Saturday, November 29, 2008

PROFESION KEGURUAN - CABARANNYA

KES 1
Seorang guru yang mengajar di kelas pendidikan khas telah ditendang dan dipukul dengan kerusi oleh seorang pelajarnya.
KES 2
Seorang guru wanita telah diarah untuk bersara atas sebab-sebab kesihatan selepas diserang oleh pelajar yang berusia 13 tahun. Guru tersebut mengalami gangguan, tekanan dan trauma akibat serangan itu.
KES 3
Seorang guru lelaki yang berhemah dan dihormati telah ditahan dan dituduh atas kesalahan penderaan seksual ke atas pelajarnya. Beliau telah berkhidmat lebih 20 tahun. Akibat daripada ditahan selama 3 bulan, pengalaman tidur dalam penjara, publisiti pihak media dan dihalang kembali bekerja telah menyebabkan guru tersebut mengalami trauma yang teruk, walaupun akhirnya tuduhan tersebut telah ditarik balik. Beliau berpendapat anggapan tidak bersalah tidak bermakna terhadapnya.
SEKOLAH BOLEH DIDAKWA?
Peranan sekolah adalah untuk mendidik manusia (pelajar) sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sekolah akan cuba merealisasikan hasrat FPK tersebut di mana untuk seimbangkan kecemerlangan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek setiap pelajar.
Justeru itu, sekolah-sekolah akan terdedah kepada umum iaitu mendapat perhatian dari semua pihak. Ini termasuklah perhatian daripada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan yang boleh menyebabkan sekolah didakwa. Lagi pun dalam senario sepserti ini ragam dan tingkahlaku manusia telah diinterpretasi secara berbeza.
MINIMUMKAN DAKWAAN
Pengurus sesebuah sekolah perlu meminimumkan dakwaan dengan mengambil inisiatif dan tindakan-tindakan yang sewajarnya:-
1. Peka dan memahami segala dokumen rujukan dalam membuat tindakan
2. Mengambil langkah proaktif bagi menjamin keselamatan pelajar sepanjang masa
TINDAKAN SIVIL TERHADAP GURU
1. Serangan (assault)
A, seorang guru sekolah, pada menjalankan budi bicaranya dengan munasabah sebagai guru, telah menyebat B, salah seorang daripada muridnya. A, tidaklah menggunakan kekerasan jenayah terhadap B, kerana sungguhpun A, bermaksud hendak menyebabkan ketakutan dan kegusaran, ia tidak menggunakan kekerasan dengan menyalahi undang-undang.
2. Hentaman) (battery)
3. Salah Tahan (false imprisonment)
SYARAT UNTUK BERJAYA DIDAKWA
1. Tahanan lengkap
2. Tiada peluang lepaskan diri
DALEHAN DALAM TINDAKAN TORT
1. Volenti non fit injuria:-
Seseorang yang telah memberi kebenaran untuk diperlakukan sesuatu ke atas dirinya tidak boleh kemudiannya mengadu mengenai hal itu.
2. Kebenaran:-
Hukuman munasabah disiplinkan murid
PRINSIP UNDANG-UNDANG JENAYAH
1. Seksyen 76:-
Seseorang itu tidak boleh dihukum kerana dia telah menjalankan tugasnya di sisi undang-undang.
2. Seksyen 88 dan 92:-
Apa-apa perbuatan/tindakan yang dilakukan demi untuk kepentingan seseorang itu adalah dibenarkan oleh undang-undang jenayah. Sama ada kebenaran atau tidak daripada orang itu.



Friday, November 28, 2008

IBU TUA

gegak gempita merata
menyakiti gegendang telinga
bersama tangisan seorang ibu tua
meratapi penuh hiba minta dikasihani
pisang sesikat yang didiami
kini menyembah bumi
angkara kerakusan
manusia yang berkuasa
kini bukan manusia lagi
ibu tua jatuh tanpa sedarkan diri

PERUNDANGAN DALAM PENDIDIKAN

CABARAN
Seiring dengan perkembangan terkini dunia pendidikan, warga pendidik menghadapi pelbagai cabaran yang wajar mereka hadapi. Cabaran utama yang dihadapi adalah yang melibatkan tanggungjawab mereka sebagai pendidik. Mereka juga menghadapi cabaran dari ibu bapa yang kebelakangan ini begitu mudah mengambil tindakan mahkamah terhadap pendidik apabila berlaku sesuatu kes.
Warga pendidik sekarang merasakan profesion yang mereka ceburi terdedah kepada pelbagai risiko dan liabiliti. Untuk mengelakkan risiko dan liabiliti ini, warga pendidik sewajarnya bersedia memperkemaskan diri dengan pengetahuan yang munasabah tentang hak dan tanggungjawab mereka.
Pengetahuan yang munasabah yang perlu ada memadai dengan langkah-langkah berjaga-jaga. Manakala hak dan tanggungjawab, warga pendidik perlu tahu perbuatan yang boleh dilakukan dan perbuatan yang patut dielakkan.
MENGAPA TINDAKAN MAHKAMAH?
1. Berlakunya perkembangan kesedaran dikalangan orang ramai tentang hak asasi seseorang individu
2. Orang ramai telah berjaya meningkatkan ilmu pengetahuan mereka terutama dalam bidang undang-undang pendidikan
3. Kemajuan sosial ekonomi masa kini juga banyak mempengaruhi orang ramai mangambil tindakan mahkamah
4. Perkembangan teknologi maklumat dapat mempengaruhi tindakan ibu bapa kepada warga pendidik di sekolah
5. Ibu bapa telah sedar terhadap peranan, batasan dan tanggungjawab guru dan pentadbir
6. Orang ramai berpendapat bahawa setiap invidu berhak mendapat peluang pendidikan yang adil dan saksama
SUMBER UNDANG-UNDANG PENDIDIKAN MALAYSIA
1. Perlembagaan Persekutuan
2. Kanun Prosedur Jenayah
3. Akta Pendidikan 1996
4. Akta Kanak-Kanak 2001
5. Pekeliling-Pekeliling Berkaitan
6. Kes-Kes Mahkamah Yang Telah Diputuskan dan lain-lain
AKTA PENDIDIKAN 1996
Melalui Akta Pendidikan 1996 penekanan dibuat akan membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai-nilai murni selaras dengan perkembangan dunia yang berdaya saing tinggi, bersifat global dan memfokuskan teknologi maklumat.
Disamping itu, akta ini telah mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan yang berkualiti dan bertaraf dunia. Usaha ini akan meletakkan negara ini setanding dan setaraf dengan negara-negara maju di dunia.
PERBEZAAN PEMAKAIAN UNDANG-UNDANG
Terdapat perbezaan pemakaian undang-undang bagi sekolah-sekolah di Malaysia:-
1. Pemakaian undang-undang Sekolah-Sekolah Bantuan Kerajaan adalah tertakluk kepada undang-undang awam
2. Pemakaian undang-undang Sekolah Persendirian pula tertakluk kepada undang-undang persendirian yang mana hubungan kontrak adalah antara pihak sekolah dengan ibubapa dan kewajipan berjaga-jaga sekolah terhadap murid di dalam tort.

INILAH DIA

riuh bergemuruh di sana
di pinggir kota raya kota batu
jentolak meratah pondok usang
terjerembap ke muka bumi
tanpa simpati tanpa berperi
di situ ia berseorangan
di situ ia bersendirian
tiada kawan
tiada jiran
tiada belas
tiada kasihan
dan tiada kemanusiaan
seduan terus memanjang
berpanjangan tiada keruan
wajah yang bengis ketawa garang
seduan sayu semakin lesu dan terus layu
tiada guna pujuk dan rayu pada mereka itu
aku dan dia punyai dua wajah bersama dua jiwa
pasti tidak sama pasti tidak serupa kerana kita berbeza

BERKENALAN DENGAN UNDANG-UNDANG PENDIDIKAN

Undang-Undang Pendidikan Di Malaysia
Undang-Undang ialah Peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan untuk memerentah sesebuah masyarakat. Bagi undang-undang pendidikan pula ia bermaksud suatu sistem peraturan yang mengawal tingkah laku ahli masyarakat yang terlibat dalam bidang pendidikan.
Sumber Undang-Undang Di Malaysia
1. Parlimen adalah merupakan pertubuhan perundangan yang mempunyai kuasa tertinggi
2. Undang-Undang Diperingkat Persekutuan yang telah dibentuk atau digubal atau dipinda oleh parlimen (akta)
3. Undang-Undang Diperingkat Negeri terdapat dua bidang iaitu enakmen dan ordinan:-
a) Enakmen adalah merupakan undang-undang yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri di negeri masing-masing
b) Ordinan adalah merupakan undang-undang yang diluluskan oleh parlimen antara 1945 - 1957
Bidang Yang Terletak Di bawah Kuasa dan Kawalan Parlimen
Terdapat lima bidang yang diletakkan di bawah kuasa dan kawalan parlimen:-
1. Pertahanan
2. Keselamatan Dalam Negeri
3. Undang Sivil dan Jenayah
4. Sistem Komunikasi
5. Pendidikan
Perundangan Subsidiari
Perundangan subsidiari adalah merupakan pengisytiharan, peraturan, perintah, pengumuman undang-undang tempatan atau instrumen lain yang dibentuk sebagai ordinan, enakmen atau pihak berkuasa yang berkemampuan secara teknikal untuk mengendalikan undang-undang secara terperinci.
Kategori Undang-Undang Di Malaysia
Terdapat dua kategori undang-undang di Malaysia iaitu Jenayah dan Sivil:-
1. Jenayah adalah merupakan kesalahan-kesalahan yang dilaku seperti membunuh, merompak dan kesalahan seksual
2. Sivil yang berkaitan dengan tort
Undang-Undang Tort
Tort adalah dari perkataan Latin "tortus" yang bermaksud salah. Undang-undang tort ini adalah berkaitan dengan -kesalahan-kesalahan "sivil" dilakukan secara sengaja atau pun kecuaian. Peruntukan yang terkandung dalam undang-undang tort ialah ganti rugi bagi kecederaan peribadi dan kerosakan yang disebabkan oleh kecuaian.
Undang-undang tort juga melindungi kepentingan-kepentingan berikut:-
1. reputasi
2. kebebasan peribadi
3. Hak milik kepada tanah
4. menikmati harta
5. kepentingan komersil
Remidi Dalam Undang-Undang Tort
Terdapat dua jenis remidi dalam undang-undang tort iaitu ganti rugi dan injunksi
1. Ganti rugi adalah merupakan sejumlah wang yang diberi oleh mahkamah sebagai pampasan untuk tort
2. Injunksi adalah merupakan remidi dalam bentuk arahan mahkamah yang ditujukan kepada orang tertentu sama ada menghalangkannya daripada melakukan atau meneruskan sesuatu tindakan (injunksi larangan) atau mengarahkannya melakukan sesuatu tindakan (injunksi mandotori).

Thursday, November 27, 2008

UNTUK RENUNGAN

Katakanlah matahari terbit dari barat,
pasti dunia bergoncang hebat.
Katakanlah bintang dan purnama
merehatkan diri di malam hari,
Pasti dunia akan terus kelam.
Katakanlah air mengalir ke hulu,
pasti dunia akan terus tenggelam.
Katakan hujan tiada selamanya,
pasti dunia akan kegersangan.
Katakanlah manusia terus bercakaran,
pasti banyak mayat yang bergelimpangan.
Katakanlah manusia bukan manusia lagi,
pasti tiada ertinya cinta, cita dan airmata.

Wednesday, November 26, 2008

PELAJAR CEMERLANG

Untuk mencapai kecemerlangan setiap pelajar perlulah mengenali diri sendiri dan mempunyai hubungan yang positif dengan rakan sebaya, ibu bapa, guru-guru, masyarakat dan komuniti setempat. Disamping itu, hubungan yang positif juga perlu pelajar amalkan semasa mengikuti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
1. Hubungan pelajar dengan rakan sebaya:-
Kewujudan Kumpulan Rakan Sebaya perlu dilibatkan dengan pelbagai aktiviti terutama dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Setiap kumpulan mempunyai seorang ketua dan seorang setiausaha dan mempunyai identiti tersendiri. Mereka ini akan menghindarkan diri dan kumpulan mereka dari perkara yang negatif.
2. Hubungan pelajar dengan ibu bapa:-
Hubungan yang erat antara ibu bapa dan pelajar (anak) adalah penting. Di rumah, ibu bapa adalah guru dan sewajarnya mereka boleh membuat pemantauan aktiviti anak-anak mereka semasa di rumah. Ibu bapa yang cemerlang akan sentiasa memantau setiap pergerakan anak-anak mereka. Tumpuan dan perhatian serta kasih sayang yang ibu bapa berikan akan menjadi-kan anak-anak akan lebih cemerlang.
3. Hubungan pelajar dengan guru-guru:-
Guru adalah merupakan ibu bapa di sekolah. Sehubungan itu, guru bukan sahaja mengajar malahan mereka akan memberi bimbingan serta tunjuk ajar kepada setiap pelajarnya. Pelajar pula sewajarnya mengambil peluang yang positif dari guru-guru mereka. Hubungan pelajar dengan guru yang positif akan mewujudkan situasi yang kondusif semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Ini akan menjadikan rasa ingin berjaya dalam diri pelajar itu. Budaya cemerlang akan dapat dipupuk dikalangan mereka.
4. Hubungan pelajar dengan masyarakat:-
Masyarakat sekarang sewajarnya membuang terus pepatah "jangan menjaga tepi kain orang" demi untuk kecemerlangan bangsa. Perkara yang positif wajar diambil tau oleh semua ahli dalam masyarakat agar hubungan antara pelajar dengan masyarakat dapat dipadukan. Apabila setiap ahli dalam masyarakat mengambil tahu hal pelajar-pelajar, perkara-perkara yang negatif dapat dihalang dan ini akan menyelamatkan pelajar dari terjerumus ke arah perkara-perlkara yang tidak diingini. Hubungan yang mantap antara kedua ini akan mewujudkan keselesaan antara mereka dan dapat menjadikan budaya ingin cemerlang tersemat dalam diri mereka.
5. Hubungan pelajar dengan pengajaran dan pembelajaran:-
Apabila hubungan pelajar dengan pengajaran dan pembelajaran adalah baik, maka pelajar itu akan membawa diri mereka ke arah kecemerlangan. Setiap pelajar itu ada kelemahan mereka sendiri. Sehubungan itu, setiap pelajar wajar tahu untuk mengatasi kelemahan yang mereka hadapi. Gunakanlah peluang yang terbaik ini dengan melakukan hubungan yang semaksima mungkin dengan pengajaran dan pembelajaran. Pelajar yang waras akan menggunakan peluang ini untuk memperbaiki kelemahan mereka dan ini adalah landasan yang terbaik untuk menuju kecemerlangan.
Apabila kelima-lima perhubungan ini dapat dilakukan dengan berkesan, pelajar-pelajar akan dapat menerima manfaatnya. Jadikan setiap hubungan itu kepada perkara-perkara yang positif agar ia dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar yang cemerlang.

PIPP

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 - 2010:-

Teras Pertama - Membina Negara Bangsa:-
Dalam aspek ini, warganegara yang ingin dilahirkan adalah mempunyau ciri-ciri global, patriotik dan cintakan negara. Untuk melahirkan generasi yang sedemikian fokus utama adalah untuk membina sebuah Negara Bangsa Malaysia yang kukuh melalui perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara.
Setiap program mestilah melalui perancangan dan peningkatan aktiviti kokurikulum serta pendekatan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dalam setiap jenis sekolah.
Kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya hendaklah dipupuk melalui pembentukan kurikulum kesenian dengan terbinanya sekolah seni. Mereka juga perlu membudayakan penggunaan tulisan seni.
Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu juga perlu diperkasakan dengan penggunakaan yang lebih meluas oleh rakyat Malaysia disemua peringkat. Ianya bukan sahaja melalui komunikasi harian malahan ianya boleh dilakukan melalui mempergiatkan pelbagai aktiviti seperti perbahasan, kesusasteraan, pengkaryaan dan penerbitan serta menganjurkan bulan bahasa dan sastera negara.
Teras Kedua - Membangunkan Modal Insan:-
Ibu bapa dan pelajar perlu disediakan lebih banyak pilihan pendidikan disamping pertingkatkan keupayaan dan minat pelajar. Ini akan mendorong mereka untuk menguasai ilmu dan kemahiran yang berlandaskan kemahiran berfikir. Program Pembestarian Sekolah akan membawa pelajar menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.
Pelajar perlu dipupuk agar memiliki pelbagai kemahiran terutama ICT. Pelbagai program bertemakan pembangunan insan yang dijalankan akan melatih dan memupuk pelajar mengamalkan budaya kerja berpasukan dan pembinaan sahsiah murni.
Suasana persekolahan yang berorientasikan ujian dan peperiksaan perlu dikurangkan dengan memantapkan sistem dan kualiti pengukuran dan penilaian secara holistik.
Disiplin pelajar perlu diperkukuhkan dan dimantapkan melalui peningkatan penglibatan dan kerjasama ibu bapa dalam PIBG.
Teras Ketiga - Memperkasakan Sekolah Kebangsaan:-
Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan perlu ditingkatkan dengan menyediakan pemimpin dan guru yang cekap, terlatih dan berkualiti. Mereka ini terdiri dari pelbagai kaum yang berkualiti. Pemimpin sekolah pula digalakkan mengikuti program pensiswazahan Guru Besar.
Kelengkapan prasarana ICT dan diikuti oleh infrastruktur berkualiti akan membangunkan budaya cemerlang. Pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan dalam iklim yang kondusif akan membantu pencapaian cemerlang murid. Warga sekolah perlu meletakkan celik ICT sebagai sasaran utama.
Program pintar dan cerdas perlu diperkenalkan dan ada penambahbaikan aktiviti kokurikulum. Kelas prasekolah, pendidikan khas, bahasa ibunda dan bahasa antarabangsa perlu diperluaskan agar semua murid dapat turut menyertainya.
Teras Keempat - Merapatkan Jurang Pendidikan:-
Sekolah-sekolah pedalaman perlu dilengkapi infrastrukturnya agar ianya dapat bersaing sekolah di bandar. Pembinaan makmal komputer yang lengkap dengan School Net akan dapat membantu murid mengikuti setiap perkembangan dunia. Dunia tanpa sempadan atau pun dunia di hujung jari bukan lagi satu mimpi yang ngeri bagi mereka.
Penguatkuasaan Pendidikan Wajib akan membantu mengurangkan kadar keciciran. Pelbagai program diperkenalkan untuk memastikan murid-murid yang bermasalah dalam pembelajaran tidak ketinggalan. Ini termasuklah golongan minoriti diberi peluang yang sama rata dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Teras Kelima - Memartabatkan Profesion Keguruan:-
Sistem pemilihan guru dimantapkan di mana bakal guru akan melalui Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (MTeST), Temu Duga dan Ujian Bahasa Inggeris. Bilangan guru pakar ditambah disamping mempercepatkan kenaikan pangkat kepada yang layak.
Bilik guru dan bilik darjah yang kondusif boleh meningkatkan kualiti kerja dan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dapat dihasilkan. Kebajikan dan kepentingan guru dipertingkatkan dengan Yayasan Guru Malaysia diperkasakan peranannya.
Peluang untuk guru melanjutkan pelajaran ke IPT diperluaskan lagi melalui program Pensiswazahan Guru Besar, Kursus 14 Minggu dan Program Universiti Terbuka. Pemantapan Kurikulum Perguruan melalui kerjasama dengan IPT akan menjadikan program latihan guru menjadi lebih profesional.
Teras Keenam - Melonjakkan Kecemerlangan Institusi:-
Wujudnya Sekolah Cemerlang, Sekolah Bestari dan Sekolah Kluster akan mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menjuruskan kecemerlangan. Guru-guru yang mempunyai kemahiran dan kepakaran akan diletakkan di sekolah-sekolah ini sebagai tanda mereka ini dihargai.
Sekolah Sukan juga akan dapat melonjakkan institusi pendidikan apabila pelajar yang dilahirkan mempunyai pelbagai kepakaran dan kemahiran bersukan yang boleh mengharumkan nama negara dalam bidang sukan. Begitu juga kemahiran yang berkaitan dengan pembelajaran bermasalah juga diutamakan bagi sesebuah institusi pendidikan.

Monday, November 24, 2008

KEPADA MEREKA

* Kepada dua pohon bebunga yang dengan dedaunnya dapat membelai kami dan dengan rerantingnya dapat merangkul kami serta dengan keharuman baunya dapat menyegarkan kami.
* Kepada dua kuntum bunga yang teramat wangi yang tidak pernah puas kami pandangi dan keharuman baunya tidak pula kami kenyang untuk kami nikmati.
* Kepada dua cahaya yang menyinari 'alam dengan sinarannya kami boleh melihat, dengan cahayanya yang cemerlang membolehkan kami melangkahkan kaki di segenap jalan.
* Kepada dua orang yang atas keredhaannya jua kami hidup dan kami meminum susu cinta suci mereka serta menikmati sentuhan kasih sayangnya.
* Kepada dua orang yang rela dan sentiasa berjaga agar kami boleh tidur dengan nyenyaknya dan rela pula bersusah payah agar kami dapat hidup selesa serta rela berkorban untuk membolehkan kami berasa senang dan berbahagia.
* Kepada dua orang yang rela membesarkan kami di pangkuannya dan membahagiakan kami dengan doanya serta menaungi kami dengan pengarahan dan petunjuknya.
* Kepada kedua orang tua kami yang sentaiasa kami muliakan dan kami paling hormati serta tetap kami sanjungi hingga ke akhir hayat kami.

Sunday, November 23, 2008

KEUTAMAAN MENGAJAR

Golongan guru atau pengajar perlu juga menjadikan tanggungjawab mereka yang utama adalah mengajar ilmu pengetahuan. Guru tidak boleh menyembunyikan ilmu daripada dipelajari oleh murid. Menyembunyikan ilmu adalah hukumnya haram;
"Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui salahnya perbuatan yang semikian."
(Al - Baqarah : 146)
"Dan sesiapa yang menyembunyikannya (persaksian), maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya."
(Al - Baqarah : 283)
Mempelajari ilmu pengetahuan dan sebab mempelajarinya itu kerana Allah SWT merupakan tanda taqwa kita kepadaNya. Mencari ilmu pengetahuan adalah merupakan ibadat, mentelaahkannya pula adalah sebagai tasbih, mengkaji ilmu pengetahuan adalah sebagai jihat, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui merupakan sedekah dan menyampaikan kepada ahlinya adalah suatu kebaikan.
Ingatlah bahawa Allah SWT meninggikan darjat sesuatu kaum itu kerana ilmu pengetahuan yang mereka miliki. Mereka ini dijadikan pemimpin yang menunjukkan jalan yang lurus iaitu jalan kebaikan. Mereka akan dicontohi, akhlak dan adab mereka diteladani. Begitulah betapa tingginya kedudukan orang yang mempunyai ilmu pengetahuan.
Kita perlu terima hakikat bahawa dengan adanya ilmu pengetahuan yang diberikan oleh 'alim ulama (guru-guru), seluruh manusia akan keluar dari had sifat-sifat kebinatangan dan memasuki had sifat-sifat kemanusiaan. Ini dapat dilihat seperti mana yang diperkatakan oleh Al-Hassan r.a;
"Andaikata tidak ada 'alim ulama, pastinya manusia akan menjadi seumpama binatang."
Ilmu pengetahuan adalah pemimpin segala amalan dan amalan itu hanyalah sebagai pengikutnya. Mereka yang diilhami dan dikurniakan ilmu adalah orang yang benar-benar berbahagia dan yang dihalang atau tidak diberi ilmu adalah benar-benar celaka.

Saturday, November 22, 2008

KEUTAMAAN BELAJAR

Setiap pelajar perlu meletakkan keperluan untuk belajar sebagai satu keutamaan. Ilmu pengetahuan yang diperolehi akan menjadi aset kepada pelajar di dunia dan akhirat.

Allah SWT memberi penekanan keutamaan belajar ini melalui ayat-ayat Al-Quran:-
"Hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak diantara mereka. supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama".
(At - Taubah : 122)

"Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui."
(An - Nahl : 43)

Siapakah orang-orang yang berpengetahuan ini? Dan siapakah pula orang-orang yang tidak mengetahui ini? Kalau dilihat dalam konteks sekolah, orang yang berpengetahuan adalah orang yang mengajar ilmu pengetahuan (guru), manakala orang yang tidak mengetahui itu adalah orang yang menerima ilmu pengetahuan (murid). Oleh itu, kedua-dua golongan ini saling bergandingan. Mereka ini diletakkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada tahap yang paling tinggi, seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Muslim;
"Barang siapa menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah SWT akan menempuhkannya suatu jalan untuknya menuju ke syurga."

Amat jelas kepada kita betapa penting dan tingginya darjat mereka yang mencari atau menuntut ilmu di sisi Allah SWT. Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abdul Barr;
"Andaikata engkau berjalan, kemudian engkau belajar satu bab dari ilmu pengetahuan, maka itu adalah lebih baik daripada engkau bersolat seratus rakaat."

Guru dan murid berkongsi untuk memperolehi kebaikan. Mencari ilmu itu lebih utama daripada mengerjakan amalan sunat. Kalau kita lihat, orang yang sakit itu apabila tidak makan dan minum dan tidak pula mengambil ubat, maka akhirnya ia akan mati. Begitu juga dengan hati, dimana apabila kita tidak menerima hikmat dan ilmu selama tiga hari, pastinya hati itu akan mati. Kita perlu mengetahui bahawa makanan hati adalah hikmat dan ilmu pengetahuan. Carilah ilmu pengetahuan sebelum ianya lenyap iaitu matinya orang yang memberi ilmu.

KEUTAMAAN ILMU

Ilmu pengetahuan merupakan nadi dan begitu penting dalam kehidupan sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Untuk mendapat kebahagiaan di dunia, kita perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang membolehkan kita bersaing dengan perubahan-perubahan yang berlaku.

Kemuliaan dan keutamaan mereka yang menpunyai ilmu ini telah diperakui oleh Allah SWT melalui firmanNya:-
"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
(Ali Imran : 18)

Di sini jelas kepada kita bahawa Allah SWT sendiri telah membuat kesaksian yang dimulai dengan diriNya sendiri, diikuti pula oleh para malaikat dan orang-orang yang berilmu pengetahuan. Disamping itu, turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW juga menjurus kepada ilmu pengetahuan. Allah telah menekankan agar Nabi Muhammad SAW dapat membaca melalui ayat "bacalah" iaitu ayat "Iqraq".

MENGAPA?
1. Kalau kita tanpa ilmu bermakna kita hidup tanpa ibadat. Untuk solat, kita perlu ada ilmu yang berkaitan dengan solat. Ini adalah ilmu Fardhu 'Ain yang wajib dikuasai oleh setiap hamba Allah SWT.
2. Ilmu Fardhu 'Ain ini termasuklah ilmu yang dapat digunakan untuk mengetahui persoalan hati dan budi antaranya bersabar dan bersyukur. Bersabar dan bersyukur ini wajar ada pada orang yang belajar dan orang yang mengajar.
3. Masakini, ilmu telah diperdagangkan atau "dikomesilkan". E-Knowledge telah menjadi satu asset yang penting kepada negara. Ini sesuai dengan pembangunan modal insan yang merupakan teras yang kedua dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
Modal Insan yang ingin dibangunkan adalah yang mempunyai minda kelas pertama yang merupakan generasi masa depan yang bergantung kepada kualiti.

Friday, November 21, 2008

BETUL KER NIE?

"sesungguhnya pakaian semasa anda di bilik mandi itulah yang patut dijaga sebab ianya lebih berharga daripada sejuta pakaian dari gedung terkemuka di dunia"