Monday, August 2, 2010

TERUSKAN PERJALANAN UNTUK KEJAYAAN

"Hasil yang besar tidak dapat dicapai dalam sekali gerakan
dan kita harus puas untuk bergerak ke hadapan
selangkah demi selangkah
seperti ketika kita sedang berjalan."


Setelah menonton filem "back to the future", kita dapat melihat bagaimana masa silam diputarkan kembali agar kita dapat menikmati masa tersebut meskipun saat itu kita masih tiada. Dalam filem Melayu pula kita dihidangkan oleh "x-xray" yang mengimbas kembali masa silam di zaman Hang Tuah di Melaka. Selepas itu kita disaji lagi pelbagai filem bukan sahaja imbas kembali ke zaman silam malahan kita diminta pergi jauh ke hadapan.

Oleh itu, seandainya manusia mampu melihat masa depan kita maka akan terjadilah pelbagai keputusan yang perlu manusia rungkaikan. Manusia yang diberi peluang menikmati masa hadapan akan pastinya akan menyerah atau berhenti berusaha ketika pencapaian sudah terlalu hampir. Tak kiralah mereka itu diberi peluang ke hadapan beberapa jam, beberapa hari, beberapa minggu, beberapa bulan atau pun beberapa tahun.

Mereka sudah hampir berjaya tetapi mereka kurang memiliki ketahanan yang diperlukan untuk bergerak. Mereka hampir sahaja meraih dan menggenggam objek hasrat hati mereka tetapi mereka terlalu cepat berhenti berusaha. Mereka lupa dengan hanya sedikit usaha lagi, sedikit gerakan ke hadapan, sedikit ketetapan hati, sedikit ketabahan dan kesabaran lagi, mereka akan mendapat mahkota kejayaan.

Dunia ini dipenuhi dengan orang yang memulai atau yang memulakan. Namun begitu, orang yang boleh mencapai penamat adalah yang jarang ditemui. Menagapakah begitu ramai orang yang memulakan namun hanya sedikit yang boleh mencapai penamat? Pelbagai alasan untuk manusia keluar dari arena kehidupan. Mereka lebih rela untuk menjadi penonton. Mereka telah terumbang-ambing ditelan waktu dan membuang masa dengan sia-sia.

Memang sukar dinafikan bahawa ramai manusia yang merancang sesuatu pencapaian kejayaan. Namun sukar untuk menafikan bahawa hanya ada sedikit yang bersedia menebusnya dengan pengorbanan. Pada hal pengorbanan itulah yang boleh menjurus diri mereka mencapai objek hasrat hati mereka.

Ramai orang yang mempunyai kehendak untuk bergerak menuju kejayaan ketika keadaan belum sarat. Ketika mereka berhadapan dengan kesulitan, pada saat penghalang menghalang perjalanan, mereka bukan berusaha untuk menyingkirkan semua penghalang tersebut tetapi mereka hanya sanggup untuk berhenti. Mereka telah gagal menemui jalan penyelesaian yang mudah bagi meneruskan perjalanan mereka.

Untuk berjaya kita harus terus bergerak ke hadapan. Oleh itu untuk mencapai kejayaan atau untuk memenangi pertandingan dalam arena kehidupan ini, kita jangan sekali-kali berhenti di tengah jalan. Kita harus terus bergerak ke hadapan dengan melalui liku-liku perjalanan ini. Jika tujuan kita jelas, kita seharusnya dapat menundukkan semua kesulitan. Kita harus tetap bertahan untuk tetap bertahan maju. Walaupun betapa gelapnya hari, walaupun betapa curamnya jalan yang dilalui, teruskan maju ke hadapan untuk kejayaan.

No comments: