kecuali tentang sikap pesimis dan juga sikap kemuraman.

Ingatlah, kita sebenarnya mampu untuk membersihkan mental dengan menyingkirkan segala daki dari ruang mental kita. Maka, kita perlu jadikan cahaya matahari itu menyinari kegelapan mental kita. Buangkan sikap putus asa dengan memberi keceriaan bagi kemuraman kita.

Kita terbentuk sedemikian rupa sehingga kita hanya dapat mencapai kejayaan dengan ukuran terbesar pada saat kita sedang merasa paling bahagia. Keceriaan, harmoni, cinta adalah anak kunci untuk memasuki kejayaan hidup.

"Minda yang terbuka akan dapat membentuk kajayaan dalam kehidupan."