Sunday, February 27, 2011

KESELAMATAN JALAN RAYA TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Pernahkah anda melihat iklan "Jangan Jadikan Jalan Raya Kita Sungai Maut" yang suatu ketika dulu disiarkan di kaca televisyen? Jika masih ingat, sedikit sebanyak pastinya mendatangkan rasa gerun apabila melihat kemalangan sedemikian rupa. Timbul persoalan walau sebanyak mana iklan dan kempen kesedaran keselamatan jalan raya yang dilaksanakan, masih lagi terdapat segelintir pemandu yang enggan mematuhi peraturan jalan raya.

Menerusi kempen-kempen yang dijalankan oleh kerajaan telah membawa kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat khususnya golongan pemandu. Berdasarkan statistik bagi tempoh lima tahun yang lepas, jumlah pengguna yang terlibat dalam kemalangan injuri telah menurun daripada 54,088 kes pada tahun 2004 kepada 31,417 kes pada tahun 2010. Angka berkenaan memperlihatkan penurunan kemalangan dengan kadar 42%. Bagi mempergiatkan lagi kempen kesedaran, kerajaan turut mensasarkan pengurangan kadar kematian pada tahap 50% di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006 - 2010.

Pengurangan kadar kemalangan boleh dicapai melalui langkah intervensi dan rawatan pemulihan di bawah empat kategori utama iaitu program pendidikan, program penguatkuasaan, program kejuruteraan jalan dan kenderaan. Sementara bagi langkah intervensi, ia menjurus kepada bidang keselamatan, kesihatan dan persekitaran yang melibatkan beberapa agensi kerajaan khususnya Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selain kempen melalui media cetak dan elektronik, JKJR turut menganjurkan kempen kesedaran dengan mengaplikasikan konsep keagamaan iaitu "Tiga Amal Kebaikan".
Pertama; amalan berbudi bahasa oleh pemandu dengan memulakan setiap perjalanan selepas berdoa agar terhindar dari kesalahan-kesalahan seperti melanggar peraturan trafik dalam setiap perjalanan.

Kedua; bertutur sopan apabila menghadapi masalah dengan orang lain semasa berada di atas jalan raya seperti menggunakan bahasa yang halus dan mengucap terima kasih, memohon maaf dan sebagainya.

Ketiga; berniat baik sebagai satu amalan yang melibatkan perubahan minda kita sendiri. Sebagai contohnya, sewaktu di jalan raya, pemandu perlu menunjukkan sikap hormat-menghormati dan tolong-menolong di antara satu sama lain serta meletakkan nyawa pejalan kaki atau penunggang motosikal sebagai keutamaan.

Keseluruhan, penerimaan masyarakat terhadap kempen keselamatan jalan raya ini adalah amat penting kerana mencerminkan sikap pemandu yang berhati mulia serta berhemah tinggi. Jalan raya bukanlah tempat untuk berlumba sebaliknya jalan raya adalah lambang kejayaan negara dalam pembangunan infrastruktur di mata dunia.

No comments: