APAKAH YANG DIKATAKAN SEBAGAI BUDAYA?
Prasyarat untuk membolehkan kita menjadi sesuatu perkara sebagai satu budaya ialah kita memahami secara mendalam konsep serta pengertian istilah budaya itu sendiri.
Secara ringkasnya ciri-ciri budaya adalah seperti yang berikut:-
1. Berakar umbi:-
Sesuatu perkara dianggap sebagai budaya apabila menjadi amalan bangsa tersebut dalam tempoh yang lama. Tempoh masa yang telah direntasi secara tidaklangsung akan menjadikan amalan tersebut mengalami proses kematangan. Hanya amalan yang telah berakar umbi diamalkan oleh sesebuah bangsa akan mampu dikekalkan hingga ke hari ini.
2. Amalan ramai:-
Perkara yang diamalkan oleh keseluruhan anggota bangsa tersebut atau sebahagian besar daripadanya akan dianggap sebagai budaya mereka. Jumlah atau bilangan orang yang mengamalkannya menjadi salah satu bukti bahawa amalan tersebut difahami dan didukung oleh keseluruhan atau sebahagian besar bangsa tersebut.
3. Berkekalan:-
Keupayaan sesuatu perkara untuk diamalkan oleh bangsa tersebut secara berterusan dan berkekalan menjadi salah satu faktor mengapa dianggap sebagai budaya. Amalan tersebut akan diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya sehingga menjadi amalan yang berkekalan. Keupayaan sesuatu perkara untuk kekal diamalkan menunjukkan amalan tersebut mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri.
4. Diwarisi:-
sesuatu amalan akan dianggap sebagai budaya jika amalan itu mampu untuk diwarisi oleh generasi baru. Proses penerimaan generasi baru terhadap amalan tersebut menunjukkan bahawa budaya tersebut mempunyai nilai yang bersifat kontemporasi yang membolehkannya menyerap perubahan masa dan zaman. Bak kata pepatah, "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas".
5. Nilai baik:-
Sesuatu amalan akan dianggap sebagai budaya sekiranya amalan tersebut mempunyai nilai baik. Syarat ini secara jelas menunjukkan bahawa perkara yang tidak mempunyai nilai baik akan terkeluar daripada kategori budaya walaupun memenuhi ciri-ciri budaya yang lain. Maksudnya, amalan tersebut perlu selari dengan fitrah manusia dan membawa faedah serta manfaat kepada manusia.
6. Difahami:-
Hanya amalan yang difahami oleh sebahagian besar atau keseluruhan bangsa tersebut akan dianggap sebagai budaya. Kefahaman terhadap amalan tersebut membolehkan pengamalnya tahu dan jelas akan matlamat serta tujuan sesuatu amalan itu dijadikan sebagai budaya. Kefahaman inilah yang akan mendorong mereka mempertahankan dan memperjuangkan budaya tersebut.
7. Mempunyai identiti sendiri:-
Sesuatu amalan yang dianggap sebagai budaya perlu mempunyai identitinya yang tersendiri. Identiti ini bukan sahaja boleh menjadi kemegahan sesuatu bangsa, malahan akan mendorong bangsa tersebut memberikan komitmen sepenuhnya untuk mengamalkan budaya tersebut. Hal ini juga akan menjadi bukti bahawa amalan atau budaya itu adalah milik bangsa tersebut.
8. Dipengaruhi oleh agama:-
Selain mempunyai nilai baik, sesuatu amalan hanya dianggap sebagai budaya sekiranya dipengaruhi oleh agama. Bangsa Melayu contohnya, perlu memastikan amalan yang dilakukan bertepatan dengan syariat Islam untuk membolehkan amalan tersebut dianggap sebagai satu budaya.
9. Menjadi kebanggaan:-
Amalan yang dianggap sebagai budaya mestilah menjadi kebanggaan bangsa tersebut. Hal ini membolehkan amalan tersebut dipraktikkan secara sukarela tanpa ada sebarang pakasaan. Semua lapisan masyarakat bangsa tersebut akan mempraktikkannya dengan penuh kemegahan.
Ciri-ciri yang telah dinyatakan di atas perlu dijadikan sebagai ukuran dan panduan dalam usaha kita untuk menjadikan survivalisme sebagai budaya yang merangsang kecemerlangan bangsa.
No comments:
Post a Comment