Cahaya yang sentiasa menerangi bumi Allah. Ya Allah! Engkau terangilah hati hamba-Mu ini dengan hidayah-Mu sebagaimana Engkau menerangi bumi ini dengan cahaya matahari pada siang hari dan Engkau menerangi bumi ini dengan cahaya bulan pada malam hari. AMIN.
Sunday, October 31, 2010
KERJAYA PENDIDIK DI MALAYSIA
Kejayaan sesebuah negara dilihat melalui sistem pendidikan yang dirancang dengan baik, tersusun rapi dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan komitmen. Enam teras strategik dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) telah dikenalpasti untuk memperkukuhkan sistem pendidikan negara.
Teras 1 - Membina Negara Bangsa
Teras 2 - Membangunkan Modal Insan
Teras 3 - Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
Teras 4 - Merapatkan Jurang Pendidikan
Teras 5 - Memartabatkan Profesion Keguruan
Teras 6 - Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan
Teras 5 iaitu Memartabatkan Profesion Keguruan dilaksanakan pada peringkat paling awal iaitu semasa pemilihan bakal guru melalui ujian MEdSI oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Pemilihan bakal guru yang berkualiti ialah langkah yang amat kritikal dalam mencapai misi pendidikan bertaraf dunia di Malaysia. Guru perlu berilmu, berkemahiran, memberikan komitmen dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan inisiatif dan pendekatan baharu ke arah meningkatkan kualiti perguruan.
PENDIDIKAN DAN 53 TAHUN MERDEKA
Pendidikan di Malaysia telah melalui era perkembangan yang pesat sejak merdeka lebih setengah abad yang lalu. Sebelum mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan di Malaysia wujud secara terasing, selari dengan corak pemerintahan pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah Inggeris pada masa itu.
Pendidikan zaman pascamerdeka 1957 - 1970 memberikan tumpuan kepada sistem pelajaran kebangsaan dan dasar pendemokrasian pendidikan dengan memberikan penekanan kepada pendidikan percuma kepada semua pelajar. Tahun 70-an sehingga 90-an ialah era Dasar Ekonomi Baru yang fokus utama pendidikan adalah untuk menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi dalam masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua rakyat Malaysia.
Zaman Dasar Pembangunan Negara 1991 - 2000 pula menyaksikan perubahan pesat dalam pendidikan negara melalui transformasi Dasar Pendidikan Kebangsaan. Tranformasi Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah merangkumi penggubalan dan pindaan pelbagai akta berkaitan dengan pendidikan. Ini termasuklah Akta Pendidikan 1996, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (Pindaan) 2000.
Zaman Dasar Wawasan Negara 2001 - 2010 pula memperlihatkan cabaran seiring dengan perkembangan teknologi pada peringkat global. Perancangan menangani fenomena ini terkandung dalam dokumen Pembangunan Pendidikan 2001 - 2010 Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Oleh itu, 53 tahun usia kemerdekaan negara telah memperlihatkan perkembangan pesat dalam sistem pendidikan di Malaysia seperti peningkatan kemudahan fizikal dalam institusi sekolah. Ini merangkumi penambahan bilangan sekolah yang bermula dari peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah swasta dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
GURU BERTARAF DUNIA
Dalam sesi temuduga pemilihan bakal guru, secara umumnya calon cenderung menyatakan minat mereka yang begitu mendalam sebagai pendorong utama mereka menjadi seorang guru. Perlu dinasihatkan bahawa minat yang mendalam sahaja ialah alasan yang begitu rapuh dan tidak menjamin untuk melahirkan semangat kental yang diperlukan untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam profesion perguruan.
Minat yang mendalam dan juga memiliki sahsiah dan personiliti yang terpuji serta sesuai dengan pengkhususan dalam bidang yang dipilih menjadi kriteria utama dalam pemilihan bakal guru yang berkualiti dan bertanggungjawab. Oleh itu, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) telah menggariskan strategi pelaksanaan Teras 5 iaitu Memartabatkan Profesion Keguruan (KPM, 2001) .
Strategi tersebut adalah seperti berikut:-
1. Menambahbaik sistem pemilihan calon guru dengan memperketatkan syarat dan kriteria pengambilan calon. Umpamanya ujian MEdSI dan sesi temuduga calon. Ujian lain yang setara ialah Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (MTeST).
2. Syarat tambahan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang bersesuaian dengan keperluan opsyen.
3. Pemilihan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) melalui iklan dan tapisan rapi.
4. Pemantapan proses pelantikan dan pengesahan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) nagi memastikan setiap guru mencapai standart minimum.
Bagi melahirkan bakal guru yang mempunyai ciri kualiti di atas, suatu instrumen yang dapat menilai keselarasan antara ciri guru dengan kerjayanya adalah penting kerana ia menjadi faktor penentu kepada aspek motosi, kepuasan, pencapaian, produktiviti dan stabiliti. Justeru, instrumen Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) telah dibangunkan oleh Jawatankuasa Pembinaan Instrumen MEdSI yang terdiri daripada sekumpulan pakar daripada sepuluh buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan kerjasama Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
Wednesday, October 27, 2010
PERANAN DAN TUGAS GURU PRASEKOLAH
1.1 Menyediakan Rancangan Tahunan:-
- Mengadakan perbincangan untuk memilih dan menyusun tema
- Memilih dan menyusun hasil pembelajaran berdasarkan KSPK
- Merancang cadangan aktiviti berdasarkan HP dan Tema
- Cetak dan bukukan
1.2 Menyediakan Rancangan Harian:-
- Menyediakan rancangan pelajaran harian berdasarkan jadual waktu
- Merancang aktiviti dan teknik P & P berdasarkan HP dan Tema
- Membina BBM yang sesuai
- Menyediakan lembaran kerja
- Cetak dan bukukan
1.3 Pelaksanaan P & P Prasekolah:-
- Menjalankan set induksi
- Melaksanakan langkah-langkah P & P yang telah dirancang
- Memberi latihan berdasarkan kemahiran yang diajar
- Menilai keberkesanan sesi P & P terhadap murid
- Membuat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan
- Membuat refleksi
1.4 Membuat Pentaksiran Murid:-
- Mengenalpasti murid yang hendak dinilai
- Memerhati perlakuan/tingkahlaku murid
- Menentukan jenis rekod
- Membuat catatan dan melengkapkan rekod
- Kemaskini rekod
- Simpan dalam fail peribadi murid
2. PENGURUSAN KOKURIKULUM PRASEKOLAH
2.1 Merancang Takwim Tahunan:-
- Membina takwim tahunan prasekolah selaras dengan takwim sekolah, daerah dan negeri
- Cetak dan pamerkan di papan kenyataan kelas
- Melaksanakan aktiviti yang dirancang
- Membuat laporan aktiviti yang telah dilaksanakan
2.2 Pengurusan Sukan dan Motivasi Murid:-
- Mesyuarat penetapan syarat dan pertandingan di peringkat PPD serta perlantikan jawatankuasa pelaksana
- Penyediaan murid-murid mengikutacara yang dipertandingkan
- Melaksanakan aktiviti yang dirancang
- Mesyuarat penambahbaikan
2.3 Merancang dan Melaksanakan Aktiviti Rekreasi:-
- Merancang tempat dan tarikh lawatan
- Memohon kebenaran membuat lawatan dari JPN/PPD
- Memberi taklimat kepada ibu bapa
- Mengedarkan surat kebenaran ibu bapa/penjaga
- Menghantar surat makluman ke tempat lawatan
- Menguruskan pengangkutan
- Menyediakan laporan dan dokumentasi
3. PENGURUSAN PRASARANA
3.1 Mewujudkan Suasana Kelas Yang Kondusif:-
- Menyenaraikan pusat P & P yang perlu diwujudkan
- Menyediakan pelan lantai kelas prasekolah
- Membuat susunan atur perabot dan peralatan di setiap pusat pembelajaran
- Menyediakan risalah tentang peralatan dan fungsi setiap pusat pembelajaran
- Memastikan keselamatan, kebersihan dan keceriaan setiap pusat pembelajaran
3.2 Mewujudkan Persekitaran Pembelajaran Bilik darjah Yang Selamat:-
- Menyenaraikan pusat P & P di luar kelas prasekolah
- Menetapkan lokasi setiap kawasan P & P yang dirancang
- Memastikan semua peralatan di kawasan luar kelas berfungsi dan selamat digunakan
- Melaporkan kerosakan kepada pihak pentadbir
- Melabelkan semua peralatan
4. PENGURUSAN KEWANGAN (ABM Kew):-
4.1 Membuat Anggaran Belanja Mengurus (ABM Peruntukan Tahunan Prasekolah):-
- Peruntukan berdasarkan takwim.program prasekolah
- Berbincang dengan Guru Besar
- Membuat pembentangan ABM dalam mesyuarat pengurusan prasekolah di peringkat sekolah
- Menyimpan salinan ABM
Sunday, October 24, 2010
ANAK WARISAN ZAMAN - SALAM PENGENALAN
SELAMAT BERSARA SAHABAT
Encik Abdul Wahab yang dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak berkhidmat sebagi guru besar selama 22 tahun termasuk enam tahun di sekolah berkenaan.
Beliau diraikan dalam Majlis Sejambak Budi Lambaian Kasih di perkarangan sekolah dan disertai hampir 1,300 murid termasuk 80 kakitangan sekolah.
Encik Abdul Wahab dipakaikan tanjak dan selempang seperti seorang pahlawan dengan paluan kompang ke perkarangan sekolah sebelum bacaan surah Yassin dimulakan bagi memberkati majlis.
Turut hadir, wakil Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Puan Narizah Mohd. Yusof dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Encik Raja Azlan Raja Abdul Aziz.
sumber:- Berita Harian.
Saturday, October 23, 2010
KERJAYA PENDIDIK DI MALAYSIA
Ilmu dan kefahaman merupakan input yang perlu dikuasai oleh seseorang guru. Kualiti guru dilihat daripada tahap ilmu yang dimilikinya berbanding dengan ilmu yang dimiliki oleh murid. Tahap ilmu guru seharusnya lebih tinggi daripada tahap ilmu yang dimiliki oleh murid. Guru sekurang-kurangnya memiliki ijazah sarjana muda bagi mengajar murid yang belajar pada tahap sijil atau diploma. Langkah proaktif perlu diambil oleh guru bagi menambahkan ilmu yang ada dari semasa ke semasa sebagai memenuhi keperluan global dan menepati ciri guru yang bertaraf dunia.
Peningkatan ilmu pengetahuan boleh diperolehi daripada pelbagai sumber seperti mengikuti kursus secara formal daripada institusi pengajian tinggi yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kelulusan seperti kepada peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Ilmu juga boleh diperolehi daripada majlis ilmu seperti seminar, persidangan, kursus dan foram. Selain memperolehi ilmu daripada sumber yang sahih, guru wajar menguasai kaedah menjalankan penyelidikan kerana penyelidikan juga merupakan sumber ilmu yang tinggi nilainya.
KEMAHIRAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Kualiti guru seterusnya dapat dilihat daripada bagaimana seseorang guru menyampaikan ilmu kepada murid. Tugas guru tidak akan sempurna sekiranya mereka tidak dapat menyampaikan ilmu kepada murid dengan berkesan. Tahap amalan profesional, ilmu pengetahuan dan kefahaman yang tinggi tidak bererti kepada kejayaan tugas guru jika guru tidak mampu memindahkan ilmu tersebut kepada murid. Oleh itu, seseorang guru yang berkualiti ialah guru yang berjaya mengajar muridnya dengan berkesan sehingga terbina tingkah laku yang positif.
Tugas guru pada masa ini amat mencabar kerana murid semakin terdedah kepada perkembangan pesat ICT. Sumber ilmu kini bukan sahaja daripada guru, malahan boleh diperolehi daripada pelbagai media elektronik termasuk internet, televisyen dan telefon bimbit. Justeru, guru harus mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran agar dapat terus menarik minat muridnya. Untuk merealisasikan matlamat ini, guru seharusnya mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat agar dapat melengkapkan diri dengan pelbagai kaedah, teknik pengajaran dan pembelajaran terkini.
Friday, October 22, 2010
KERJAYA PENDIDIK DI MALAYSIA
Kualiti profesionalisme keguruan merupakan kemampuan seseorang guru tersebut mengenal pasti fungsi dan tanggungjawab mereka secara menyeluruh dan mendalam. Guru menganggap tugas yang diamanahkan kepada mereka wajib dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Guru yang berkualiti profesionalisme mengutamakan kepentingan pekerjaan lebih daripada kepentingan peribadi dan tidak berminat untuk menukar profesionalisme perguruan kepada pekerjaan lain.
Kualiti profesionalisme keguruan dilihat daripada kemampuan guru mengamalkan ciri keguruan yang terpuji dan sesuai dengan tugas dan status guru. Aspek-aspek seperti sahsiah, sikap, minat, kreativiti, kemahiran berkomunikasi dan sifat-sifat kepimpinan sentiasa dijaga apabila berurusan dengan murid, rakan sekerja, ibu bapa, pihak pentadbir dan masyarakat. Untuk tujuan pengajaran, guru harus mempunyai ilmu yang luas dan mendalam, pencapaian yang istimewa dan kecekapan ikhtisas yang tinggi.
Secara umumnya, guru bertanggungjawab untuk mendidik dan mengajar murid dan juga memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan rakan sejawat untuk membangunkan personaliti pelajar ke arah melahirkan modal insan yang diperlukan oleh masyarakat dan negara. Justeru, kualiti guru harus dibuktikan dengan keberkesanan dan dedikasi mereka melaksanakan tanggungjawab, bukan sahaja kepada murid malah ibu bapa, rakan sejawat, masyarakat dan negara.
Tanggungjawab guru bukan sahaja mendidik dan mengajar murid malah juga menjaga kebajikan dan keselamatan murid, bersikap adil terhadap setiap murid tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama, merahsiakan maklumat ikhtisas murid kecuali kepada individu yang berhak dan membimbing murid dalam bilik darjah tanpa sebarang ganjaran. Dalam konteks hubungan profesionalisme antara guru dengan murid, guru akan menunjukkan perwatakan yang sesuai untuk diteladani oleh murid seperti cara berpakaian, pertuturan dan ketenangan emosi.
Tugas dan tanggungjawab guru terhadap ibu bapa murid pula adalah seperti menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak mereka, mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat antara institusi pendidikan dengan keluarga murid, kerahsiaan maklumat peribadi yang diberikan oleh ibu bapa mereka dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
Selain itu, guru juga bertanggungjawab untuk memberikan maklumat kepada ibubapa demi kepentingan anak mereka. Guru juga perlu menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana, mengelak daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa murid. Guru juga perlu mengelak daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan murid terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.
Etika hubungan profesionalisme antara rakan sejawat pula ialah tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan murid atau ibu bapa. Selain itu, guru juga sepatutnya tidak berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru dan sedia memberikan bantuan kepada rakan sejawat, terutamanya mereka yang baru menceburkan diri dalam profesionalisme perguruan.
Tanggungjawab guru kepada masyarakat dan negara diperlihatkan dalam bentuk perlakuan seperti tidak menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara ataupun bertentangan dengan Rukun Negara. Guru perlu memupuk sikap dan nilai dalam diri setiap murid yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna serta menghormati orang yang lebih tua.
Selain itu, menghormati perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama, menghormati masyarakat tempat guru berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab guru. Guru hendaklah sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan kemasyarakatan, menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara mereka dengan ibu bapa dan antara institusi pendidikan dengan masyarakat.
Akhir sekali, guru wajar memberi sumbangan untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawanan masyarakat. Guru juga mesti berpegang pada tingkah laku sopan yang diterima oleh masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian guru dengan baik.
Sunday, October 17, 2010
MENGAPA PERLU MENYIKSA DIRI SENDIRI?
Kebanyakan orang mensia-siakan bahagian hidup mereka yang baik untuk hal-hal yang tidak hakiki. Mereka menghabiskan banyak waktu dengan hal-hal yang tidak berguna. Biasa terjadi kepada para pemalas yang hanya duduk-duduk dan membiarkan waktu berlalu begitu saja kerana mereka tidak memiliki hal lain yang lebih baik untuk dilakukan. Kegiatan tanpa tujuan seperti ini boleh ditemui di berbagai tempat umpamanya bar dan kelab.
Rumah tidak sepatutnya dihiasi dan dilengkapi dengan barang-barang mewah sehingga anak-anak sebaliknya menjadi tetamu yang tidak dikehendaki. Ada berbagai rumah yang telah dikunjungi mempunyai pelbagai keistimewaan dan kemewahan semua sudut. Ada juga rumah yang turut mengandungi hiasan yang begitu indah sehinggakan keseluruhan ruang menjadi seolah-olah tidak terpakai atau digunakan.
Seharusnya, fungsi rumah yang pertama adalah tempat yang nyaman untuk diduduki. Rumah seharus menjadi sebagai tempat perlindungan. Kedua, rumah harus merupakan tempat indah yang boleh digunakan mahupun dikagumi.
Hidup terlalu singkat untuk disia-siakan. Apabila seseorang terlambat datang memenuhi jemputan makan atau janji lainnya, janganlah membiarkan hal ini merosakkan keseluruhan hari anda.
Dalam rangka mendapatkan yang terbaik dari hidup, kita harus mengatur pengerahan tenaga dan harus mengarahkannya ke arah yang tepat. Kita harus belajar menyingkirkan segala ketidaksenangan kecil yang bukan hanya melukai kita tetapi juga melukai orang lain.
Kalau kita berjumpa dengan kawan-kawan walaupun di mana-mana, adalah seringkali kita menceritakan bagaimana kita selalu menghabiskan waktu pagi, petang atau malam dengan lepak-lepak sambil minum teh tarik dan bersembang kosong. Perjumpaan ini kebiasaannya di kedai-kedai mamak atau gerai-gerai minuman.
Sungguh sangat mengecewakan menyaksikan pembaziran waktu dan tenaga seperti ini kerana kita merasa kekurangan waktu untuk dapat digunakan bagi peningkatan diri, pembudayaan diri, membantu orang lain atau mengerjakan sesuatu yang berharga.
Thursday, October 14, 2010
DISIPLIN DAN KESUNGGUHAN BEKERJA DALAM ISLAM
Pengertian masyarakat merangkumi skop yang amat luas termasuk jiran tetangga, teman sebaya, seterusnya masyarakat Islam seluruhnya. Dalam hal ini walau bagaimanapun perhatian akan diberikan kepada aspek-aspek ekonomi dan sosial sahaja.
Dari aspek ekonomi, Islam telah meletakkan disiplin yang lengkap iaitu dengan menggalakkan penganutnya berusaha dan bekerja keras untuk mengumpul harta-harta kekayaan sebanyak-banyaknya.
Malah Islam melarang dan membenci penganutnya yang malas bekerja seperti yang dijelaskan oleh firman Allah s.w.t.:-
"Dan janganlah kamu jadikan tangan kamu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan."
"Wahai orang-orang yang beriman apabila diseru azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) kemudian setelah selesai sembahyang maka bertaburanlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah dari apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."
Kedua-dua ayat tersebut, Allah s.w.t. telah menyuruh kita berusaha pada masa-masa tertentu dan melarang pula kita berusaha pada masa-masa tertentu yang lain. Ini memang sesuai dengan tenaga manusia tidak boleh bekerja terus menerus tanpa rehat, makan, minum dan sebagainya. Allah s.w.t. tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
Faktor masa yang ditentukan dalam sesuatu pekerjaan itu memang menepati dengan kesihatan seseorang individu. Kerja dan usaha yang berterusan menyebabkan seseorang itu hilang upaya dan boleh menimbulkan penyakit sedangkan pencegahan itu lebih baik dari berubat "Prevention is better than cure".
Bersesuaian dengan mana-mana majikan mempunyai peruntukan masa kerja tertentu kepada kakitangannya. Pakar kesihatan telah membuat keputusan bahawa masa tidur yang mencukupi bagi seseorang itu ialah 8 jam, masa bekerja yang sepatutnya juga 8 jam manakala 8 jam lagi untuk berehat.
Pembahagian masa demikian sudah mencukupi bagi seseorang untuk berusaha bagi mencapai kebahagiaan hidup. Usaha setiap detik dan saat yang dilaksanakan itu tidak akan disia-siakan
Banyak sedikitnya pahala atau balasan bergantung atas usaha yang dilakukannya.
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya."
"Dan janganlah kamu berharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pengkat kebesaran) (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan (maka berusahalah kamu) dan permohonkan lah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah senantiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
Al-Quran telah menggariskan bahawa keperluan asasi kehidupan seseorang tidak kurang dari empat aspek:-
1. Keperluan terhadap makanan
2. Keperluan terhadap minuman
3. Keperluan terhadap pakaian
4. Keperluan terhadap tempat perlindungan
Keperluan kepada makanan dan minuman adalah paling utama kerana kedua-dua perkara ini merupakan penyambung hidup seseorang. Manakala keperluan-keperluan terhadap pakaian dan tempat perlindungan merupakan kesempurnaan hidup seseorang.
Untuk memenuhi keperluan-keperluan asasi ini maka tidak ada sebab bagi seseorang itu mengurangkan aktiviti dan kesungguhannya dalam sesuatu pekerjaan. Sesungguhnya pekerjaan yang baik itu ialah pekerjaan yang tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.
Islam memandang rendah kepada penganutnya yang malas bekerja dan berusaha. Tetapi bukanlah pula kerana Islam memandang rendah kepada peminta sedekah, kita menengking herdik atau menjerkah mereka bila mereka meminta-minta dari kita. Sifat tengking herdik, maki hamun dan memandang hina kepada seseorang kerana kelemahannya dilarang oleh Islam.
Sesuatu rezeki tidak datang menggolek tanpa berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dengan menggunakan tulang empat kerat serta akal fikiran. Sebaik-baik rezeki adalah rezeki yang diperolehi dari usaha tenaga sendiri.
Wednesday, October 13, 2010
KERJAYA PENDIDIK DI MALAYSIA
Secara umumnya, guru ialah tonggak dalam melaksanakan tanggungjawab pendidikan berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ianya menjuruskan ke arah pembentukan insan iaitu murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tugas guru bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dipandang ringan dengan melabelkan tugas ini boleh dilaksanakan tanpa persiapan yang rapi dan teliti. Personaliti seseorang guru memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi perubahan tingkah laku pelajar ke arah melahirkan modal insan yang holistik dari sudut ilmu yang diturunkan dan ilmu perolehan.
Kerjaya sebagai guru akan menjadi lebih luas dan kompleks apabila inti pati bidang perguruan ini dikuasai dengan mendalam dan profesional. Tanggungjawab seseorang guru bermula dengan berusaha untuk menyediakan satu suasana yang kondusif agar proses pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan dengan berkesan dan penerapan nilai yang positif dapat disebatikan dengan disiplin ilmu yang diperolehi daripada guru yang berkualiti.
Di Malaysia, aspek latihan perguruan menjadi tanggungjawab dua buah kementerian. Kementerian Pelajaran Malaysia dipertanggungjawabkan untuk melatih guru sekolah guru sekolah rendah. Manakala Institusi Pengajian Tinggi Awam, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pula dipertanggungjawabkan untuk melatih guru sekolah menengah. Justeru, kedua-dua kementerian ini memainkan peranan yang amat penting delam melahirkan bakal guru yang berkualiti, berdedikasi, kompeten dan bertaraf dunia.
Bagi menjamin kualiti guru yang tinggi ini, latihan keguruan telah menekankan penguasaan terhadap tiga aspek nilai kualiti untuk diamalkan oleh guru, iaitu amalan profesionalisme keguruan, ilmu dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran. Terdapat pelbagai kategori guru di institusi sekolah di Malaysia seperti guru komputer, guru kaunseling, guru pendidikan khas, guru mata pelajaran, guru kanan, guru penolong kanan, guru besar dan pengetua. Mereka ini berperanan untuk menggerakkan jentera perubahan tingkah laku murid ketika mereka di bangku sekolah lagi.
KUALITI GURU
Kualiti guru sememangnya diberikan penekanan dalam amalan profesion perguruan. Kualiti guru mempengaruhi kemampuan guru mendidik anak bangsa dan seterusnya mencapai wawasan pembangunan ummah. Kualiti guru yang cemerlang pula menjadi sebahagian besar daripada kriteria penilaian untuk kenaikan pangkat. sebagai contoh, kriteria kualiti guru diguna pakai sebagai asas kenaikan pangkat daripada guru biasa kepada jawatan Guru Cemerlang.
Jawatankuasa penilaian kenaikan pangkat Guru Cemerlang yang diperkenalkan dalam tahun 1994 berasaskan memorandum Kementerian Pendidikan Malaysia yang dibincangkan pada peringkat kabinet yang bertajuk, "Sistem Kenaikan Pangkat Dalam Perkhidmatan Pendidikan - Cadangan ke Arah Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Pendidikan dan Menghasilkan Guru Yang Cemerlang" (April 1993).
Guru Cemerlang ialah guru yang memiliki kualiti dari segi:-
1. Kecemerlangan peribadi
2. Kecemerlangan pengetahuan dan kemahiran
3. Kecemerlangan kerja
4. Kecemerlangan komunikasi
5. Kecemerlangan potensi
Kualiti peribadi guru cemerlang adalah seperti mempunyai keyakinan diri, adil, bertimbang rasa, amanah, bertanggungjawab, kreatif, inovatif, sedia berkongsi, bekerjasama, bersikap terbuka dan positif.
Guru yang berkualiti dan berpengetahuan tinggi menjadi rujukan untuk mengatasi masalah pengajaran dan pembelajaran. Ia juga perlu peka dan prihatin terhadap keperluan dan kebajikan murid, bijak mengurus masa, bahan, sumber, alatan pengajaran dan pembelajaran. Dsamping itu ia mampu mengenal pasti keperluan dan masalah murid serta menyediakan program tindakan susulan.
Kualiti kerja guru dilihat melalui keupayaan guru meningkatkan hasil pembelajaran murid. Ini dapat dilihat berdasarkan peningkatan minat dan penglibatan mereka, kebolehan dan kejayaan membimbing di dalam dan di luar waktu pengajaran. Kekerapan memberi dan memeriksa kerja bertulis, penguasaan dan penggunaan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran juga perlu dinilai.
Kualiti komunikasi Guru Cemerlang dilihat daripada kebolehan menjadi perintis sesuatu usaha dan berjaya menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan. Ia perlu dilakukan secara bertulis mahupun secara lisan. Kualiti potensi Guru Cemerlang ialah guru yang berwawasan, sentiasa belajar untuk meningkatkan kerjayanya. Ia juga perlu terlibat dalam kursus, seminar dan bengkel serta sentiasa menyumbangkan tenaga dan kepakaran ke arah kejayaan sekolah.
Monday, October 11, 2010
LAMBAIAN KAABAH YANG AKU AMAT MERINDUINYA
"Menunaikan ibadah haji adalah suatu kewajipan manusia terhadap Allah iaitu bagi orang yang sanggup (berkuasa dan ada kemudahan untuk) mengadakan perjalanan ke Baitullah."
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:-
"Namun jihad yang paling utama adalah haji mabrur."
"Satu solat yang dikerjakan di masjidku ini (Masjid Nabawi di Madinah) adalah lebih utama daripada 1,000 solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil-Haram. Dan satu solat di Masjidil-Haram adalah lebih utama daripada 100,000 solat di masjid-masjid lain."
PENGENALAN HAJI
1. PENYEMPURNA RUKUN ISLAM
Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima. Ia adalah suatu iabadah yang wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam yang telah berkemampuan dengan memenuhi syarat dan rukun serta wajibnya sebagaimana yang telah ditentukan oleh hukum syara'.
Haji hanya diwajibkan satu kali dalam seumur hidup. sekiranya seseorang berjaya menunaikan haji beberapa kali maka yang lain adalah diambilkira sebagai ibadah sunat. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa Aqra' bin Haabis bertanya kepada Rasulullah s.a.w:-
"Ya Rasulullah s.a.w., apakah haji itu wajib dilakukan tiap-tiap tahun atau sekali sahaja?"
Baginda s.a.w. menjawab:-
"Ya, ia hanya wajib satu kali sahaja, maka sesiapa yang mahu menambahnya diambilkira sebagai tatawwu'/sunat."
2. SYARAT-SYARAT YANG MEWAJIBKAN HAJI:-
Seseorang dikira telah wajib menunaikan haji sekiranya telah memenuhi beberapa syarat. Di antaranya adalah:-
a) Islam
b) Baligh dan berakal sihat
c) Merdeka yakni bukan seorang hamba abdi
d) Kuasa iaitu mempunyai kemampuan. Ini termasuklah bekalan bagi dirinya dan seluruh keluarga yang ditanggungnya selama ia tinggal menunaikan ibadah haji, aman perjalanannya, sihat tubuh badannya dan mahram bagi seorang wanita.
3. RUKUN HAJI, WAJIB HAJI DAN SUNAT HAJI:-
Di dalam ibadah haji terdapat istilah rukun haji, wajib haji dan sunat haji.
Rukun haji ialah sesuatu perbuatan yang apabila tidak dilakukan maka akan menyebabkan haji seseorang tidak sah. Dan perbuatan tersebut tidak boleh diganti dengan sebarang dam atau denda.
Wajib haji pula adalah sesuatu yang mesti dikerjakan, namun sahnya haji pula tidak tergantung kepadanya kerana ianya boleh diganti dengan dam seperti dengan menyembelih kambing.
Adapun sunat haji ialah sebarang perbuatan yang menjadikan haji seseorang akan sempurna. Jika tertinggal ataupun ditinggalkan maka ia tidak mencacatkan ibadah hajinya dan sekiranya dilakukan maka ia mendapat pahala dan hajinya bertambah sempurna.
A. RUKUN-RUKUN HAJI:-
1. Ihram (berniat mengerjakan haji)
2. Wukuf di Arafah pada waktu yang ditentukan
3. Tawaf Ifadhah
4. Sa'i
5. Tahallul (bercukur atau bergunting)
6. Tertib (berturut-turut mengikut aturan)
B. WAJIB-WAJIB HAJI:-
1. Ihram serta berniat haji dari miqat
2. Bermalam (mabit) di Muzdalifah
3. Bermalam (mabit) di Mina
4. Melontar tiga jumrah
5. Meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan dalam ihram
C. SUNAT-SUNAT HAJI:-
1. Mengerjakan haji dengan cara ifrad
2. Membaca talbiah
3. Tawaf qudum iaitu tawaf yang dilakukan oleh orang yang tiba di Mekah sebelum tiba masanya wukuf di Arafah
4. Solat sunat tawaf dua rakaat dan lebih utama dilakukan di belakang Maqam Ibrahim
5. Bermalam di Mina pada tarikh 10 Zulhijjah
6. Tawaf wada' yang juga disebut tawaf perpisahan, dilakukan sebaik sahaja akan meninggalkan Mekah
7. Berpakaian ihram dan serba putih
8. Berhenti di Masjidil-Haram pada 10 Zulhijjah
4. RUKUN DAN WAJIB UMRAH:-
Mengenai umrah pula ia mempunyai lima rukun iaitu:-
a) Ihram dengan berniat masuk menjalani umrah
b) Tawaf
c) Sa'i
d) Tahallul
e) Tertib
Wajib umrah pula hanya dua:-
a) Ihram dari miqat
b) Meninggalkan larangan-larangan kerana ihram
5. MIQAT:-
Miqat adalah suatu ketentuan atau batas bagi seseorang untuk memulakan haji atau umrah. Miqat ada dua iaitu Miqat Zamani dan Miqat Makani.
Miqat Zamani adalah ketentuan masa atau waktu bagi memulakan ihram. Untuk ibadah haji ia bermula pada 1 Syawal sehingga sebelum terbit fajar pada sepuluh hari bulan Zulhijjah. Adapun untuk umrah ia boleh dilakukan bila-bila masa sepanjang tahun
Miqat Makani pula adalah suatu ketentuan tempat bagi seseorang itu untuk menjalani ihram. Miqat Makani ini tiada sebarang perbezaan antara calon-calon haji atau calon-calon umrah. Bagi jemaah Malaysia, jika terus menuju Mekah maka miqadnya adalah di Yalamlam. Jika ke Madinah dulu maka miqatnya adalah di Bir Ali.
6. PANTANG LARANG KETIKA IHRAM:-
Sebaik sahaja seseorang itu telah berniat ihram maka ia akan terpenjara atau terikat oleh larangan-larangan sebagaimana berikut:-
a) Memakai pakaian berjahit atau menutupi seluruh tubuh bagi lelaki
b) Menutup kepala atau sebahagiannya seperti memakai kopiah atau songkok bagi lelaki
c) Menutup muka atau sebahagiannya bagi wanita
d) Memakai sarung tangan bagi wanita
e) Memakai wangi-wangian
f) Bersetubuh atau pendahuluannya dan bercumbuan untuk menaikkan nafsu
g) Melangsungkan akad nikah atau menikahkan
h) Memotong atau menghilangkan kuku, rambut atau bulu-bulu badan yang lain
i) Memburu atau membunuh haiwan sama ada yang halal atau yang haram
j) Memotong atau mencabut pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) di tanah Haram
k) Memindahkan sesuatu dari tanah Haram seperti batu atau lain-lain
Sunday, October 10, 2010
CATATAN SEPULUH SEPULUH SEPULUH (10.10.10)
Rupanya, ketetapan hati yang baik untuk zaman ini adalah, "Saya terlalu besar untuk dapat disingkirkan oleh berbagai kekhuatiran yang remeh."
Ramai orang yang tidak cukup kuat untuk bangun mengatasi kesakitan, kelukaan dan kekecewaan dalam hidup. Sebaliknya, mereka mensia-siakan waktu mereka seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang lain. Mereka memperkatakan tentang diri mereka sendiri. Membandingkan bayangan gelap yang menyelimuti mereka dengan keadaan orang lain yang ada di sekeliling mereka. Memadamkan cahaya yang dipancarkan orang lain dengan awan yang menyelimuti mereka.
Sedikit rasa kurang senang yang nampaknya tidak bermakna boleh menjadi kemarahan besar yang mengikat kita. Orang yang tidak cukup besar untuk bangkit mengatasi sikap kurang senang dan kekecewaan yang kecil dan remeh - yang sepatutnya memberikan pengaruh sangat kecil dibandingkan dengan tujuan hidup orang itu - tidak akan benar-benar menjadi kuat.
Seseorang yang dapat mengatur hidupnya dengan menjaga kemampuannya untuk bahagia - di tengah-tengah kerja keras dan penderitaan - dan mampu melahirkan rasa hormat di kalangannya, telah melaksanakan suatu persaudaraan dalam makna yang paling mulia.
Ada dua jenis perkara remeh. Sejauh ini kita membicarakan tentang hal-hal kecil yang kurang menyenangkan dan sepatutnya kita kuburkannya. Jenis yang kedua adalah hal-hal kecil di dalam hidup yang dapat memberikan sumbangan bagi pencapaian hasrat hati kita. Hal remeh menciptakan kesempurnaan tetapi kesempurnaan bukanlah hal remeh.
Ini adalah suatu pernyataan yang amat berharga untuk diingati. Kesopanan kecil, kesempatan kecil dan perhatian kecil membantu kita mendaki jalan menuju ke tempat yang lebih agung iaitu kejayaan abadi.
Saturday, October 9, 2010
DISIPLIN DAN KESUNGGUHAN BEKERJA DALAM ISLAM
Dalam hidup berkeluarga, Islam telah meletakkan disiplin-disiplin tertentu sejak memulakan pembinaan hidup kekeluargaan. Pertamanya memilih bakal suri rumah tangga itu, mestilah terdiri dari perempuan yang taat kepada agama dan berbudi pekerti mulia kerana dialah yang akan mendidik anak-anak dan mentadbirkan rumahtangga. Di sini jugalah terletaknya buruk baik sesebuah keluarga dan kebahagiaan rumah tangga atau sebaliknya.
Oleh itu nabi kita, Muhammad s.a.w. telah meletakkan prinsip-prinsip yang baik dalam pemilihan bakal suri rumah ini seperti sabdanya:-
"Dikahwini seseorang perempuan itu kerana empat perkara, kerana kekayaannya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang mempunyai (pegangan) agama nescaya terpeliharalah kehidupan kamu."
Hal ini jelas seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t.:-
"Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan digaul oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."
Sebaliknya anak-anak pula sewajarnya membalas jasa ibu bapanya. Derhaka kepada ibu bapa dilarang keras dan dikutuk oleh Islam seperti firman Allah s.w.t.:-
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "isk" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
Dikenakan disiplin-disiplin tertentu ke atas seseorang anak terhadap orang tuannya kerana mengenangkan jasa mereka yangb telah membelai serta mencurah kasih mereka terutamanya semasa seseorang itu masih anak kecil. Lihatlah firman Allah s.w.t.:-
"Dan hendaklah engkau merendah (menghinakan) diri kepada keduanya merana bekas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): "Wahai Tuhanku cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Bagi seseorang isteri pula ditetapkan disiplin-disiplin tertentu dalam melayarkan bahtera rumahtangga. Para isteri tidak sepatutnya keluar rumah tidak tentu pasal semasa ketiadaan suaminya tanpa kebenaran kecuali terpaksa berbuat demikian. Ketika memilih pakaian dan menjaga kecantikan dihadkan batas-batas tertentu pula. Sekatan itu ternyata dari firman Allah s.w.t.:-
"Dan janganlah mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu."
"Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara mara mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara perempuan-perempuan, atau perempuan-perempuan, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka."
Sebagai suami yang bakal menjadi bapa atau telah menjadi bapa dikehendaki menunjukkan contoh teladan yang baik kepada keluarganya kerana dialah sebagai pokok pangkal hidup rumah tangga. sesuai dengan prinsip ini Islam telah meletakkan disiplin-disiplin berkenaan yang antara lain pernah disebutkan oleh Allah s.w.t.:-
"Dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata, bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik."
Friday, October 8, 2010
MEMPAMERKAN KOLEKSI PINGGAN MANGKOK
Tuesday, October 5, 2010
DISIPLIN DAN KESUNGGUHAN BEKERJA DALAM ISLAM
Islam memang menitikberatkan disiplin terhadap diri dan keluarga kerana dengan adanya disiplin seseorang itu atau sesebuah keluarga itu akan mendapat kejayaan hidupnya. Mengenai diri, Islam menggesa umatnya supaya mendisiplinkan diri dengan sifat-sifat terpuji atau dengan kata-kata lain, berakhlak mulia seperti bercakap benar, amanah, adil dan sebagainya. Ketiadaan sifat-sifat ini boleh menjejaskan iman seseorang seperti yang disebut oleh nabi kita Muhammad s.a.w.:-
“Tanda orang munafik itu tiga perkara: Bila bercakap dusta, bila berjanji mungkir dan bila diaamanahkan mengkhinati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pendita Zaaba pernah membingkiskan dalam sebuah pantun:-
Siakap senohong,
Gelama ikan duri,
Bercakap bohong,
Lama-lama mencuri.
Dengan sifat amanah seseorang itu akan dipandang mulia kerana amanahlah Nabi Muhammad s.a.w. diberi gelaran “Al-Amin” dan mendapat kepercayaan dari seorang peniaga kaya iaitu Siti Khadijah untuk memperdagangkan perniagaannya.
Selain dari sifat-sifat terpuji ini, Islam telah menentukan beberapa disiplin kepada seseorang supaya berusaha dan membiasakan diri bertemankan orang yang baik tingkah lakunya kerana kawan boleh mempengaruhi seseorang samaada ke arah kebaikan atau keburukan. Lihatlah sabda Nabi s.a.w. menceritakan tentang kawan:-
“Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda (Agama) seseorang itun terletak pada kawannya, maka hati-hatilah kamu akan siapa yang akan kamu kawani.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu awasilah orang yang akan menjadi kawan kita dari sifat-sifat yang keji dan tercela. Dalam sebuah hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda:-
“Bandingan seseorang kawan yang baik dan kawan yang tidak baik laksana penjual minyak wangi dan dapur pembakar tukang besi, tidak sia-sia engkau berkawan dengan penjual minyak wangi (kerana) sama ada kamu dapat membelinya atau kamu memperolehi baunya, sementara dapur tukang besi pula (mungkin) akan membakar badan kamu atau pakaian kamu atau kamu perolehi baunya yang busuk.”
(Riwayat Al-Bukhari)
Dalam persoalan masa, Islam menyuruh penganutnya supaya tidak membuang masa dengan sia-sia, di tempat-tempat hiburan atau di kedai-kedai kopi, di panggung wayang dan sebagainya. Adalah lebih baik masa itu dihabiskan di tempat-tempat selain dari itu.
Islam juga menentukan kepada umatnya supaya jangan menghalakan pandangan kepada sesuatun yang haram. Oleh kerana ciri-ciri haram dan tidak baik sangat mudah ditemui di mana-mana sahaja terutama dalam masyarakat sekarang. Oleh itu usaha yang bersungguh-sungguh perlu diambil untuk menghindarkan diri dari situasi itu. Langkah yang patut diikuti terdapat dalam firman Allah s.w.t.:-
“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesunggungnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”
(Al-Nur: 30)
Islam juga telah menetapkan disiplin ke atas seseorang dalam kehidupannya sehari-hari seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal iaitu melazimkan diri dengan perkara-perkara yang halal kerana pembesaran fizikal seseorang dari sesuatu yang haram itu mengakibatkan balasan yang tidak baik. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda:-
“Seseorang lelaki jauh perjalanannya (dlam musafir) bergerbang rambutnya serta berdaki, menadah tangannya ke langit (dan berdoa) ke hadrat Tuhan, sedangkan makanannya (dari yang) haram, minumnya (dari yang) haram, dan pakaiannya (dari yang) haram, dan makan dengan cara haram, apakah Aku terima akan permintaannya?”
(Riwayat Muslim)
Disiplin berikutnya yang ditentukan oleh Islam ke atas umatnya ialah tidak bersifat sombong dan sebagainya yang disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran, firmannya:-
“Dan janganlah engkau memalingkan muka kamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong, takbur dan membangga diri. Dan sederhanakanlah langkah kamu semasa berjalan, juga rendahkanlah suara kamu (masa bercakap). Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara kaldai.”
(Luqman: 18 & 19)
Sunday, October 3, 2010
MEMBELAI BUNGA-BUNGA OKID DI PAGI MINGGU
Saturday, October 2, 2010
MACAM-MACAM BOLEH DIBUAT DARI BIJIK GETAH
Biler nyebot pasei getah nih, teman daghi kecik sampei ler tuer tobeng nih kenei bebeno ngan pokok getah. Kecik-kecik dulu teman nolong ayah teman ngutip sekerap daghi teman boleh berjalan hingge le derejah enam. Bile malam tuh ujan, esoknyer teman kene ler bawah guni belang nak lapkan pokok getah yang ayah teman toreh. Kalo idak dilapkan meghecor-ghecor ke lain ler melelehnyer getah yang ayah teman noreh.
Teman memule belajor noreh biler dah masuk skolah menengah. Mase tuh biler teman noreh, semedang ajer ke kekayu kate ayah teman. Mule-mule teman heran jugak kan ker noreh tuh mesti kene kekayu. Ghupernyer maksud ayah teman, noreh tuh kat kulit ajer nih teman tekan piso getah tuh sampai kayu batang getah tuh.
Mase kat kebon getah banyak bebeno bende baghu yang teman jumper. Ari nih teman nak ceghiter sikit tang bijik getah. Teman teringat kekawan bebelog (DKosong Lapan) ader ceghiter pasei bijik getah yang digesek ke simen lanta pastu disiyutnye kat kekawan. Aper lagi melolong ler kekawan yang kene siyut ngan bijik getah tuh. Nakei juge kawan teman DKosong Lapan nih yerk?
1. LAGE BIJIK GETAH:-
Ambek dua biji getah pastu detak kat tapak tangan. Pastu dikepik due-due sampa salah satu bijik getah tu pecah. Bijik getah yang pecah tuh kalah ler dan detak dalam bekas sebab walopon kalah ader gunernyer.
2. KUMBANG BIJI GETAH:-
Ambik sebijik bijik getah. Buat due lubang bagi tembuih kat badan bijik getah tui. Biler dah tembuih cari benang. Kalo boleh benang tuh jangan halueh bebeno cari yang kasor sikit. Masukkan benang ikut due-due lubang pastu cantomkan benang. Jaman ler bih dier akan jadi macam mengkome main yo-yo tuh. Kumbang bijik getah nih yang bestnyer tang bunyi biler dipusingkan.
3. JEROK BIJIK GETAH:-
Kat kampong teman bijik getah deme buat makan tapi keneler jerokkan dulu. Care buat jerok tuh samer ler macam mengkome buat jerok petai ker, jeruk buah ker ngan aper jerok yang mengkome buat. Kan tadi ader teman ngaterkan bijik getah yang kalah dalam main lage bijik getah tuh. Bijik getah tuh ler yang nak dijerokkan. Wat aper membazir buang yerk. Jerok bijik getah nih sedap bebeno biler dimasak lemak ngan ikan sunga.
Kat kampong teman tuh ader soghang akak tu memang pakar dalam tang masak bijik getah nih. Semedang ajer teman mintak akak toh tolong masak. Dulu-dulu mase mak teman ader lagi, die juger panda masak lemak bijik getah. Le nih mak teman dah tak ader, teman nyuruh ler akak tuh tolong masaknyer. Teman tahu akak tuh panda masak lemak bijik getah sebab semedang ajer teman nengok die ngutip bijik getah.
4. SETERIKA BIJIK GETAH:-
Teman nasehatkan mengkome jangan main bende nih. Tapi kalo mengkome nak main juge, jangan siyut kat kekawan kut kalu-kalu tak pasei-pasei kene pelempang. Mengkome ambik sebijik bijik getah. Mengkome gesekkan ke lanta. Yang mujarabnyer lanta simen. Bile dah lamer sikit mengkome siutkan bijik getah yang dah digesek tu ke maner badan mengkome. Dah tentu mengkome melalong sebab paneh. Mainan nih teman rase kawan teman DKosong Lapan tentu pande.
5. CONGKAK:-
Mase teman kecik-kecik dulu bile main congkak kene korek tanah buat lubang. Jumlah lubang tuh ikut suker mengkome ler beraper nak buat. Buah congkak tuh ler dibuat dari bijik getah. Kalo bijik getah tak mandang, mengkome boleh guner batu-batu kecik. Jaman ler nih teman nengok deme dah gune guli jadi buah main congkak. Gitu juger ngan tapak congkaknyer. Dulu ateh tanah le nih dah siap boleh diangkut kemaner-maner. Ader buat daghi kayu, pelastik ngan macam-macam lagi.
Yang memain congkak nih dulu-dulu budak-budak pompuan ajer. Le nih dah tak kire. Sape ajer boleh main congkak. Pompuan boleh. Laki boleh. Yang due-due pon boleh. Dedulu oghang Melayu ajer yang main congkak nih. Tapi ler nih seme bangse boleh main congkak. Tingge lagi pande ke idak ajer mainnyer.