Wednesday, June 22, 2011

TENUN PAHANG DIRAJA KEAJAIBAN TENUNAN

Acap kali diperkatakan bahawa kain tenun Pahang Diraja telah diusahakan di negeri ini seawal abad ke 16 Masihi. Penghijrahan orang-orang dari Riau dan Sulawesi membawa bersama mereka kemahiran kerja-kerja menenun dan diperkenalkan kepada masyarakat tempatan.

Seorang saudagar Bugis yang bernama Tok Tuan atau Keraing Aji turut berhijrah ke Pahang dan menetap di Kampung Mengkasar, Pekan, Pahang pada ketika itu. Beliau dikatakan menjadi pendorong kepada perkembangan perusahaan tenunan di sini dengan memperbaiki dan mengemaskan lagi pembuatan kain tenunan.

Kain ini kain sutera,
Kalau mandi disesah jangan;

Pakaian ini pakaian lama,

Kalau sayang diubah jangan.


Benang kapas dan sutera adalah bahan asas utama yang digunakan dalam perusahaan menenun di Pahang. T.J. Newbold dalam buku berjudul "Political and Statistical Account of the British Empire in the Straits of Malacca" menyatakan bahawa benang sutera adalah salah satu daripada barang yang mustahak dibawa masuk ke Pahang dari Singapura dan Melaka.

Sebelum warna-warna sintetik menguasai industri tenunan, penenun mewarnakan benang menggunakan bahan semula jadi seperti mengkudu, kunyit, kayu sepang dan pokok kesumba serta beberapa jenis tumbuhan sesuai. Perahan air buah belimbing atau asam gelugur dijadikan sebagai bahan untuk mematikan warna.

Reka corak dan motif kain tenun Pahang ringkas menghias cantik pada setiap helai kain yang ditenun. Jalinan benang pakan dan loseng berwarna kadangkala dihias dengan sulaman benang emas atau perak bagi memberi variasi dalam reka corak kain.

Corak melintang, memanjang, kain beragi, corak rawa, corak Bugis dan corak Muar adalah antara reka corak tradisional yang telah menjadi identiti kain tenun Pahang. Ada juga reka corak kain tenun ini yang digubah bersempena dengan orang yang menempahnya, antaranya corak Tun Razak, corak Tok Muda, corak Tengku Ampuan, corak Datuk Bandar dan Orang Kenamaan.

Kalau berkunjung ke negeri Pahang,
Singgah sebentar di Pulau Keladi;

Kain Tenun indah dipandang,

Jadikan kenangan kekal abadi.


Dahulu kain tenun Pahang dijadikan samping atau sarung yang dipakai dengan busana tradisional seperti baju Melayu atau baju kurung atau kebaya. Tekstur kain tenun yang halus dengan reka corak yang ringkas, memberi ilham kepada pereka fesyen terkenal untuk menampilkan rekaan busana dengan transisi potongan terkini, moden dan kontemporari yang sesuai digayakan untuk majlis-majlis perkahwinan, kasual dan santai.

No comments: