Friday, October 22, 2010

KERJAYA PENDIDIK DI MALAYSIA

PROFESIONALISME KEGURUAN
Kualiti profesionalisme keguruan merupakan kemampuan seseorang guru tersebut mengenal pasti fungsi dan tanggungjawab mereka secara menyeluruh dan mendalam. Guru menganggap tugas yang diamanahkan kepada mereka wajib dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Guru yang berkualiti profesionalisme mengutamakan kepentingan pekerjaan lebih daripada kepentingan peribadi dan tidak berminat untuk menukar profesionalisme perguruan kepada pekerjaan lain.

Kualiti profesionalisme keguruan dilihat daripada kemampuan guru mengamalkan ciri keguruan yang terpuji dan sesuai dengan tugas dan status guru. Aspek-aspek seperti sahsiah, sikap, minat, kreativiti, kemahiran berkomunikasi dan sifat-sifat kepimpinan sentiasa dijaga apabila berurusan dengan murid, rakan sekerja, ibu bapa, pihak pentadbir dan masyarakat. Untuk tujuan pengajaran, guru harus mempunyai ilmu yang luas dan mendalam, pencapaian yang istimewa dan kecekapan ikhtisas yang tinggi.

Secara umumnya, guru bertanggungjawab untuk mendidik dan mengajar murid dan juga memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan rakan sejawat untuk membangunkan personaliti pelajar ke arah melahirkan modal insan yang diperlukan oleh masyarakat dan negara. Justeru, kualiti guru harus dibuktikan dengan keberkesanan dan dedikasi mereka melaksanakan tanggungjawab, bukan sahaja kepada murid malah ibu bapa, rakan sejawat, masyarakat dan negara.

Tanggungjawab guru bukan sahaja mendidik dan mengajar murid malah juga menjaga kebajikan dan keselamatan murid, bersikap adil terhadap setiap murid tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama, merahsiakan maklumat ikhtisas murid kecuali kepada individu yang berhak dan membimbing murid dalam bilik darjah tanpa sebarang ganjaran. Dalam konteks hubungan profesionalisme antara guru dengan murid, guru akan menunjukkan perwatakan yang sesuai untuk diteladani oleh murid seperti cara berpakaian, pertuturan dan ketenangan emosi.

Tugas dan tanggungjawab guru terhadap ibu bapa murid pula adalah seperti menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak mereka, mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat antara institusi pendidikan dengan keluarga murid, kerahsiaan maklumat peribadi yang diberikan oleh ibu bapa mereka dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.

Selain itu, guru juga bertanggungjawab untuk memberikan maklumat kepada ibubapa demi kepentingan anak mereka. Guru juga perlu menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana, mengelak daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa murid. Guru juga perlu mengelak daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan murid terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

Etika hubungan profesionalisme antara rakan sejawat pula ialah tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan murid atau ibu bapa. Selain itu, guru juga sepatutnya tidak berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru dan sedia memberikan bantuan kepada rakan sejawat, terutamanya mereka yang baru menceburkan diri dalam profesionalisme perguruan.

Tanggungjawab guru kepada masyarakat dan negara diperlihatkan dalam bentuk perlakuan seperti tidak menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara ataupun bertentangan dengan Rukun Negara. Guru perlu memupuk sikap dan nilai dalam diri setiap murid yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna serta menghormati orang yang lebih tua.

Selain itu, menghormati perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama, menghormati masyarakat tempat guru berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab guru. Guru hendaklah sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan kemasyarakatan, menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara mereka dengan ibu bapa dan antara institusi pendidikan dengan masyarakat.

Akhir sekali, guru wajar memberi sumbangan untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawanan masyarakat. Guru juga mesti berpegang pada tingkah laku sopan yang diterima oleh masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian guru dengan baik.

No comments: