Saturday, October 9, 2010

DISIPLIN DAN KESUNGGUHAN BEKERJA DALAM ISLAM

DISIPLIN TERHADAP KELUARGA

Dalam hidup berkeluarga, Islam telah meletakkan disiplin-disiplin tertentu sejak memulakan pembinaan hidup kekeluargaan. Pertamanya memilih bakal suri rumah tangga itu, mestilah terdiri dari perempuan yang taat kepada agama dan berbudi pekerti mulia kerana dialah yang akan mendidik anak-anak dan mentadbirkan rumahtangga. Di sini jugalah terletaknya buruk baik sesebuah keluarga dan kebahagiaan rumah tangga atau sebaliknya.

Oleh itu nabi kita, Muhammad s.a.w. telah meletakkan prinsip-prinsip yang baik dalam pemilihan bakal suri rumah ini seperti sabdanya:-
"Dikahwini seseorang perempuan itu kerana empat perkara, kerana kekayaannya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang mempunyai (pegangan) agama nescaya terpeliharalah kehidupan kamu."
(Muttafaq alaih)

Dengan berkat isteri yang bertingkah laku baik dan biak itu dikurniakan Allah s.w.t. akan keturunan yang baik pula. Bersempena dengan kelahiran cahaya mata, agama Islam menyuruh tanamkan prinsip keIslaman sejak awal-awal lagi iaitu memperdengarkan seruan suci (azn dan iqamah) di telinga bayi yang baru dilahirkan itu. Kemudian disuruh pula memberi nama yang baik agar kanak-kanak itu tidak akan malu dengan panggilan namanya bila besar kelak.

Seterusnya disuruh memberi pendidikan yang seimbang. Disamping itu, ibu bapanya bertanggungjawab memberi pakaian yang sesuai dan makan minum dari rezeki yang halal. Keadaan ini semua adalah merupakan langkah tanggungjawab dan disiplin yang mesti dilaksanakan oleh setiap ibu bapa. Ibu bapa telah dimanahkan oleh Allah s.w.t. menjaga anak-anak dan orang di bawah tanggungannya dari terjerumus ke dalam neraka.

Hal ini jelas seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t.:-
"Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan digaul oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."
(Al-Tahrim; 6)

Sebaliknya anak-anak pula sewajarnya membalas jasa ibu bapanya. Derhaka kepada ibu bapa dilarang keras dan dikutuk oleh Islam seperti firman Allah s.w.t.:-
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "isk" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
(Al-Isra: 23)

Dikenakan disiplin-disiplin tertentu ke atas seseorang anak terhadap orang tuannya kerana mengenangkan jasa mereka yangb telah membelai serta mencurah kasih mereka terutamanya semasa seseorang itu masih anak kecil. Lihatlah firman Allah s.w.t.:-
"Dan hendaklah engkau merendah (menghinakan) diri kepada keduanya merana bekas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): "Wahai Tuhanku cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Al-Isra: 24)

Bagi seseorang isteri pula ditetapkan disiplin-disiplin tertentu dalam melayarkan bahtera rumahtangga. Para isteri tidak sepatutnya keluar rumah tidak tentu pasal semasa ketiadaan suaminya tanpa kebenaran kecuali terpaksa berbuat demikian. Ketika memilih pakaian dan menjaga kecantikan dihadkan batas-batas tertentu pula. Sekatan itu ternyata dari firman Allah s.w.t.:-
"Dan janganlah mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu."
(Al-Ahzab: 33)

"Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara mara mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara perempuan-perempuan, atau perempuan-perempuan, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka."
(Al-Nur: 31)

Sebagai suami yang bakal menjadi bapa atau telah menjadi bapa dikehendaki menunjukkan contoh teladan yang baik kepada keluarganya kerana dialah sebagai pokok pangkal hidup rumah tangga. sesuai dengan prinsip ini Islam telah meletakkan disiplin-disiplin berkenaan yang antara lain pernah disebutkan oleh Allah s.w.t.:-
"Dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata, bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik."
(Al-Nisa: 19)

2 comments:

a.samad jaafar said...

terima kasih... semoga kita sama2 menghayati cara hidup islam yang sebenarnye..

CETUSAN SEIKHLAS RASA said...

Semoga Allah percepatkan perjalanan kita ke sana... sebelum diri dimamah usia..