Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan kesejahteraan menusia dan seluruh isi alam ini; sesuai dengan sifatnya sebagai "rahmat" kepada sekelian alam. Untuk itu Islam sentiasa memastikan golongan yang tertindas, miskin, menderita dan kebuluran mendapat pembelaan sewajarnya. Islam menentang sebarang bentuk pertapaan, kerahiban dan pemujaan.
Selain dari itu Islam juga mengambil berat masalah anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang tua, orang-orang musafir dan orang-orang miskin kerana berjuang di jalan Allah s.w.t.. Begitu juga dengan orang-orang yang berusaha mendalami ilmu pengetahuan. Disamping itu, Islam melarang melakukan penganiayaan ke atas binatang-binatang dan tumbuh-tumbuhan yang boleh mendatangkan faedah kepada manusia.
Berdasarkan kepada semangat ini, Islam memudahkan sesuatu perkara dan tidak mahu menyulitkan manusia khususnya dalam perkara agama dan dalam melaksanakan urusan seharian. Semua hukum-hukum Islam adalah mudah bagi mereka yang benar-benar beriman. Oleh yang demikian, pihak majikan atau ketua mestilah berusaha memudahkan kerja-kerja yang bukan tanggungjawab sebenar pekerja itu.
Ketua atau majikan perlu berusaha mengambil tahu tentang kerja-kerja yang sedang dilakukan serta masalah-masalah yang dihadapi dalam melaksanakan tugas tersebut. Dengan ini akan lahirlah perasaan kasih sayang, hormat menghormati, harmoni dan suasana kerja yang indah dan mesra.
Ingatlah bahawa Allah akan memudahkan urusan orang-orang yang bertaqwa seperti mana firman-Nya yang bermaksud;
"Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya."
(Al-Talaq: 4)
No comments:
Post a Comment