Thursday, August 12, 2010

TAUBAT ITU HUKUMNYA ADALAH WAJIB

"Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'Taubat Nasuha'.
Mudah-mudahan Tuhan kami akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu
dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi
dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya;
cahaya (iman dan amal soleh) mereka,
bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita):
'Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami,
dan limpahkanlah keampunan kepada kami;
sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu'."
(SURAH AT-TAHRIIM : AYAT 8)

Kebanyakan orang menyedari bahawa bertaubat itu hukumnya wajib bagi setiap orang Islam. Ini disebabkan setiap manusia itu terdedah kepada dosa, sama ada disedari atau tidak. Sama ada dosa besar atau pun dosa kecil. Namun begitu, kebanyakan orang juga tidak menyedari bahawa setiap hari mereka pasti ada melakukan dosa walaupun kecil.

Di antara dosa-dosa yang selalu dilakukan sama ada disedari atau tanpa disedari itu ialah lambat mengerjakan sembahyang lima waktu sehingga terlepas waktunya. Kadang-kadang kita berbuat dosa dalam perjalanan kita. Lelaki memandang wanita yang bukan muhrimnya. Begitu juga dengan wanita yang memandang lelaki yang bukan muhrimnya.

Sikap kita yang memarahi orang lain dan memaki orang boleh mengakibatkan berlakunya pertengkaran juga boleh mendatangkan dosa. Bagitu juga kadang-kadang kita tidak menunaikan janji, bercakap kasar kepada ibu bapa atau guru. Makan dan minum sesuatu yang haram sama ada benda itu dari jenis yang haram atau didapati dengan cara yang haram.

Ada pula orang yang menipu, berlagak sombong dan menyakiti hati orang lain. Ada pula orang yang setiap hari kerjanya mengumpat dan menghina orang. Terdapat pula orang yang membalas dendam disamping suka berbohong, menghasut dan sebagainya.

Semua perbuatan itu adalah berdosa. Dosa-dosa itu akan dibalas oleh Allah s.w.t dengan balasan seksaan dalam neraka di akhirat kelak. Dosa-dosa itu tidak akan hapus kecuali dengan memohon ampun dan bertaubat kepada Allah s.w.t. Untuk memohon ampun dan bertaubat itu mestilah dengan cara-cara dan syarat-syarat yang tertentu.

Manusia ini mempunyai dua sifat atau pun disebut juga dua tabiat. Satu tabiat lebih mirip kepada dan dipengaruhi oleh kebaikan dan ibadat. Satu lagi yang dipengaruhi syaitan iaitu tabiat yang jahat, buruk dan keji. Biasanya manusia akan mengikut salah satu daripada dua tabiat itu. Sebahagian akan cenderung kepada kebaikan dan beribadat kepada Tuhan serta meninggalkan maksiat. Sebahagian lagi suka mengerjakan maksiat dan kejahatan serta meninggalkan suruhan Allah s.w.t.

Dalam pada itu ada juga manusia yang berbuat kebaikan dan beribadat, namun mereka juga selalu mengerjakan maksiat dan kejahatan. Mereka mengerjakan sembahyang lima waktu, puasa Ramadhan dan menunaikan Haji tetapi mereka juga adalah kaki judi dan kaki botol. Mereka berpendapat bahawa mereka mengerjakan kejahatan dan maksiat selama setahun, lalu pergi ke Mekah mengerjakan Haji untuk menghapuskan dosa-dosa yang mereka lakukan.

Apabila balik dari Mekah, mereka mengerjakan semula maksiat dan kejahatan dan tahun berikutnya mereka akan ke Mekah lagi untuk bertaubat. Pergi ke Mekah untuk menghapuskan dosa-dosa yang baru. Adakah cara begini dinamakan taubat dan boleh diterima Allah s.w.t? Mereka ini sewajarnya dinamakan orang menafik. Mereka tahu perbuatan maksiat dan melakukan kejahatan itu berdosa, namun mereka melakukan juga perkara-perkara tersebut.

Sebahagian lagi orang munafik ialah orang yang lain dikata dan lain dikota. Lain yang mereka cakap dan lain yang dibuat. Mereka menyuruh orang lain agar berbuat baik dan patuh kepada segala suruhan Allah s.w.t serta menjauhi segala larangan-Nya. Namun begitu, mereka sendiri tidak melaksanakan perintah-perintah Allah s.w.t itu dan melanggar pula segala larangan-Nya.

Itulah dikatakan sebagai orang munafik. Orang yang tidak boleh kita ikuti perbuatannya dan tidak boleh kita patuh kepada arahannya. Allah s.w.t. telah menjanjikan bahawa mereka ini akan ditempatkan dalam neraka untuk menjalani seksaan.

No comments: