Saturday, November 22, 2008

KEUTAMAAN BELAJAR

Setiap pelajar perlu meletakkan keperluan untuk belajar sebagai satu keutamaan. Ilmu pengetahuan yang diperolehi akan menjadi aset kepada pelajar di dunia dan akhirat.

Allah SWT memberi penekanan keutamaan belajar ini melalui ayat-ayat Al-Quran:-
"Hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak diantara mereka. supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama".
(At - Taubah : 122)

"Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui."
(An - Nahl : 43)

Siapakah orang-orang yang berpengetahuan ini? Dan siapakah pula orang-orang yang tidak mengetahui ini? Kalau dilihat dalam konteks sekolah, orang yang berpengetahuan adalah orang yang mengajar ilmu pengetahuan (guru), manakala orang yang tidak mengetahui itu adalah orang yang menerima ilmu pengetahuan (murid). Oleh itu, kedua-dua golongan ini saling bergandingan. Mereka ini diletakkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada tahap yang paling tinggi, seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Muslim;
"Barang siapa menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah SWT akan menempuhkannya suatu jalan untuknya menuju ke syurga."

Amat jelas kepada kita betapa penting dan tingginya darjat mereka yang mencari atau menuntut ilmu di sisi Allah SWT. Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abdul Barr;
"Andaikata engkau berjalan, kemudian engkau belajar satu bab dari ilmu pengetahuan, maka itu adalah lebih baik daripada engkau bersolat seratus rakaat."

Guru dan murid berkongsi untuk memperolehi kebaikan. Mencari ilmu itu lebih utama daripada mengerjakan amalan sunat. Kalau kita lihat, orang yang sakit itu apabila tidak makan dan minum dan tidak pula mengambil ubat, maka akhirnya ia akan mati. Begitu juga dengan hati, dimana apabila kita tidak menerima hikmat dan ilmu selama tiga hari, pastinya hati itu akan mati. Kita perlu mengetahui bahawa makanan hati adalah hikmat dan ilmu pengetahuan. Carilah ilmu pengetahuan sebelum ianya lenyap iaitu matinya orang yang memberi ilmu.

No comments: