Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala yang membatalkan puasa. Waktunya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
PERINTAH WAJIB PUASA
Orang-orang Islam mula diwajibkan puasa dalam tahun kedua hijrah dengan ayat yang bermaksud:-
"Wahai orang-orang yang beriman; kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum dari kamu. Semoga kamu beroleh taqwa".
KELEBIHAN BERPUASA
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:-
"Orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana didorong oleh rasa keimanan kepada Allah dan dengan penuh kesedaran diampunkan Allah segala dosanya yang telah lalu".
HIKMAH DAN RAHSIA PUASA
1. Melatih jiwa dan menahan nafsu syaitan. Dengan itu adalah sebagai cabaran kepada manusia sejauh manakah kesabaran dan ketabahan hati mereka memikul beban yang diamanatkan oleh Allah.
2. Memberikan rasa insaf dan belas kasihan orang-orang kaya atau berada terhadap golongan melarat dan miskin yang sentiasa menderita lapar dan dahaga.
3. Menyihatkan badan. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud:-
"Berpuasalah kamu supaya sihat".
4. Melatih manusia bersifat jujur dalam segala hal kerana orang yang berpuasa itu bukanlah ia berpuasa kerana malu dilihat orang sebaliknya ia tetap berpuasa sekali pun ia tinggal seorang diri.
HUKUM PUASA
1. Wajib
2. Sunat
3. Haram
PUASA WAJIB
Puasa Wajib atau disebut juga Puasa Fardhu atau pun Puasa Ramadhan adalah wajib atas tiap-tiap seorang mukalaf. Orang yang ingkarkan hukum wajibnya adalah dihukum Murtad iaitu keluar daripada agama Islam. Kanak-kanak yang belum baligh walaupun tidak diwajibkan berpuasa tetapi ibu bapa mereka hendaklah menyuruh anak-anak itu menunaikan puasa.
PUASA SUNAT
1. Pada tiap-tiap hari Isnin dan hari Khamis.
2. Pada tiap-tiap tiga belas, empat belas dan lima belas haribulan bagi bulan Qamariah melainkan pada 13 Zulhijjah iaitu haram.
3. Sepuluh haribulan Muharram tiap-tiap tahun atau lebih dikenali dengan nama ASURA.
4. Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah (bulan Haji) bagi yang bukan mengerjakan Haji.
5. Enam hari dalam bulan Syawal.
6. Pada tiap-tiap 15 Syaaban.
HARAM BERPUASA
1. Hari Raya Fitrah disebut juga Hari Raya Puasa iaitu pada 1 Syawal.
2. Hari Raya Qurban atau juga disebut Hari Raya Haji iaitu pada 10 Zulhijjah.
3. Hari Tasyreiq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
4. Hari Syak
SYARAT WAJIB PUASA
1. Islam
2. Baligh (cukup umur)
3. Berakal
4. Upaya mengerjakannya
5. Menetap dan bukan musagir
6. Suci daripada haidh dan nifas
ORANG-ORANG YANG TIDAK WAJIB BERPUASA
1. Orang kafir
2. Kanak-kanak
3. Orang gila
4. Orang tua yang tiada harapan sembuh
5. Orang pitam
6. Orang mabuk
7. Perempuan sedang haidh dan nifas
8. Orang sakit
9. Orang musafir
RUKUN PUASA
1. Niat mengerjakan puasa pada tiap-tipa malam bulan Ramadhan kecuali Puasa Sunat boleh diniatkan sebelum tergelincir matahari selama ia belum melakukan sesuatu yang membatalkan puasa.
2. Meninggalakan segala yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
SYARAT-SYARAT SAH PUASA
1. Islam
2. Berakal
3. Suci dari haidh dan nifas
4. Pada hari yang dibolehkan berpuasa
SUNAT-SUNAT BERPUASA
1. Makan sahur. Waktunya mulai tengah malam hingga terbit fajar.
2. Melambatkan makan sahur hingga hampir terbit fajar.
3. Meninggalkan menyebut perkataan-perkataan yang lucah serta tidak berfaedah.
4. Menyegerakan berbuka puasa sebaik-baik sahaja terbenam matahari.
5. Mendahulukan berbuka puasa daripada sembahyang Maghrib.
6. Mendahulukan berbuka dengan kurma atau sesuatu yang manis yang tidak bermasak.
7. Membaca doa berbuka puasa.
MAKRUH KETIKA BERPUASA
1. Bersugi (menggosok gigi) selepas tergelincir matahari.
2. Melambatkan berbuka setelah jatuh matahari.
3. Berbekam.
4. Bertengkar.
5. Bercakap dusta.
6. Mengulumsesuatu jika tidak bercerai-cerai ia di dalam mulut.
7. Mengeluarkan perkataan keji.
MEMBATALKAN PUASA
1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.
2. Bersetubuh atau mengeluarkan mani dengan sengaja.
3. Keluar haidh atau nifas atau melahirkan anak.
4. Gila walaupun sebentar.
5. Mabuk atau pengsan sepanjang hari.
6. Makan atau minum dengan sengaja.
7. Murtad (keluar Islam).
CARA-cARA MENGERJAKAN PUASA
1. Terlebih dahulu hendaklah berniat tiap-tiap malam antara terbenam matahari dan terbit fajar.
2. Kemudian makan sahur. Seelok-eloknya waktu sahur itu antara tengah malam dengan terbit fajar.
3. Setelah itu tahanlah diri dari melakukan segala yang membatalkan puasa hinggalah terbenam matahari.
ORANG-ORANG YANG DIBOLEHKAN BERBUKA PUASA
1. orang yang sakit yang mudharat (merbahaya) bagi dirinya jika ia berpuasa.
2. Musafir (orang yang berjalan dengan tujuan yang duharuskan oleh agama Islam) sejauh perjalanan 56 batu atau 90.72 km.
3. Orang yang berpuasa lantas ia menjadi terlalu amat lapar dan dahaga serta membahayakan dirinya.
4. Orang yang bekerja berat dan tak berdaya meneruskannya wajib berniat terlebih dahulu pada malamnya kemudian apabila ia merasa keberatan sangat barulah ia boleh berbuka.
5. Perempuan yang mengandung atau yang menyusukan anak yang bimbangkan keselamatan diri dan anaknya.
6. Perempuan yang mengandung atau yang menyusukan anak merasa perlu berbuka puasa demi keselamatan anaknya.
7. Orang tua yang sakit tidak ada harapan sembuhnya.
8. Orang sakit yang tidak ada harapan sembuhnya.
HUKUM MELAMBAT-LAMBATKAN PUASA
Orang yang melambat-lambatkan qadha puasa Ramadhan hingga sampai ke Ramadhan yang lain dengan tidak ada halangan, ia wajib mengqadha puasa dan wajib juga membayar fidyah. bagi yang terlambat mengqadha kerana sesuatu halangan seperti kerana musafir, sakit, terlupa atau tidak mengetahui hukumnya wajib qadha dan juga wajib membayar fidyah. Fidyah itu pula berlipat ganda dengan berulang tahun.
KIFFARAH PUASA
Orang yang membatalkan puasa Ramadhan disebabkan bersetubuh wajib mengqadha puasa dan wajib pula membayar kiffarah. Kiffarah ialah memerdekakan seorang hamba. Jika ia tidak sanggup hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika ia tidak sanggup juga hendaklah ia memberi makan 60 orang miskin. Perempuan yang disetubuhi tidak wajib kiffarah.
AMALAN BAIK DALAM BULAN PUASA
1. Sembahyang Tarawih
2. Tadarus
3. Bersedekah
4. Memperbanyakkan amal
"SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA.
SEMOGA RAMADHAN TAHUN INI
AKAN LEBIH MEMBERI ERTI
KEPADA KITA SEMUA".
SEMOGA RAMADHAN TAHUN INI
AKAN LEBIH MEMBERI ERTI
KEPADA KITA SEMUA".
No comments:
Post a Comment