KEPENTINGAN DISIPLIN
Mengikut Laporan Jawatankuasa Kabinet, salah satu matlamat pendidikan negara ialah melahirkan rakyat yang berdisiplin. Rakyat yang berdisiplin akan sedar serta sanggup melaksanakan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, institusi-institusi dan negara. Rakyat yang berdisiplin adalah penting untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang bertatasusila, bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan progresif seperti cogan kata yang berbunyi, Rakyat Berdisiplin, Negara Maju.
Sebagaimana yang telah dihuraikan, disiplin merupakan suatu jenis latihan yang melahirkan individu supaya menjadi insan yang berakhlak mulia, berfikiran rasional, sanggup mematuhi undang-undang dan hak-hak individu lain, bertanggungjawab serta sanggup memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. Kesanggupan-kesanggupan ini amat penting untuk mewujudkan sebuah negara yang aman, stabil, makmur dan maju.
Di dalam sesebuah bilik darjah, murid-murid yang berdisiplin adalah penting untuk menghasilkan pencapaian objektif pelajaran yang berkesan. Disiplin bilik darjah yang baik bermakna suasana sosioemosi bilik darjah adalah kondusif dan harmonis; aktiviti dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara sistematik, teratur serta licin; keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dipertingkatkan; segala tugas dapat diselesaikan mengikut jadual; sifat tanggungjawab, tolong menolong, tolenransi, kerajinan, kerjasama dan kebersihan dapat dirujuk, dan aktiviti pengajaran-pembelajaran menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan.
Berdasarkan huraian di atas, disiplin bilik darjah bilik darjah yang baik akan membawa implikasi-implikasi pengajaran-pembelajaran seperti berikut:-
1. Pengajaran-pembelajaran dapat dijalankan secara lancar, sistematik serta dalam suasana yang kondusif dan berkesan.
2. Keberkesanan aktiviti pengajaran-pembelajaran di bawah kawalan bilik darjah secara berdisiplin akan dapat dipertingkatkan lagi.
3. Guru dapat melaksanakan rancangan pelajarannya mengikut masa yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan.
4. Objektif pelajaran yang telah ditentukan dapat dicapai dengan berkesan.
5. Murud-murid merasa selamat dan gembira menyertai aktiviti pembelajaran, disamping mengikut pelajaran dalam keadaan yang berdisiplin.
6. Keterangan, arahan dan bimbingan guru dapat diikuti dan dipatuhi oleh semua murid dengan tepat dan tanpa sebarang keraguan.
7. Kemalangan di bilik darjah ataupun di bengkel dan makmal dapat dielakkan.
8. Nilai-nilai moral dapat dipupuk dengan berkesan dalam bilik darjah yang berdisiplin.
9. Murid-murid dapat dilatih menjadi rakyat yang berdisiplin dan berguna.
10. Rancangan Sukatan Pelajaran bagi setiap mata pelajaran dapat dilaksanakan mengikut jadual masa yang ditetapkan. Murid-murid dapat memperoleh kemahiran dan ilmu pengetahuan dengan sempurna dan mencukupi.
No comments:
Post a Comment