Wednesday, November 26, 2008

PELAJAR CEMERLANG

Untuk mencapai kecemerlangan setiap pelajar perlulah mengenali diri sendiri dan mempunyai hubungan yang positif dengan rakan sebaya, ibu bapa, guru-guru, masyarakat dan komuniti setempat. Disamping itu, hubungan yang positif juga perlu pelajar amalkan semasa mengikuti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
1. Hubungan pelajar dengan rakan sebaya:-
Kewujudan Kumpulan Rakan Sebaya perlu dilibatkan dengan pelbagai aktiviti terutama dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Setiap kumpulan mempunyai seorang ketua dan seorang setiausaha dan mempunyai identiti tersendiri. Mereka ini akan menghindarkan diri dan kumpulan mereka dari perkara yang negatif.
2. Hubungan pelajar dengan ibu bapa:-
Hubungan yang erat antara ibu bapa dan pelajar (anak) adalah penting. Di rumah, ibu bapa adalah guru dan sewajarnya mereka boleh membuat pemantauan aktiviti anak-anak mereka semasa di rumah. Ibu bapa yang cemerlang akan sentiasa memantau setiap pergerakan anak-anak mereka. Tumpuan dan perhatian serta kasih sayang yang ibu bapa berikan akan menjadi-kan anak-anak akan lebih cemerlang.
3. Hubungan pelajar dengan guru-guru:-
Guru adalah merupakan ibu bapa di sekolah. Sehubungan itu, guru bukan sahaja mengajar malahan mereka akan memberi bimbingan serta tunjuk ajar kepada setiap pelajarnya. Pelajar pula sewajarnya mengambil peluang yang positif dari guru-guru mereka. Hubungan pelajar dengan guru yang positif akan mewujudkan situasi yang kondusif semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Ini akan menjadikan rasa ingin berjaya dalam diri pelajar itu. Budaya cemerlang akan dapat dipupuk dikalangan mereka.
4. Hubungan pelajar dengan masyarakat:-
Masyarakat sekarang sewajarnya membuang terus pepatah "jangan menjaga tepi kain orang" demi untuk kecemerlangan bangsa. Perkara yang positif wajar diambil tau oleh semua ahli dalam masyarakat agar hubungan antara pelajar dengan masyarakat dapat dipadukan. Apabila setiap ahli dalam masyarakat mengambil tahu hal pelajar-pelajar, perkara-perkara yang negatif dapat dihalang dan ini akan menyelamatkan pelajar dari terjerumus ke arah perkara-perlkara yang tidak diingini. Hubungan yang mantap antara kedua ini akan mewujudkan keselesaan antara mereka dan dapat menjadikan budaya ingin cemerlang tersemat dalam diri mereka.
5. Hubungan pelajar dengan pengajaran dan pembelajaran:-
Apabila hubungan pelajar dengan pengajaran dan pembelajaran adalah baik, maka pelajar itu akan membawa diri mereka ke arah kecemerlangan. Setiap pelajar itu ada kelemahan mereka sendiri. Sehubungan itu, setiap pelajar wajar tahu untuk mengatasi kelemahan yang mereka hadapi. Gunakanlah peluang yang terbaik ini dengan melakukan hubungan yang semaksima mungkin dengan pengajaran dan pembelajaran. Pelajar yang waras akan menggunakan peluang ini untuk memperbaiki kelemahan mereka dan ini adalah landasan yang terbaik untuk menuju kecemerlangan.
Apabila kelima-lima perhubungan ini dapat dilakukan dengan berkesan, pelajar-pelajar akan dapat menerima manfaatnya. Jadikan setiap hubungan itu kepada perkara-perkara yang positif agar ia dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar yang cemerlang.

No comments: