Saturday, October 23, 2010

KERJAYA PENDIDIK DI MALAYSIA

ILMU DAN KEFAHAMAN
Ilmu dan kefahaman merupakan input yang perlu dikuasai oleh seseorang guru. Kualiti guru dilihat daripada tahap ilmu yang dimilikinya berbanding dengan ilmu yang dimiliki oleh murid. Tahap ilmu guru seharusnya lebih tinggi daripada tahap ilmu yang dimiliki oleh murid. Guru sekurang-kurangnya memiliki ijazah sarjana muda bagi mengajar murid yang belajar pada tahap sijil atau diploma. Langkah proaktif perlu diambil oleh guru bagi menambahkan ilmu yang ada dari semasa ke semasa sebagai memenuhi keperluan global dan menepati ciri guru yang bertaraf dunia.

Peningkatan ilmu pengetahuan boleh diperolehi daripada pelbagai sumber seperti mengikuti kursus secara formal daripada institusi pengajian tinggi yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kelulusan seperti kepada peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Ilmu juga boleh diperolehi daripada majlis ilmu seperti seminar, persidangan, kursus dan foram. Selain memperolehi ilmu daripada sumber yang sahih, guru wajar menguasai kaedah menjalankan penyelidikan kerana penyelidikan juga merupakan sumber ilmu yang tinggi nilainya.

KEMAHIRAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Kualiti guru seterusnya dapat dilihat daripada bagaimana seseorang guru menyampaikan ilmu kepada murid. Tugas guru tidak akan sempurna sekiranya mereka tidak dapat menyampaikan ilmu kepada murid dengan berkesan. Tahap amalan profesional, ilmu pengetahuan dan kefahaman yang tinggi tidak bererti kepada kejayaan tugas guru jika guru tidak mampu memindahkan ilmu tersebut kepada murid. Oleh itu, seseorang guru yang berkualiti ialah guru yang berjaya mengajar muridnya dengan berkesan sehingga terbina tingkah laku yang positif.

Tugas guru pada masa ini amat mencabar kerana murid semakin terdedah kepada perkembangan pesat ICT. Sumber ilmu kini bukan sahaja daripada guru, malahan boleh diperolehi daripada pelbagai media elektronik termasuk internet, televisyen dan telefon bimbit. Justeru, guru harus mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran agar dapat terus menarik minat muridnya. Untuk merealisasikan matlamat ini, guru seharusnya mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat agar dapat melengkapkan diri dengan pelbagai kaedah, teknik pengajaran dan pembelajaran terkini.

No comments: