Thursday, June 2, 2011

TUNAS KADET REMAJA SEKOLAH (TKRS)

1. LATAR BELAKANG
1.1 Pelajar adalah satu aset yang amat berharga dalam menentukan arah pembangunan pada masa akan datang. Dalam konteks Pendidikan Kebangsaan, kegiatan kokurikulum merupakan satu program penting demi membangunkan potensi murid-murid secara menyeluruh. Secara umum kegiatan kokurikulum yang sedia ada telah berjaya membina disiplin pelajar bagi meningkatkan minat mereka terhadap pembelajaran. Namun demikian masih banyak ruang yang perlu dipenuhi untuk mengatasi masalah generasi yang semakin mencabar. Bagi mengisi tuntutan ke arah negara maju, kita perlu menyediakan golongan yang dinamik dan berkualiti serta mempunyai perkembangan sahsiah yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

1.2 Menyedari keperluan ini Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) hendaklah ditubuhkan di semua sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan seluruh negara sebagai salah satu pasukan Badan Beruniform di sekolah. Kewujudan TKRS sekaligus dapat memenuhi kepelbagaian citarasa, minat dan bakat pelajar berdasarkan objektif yang dikemukakan.

2. RASIONAL
2.1 Memberi peluang seluas-luasnya kepada murid-murid untuk melibatkan diri dalam Pasukan Badan Beruniform.

2.2 Adalah diharapkan TKRS dapat membantu mengatasi masalah salahlaku dalam kalangan murid-murid sekolah seperti penyalahgunaan najis dadah, merokok, ponteng sekolah, budaya lepak dan juvana.

2.3 Memenuhi inspirasi dan permintaan masyarakat masa kini yang memerlukan satu usaha pembinaan generasi baru secara komprehensif dan cemerlang dengan mendapat sokongan padu daripada semua pihak.

2.4 Aktiviti TKRS diharap dapat mengembangkan semua aspek potensi manusia yang berteraskan ilmu dam amal ke arah pembinaan dan pengukuhan sahsiah pelajar yang mengamalkan nilai-nilai murni dan moral yang tinggi selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

3. MATLAMAT
Melahirkan pelajar cemerlang yang beriman, berakhlak mulia, berilmu dan berketrampilan selaras dengan hasrat Wawasan Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara ke arah menjayakan Wawasan 2020.

4. OBJEKTIF
4.1 Membina generasi bersemangat patriotik yang cintakan agama, bangsa dan negara.

4.2 Membentuk generasi yang menjiwai semangat perpaduan, memiliki ketrampilan diri, berdaya saring, mampu bersaing, bersemangat juang, kreatif serta inovatif dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup.

4.3 Membina dann mengembangkan kefahaman, kesedaran dan kepekaan dalam kalangan pelajar mengenai isu-isu semasa serta berkeupayaan mewujudkan integrasi nasional.

4.4 Melahirkan generasi yang mengetahui, memahami, menghayati dan mengamalkan akhlak Islam serta mampu memberikan sumbangan demi kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bermesra.

4.5 Menyediakan peluang kepada pelajar untuk memperolehi pengetahuan, pengalaman, kemahiran, kebolehan mengurus dan memimpin.

5. PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN
TKRS dicadangkan supaya ditubuhkan di semua sekolah rendah seluruh Malaysia agar murid-murid didedahkan lebih awal mengenai TKRS seperti mana pasukan badan beruniform yang lain.

6. BIDANG AKTIVITI BERSEPADU TKRS
6.1 Disiplin dan Kerohanian
6.2 Ketahanan Diri dan Kebudayaan
6.3 Alam Sekitar
6.4 Keusahawanan
6.5 Khidmat Masyarakat (Khidmas)

7. PEMANTAUAN
7.1 Tugas pemantauan terhadap pelaksanaan/laporan aktiviti hendaklah dilakukan oleh:-
- Pengarah Pelajaran Negeri
- Pegawai-Pegawai JPN
- Jurulatih KRS/TKRS Negeri
- Pegawai Pelajaran Daerah
- Pengetua/Guru Besar

7.2 Pemantauan merangkumi perkara-perkara berikut:-
- laporan Aktiviti
- Laporan Kewangan

No comments: