Monday, February 28, 2011

MAK YONG - SENI UNIK TARIDRA MELAYU

Teater tradisional merupakan genre seni persembahan yang berfungsi sebagai media hiburan yang membawa unsur-unsur nilai murni budaya bangsa. Antara teater tradisional yang terkenal di negara ini ialah Mak Yong, Wayang Kulit, Jikey, Randai dan Mek Mulong. Bagi masyarakat keturunan Cina terkenal dengan opera Cina yang disampaikan dalam pelbagai versi dialek seperti Kantonese, Hokkien dan Hakka. Manakala masyarakat berketurunan India pula terkenal dengan teater tradisional Mahabharata dengan Bharatanatyam, Kathak, Odisi dan sebagainya.

Menyentuh tentang teater Mak Yong, istilah Mak Yong berasal daripada nama "Mak Hiang" iaitu nama semangat padi yang mempunyai persamaan dengan Dewi Seri iaitu Dewi Hindu-Jawa. Di Kelantan, mak Yong dianggap mempunyai asal usul terus daripada Nabi Adam menjadikan genre ini ditafsirkan dalam istilah-istilah simbolik dan mistik yang seringkali dipetik daripada pengajaran sufi.

Mak Yong dipercayai wujud pada abad ke-19 dan pada tahun 1920-an, ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan. Mak Yong merupakan taridra Melayu yang unik dan halus sifatnya iaitu satu kombinasi dari unsur-unsur gerak lakon, tarian, muzik dan nyanyian yang akan dipentaskan.

Terdapat 12 cerita pokok Mak Yong yang utamanya termasuklah Dewa Muda, Raja Tangkai Hati, Raja Bijak Laksana, Gading Betimang, Raja Muda Lakleng dan Raja Besar Ho Gading. Taridra Melayu ini dipersembahkan oleh watak-watak seperti Pak Yong, Pak Yong Muda, Mak Yong, Puteri Mak Yong, Peran dan Watak Dayang-Dayang.

No comments: