Saturday, June 26, 2010

KERAJAAN-KERAJAAN NEGERI! MANER SUARE MENGKOME?

Bantah lesen judi bola

Oleh Azmi Md Deros, Ismail Mat, Abdul Razak Raaff, Abdul Halim Yusof, Amin Ridzuan Ishak dan Zanariah Abd Mutalib

2010/06/25

Pemuda, Puteri UMNO desak batal syor benarkan pertaruhan

TAWAU: Dua sayap UMNO – Pergerakan Pemuda dan Puteri – serta beberapa badan perhubungan UMNO negeri, semalam membantah cadangan supaya kerajaan mengeluarkan lesen judi pertaruhan bola sepak di negara ini.

Pengeluaran lesen itu menurut mereka hanya akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada masyarakat serta tidak menjamin aktiviti bookie haram dapat dihapuskan.

Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, berkata berdasarkan pandangan akar umbi dan menyaksikan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras gejala judi itu, pergerakan itu berpendirian kerajaan tidak seharusnya mengeluarkan lesen berkenaan.

“Selepas hampir beberapa minggu kita meminta pandangan ahli akar umbi dan melihat usaha PDRM membanteras gejala judi melalui penguatkuasaan dalam tempoh seminggu ini, kita membantah jika kerajaan mahu mengeluarkan lesen judi pertaruhan perlawanan bola ini.

“Kita berharap apa yang kita dengar menerusi berita kenyataan pihak swasta bahawa kerajaan sudah bersetuju (mengeluarkan lesen), adalah tidak benar. Kita berharap kerajaan tidak mengeluarkan lesen berkenaan,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tawau, yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan di sini, semalam.

Selain itu, Khairy berkata, MCA dan MIC juga mengakui judi bukanlah perkara yang disokong masyarakat Cina dan India di negara ini dan mereka tidak menganggapnya sebagai satu budaya.
"Rakan-rakan dalam MCA dan MIC juga berpendapat mengapa kita menggalakkan perkara ini (judi) dengan mengesahkannya menerusi pemberian lesen. Daripada pandangan mana-mana budaya atau kaum di Malaysia, mereka tidak setuju, lebih-lebih lagi yang beragama Islam,” katanya.

Isu lesen judi pertaruhan bola sepak ini timbul apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin menyatakan ada cadangan daripada kerajaan untuk meluluskan lesen judi sukan ketika berlangsungnya perlawanan bola sepak Piala Dunia.

Sementara itu, Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata pengeluaran lesen berkenaan tidak akan membantu membanteras sindiket judi pertaruhan bola sepak haram biarpun aktiviti berkenaan akan dilesenkan.

“Ini disebabkan asal judi itu sendiri sama ada untuk bola sepak atau perkara lain adalah sama sekali tidak dibenarkan oleh mana-mana agama, sama seperti arak dan zina.

“Langkah mengeluarkan lesen pertaruhan judi bola sepak sama sekali tidak diperlukan untuk membendung kegiatan itu,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau turut meminta kerajaan memberi penerangan lebih jelas mengenai isu itu supaya rakyat dapat mengetahui status sebenar.

Selain itu, beberapa Badan Perhubungan Umno negeri turut membantah cadangan kerajaan mengeluarkan lesen judi itu, selepas Badan Perhubungan Umno Perak menyatakan pandangan yang sama sebelum ini.

Di ALOR SETAR, Badan Perhubungan Umno Kedah sebulat suara mahu kerajaan tidak meluluskan lesen perjudian bola sepak berkenaan kerana dikhuatiri akan menimbulkan masalah sosial.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shafie Apdal yang turut dihadiri semua Ketua Umno Bahagian, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri, baru-baru ini.

“Kita membincangkan dengan panjang lebar dan berpendapat pengeluaran lesen itu bukan saja akan memberi kesan kepada masyarakat bukan Melayu, malah orang Melayu dan beragama Islam yang akan terdorong untuk bertaruh,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, Badan Perhubungan UMNO Terengganu meminta kerajaan menghentikan terus rancangan mengeluarkan lesen judi itu bagi mengelakkan isu itu terus dipolitikkan pihak tertentu sekali gus menjejaskan imej kerajaan Barisan Nasional (BN).

Setiausahanya, Datuk Tengku Putera Awang, berkata umum mengetahui niat sebenar kerajaan adalah baik untuk memastikan pengawalseliaan yang teratur bagi mereka yang bukan Islam, namun ia kini sudah terlalu dipolitikkan.

Sementara itu, di KUANTAN, Wanita dan Puteri UMNO Pahang menyatakan pendirian yang sama sejajar dengan perjuangan parti untuk menjaga kepentingan umat Islam dan dan memelihara kesucian agama Islam.

Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Rosni Zahari, berkata pergerakan itu berharap kerajaan boleh mendapatkan hasil pendapatan daripada sumber lain yang halal bagi tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat.

Di GEORGETOWN, Pergerakan Wanita Umno Pulau Pinang juga menyifatkan pengeluaran lesen berkenaan akan mencalarkan imej Malaysia sebagai negara Islam.

No comments: