Wednesday, June 23, 2010

BUDAYA WARISAN BANGSA (2)


BUDAYA SURVIVALISME DALAM KHAZANAH MELAYU
Setiap bangsa memliki bahasa yang menjadi medium perhubungan dan komunikasi antara mereka dan juga pihak luar. Salah satu daripada cabang bahasa ialah peribahasa iaitu ayat yang mempunyai susunan yang tetap dengan pengertian tertentu yang mengandungi teladan, sindiran dan pengajaran. Peribahasa dapat digolongkan kepada beberapa jenis iaitu simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan, pepatah, bandingan atau kiasan dan kata-kata hikmat.

Setiap bangsa mempunyai perobahasa masing-masing yang dapat mencerminkan atau melambangkan watak dan ciri-ciri bangsa tersebut. Contohnya kita boleh meneliti kewujudan ciri-ciri budaya survivalisme dalam khazanah Melayu menerusi beberapa peribahasa berikut:-

1. Mujahadah (Bersungguh-sungguh):-

a) Biar putih tulang, jangan putih mata (Lebih baik mati daripada menanggung malu)
b) Berpantang maut sebelum ajal (Berusaha selagi ada peluang)

2. Berani menghadapi risiko:-
a) Kalau takut dialun ombak, jangan berumah di tepi pantai (Kalau takut menanggung risiko, jangan buat pekerjaan yang mencabar)
b) Bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora (Setiap orang tidak sunyi daripada membuat salah dan silap)

3. Pemikiran positif:-
a) Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan (Setiap matlamat boleh dicapai jika berusaha)
b) Selembab-lembab punting di dapur, ditiup menyala juga (Sesuatu pekerjaan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh lambat-laun berhasil juga)

4. Waspada:-
a) Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis (Selalu berwaspada dan berhati-hati)
b) Hilang bahasa lenyaplah bangsa (Apabila sesuatu bahasa itu sudah tidak terpakaim lagi maka lamat-laun hilanglah bangsa itu, hilang budi bahasa dan darjat diri)

5) Komitmen:-
a) Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah (Selama masih hidup mestilah menurut aturan-aturan yang berlaku, sudah mati terserah kepada hukum Tuhan)
b) Garam dikulum tidak hancur (Seseorang yang teguh menyimpan rahsia)

6. Yakin:-
a) Tak gerun beliung memandang kempas besar tersergam tinggi) Orang yang kecil tetapi pintar tidak takut takut akan lawan yang besar)
b) Hati hendak, semua jadi (Jika ada kemahuan, semua kerja yang kita lakukan akan berhasil)

7. Berpandangan jauh:-
a) Baik berjagung-jagung, sementara padi belum masak (Sementara belum ada yang lebih baik, maka yang kurang baik pun baiklah dipakai dulu)
b) Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian)

8. Strategik:-
a) Cermat masa banyak, jimat masa sedikit (Selalu berhati-hati dalam membelanjakan sesuatu)
b) Biar miskin asal cerdik, tertawan juga orang kaya (Kepintaran itu melebihi kekayaan)

9. Kreatif:-
a) Tiada rotan akar pun berguna (Menggunakan apa yang ada walaupun bukan yang terbaik)
b) Kalau pandai meniti buih, selamat badan ke seberang (Seseorang yang bijak akan berhati-hati menyelesaikan sesuatu perkara)

10. Proaktif:-
a) Sediakan payung sebelum hujan (Membuat persediaan awal)
b) Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina)

11. Gigih:-
a) Kalau tidak dipecahkan ruyung), manakan dapat sagunya. (Tidak akan tercapai maksudnya kalau tidak mahu berusaha dan bersusah payah.
b) Ulat dalam batu pun hidup juga (Orang yang rajin berusaha tidak akan mati kelaparan)

12. Kental:-
a) Patah sayap bertongkat paruh (Terus berusaha tanpa putus harap).
b) Berhati-hati waja, berurat kawad

13. Sabar:-
a) Gengam bara api biar sampai jadi arang. (Membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaan)
b) Alah bisa tegal biasa (Apabila telah biasa melakukannya, maka tiada terasa lagi kesukarannya, pengalaman praktis lebih baik daripada teori)

14. Tiada pengorbanan:-
a) Biar luka di dada jangan luka di belakang (Biar kalah sesudah melawan daripada kalah kerana melarikan diri.
b) Biar mati ditangkap harimau, jangan mati digigit anjing (Kalah di tangan orang yang lebih kuat lebih baik daripada kalah di tangan orang yang lemah)

Himpunan beberapa contoh peribahasa ini membuktikan bahawa budaya survivalisme telah wujud dan diamalkan oleh bangsa Melayu sejak sekian lama. Oleh itu, tidak timbul pertikaian atau persoalan sama ada konsep survivalisme ini sesuatu yang baru atau asing kepada bangsa Melayu. Perbezaan yang wujud mungkin hanya ada pada istilah atau perkataan tetapi dari segi nilai dan konsep.

No comments: