Thursday, October 14, 2010

DISIPLIN DAN KESUNGGUHAN BEKERJA DALAM ISLAM

DISIPLIN TERHADAP MASYARAKAT
Pengertian masyarakat merangkumi skop yang amat luas termasuk jiran tetangga, teman sebaya, seterusnya masyarakat Islam seluruhnya. Dalam hal ini walau bagaimanapun perhatian akan diberikan kepada aspek-aspek ekonomi dan sosial sahaja.

Dari aspek ekonomi, Islam telah meletakkan disiplin yang lengkap iaitu dengan menggalakkan penganutnya berusaha dan bekerja keras untuk mengumpul harta-harta kekayaan sebanyak-banyaknya.

Malah Islam melarang dan membenci penganutnya yang malas bekerja seperti yang dijelaskan oleh firman Allah s.w.t.:-
"Dan janganlah kamu jadikan tangan kamu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan."
(Al-Isra': 29)

Falsafah "rezeki secupak tidak jadi segantang" dan "ulat dalam batu pun boleh makan" hanya sesuai bagi orang-orang yang malas berusaha, orang-orang yang tidak faham dengan konsep qada dan qadar dalam erti kata yang sebenar. Qadar yang sebenar tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali Allah s.w.t. Lantaran itu disuruh kita berusaha dengan bersungguh-sungguh.

"Wahai orang-orang yang beriman apabila diseru azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) kemudian setelah selesai sembahyang maka bertaburanlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah dari apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."
(Al-Jumaat: 9 dan 10)

Kedua-dua ayat tersebut, Allah s.w.t. telah menyuruh kita berusaha pada masa-masa tertentu dan melarang pula kita berusaha pada masa-masa tertentu yang lain. Ini memang sesuai dengan tenaga manusia tidak boleh bekerja terus menerus tanpa rehat, makan, minum dan sebagainya. Allah s.w.t. tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Faktor masa yang ditentukan dalam sesuatu pekerjaan itu memang menepati dengan kesihatan seseorang individu. Kerja dan usaha yang berterusan menyebabkan seseorang itu hilang upaya dan boleh menimbulkan penyakit sedangkan pencegahan itu lebih baik dari berubat "Prevention is better than cure".

Bersesuaian dengan mana-mana majikan mempunyai peruntukan masa kerja tertentu kepada kakitangannya. Pakar kesihatan telah membuat keputusan bahawa masa tidur yang mencukupi bagi seseorang itu ialah 8 jam, masa bekerja yang sepatutnya juga 8 jam manakala 8 jam lagi untuk berehat.

Pembahagian masa demikian sudah mencukupi bagi seseorang untuk berusaha bagi mencapai kebahagiaan hidup. Usaha setiap detik dan saat yang dilaksanakan itu tidak akan disia-siakan

Banyak sedikitnya pahala atau balasan bergantung atas usaha yang dilakukannya.
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya."
(Al-Najm: 39)

"Dan janganlah kamu berharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pengkat kebesaran) (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan (maka berusahalah kamu) dan permohonkan lah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah senantiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
(Al-Nisa': 32)

Al-Quran telah menggariskan bahawa keperluan asasi kehidupan seseorang tidak kurang dari empat aspek:-
1. Keperluan terhadap makanan
2. Keperluan terhadap minuman
3. Keperluan terhadap pakaian
4. Keperluan terhadap tempat perlindungan

Keperluan kepada makanan dan minuman adalah paling utama kerana kedua-dua perkara ini merupakan penyambung hidup seseorang. Manakala keperluan-keperluan terhadap pakaian dan tempat perlindungan merupakan kesempurnaan hidup seseorang.

Untuk memenuhi keperluan-keperluan asasi ini maka tidak ada sebab bagi seseorang itu mengurangkan aktiviti dan kesungguhannya dalam sesuatu pekerjaan. Sesungguhnya pekerjaan yang baik itu ialah pekerjaan yang tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.

Islam memandang rendah kepada penganutnya yang malas bekerja dan berusaha. Tetapi bukanlah pula kerana Islam memandang rendah kepada peminta sedekah, kita menengking herdik atau menjerkah mereka bila mereka meminta-minta dari kita. Sifat tengking herdik, maki hamun dan memandang hina kepada seseorang kerana kelemahannya dilarang oleh Islam.

Sesuatu rezeki tidak datang menggolek tanpa berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dengan menggunakan tulang empat kerat serta akal fikiran. Sebaik-baik rezeki adalah rezeki yang diperolehi dari usaha tenaga sendiri.

No comments: