Pemaaf adalah sifat yang paling disanjung oleh Islam. Pemaaf bererti orang yang suka memberi ampun terhadap kesalahan orang lain terhadap dirinya. Ia juga tidak rasa benci atau sakit hati terhadap orang yang melakukan kesalahan pada dirinya. Ia juga tidak akan melakukan sesuatu untuk membalasnya pada hal ia mampu untuk melakukannya.
Kita juga hendaklah sentiasa memaafkan kesalahan orang lain dan mengamalkan sifat-sifat menahan marah. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud;
"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahanya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."
(A-Li'Imran: 134)
Islam tidak mengiktiraf seseorang itu sebagai pemaaf, jika ia berpura-pura baik dengan menyembunyikan kebencian terhadap orang yang dibencinya kerana ia tidak mampu membalas terhadap orang tersebut. Sifat ingin membalas kesalahan orang lain sama ada dari segi percakapan atau tindakan adalah menjadi penyakit utama di dalam pentadbiran. Namun begitu, bukanlah semuanya boleh dimaafkan.
Hanya kesalahan terhadap individu lain sahaja yang boleh dimaafkan. Kesalahan terhadap agama atau hak Allah seperti menyalahgunakan dadah, berzina, minum arak tidak boleh dimaafkan. Ini adalah kerana sudah ada ketetapan larangan ke atas perbuatan tersebut. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri tidak memberi maaf terhadap pesalah yang berhubung dengan hak-hak Allah. Kalau kita memaafkan dalam hal seperti ini adalah seperti menghina terhadap hak-hak Allah.