Wednesday, March 31, 2010

SETIMPALKAH GAJI DENGAN PERKHIDMATAN?

"Tidak ada orang yang tidak berguna di dunia ini,
selama masih ada orang yang meringankan beban sesamanya."

Perkhidmatan adalah bermaksud perihal berkhidmat atau bertugas. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai kerja untuk kebajikan, keperluan dan kepentingan orang ramai. Dalam aspek sebagai kerajaan, perkhidmatan boleh dijuruskan kepada perkhidmatan awam dan perkhidmatan sosial. Berasal dari perkataan khidmat yang memberi erti hormat, takzim, sopan dan santun.

Disamping itu ia juga melambangkan suatu perbuatan yang menunjukkan ketaatan dan kesetiaan atau pengabdian dan bakti kepada negara. Khidmat juga adalah sebagai suatu kerja atau perbuatan untuk memenuhi keperluan orang ramai melalui pelbagai bidang iaitu tenaga dan nasihat.

"Kebanyakan perkhidmatan yang dicurahkan,
mesti ada udang di sebalik batu dan baik ada makna."

Perkhidmatan yang terbaik adalah sumbangan perkhidmatan yang diberikan secara senyap atau secara diam-diam. Ia dilakukan tanpa sebarang harapan untuk mendapatkan suatu imbalan sama ada dalam bentuk kewangan, harta, pangkat dan sebagainya. Namun begitu. orang yang memberi perkhidmatan seperti ini amat jarang kita temui masakini.

Perkhidmatan yang kita berikan dan kemudian kita lupakan ini akan datang kembali kepada kita dengan berlipat ganda. Kalau satu-satunya alasan kita memberikan perkhidmatan adalah menyediakan diri kita untuk membantu orang lain atau untuk meningkatkan kemanusiaan, maka kita telah menempatkan diri kita pada keseimbangan dari Hukum Gantian.

Kita hidup secara benar apabila kita berada dalam irama yang sama dengan Hukum Alam. Hukum Gantian berlaku pasti seperti Hukum Alam yang mana pun. Perkhidmatan yang kita berikan itu akan menjadi perkhidmatan bagi kita, baik secara langsung atau tidak langsung. Ianya pasti akan berlaku sama ada cepat atau lambat. Kadang-kadang tanpa kita sedari setiap kebaikan yang kita berikan itu telah terbalas.

Perkhidmatan itu akan kembali dalam kualiti yang baik seandainya kita membantu atau menguntungkan kemanusiaan dengan memberikan tindakan yang baik. Disamping itu kita juga perlu bertindak mulia dengan mengangkat martabat kemanusiaan agar jalan yang kita tempuhi dalam hidup ini akan dipenuhi dengan kebaikan dan kemuliaan. Pepatah ada menyatakan bahawa, buat baik itu akan dibalas dengan baik dan buat jahat itu jangan sekali-kali.

"Setiap pemimpin adalah yang bekerja keras
ketika masih menjadi pekerja bawahan."

Oleh itu, hendaklah kita berbuat lebih baik daripada apa yang diharapkan oleh orang yang memerlukan kita. Bekerjalah lebih baik dan lebih banyak daripada nilai kerja yang terdapat dalam gaji kita. Kita sewajarnya sering memikirkan, apakah setimpal perkhidmatan yang kita berikan dengan gaji yang kita terima? Disamping itu janganlah kita mengharapkan promosi apabila kita melakukan perkhidmatan yang penuh pengabdian ini. Biarlah alam yang mengurus semua itu bagi kita.

Usahawan yang baik menguasai teknik untuk lebih banyak memberikan perkhidmatan daripada yang diharapkan pelanggan. Ramai antara mereka menemui kenyataan bahawa mereka membuat lebih banyak penjualan dengan usaha lebih ringan. Tugas sulit untuk meningkatkan penjualan di masa depan akan menjadi lebih mudah kerana kesediaan mereka untuk bekerjasama.

"Perkhidmatan yang cemerlang datangnya dari ketulusan
dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan."

Monday, March 29, 2010

ANAK KECIL PUN INGIN MENABUR BUDI

Semalam 28 Mac 2010 hari Ahad, aku duduk lepak-lepak kat "Restoran Koner" kat Sungai Siput nih. Waktu tuh lebih kurang pukul 10.30 pagi. Tengah aku ngirup teh tarik, tiba-tiba member aku ngajak aku pegi ke Chandan Puteri, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Member tuh ngajak aku nemankan dia nak ambik barang kat saner. Bile kate ngambik barang, dah tentu ler aku kene naik lori. Nih le peluang aku nak naik lori sebab aku memang tak peronah naik lori. Mase aku pindah randah dulu pun, barang-barang rumah ajer yang naik lori. Aku tetap naik kereta.

Duduk ler aku kat sebelah derebar lori tuh. Derebar lori tuh member aku ler yang ngajak ikut tuh. Sembang punya sembang maka pun kami sampai ler kat tempat yang nak dituju. Ruper-rupernye member aku tuh tengah buat "awning" kat sebuah rumah kat taman tuh. Aku pun turun dari lori cadang nak nengok-nengok alam sekitar. Tup-tup aku dengor ade orang yang panggel aku. Aku ceroyer keliling kut-kut die tuh panggel oghang lain dan aku nengok memang die tuh negor aku.

"Bile pulak cikgu jadi kelendan lori nih?" tegor oghang tuh sambil kami bersalaman.

"Teman bukannyer jadi kelendan lori, tapi ngikut member teman tuh nak ambik barang dia." Jawab aku sejujur-jujurnyer.

"Kut-kut cikgu dah buat bisnis. Cuti-cuti ujung minggu nih cikgu nengok tapak projek kut?" Sambungnya lagi.

"Tapak projek? Hebat juge persepsi kawan aku tuh." Bisik hati kecik aku.

Setelah barang yang nak diambik tuh diangkat ke lori, kami pun meneruskan perjalan pulang ke Sungai Siput. Dalam lori tuh kami sembang-sembang pasai bisnis. Member aku nih memang hebat jugak bisnis dia. Bukan ajer rumah-rumah persendirian yang buat projek malahan ade jugak jabatan-jabatan kerajaan yang beri dia projek.

Kami meneruskan perjalan pulang. Sampai ajer kat Kuala Kangsar, kami singgah kat gerai yang jual ayo nyor (aku peronah ceritakan dulu-dulu). Malangnye kami, kerane ayo nyor yang kami teringin sesangat nak lepaskan dahaga kat gerai tuh dah abis.

"Baru pukui 12 dah abis Yong?" Tanya aku pade tokeh gerai tuh dengan perasaan agak kecewa.

"Ogang rama bebeno ari nih cikgu." Balas tokeh gerai tuh macam simpati ajer kat aku.

"Tak ade rezeki." Balas aku macam memujuk ati aku yang agak kecewa.

Kami pun terus naik lori dan bercadang nak minum ayo kelapa kat gerai di Jambatan Iskandar, tapi kat situ pun kami melepas jugak. Bukannyer ayo nyor yang dah abis, tapi kerusi kat gerai tuh abis semuanyer dah duk kat atas meja. Itu tandanyer gerai tuh tutup. Kami teruskan perjalanan kami.

Sampai ajer kat Salak Stesen, tiba-tiba member aku yang bawak lori tuh berentikan lorinyer kat sebuah gerai di situ. Aku nengok mukenyer sebab aku tak peronah minum kat situ. Kawan aku tuh macam faham ajer perasaan aku.

"Oiii, teman nih dah dahage bebeno weh. Ayo aper pun teman kene minum." Kata kawan aku tuh sambil turun dari lori.

Mahu tak mahu aku pun kene turun jugak. Aku pun sebenonyer pun dah dahage bebeno. Ayo sejuk dalam botol pun aku luper bawak. Kalau dalam kereta aku dah tentu ade bebotol-botol ayo mineral, ini lori kawan dah tentu tak ade botol ayo.

Sampai ajer kat meja di gerai tuh aku nengok member aku tuh dah ngadap buah nyor mude yang dah di potong atasnyer. Ade dua biji. Aku pun ambik "straw", cadang nak minum ayo nyor sebiji lagi tuh.

"Itu aku punye. Hang order lain." Kata member aku tuh.

Aku nengok kawan teman tuh memang bebeno dahagenyer. Aku pun order dua biji lagi. Sambil itu aku order laksa sedap sepinggan. Sedap ke idak laksa tuh aku tak try lagi. Aku kata laksa sedap sebab ader tertulis kat "menu" di situ. Sebenonyer memang sedap selepas aku makan bila order aku tuh dah sampai. Aku pun mengok kawan teman tuh pun ngoder laksa sedap. Kami pun makan tanpa menoleh kiri dan kanan.

"Ini cikgu ker?" Suara seoghang budak pompuan tiba-tiba ajer ader kat sebelah aku.

"Ini cikgu ker?" Tanya budak tuh lagi kerana aku masih belum menjawab soalannyer.

"Iye, awak sekolah kat maner?" Jawab aku dan menyoal pula pada budak tuh.

"Sekolah ....... ler." Balas budak itu menyebut nama sekolahnya. "Saya Tahun Satu sekolah cikgu." Sambung budak itu lagi.

"Abis naper tanye saya macam tuh, macam tak kenai saya ajer?" Tanya aku pulak pade budak itu.

"Memang saya kenai cikgu, tapi ari nih saya "keliru" sebab ari-ari ke sekolah cikgu naik kereta. Hari ini pulak cikgu naik lori." terang budak itu yang menyebabkan aku ketawa berdekah-dekah atas kepetahan budak itu berkata-kata.

Setelah selesai aku dan kawan aku tadi makan dan minum, aku mengeluarkan wang untuk membayarnya.

"Yong, berapa nih?" Jerit aku kepada tokeh gerai tuh.

"Cikgu tak payah bayar." Kata budak itu. "Ari nih saya belanja cikgu dan kawan cikgu nih." Sambung budak itu lagi yang membuat aku terpinga-pinga.

"Saya belanja, tapi yang bayar ayah saya." Sambung budak itu lagi sambil menunjukkan jarinye ke arah ayahnyer yang ade di situ. Aku dan kawan aku pun apa lagi, ketawalah lagi..........

Saturday, March 27, 2010

MENJADI TUAN KEPADA FIKIRAN

"Kerana seorang individu adalah pelayan atau tuan bagi suasana hatinya, maka dia adalah pelayan atau tuan dirinya sendiri."

Gembira adalah bermaksud bergembira, sangat suka, sangat girang dan berbesar hati. Apabila perkataan gembira diberi imbuhan diawal dan diakhirnya maka ia menjadi berbagai perkataan. Kegembiraan adalah salah satu perkataan yang terhasil dari penambahan imbuhan di atas. Kegembiraan masih memberi maksud yang sama atau hampir dengan gembira iaitu, kesukaan, kegirangan, kebanggaan dan juga keberanian.

Kegembiraan lawannya adalah kesedihan. Kebiasaannya seseorang itu dapat melahirkan kedua-dua perasaan tetapi yang lebih banyak adalah perasaan gembira. Tambahan pula sekira kesedihan yang dialami tersebut boleh menjatuhkan imej atau maruah. Bagaimanapun setiap situasi pasti ada komuniti yang ikut serta di mana apabila gembira akan diucapkan tahniah manakala sedih takziah diluahkan.

"Apabila kita bangun pagi, kita terus ke bilik mandi. Menyanyi ketika mandi itu adakah menandakan kita gembira?

Suatu hari saya menceritakan kepada sahabat tentang kegembiraan yang mengisi kehidupan seharian saya. Saya berkata kepada mereka betapa saya amat rindu untuk segera terbangun dari tidur pada pagi hari. Saya merindui untuk segera pergi bekerja. Saya rindu untuk segera sampai ke rumah kembali dan akhirnya saya merindui untuk segera boleh tidur pada malam hari. Setiap kejadian yang membahagiakan itu menjadi batu loncatan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dan masing-masing menjadi impian untuk saya alami.

Ramai orang mengalami hari gembira mahupun hari sedihnya dalam sepanjang kehidupan mereka. Seringkali apabila kita terbangun dari tidur kita mengalami perasaan yang amat menyenangkan tiidak kira hari bekerja atau pun hari cuti. Namun begitu apabila kita mengisikan ketenangan kita itu dengan membaca surat khabar atau menonton televisyen atau mendengar radio, perasan kita akan mengalami tekanan bersama dengan sifat yang negatif dari media yang kita ikuti.

Terlalu banyak berita atau sifat yang negatif diisikan untuk memenuhi ruang dalam halaman sebilangan surat khabar. Seandainya ada pilihan pengarang untuk membahagikan isi medianya menjadi dua bahagian iaitu bahagian positif dan bahagian negatif, saya berpendapat bahawa isi media massa pastinya kepada perkara-perkara yang negatif. Pasti banyak berita peperangan, jenayah, skandal, kematian, perceraian dan berbagai lagi memenuhi ruang halaman sebilangan media massa tersebut.

"Banyak berita yang negatif dipamerkan di muka hadapan sebilangan media massa. Apakah maksud yang tersurat dan tersirat?

Apa yang pasti, apabila kita disogokkan atau kita telah terseret ke dalam semua perkara yang negatif di sekeliling kita, maka kita akan mengalami ketagihan. Apabila ketagihan mulai menguasai diri kita, maka kita sebenarnya telah diperalatkan oleh perkara-perkara yang negatif itu. Kehidupan kita akan selalu diliputi dan disaluti oleh suasana dan perasaan yang gelisah, bosan dan kepayahan.

Suasana hati adalah keadaan mental dan kita adalah tuan bagi fikiran kita itu. Kita janganlah menjadi hamba kepadanya. Setiap manusia dikurniakan akal oleh Pencipta kita. Kita perlu menyedari bahawa akal yang dikurnikan itu adalah satu-satunya milik kita yang memungkinkan kita menjadi teguh, kukuh dan dengan sendirinya kita mempunyai kawalan diri. Oleh itu, kita harus memiliki akal budi dan menerapkan hak kita untuk memiliki kawalan.

"Bukakanlah pintu seluas-luasnya terhadap semua yang kita inginkan dan melaluinyalah juga kita boleh membuang semua yang tidak kita perlukan."

Apabila kita tahu ke mana hala tuju kita , kita akan mengikuti landasan yang kita sediakan untuk sampai ke destinasi yang kita ingin tujukan. Segala perkara yang bersangkutan dalam kehidupan, termasuklah suasana hati, akan menjadikan suatu yang mengasyikan, sama ada ianya memberi kegembiraan mahu pun memberi kesedihan.

"Lakukanlah pemilihan dua situasi tersebut dengan penuh kebijaksanaan."

Thursday, March 25, 2010

KEPEMIMPINAN ADALAH SENI

Kepemimpinan adalah suatu seni. Oleh itu, setiap mereka yang digelar pemimpin adalah perlu mengenal setiap watak orang yang dipimpinnya. Maka bermula dari sinilah pemimpin itu dapat memainkan seni kepemimpinan melalui pelbagai pendekatan yang tertentu. Pendekatan ini akan dibuat secara individu dan juga secara berkumpulan. Pemimpin wajar tahu bahawa sikap manusia itu adalah berpunca dari kepentingan diri. Apabila pemimpin itu pandai memainkan seninya dengan menyentuh kepentingan mereka yang dipimpin, dia akan mendapat reaksi yang baik.

Apabila kita menjurus kepada soal kepemimpinan, kita tidak dapat lari dari membincangkan soal kepemimpinan dalam Islam. Islam telah membawakan contoh kepemimpinanNabi Muhammad s.a.w. Itulah yang sebenarnya kepemimpinan Islam iaitu kepemimpinan yang ada pada diri Nabi Muhammad s.a.w. Itulah contoh dan teladan yang baik dalam segala hal kehidupan manusia.

Nabi Muhammad s.a.w. telah menggunakan pendekatan individu dan juga pendekatan kumpulan dalam memimpin. Baginda selalu menyamakan diri baginda dengan orang lain. Kalau orang lain susah, baginda juga susah seperti mereka. Bila bertemu dengan kumpulan baginda akan menunjukkan kegembiraan. Setiap yang ada ndalam kumpulan itu digembirakan terlebih dahulu. Setelah itu, barulah diikuti dengan nasihat. Baginda mengadakan pelbagai variasi apabila menghadapi kumpulan yang berlainan.

Berdasarkan pelbagai contoh, pemimpin perlu mengetahui keadaan agar boleh menjadi pemecah masalah. Pemimpin tidak boleh sekali-kali mematahkan semangat tetapi pemimpin itu harus menambahkan keyakinan. Ada ketikanya orang yang kita pimpin itu melakukan kesalahan, kita perlu menggunakan kebijaksanaan agar dia tidak kecewa. Pemimpin perlu menimbulkan keinginan untuk berbuat yang lebih baik lagi.

Dalam situasi yang lain pula, pemimpin perlu menitikberatkan pengabdian. Pemimpin harus suka memberi dan kurangkan menerima. Ini memerlukan keikhlasan. Apabila melihat sifat yang baik sperti ini berterusan maka ramailah orang yang akan mengakuinya. Prestasi pemimpin akan meningkat. Pemimpin yang dipercayai, akan menambahkan kewibawaannya. Kepemimpinan mudah dijalankan apabila orang mudah mengikutnya.

Dalam situasi yang sama, harus diingatkan bahawa mengajak ke arah kebaikan itu lebih berkesan dengan perbuatan. Perbuatan akan meninggalkan kesan yang mendalam terutama di kalangan orang yang dipimpinnya. Kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. adalah dengan melakukan sesuatu lebih baik dari orang lain. Baginda menyuruh orang lain sembahyang lima waktu sehari sedangkan baginda berbuat lebih dari itu. Baginda menyuruh orang lain berpuasa sebulan dalam setahun sedangkan baginda saban hari berpuasa.

Keberhasilan kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. terletak kepada sekurang-kurangnya empat perkara:-
1. Memimpin dengan berbuat tidak cuma bercakap. Baginda tidak hanya memerintah orang lain berbuat sesuatu tetapi baginda sendiri melaksanakannya.
2. Memegang prinsip keadilan. Kepentingan orang yang dipimpin adalah yang utama. Nabi Muhammad s.a.w. mampu menjadi kaya tetapi baginda tidak ingin kepada kekayaan. Baginda lebih suka bersama dengan orang yang dipimpinnya.
3. Penggunaan pendekatan yang tepat iaitu pendekatan individu dan pendekatan berkumpulan.
4. Tidak wujudnya benteng pemisah. Oleh itu tiada sekatan antara baginda dengan orang ramai. Semangat kekeluargaan dan persaudaraan lebih diutamakan. Perhubungan pula tidak terlalu formal.

Oleh itu, kepada seseorang pemimpin Islam yang lain, sekurang-kurangnya empat perkara di atas patut ada pada diri mereka. Dalam pada itu harus pula diingatkan bahawa tentang prinsip umum Islam, apabila melaksanakan kepemimpinan ini. Keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi perlu dipelihara. Islam bukanlah terletak pada ciri-ciri Islam semata-mata. Untuk apa ciri kalau pada pelaksanaannya tidak mencerminkan keIslaman?

"Kalau satu dipentingkan manakala yang satu lagi dibiarkan runtuh,
maka kehancuran akan terjadi."

Orang-orang Barat menganggap Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin yang berhasil atau berjaya dalam kepemimpinannya kerana prinsipnya mencakupi keduniaan. Di sini terdapat keseimbangan dan pengaturan yang baik antara material dan spiritual. Dua ajaran dari Barat tidak sedemikian. Karl Marx berpegang bahawa kesejahteraan itu adalah bergantung kepada pemenuhan keperluan perut. Sigmund Preud pula mengatakan kesejahteraan bergantung kepada pemuasan nafsu, terutama nafsu sex.

Dalam Islam kebahagiaan itu adalah terhasil apabila kita mengikuti ajaran Allah dan rasul-Nya. Kebahagiaan adalah sesungguhnya spiritual dan material merupakan keperluan. Kedua-duanya mempunyai hubungan yang rapat. Bagaimana akan bahagia kalau keperluan tidak dipenuhi? Oleh itu seperti yang nyata sekarang, kalau cuma keperluan material sahaja yang dipenuhi sedangkan keperluan spiritual terbiar, maka kebahagiaan tidak diperolehi.

Wednesday, March 24, 2010

PRASANGKA MEMBELENGGU MINDA

"Pengetahuan adalah satu-satunya sumber cinta dan prinsip pembebasan manusia"

Prasangka adalah merupakan sangka atau anggapan buruk yang dibuat terhadap sesuatu. Ia juga boleh berlaku terhadap diri seseorang. Kebiasaannya prasangka ini wujud atau timbul sebelum kita mengetahui iaitu menyelidik kedudukan yang sebenar-benarnya. Perasaan prasangka ini wujud ada persamaannya dengan syak atau buruk sangka.

Oleh itu, prasangka adalah suatu rumusan pendapat atau perasaan yang dibuat tidak melalui pemerhatian fakta atau kejadian sebenar. Perkara ini merupakan perasaan atau pendapat yang belum difahami. Ia juga merupakan suatu pengadilan yang tidak menggunakan pengetahuan, pemikiran atau alasan.

Dunia masa kini memang dipenuhi dengan prasangka hinggakan prasangka tersebut boleh membawa kepada berlakunya fitnah. Salah satu yang menjadi penyebab berlakunya prasangka ini ialah kecenderungan seseorang itu untuk mencari jalan keluar yang mudah tanpa memikirkannya dengan mendalam atau semasak-masaknya.

Kita begitu mudah untuk tidak memberi persetujuan terhadap sesuatu yang sama sekali tidak kita ketahui. Perkara inilah yang sering kali dilakukan oleh ramai orang. Apabila ramai orang ada perasaan prasangka maka ia boleh merebak dengan lebih meluaskan lagi. Akibatnya adalah amat besar jika kita terus mempercayainya tanpa melakukan siasatan atau pemerhatian.

Kebiasaan berprasangka akan membimbing kita menjadi orang yang tidak bertolak-ansur. Kita tahu bahawa orang yang tidak bertolak-ansur bukanlah jenis peribadi yang menyenangkan, menarik dan unggul. Sebaliknya, orang yang tidak bertolak-ansur itu bolehlah dikategorikan sebagai jenis individu yang negatif.

Kita seharusnya tetap jernih terhadap segala sesuatu yang membuat kita terjerumus menjadi orang yang tidak bertolak-ansur. Kita juga perlu mengelakkan diri kita dianggap sebagai individu yang negatif. Oleh itu, kita seharusnya belajar untuk tegas terhadap prasangka. Kita sewajarnya menilai perasaan kita berdasarkan pendapat kita dengan penelitian atau pemerhatian fakta.

Orang tidak boleh mengharapkan peningkatan besar dalam dunia ini kalau ia tidak memiliki akal budi mulia dan menggunakannya sebaik mungkin untuk menggarap plilihannya sendiri. Dalam menerapkan akal untuk mencapai peningkatan yang berharga, kita seharusnya belajar menjadi pemikir yang teliti dan bertepatan yang situasi yang sebenar.

Prasangka akan boleh dipinggirkan ke belakang apabila kita meletakkan diri kita kepada yang positif. Prasangka juga boleh tersingkir apabila kita boleh membuka pintu hadapan kita untuk menerima kunjungan pemikiran yang teliti. Bebaskanlah diri kita dari cengkaman atau pun dibelenggu oleh minda yang jumud. Kita perlu keluar dari pemikiran yang sempit.

Semua pendapat seharusnya berdasarkan kepada fakta. Walau bagaimanapun kita tidak boleh terus mempercayai fakta-fakta yang kita terima. Seseorang yang menjadi pemikir yang teliti tidak akan mengeluarkan pendapat sebelum ia mengumpulkan fakta-fakta yang ada. Fakta yang diterima seharusnya disahkan kebenaran dan kesahihannya.

Apakah benar fakta itu?
Dari mana datangnya fakta itu?
Apakah boleh disandarkan fakta itu?


Semua fakta yang diterima perlu dijadikan sebagai bukti dan mestilah dianalisa. Setelah itu ianya perlu dipelajari, diperhitungkan dan di tempatkan seimbang dalam pemikiran. Setelah semua itu dibuat, barulah keputusan dan pendapat yang tepat dapat dikeluarkan. Apa yang pasti, keputusan tersebut akan memberi kesan yang positif terhadap perasaan kita.

"Bersedialah untuk mula membuang prasangka dari minda kita dan gantikanlah dengan suatu pemikiran yang teliti."

Sunday, March 21, 2010

HOBI BOLEH MEMBENTUK KEJAYAAN

"Tidak ada manusia yang benar-benar bahagia dan aman bila tidak mempunyai hobi dan apa pun minat seseorang terhadap hal-hal luar seperti tanaman, kumbang atau kupu-kupu, ros, mawar atau anggerik, memancing, memburu, mendaki, menyelam atau berenang juga barang-barang antik, ingatlah perkara itu akan membuatnya asyik bila ditekuni."

Hobi adalah kegemaran yang diamalkan di waktu lapang dan bukan pekerjaan yang utama. Pelbagai jenis hobi yang boleh dilakukan seperti membaca, menulis, mengumpul setem dan lain-lain. Selain sebagai memenuhi masa lapang, kadang-kadang hobi boleh mendatangkan pendapatan kepada kita seperti mengumpul setem, mengumpul wang dan memburu. Hobi yang dilakukan atau yang diamalkan adalah kepada perkara-perkara yang positif.

Oleh itu tidak ada apa yang perlu dipersoalkan dalam perkara yang berkaitan dengan hobi. Hobi yang dilakukan atau diamalkan merupakan pengisi waktu yang terbaik. Melakukan hobi akan dapat memberikan kebahagiaan, dapat rasa persahabatan, menambahkan pengetahuan dan menjaga kesihatan yang baik. Memenuhi masa bekerja dan masa lapang menjadikan kita sentiasa bergerak atau melakukan sesuatu yang berfaedah tanpa membuang masa.

Hobi sepatutnya dapat menghasilkan keseimbangan yang baik antara kerjajaya dengan bermain. Bagi orang yang berjuang keras untuk mencapai kejayaan akan sentiasa mengarahkan usahanya untuk mencapai sasaran dalam kerjayanya mahupun dalam hobinya. Kebosanan terhadap pekerjaan harian atau rutin di rumah akan lenyap apabila seseorang suri rumahtangga itu mempunyai hobi yang mengasyikkan setelah ia menunaikan tugas sehariannya.

"Saya tidak mempunyai masa untuk hobi."

Kata-kata ini sering kali kita dengari. Kata-kata ini biasanya diluahkan oleh orang yang terlalu "komited" dengan kerjayanya sehingga melupai diri sendiri. Orang ini akan kehabisan waktu kerana waktu terus berjalan. Seandainya pada masa lampau kita tidak mempunyai waktu, ciptakanlah atau wujudkanlah waktu itu dan nikmatikanlah pengalaman yang menyeronokkan serta mengasyikkan yang boleh dihasilkan oleh hobi. Gunakanlah hobi untuk kita merasainya.

Secara umumnya terdapat empat jenis hobi. Keempat jenis hobi ini ada perkaitan dengan orang yang mempunyai hobi tersebut:-
1. Melakukan sesuatu
2. Mengumpulkan sesuatu
3. Membuat sesuatu
4. Mempelajari sesuatu

Melalui penelitian kita kepada ensikklopedia, kita akan dapat menemui sejumlah besar hobi yang tergolong dalam golongan di atas. Pusat sumber atau perpustakaan umum kebiasaannya banyak menyediakan atau mempamerkan buku-buku yang berkaitan dengan hobi. Tambahan pula terdapat pelbagai jenis perpustakaan yang didirikan untuk kemudahan kita selain digunakan oleh para pelajar. Kita boleh menjenguk di mana-mana perpustakaan yang kita sukai.

Pada peringkat awal, hobi boleh meletakkan kita sebagai bernasib baik. Kadang-kadang kita tidak pernah pun menyangka atau terfikir bahawa kegiatan waktu lapang kita ternyata akan membuat kita menjadi terkenal di dunia. Cuba kita lihat mereka yang telah terkenal di dunia dalam bidang olahraga, penemuan, ilmu, seni, muzik dan industri yang berpunca dari hobi yang pada asalnya dilakukan sebagai suka-suka sahaja.

"Apa hobi kamu?
Tanya cikgu apabila mengisi borang 001/002
semasa kita bersekolah di sekolah rendah lagi.


Hobi Edison adalah kepada peralatan kimia semanjak ia masih kanak-kanak. Hobi Edison ini telah membuat dirinya berjaya dan terkenal dengan berbagai penemuan. Namanya cukup terkenal sehingga kini dan dianggap sebagai pelopor dalam bidang penemuan ini. Begitu juga dengan hobi seorang penduduk Detroit yang telah membawa dunia memasuki abad industri kereta yang begitu hebat.

Kita perlu tahu bahawa kesabaran itu adalah merupakan guru yang hebat. Kesabaran perlu ada dan ianya adalah perkara yang paling baik dikembangkan dalam kita melakukan hobi. Melalui kesabaran akan menjadikan hobi kita itu lebih menyeronokkan. Hobi juga akan membuat fikiran kita akan menjadi lebih tenang. Hobi yang kita lakukan akan menciptakan suatu peransang atau pendorong kesihatan yang tiada tandingannya.

"Hobi itu menyenangkan, oleh itu milikilah suatu hobi."

Thursday, March 18, 2010

APE KATE MENGKOME?

MCKK Sudah Lima Tahun Gagal Catat Keputusan 100% Dalam PMR?

Posted on Sunday, March 14 @ 22:17:22 PDT by tokdalang
Oleh Mohd Sayuti Omar


KEMENTERIAN Pelajaran dala usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan rakyat negara ini telah melakukan pelbagai tranformasi, anjakan, pelan pembangunan dan sebagainya. Daripada prasarana sekolah kepadalah peralihan - tukarganti program pendidikan. Ada kalanya murid telah dijadikan alat eksprimen oleh pakar-pakar pendidikan!

Entah berapa billion diperuntukan untuk tujuan itu.

Kita semua tahu ke mana hujung jatuhnya segala usaha itu. Apakah ia berjaya atau tidak kita semua boleh menilainya. Penilaian umum ialah kepada prestasi sesebuah sekolah berkenaan dalam mencetak murid pintar mendapat kelulusan 100% dalam peperiksaaan. Dari sudut lain kualiti moral, daya tahan untuk berjuang (survive) kita tidak pernah membuat penilaian secara menyeluruh. Kalau dibuat kajian mungkin hasilnya juga mendukacitakan.

Biarlah. Di sini apa yang hendak saya katakan ialah mengenai fenomena yang berlaku terhadap sesebuah sekolah kenapa ianya tidak berjaya mencetak murid cemerlang. Pencapaian akademik tidak setaraf dengan kemudahan prasarana yang disediakan. Rata-rata sekolah di negara ini bertaraf dua atau tiga bintang. Sekolah berasrama penuh bolehlah dianggap bertaraf empat atau lima bintang.

Tetapi yang jelasnya prasarana yang canggih tidak menjamin kecemerlangan pendidikan murid. Saya terus ambil contoh apa yang berlaku di MCKK, atau Maktab Melayu Kuala Kangsar, Ipoh Perak. Maktab ini adalah sekolah berasrama penuh lelaki pertama di negara ini. Ianya ditubuh 1905.

Bukan calang-calang murid untuk masuk ke sekolah ini. Biasanya anak bangsawan dan elit saja yang mampu memasukinya. Memang pun sekolah ini ditubuh untuk mendidik anak-anak orang kaya penjajah. Anak orang kampung cabuk sangat jarang sekali kecuali ada kable yang busar baru boleh menerobosnya, itupun selepas penjajah nyah dari sini.

Sekolah ini menjadi angan-angan murid. Guru-guru juga akan menceritakan kehebatan sekolah ini dan dijadikan aspirasi kepada murid untuk belajar bersungguh-sungguh. Sekolah ini disebut-sebut dan dijadikan impian murid. Namun apa yang berlaku hari ini sangatlah malang sekali.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa MCKK sudah lima tahun berturut-turut tidak memperolehi pencapaian 100 peratus dalam PMR? Saya terkejut mendengar maklumat ini. Seorang ahli Parlimen Kelantan yang berkebetulan baik dengan bapa seorang pelajar menceritakan keadaan MCKK sekarang ini. Mulanya saya tidak percaya dan fikir ia hanya gurauan saja. Tetapi tidak, rupanya ianya betul berlaku.

Apabila ditanya kenapa puncanya maka tidak menghairankan kalau sekolah berkenaan merosot di peringkat PMR itu. Menurut ahli Parlimen berkenaan semuanya berpunca dari politik berlebihan yang berlaku di maktab itu. Pengetuanya yang bertaraf Jusa terlalu politiking. Guru-guru yang berpengalaman telah ditukar kerana tidak sehaluan bau politik dengannya. Guru-guru yang diambil kebayakan guru perempuan yang muda belia yang kurang pengalaman mungkin ada yang kuat berbedak!

Kita boleh faham kenapa MCKK merosot. Muridnya lelaki gurunya ramai perempuan tentulah menimbulkan masalah. Apa lagi kalau guru-guru muda yang kurang berpengalaman bukan senang untuk handle murid lelaki usia 13 hingga 15 tahun. Usia sebegini usia perantaran untuk jadi remaja dan meninggalkan dunia kanak-kanak.

Apabila mendengar penjelasan ahli Parlimen berkenaan saya hanya terdiam dan mengenang sesuatu Saya faham bagaimana kalau sekolah maksudnya cikgu telah terlibat dengan politik. Dunia politik akan melupai kepentingan lain. Setiap sudut, tindakannya akan bersifat politiknya. Gejala inilah yang memusnahkan apa-apa institusi termasuk pendidikan.

Hakikat yang berlaku di sekolah, politiking termasuk di MCKK itu tidak anih dan ia satu hakikat tidak boleh dinafikan. Keadaan ini saya alami sendiri semasa sekolah dulu. Bagaimana seorang guru terlibat dalam parti politik menjadi Setiausaha Bahagian. Kerjanya hari-hari bukan mengajar tetapi menguruskan parti. Di kantin cakap parti, di bilik guru cakap parti. Paling menyedihkan guru ini sanggup guna 'stencil' untuk menaipkan minit-minit mesyuarat partinya.

Sikap dan kegiatan politik guru ini semakin menjadi-jadi pula apabila guru besar sekolah tempat saya belajar itu kebetulan ahli parti yang sama. Guru-guru lain yang tidak berparti tidak boleh berbuat apa-apa kerana bos sendiri ikut terheret dengan tahi politik. Walhasil balik asalnya sekolah berkenaan tidak pernah mencapai keputusan akademik memberangsangkan dari dulu hinggalah ke hari ini.

Saya sangat berharap kepada Menteri Pelajaran, Muhyiddin Mohd Yassin agar dapat menghapuskan kegiatan guru yang gila kepada parti ini. Selagi kegiatan mereka berleluasa selama itulah pencapaian akademik tidak diperolehi. Kita tidak mahu sebuah sekolah atau maktab seperti MCKK itu yang gah dan hebat akhirnya merudum dan hilang pamor sebab pentadbirannya terlalu bermain politik. [wm.kl. 9:05 am 15/03/10]

Wednesday, March 17, 2010

KEBAHAGIAAN ITU ADA DI MANA-MANA

"Berdasarkan pengamatan, orang akan menjadi bahagia apabila mereka memperbaiki fikiran mereka."

Kebahagiaan adalah berasal dari perkataan bahagia. Bahagia bermaksud suasana yang senang, tenang dan aman. Ia juga suatu kemujuran dan sesuatu tuah. Kebahagiaan pula memberi pengertian kesenangan hidup, kemujuran dan keuntungan. Kebahagiaan adalah sangat-sangat yang diingini oleh setiap manusia dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Kebahagiaan sememangnya sentiasa diharapkan.

"Ya, Allah! Ya, Tuhanku.
Engkau berikanlah kebahagiaan kepada aku, di dunia dan di akhirat.
Amin."

Di atas adalah merupakan doa yang tidak pernah dilupakan oleh setiap umat Islam. Lafaz doa ini sentiasa diungkapkan sama ada selepas sembahyang fardhu, sunat dan sebagainya. Doa ini juga dilafazkan ketika mengadakan majlis doa selamat, majlis kesyukuran, majlis perkahwinan, majlis pertunangan dan berbagai majlis lagi. Boleh dikatakan doa ini tidak pernah lekang dari bibir umat Islam di dunia ini.

Kebahagiaan pada umumnya dalam pandangan manusia adalah suatu yang paling dan sangat diharapkan. Kebahagiaan adalah suatu yang mesti diperolehi kerana semua orang inginkan bahagia. Bagi orang yang tidak bahagia diibaratkan kebahagiaan itu terletak di hujung pelangi. Ini bermakna kedudukan yang sukar dinikmati atau diperolehi. Adalah agak malang bagi sesiapa yang tidak menemui kebahagiaan.

Mereka yang tidak bahagia, akan menghabiskan waktu seumur hidupnya untuk mencapai pelangi itu. Situasi seperti ini adalah seolah-olah mengejar bayang-bayang. Ini adalah disebabkan mereka tidak akan boleh memperolehi kebahagiaan itu di luar kerana perkara ini ada di dalam diri sendiri. Kita sewajarnya membentuk kebahagiaan itu bermula dari dalam diri kita dan barulah ia dapat tersebar kepada keluarga kita.

Kebahagiaan boleh kita temui dalam perjalanan dan bukannya kepada tujuan perjalanan itu. Orang yang bahagia adalah orang yang dapat menemui dirinya. Orang yang dapat mengenali dirinya dan orang yang tahu siapa dirinya. Oleh itu, orang yang bahagia adalah orang yang mengenali Tuhannya. Orang yang bahagia adalah orang yang memiliki aspirasi agung dan mulia. Orang yang bahagia adalah orang mengalami peningkatan di dunia ini.

Orang yang bahagia juga adalah merupakan orang yang memperkayakan hidup komuniti setempatnya. Orang yang bahagia adalah orang yang memberikan sumbangan dalam menciptaka bumi yang lebih layak diduduki. Orang yang bahagia adalah orang yang mempunyai aktiviti, kegiatan, tugas dan pekerjaan yang dicintainya. Orang yang bahagia adalah orang yang mencintai cinta. Orang yang bahagia adalah orang yang mencintai hidup.

Oleh itu, orang yang bahagia adalah orang yang bahagia. Kebahagiaan ada setiap masa. Kebahagiaan ada setiap hari. Kebahagiaan ada setiap minggu. Kebahagiaan ada setiap bulan dan ada setiap tahun. Kebahagiaan itu ada sekarang juga iaitu masa kini. Kebahagiaan ada di dalam perjalanan hidup kita ini. Berusahalah untuk mencari kebahagiaan untuk diri kita dan juga untuk semua.

Kebahagiaan adalah suatu keadaan batin. Kebahagiaan tidak akan ditemui dalam benda-benda di sekitar kita. Kebahagiaan juga tidak akan diperolehi dalam kekayaan, kedudukan, pangkat dan kekuasaan. Orang yang kecewa adalah orang yang menghabiskan seluruh hidupnya untuk mencari dan mengumpul kekayaan dalam jumlah yang lebih daripada yang diperlukannya. Akhirnya, mereka akan menjadi ketinggalan dan terlambat dalam mengejar dan mencari kebahagiaan. Merela hanya akan menemui kenyataan bahawa wang tidak boleh membeli kebahagiaan.

Kebahagiaan adalah suatu gambaran dan penghargaan terhadap perkara-perkara yang kita miliki sekarang. Kebahagiaan adalah hari ini. Kebahagiaan adalah sekarang. Setiap fajar baru adalah tanda dari lahirnya hari mulia yang memberi kesempatan bagi kita untuk memberi dan mendapatkan cinta, kepuasan, kegembiraan dan layanan yang tidak egois.

"Kenikmatan boleh dibeli tetapi kebahagiaan tidak."

Monday, March 15, 2010

SUKARELA ATAU PAKSARELA? FIKIRKANLAH

"Bantulah perahu saudara kita menyeberangi sungai dan kita sendiri telah sampai ke seberang."

Kerjasama adalah bermaksud kerja beramai-ramai dan saling bantu membantu. Kerjasama juga boleh diberi pengertian sebagai gotong royong. Apabila diberi imbuhan awalan ia menjadi bekerjasama yang masih memberi maksud bekerja (berbuat sesuatu) dengan bantu membantu atau bergotong royong.

Terdapat dua jenis dalam kerjasama ini. Pertama, kerjasama yang dibuat secara sukarela dan kedua kerjasama yang dibuat dalam bentuk paksaan. Walaupun terdapat dua jenis kerjasama, namun hasil kedua-duanya berlaku adalah melalui tindakan yang dibuat bersama. Kedua-duanya juga adalah sebagai satu usaha untuk mencapai suatu tujuan atau tujuan-tujuan yang tertentu yang telah disasarkan.

Dalam kerjasama yang dibuat secara sukarela, ia mencakup suatu kehendak bersama pada setiap pihak untuk memenuhi tujuan. Manakala dalam berbagai bentuk kerjasama yang dibuat dengan terpaksa barangkali boleh diperolehi juga dalam bentuk paksaan atau disebut paksa rela. Kerja yang dibuat secara paksa juga merupakan bentuk kerjasama terpaksa seperti mana yang dinyatakan di atas.

Dalam politikmasa kini, semangat kerjasama itu semakin lama semakin dipinggirkan. Cantas mencantas, lobi melobi dan yang paling sedih ada yang sanggup berjumpa bomoh demi untuk mencapai cita-cita tembolok terus berlaku dengan meninggalkan semangat kerjasama yang begitu lama tertanam di jiwa kita. Kerjasama yang mantap seperti mana kita berjuang untuk menuntut kemerdekaan telah dibuang atau telah ditinggal entah kemana.

Seandainya kita menyaksikan mereka yang bekerjasama untuk alasan ekonomi atau kerana lingkungan memerlukan mereka, maka nampaknya hasil dari usaha seperti itu tidak sehebat yang kita harapkan. Kerjasama bagaimanapun yang melibatkan kita, tentunya baik bagi kita untuk mengusahakan pengembangan semangat kelompok pada mereka yang terlibat di dalamnya.

Usaha-usaha tersebut ini membolehkan anggota-anggota kumpulan ini membentuk semangat kerjasama secara sukarela. Usaha seperti ini seharusnya menimbulkan rasa cinta terhadap pekerjaan mereka. Setiap usaha yang dilakukan adalah disebabkan sememangnya mereka ingin melakukannya. Berlakunya kerjasama secara sukarela akan dapat mewujudkan keadilan dan kestabilan dalam kehidupan.

Kerjasama sewajarnya bermula dari kumpulan yang kecil. Oleh itu, kerjasama sewajarnya dimulakan dari rumah. Kerjasama suami isteri, anak-anak dan keluarga perlu ada dan perlu dilakukan agar kerjasama dalam komuniti yang lebih besar dapat direalisasikan. Keluarga tidak boleh disebut sebagai keluarga seandainya di dalam rumah tersebut tidak terdapat semangat kerjasama yang erat. Hubungan keluarga sewajarnya hubungan yang harmoni. Rumah seharusnya menjadi tempat adanya kebahagiaan, keharmonian dan yang penting adanya kerjasama.

Sebenarnya tidak ada orang yang boleh menikmati kejayaan ke tahap yang tinggi atau mengembangkan sesuatu yang hebat apabila kita tidak terlebih dahulu memantapkan sesuatu yang hebat. Apabila kita tidak terlebih dahulu memantapkan kerjasama bersahabat dengan mereka yang ada di sekelilingnya. Ingatlah bahawa semakin ramai orang yang kita bantu untuk menuju kejayaan, semakin tinggi pula tingkat kejayaan kita sendiri.

Pekerja dan majikan perlu melakukan kerjasama yang erat seperti tangan kanan yang bekerjasama dengan tangan kiri untuk mengikat sesuatu. Di masa akan datang, pekerja dan majikan akan semakin erat kerjasama kerana semuanya sedar betapa pentingnya satu pihak kepada pihak lain. Kerjasama yang cemerlang antara majikan dan pekerja akan menghasilkan pengeluaran yang cemerlang.

Namun situasi ini banyak tidak berlaku dalam dunia politik masa kini. Sepatutnya kerjasama seorang wakil rakyat perlu wujud dengan pengundinya tetapi amanah yang diberi oleh rakyat langsung tidak diambil peduli. Wakil rakyat membuang semangat kerjasama itu apabila berani keluar dari parti yang diwakilinya hanya semata-mata kepentingan diri. Pencabulan semangat kerjasama telah berlaku dan hukuman hanya boleh diberi oleh rakyat apabila adanya pilihan raya.

Kita perlu ambil pepatah Cina ini untuk dijadikan panduan bersama. "Seutas jerami bukanlah tali; sebatang pokok bukanlah hutan." Ingatlah bahawa dalam bekersamaan itu, kita akan menemui kekuatan.

Friday, March 12, 2010

IMAJINASI KREATIF MEMBENTUK KEJAYAAN

"Sejarah tidak lain adalah kisah kemajuan mereka yang memiliki imaginasi kreatif."

Imajinasi adalah lahir dari mental kita. Ia bagai bayangan yang diimbas kembali apabila kita menemui sesuatu yang baru yang ada kaitannya. Oleh itu, imajinasi adalah merupakan tindakan mental untuk menghasilkan atau mengeluarkan semula gambaran-gambaran mental telah tersimpan. Gambaran lama yang dicantumkan dengan gambaran baru akan terhasil gambaran yang lebih menarik.

Biasanya penyimpanan gambaran tersebut berlaku di dalam memori dan dikeluarkan semula melalui dorongan gambaran yang tergabung. Melalui imajinasi ini kita mampu untuk mengimbasi kembali peristiwa-peristiwa yang telah berlaku yang kita alami. Kita dapat mengunjungi kembali tempat-tempat yang pernah kita kunjungi di masa lampau. Imbasan kembali boleh juga memotivasikan diri kita untuk menciptakan sesuatu yang baru.

Imajinasi kreatif belaku melalui proses menggabungkan pemgalaman masa lampau dalam usaka kita untuk menciptakan gambaran baru. Penciptaan gambaran baru ini sewajarnya berbeza dengan pengalaman-pengalaman silam. Imajinasi jenis inilah yang telah memberi suatu keberkatan kepada kemanusiaan. Ia akan meninggalkan tanda-tandanya di dunia melalui berbagai penemuan sejak lahirnya peradaban.

Imajinasi adalah suatu keadaan mental yang boleh dikembangkan kerana penggunaannya. Ia seakan-akan otot, Masalah yang pada umumnya kita hadapi adalah kenyataan bahawa kita berbuat seperti haiwan ternakan. Kita akan berjalan di jalan yang sudah ada sejak dahulu lagi. Kita akan melakukan perkara yang sama dengan apa yang dilakukan oleh kebiasaan kita. Kita tidak cenderung untuk berubah.

Dalam aspek ini sebenarnya kita tidak melakukan atau pun tidak mencari jalan untuk mengadakan perubahan. Umpamanya mencari mencari cara yang lebih baik dalam menangani sesuatu dengan melakukan sesuatu perubahan. Kalau dulu kita menggunakan dapur tanah untuk memasak. Sekarang dapur telah tercipta dengan kemudahan yang lebih baik dan juga lebih selamat. Kita perlu ingat bahawa masa lalu telah mati. Ia terus meninggalkan kita selama-lamanya. Oleh itu, jalanilah hidup masa ini dan tingkatkan kejayaan setiap hari.

Jika kita lihat penyepit baju yang digunakan di jemuran diperbuat daripada kayu yang berbentuk lurus dan datar. Imajinasi kreatif telah membuatnya dalam pelbagai bentuk dan warna. Disamping kelihatan menarik ia juga dihasilkan untuk meningkatkan keselamatannya. Gagasan yang sederhana ini juga telah memberikan berjuta-juta ringgit bagi penciptanya. Kita perlu ingat bahawa kesempatan itu ada di mana-mana. Bagaimanakah kita boleh memperolehinya? Kita harus melakukan penelitian supaya boleh menemukan sesuatu.

Bangkitkanlah imajinasi kreatif dengan merenung dan berfikir ketika dalam kesunyian. Setiap orang yang berjaya akan melakukannya setiap hari untuk tujuan itu dan hasilnya telah pun terbukti. Pilihlah "waktu menyepi" itu, baik di pagi hari, tengah hari, petang hari, malam hariatau pun di subuh hari, asalkan kita yakin bahawa kita tidak akan terganggu oleh kegiatan mental kita. "Carilah dan kita akan menemukannya".

Tuesday, March 9, 2010

MILIKILAH KEBIJAKSANAAN DALAM KEHIDUPAN

"Emas itu mempunyai harga yang pasti sedangkan belajar tidak."

Perihal mengetahui atau apa-apa yang diketahui itu adalah pengetahuan. Pengetahuan juga boleh dimaksudkan dengan perihal tahu atau kepandaian dan kebijaksanaan. Ilmu iatu segala yang diketahui atau yang dipelajari itu juga boleh dikatakan sebagai pengetahuan.

Namun begitu, pengetahuan itu bukanlah merupakan suatu kekuatan apabila ianya belum diproses untuk menjadi suatu kebijaksanaan. Kebijaksanaan itu lahir adalah melalui pengalaman. Baik melalui pengalaman yang dialami sendiri atau pun melalui pengalaman orang lain yang diceritakan.

Kebiasaannya sesuatu kejayaan yang kita kecapi dalam kehidupan kita adalah bergantung kepada kita sendiri. Diperolehi melalui cara membuat penyelenggaraannya. Cara kita untuk memanfaatkan pengetahuan yang dimiliki. Dalam perkara ini sewajarnya kita perlu mengetahui bahawa semakin banyak pengetahuan yang kita miliki maka semakin banyaklah pula perkara yang harus kita garap.

Walaupun sebenarnya kita memiliki banyak pengetahuan, namun semua itu tidak berharga dan tidak berguna kepada kita. Pengetahuan akan menjadi penting kepada kita apabila ia boleh diasimilasikannya. Disamping itu kita juga perlu mengorganisasikannya dan mengarahkannya untuk diabadikan serta diaplikasikan dengan sempurna. Pengetahuan yang ada perlu kita garapkan agar ia dapat memberi faedah dalam kehidupan di dunia ini.

Kita juga perlu tahu bahawa bukan apa yang kita ketahui itu yang diperhitungkan. Mungkin apa yang kita ketahui tidak diketahui oleh orang lain dan begitulah sebaliknya. Kita hanya dapat membezakan antara orang yang berjaya dengan orang yang gagal melalui pengetahuan kita.

Banyak contoh yang boleh kita ikuti dan kita teladani. Ramai diantara mereka yang tidak berpelajaran tinggi tetapi memiliki kebijaksanaan. Ini boleh kita lihat melalui kejayaan-kejayaan yang telah tercapai dalam kehidupan mereka. Kejayaan yang mereka perolehi telah menjadikan mereka terkenal di seluruh dunia. Jelaslah kepada kita bahawa kejayaan yang diperolehi itu adalah hasil dari kebijaksanaan mereka.

Pengetahuan yang tertinggi adalah terletak di tangan orang yang telah menemukan dirinya sendiri. Mereka inilah orang yang tahu ke arah manakah yang patut ditujui. Mereka inilah orang yang memiliki keteguhan hati untuk mencapai kehendak hatinya. Mereka ini jugalah yang dapat merumuskan rencana tepat untuk memenuhi keinginan dalam diri sendiri.

Oleh itu, orang yang berpengetahuan adalah orang yang secara tegas memutuskan untuk memajukan setiap manusia. Untuk membangunkan kualiti batin mereka adalah melalui karakter dan keperibadian. Karakter dan keperibadian mereka letakkan ditempat yang tertinggi kerana ia merupakan suatu yang amat berharga.

Melalui karakter dan keperibadian inilah yang dapat memungkinkan peningkatan kemanusiaan. Karakter dan keperibadian yang tertinggi telah meletakkan dunia ini menjadi tempat yang layak untuk diduduki.

Sunday, March 7, 2010

PENGURUSAN MASA YANG BERKESAN

"Apakah kita mencintai hidup? Kalau begitu, janganlah mensia-siakan masa sebab hidup kita diperbuat dari masa."

"Masa itu emas", begitu tinggi nilainya masa. "Demi masa", juga menunjukkan pentingnya masa sehingga Allah S.W.T. sendiri telah bersumpah dengan menggunakan masa. Jika dilihat, masa itu sungguh setia mengikut peredarannya. Masa berlalu tanpa menangguhkannya dan masa itu akan terus tetap dan kekal tanpa berkurangan atau pun bertambah. Sehari semalam masa akan tetap 24 jam.

60 sasat = 1 minit
60 minit = 1 jam
sehari semalam = 24 jam

Berhati-hatilah apabila kita banyak membuang atau mensia-siakan masa kerana seluruh masa depan kita hidup di dalamnya. Setiap hari yang baru akan memberi kepada kita kesempatan yang baru. Apakah hal itu akan menciptakan peningkatan atau tidak? Ianya banyak bergantung kepada cara kita menggunakan masa yang amat berharga itu. Juga cara kita untuk mengagih-agihkan masa. Oleh itu pengurusan masa kita perlu dilakukan dengan cara yang terbaik dan berkesan.

Lebih kurang satu pertiga masa setiap hari akan kita gunakan untuk berehat dan tidur. Masa rehat dan masa tidur ini akan memberi kesempatan bagi alam untuk menjalankan tugasnya memperbaiki dan menyembuhkan. Sekiranya kita terus menerus mencuri masa yang diperlukan oleh alam untuk melakukan tugas hariannya, maka cepat atau lambat kita harus menerima risikonya. Jangan kita menyiksakan diri dengan mengabaikan masa rehat dan masa tidur kita itu.

Satu pertiga lagi waktu sehari-hari adalah waktu kerja yang kita gunakan untuk sesuatu yang kita cintai. Semua pekerja hendaklah menjadi seorang pekerja yang amat mencintai pekerjaannya. Waktu ini kita berikan sebagai usaha untuk perimbangan bagi keperluan hidup. Melalui masa bekerja ini kita akan mendapat imbuhan yang akan menyarakan diri kita dan keluarga kita. Kita perlu mendapatkan imbuhan yang halal demi pembentukan keluarga yang cemerlang.

Akhirnya, tiba pada satu pertiga waktu terakhir yang juga disebut sebagai "masa bebas" kerana kita tidak mempunyai kewajipan apa-apa pun dalam manfaatnya. Satu pertiga masa kita sehari-hari kita gunakan untuk bekerjka, sekitar satu pertiga lainnya ditentukan alam bagi kita untuk berehat dan tidur, sedangkan "waktu bebas" kita tentukan sendiri apakah akan kita sia-siakan begitu sahaja atau kita akan menggunakannya secara yang bijak.

8 jam = masa alam
8 jam = masa bekerja
8 jam - masa bebas

Setiap hari kita menghabiskan masa sekitar dua atau tiga jam sebagai masa makan. Kita jarang mengabaikan kesempatan untuk keperluan tubuh ini. Kita juga seharusnya menjaga kesihatan kita dengan melakukan senaman yang teratrur setiap hari. Kita boleh berjogging, berjalan-jalan atau bermain sebagai pendorong kepada kesihatan kita.

Selain daripada tubuh kita, akal kita juga memerlukan makanan pada setiap hari. Benih kejayaan yang ada pada diri kita semua tidak akan tumbuh dengan baik apabila kita tidak menyediakan "waktu bebas" dengan secukupnya untuk latihan dan pertumbuhan mental. Salah satu cara kita untuk memantapkan mental dan akal ialah melalui ibadat kepada Tuhan. Beribadat, berdoa dan bertawakkal adalah amat dituntut kepada setiap diri manusia.

Ingatlah bahawa sebagaimana hidup kita itu sendiri berlalu, begitu jugalah bahawa masa juga tidak akan dapat diulang. Biarlah kita ketinggalan bas kerana bas yang lain akan menyusul tetapi apabila kita ketinggalan masa kita akan terus mendapat kerugian.

Wednesday, March 3, 2010

ADAKAH KITA ORANG YANG BERAKAL?

"Pupuklah seni untuk menjadi orang yang menyenangkan dengan cara berbicara yang benar atau pun diam."

Mengapakah ramai orang yang bertindak di luar batasan kesopanan? Banyak peristiwa yang berlaku hari ini adalah akibat dari tindakan yang melampaui batas kesopanan. Prinsip rukun negara yang ke empat iaitu, kesopanan dan kesusilaan telah tidak dipatuhi dan ikrar yang sering dilafazkan telah diengkari.

"Prinsip ini memberi penekanan kepada peri pentingnya personaliti dan tingkah laku seseorang dalam menggambarkan kebudayaan rakyat negara ini. Sifat sopan santun dan tatasusila adalah penting dalam konteks perhubungan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Bahasa yang lembut dan tingkah laku yang sopan dapat menjamin hubungan yang harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Pembentukan individu yang berdisiplin dan bermoral tinggi hasil didikan yang berhemah dapat menjamin kewujudan sesebuah masyarakat yang saling berinteraksi dalam suasana yang bersatu padu dan aman."

Orang yang mempunyai akal adalah orang yang sopan dan boleh bertolak ansur. Jadi, orang yang kurang sopan boleh dianggapkan sebagai orang yang tidak mempunyai akal. Ia mempunyai kemampuan berbicara yang baik dan melakukan sesuatu dengan benar pada saat yang tepat serta berusaha tidak menyerang orang lain.

Kualiti diri yang menjadikan diri kita menjadi seorang yang berakal, bersopan, berbudi pekerti atau sebaliknya adalah kadar penghargaan terhadap hak-hak orang lain. Tidak ada pemancar di dunia ini yang membuat kita dapat menyaksikan perasaan orang lain. Juga harus diketahui bahawa tidak ada sikap tidak berbudi yang boleh menyenangkan orang lain.

Tidak berbudi bertentangan dengan menyenangkan, menarik dan keberhasilan. Adanya keperibadian positif bergantung kepada kualiti hati kita. Tanpa kualiti hati yang kita bicarakan ini, keperibadian kita akan cenderung ke arah yang negatif. Maka terjadilah peristiwa-peristiwa yang berlaku di luar pekerti.

Seni untuk menjadi berbudi tidak dapat ditolak lagi memberi kesan bahawa diri kita harus bersepakat dengan orang lain. Lebih jelas lagi, kita harus tahu bahawa orang lain mempunyai hak untuk mempunyai pandangan sendiri dan kerana itu harus dihormati sehingga kita tidak boleh dengan begitu sahaja menyerangnya.

Lidah yang tajam selalu mengarah pada kemungkinan untuk menyakiti orang lain. Hal ini mungkin dapat disamakan dengan sekumpulan kuda yang berlari kencang dan melanggar apa sahaja yang menghalangnya. Sama seperti kuda liar itu, lidah kita juga harus dikawal dan dikendalikan.

Dalam sepanjang kehidupan kita, pertimbangkan baik-baik sebelum kita berbicara dan atau membuat sebarang tindakan. Ucapan dan semua tindakan yang kita buat tidak boleh kita tarik kembali. "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya". Kita janganlah "sudah terantuk baru tengadah."

Marilah kita menjadikan akal fikiran kita sebagai pengatur lidah dan gambaran dalam setiap hubungan kita dengan orang lain. Akal fikiran adalah suatu seni. Inilah kualiti yang hanya boleh dikembangkan setelah kita banyak mempraktikkannya. Teruslah menerapkan ciri yang menyenangkan ini dan hal ini akan memberikan imbuhan yang luar biasa.

Tuesday, March 2, 2010

KETULUSAN DALAM KEBENARAN DAN KEADILAN

"Ketulusan - jangan melakukan pembohongan yang menyakitkan; berfikirlah secara benar dan adil dan bila kita berkata, berbicaralah sesuai dengan kebenaran dan keadilan itu."

Ketulusan adalah perihal tulus yang berkaitan dengan kebersihan dan kesucian hati. Ketulusan juga merangkumi kejujuran manusia. Oleh itu orang yang tulus adalah orang yang dirinya memang seperti apa yang kelihatan. Sifat tulus yang merupakan keperibadian yang menyenangkan bererti kejujuran dari hati yang paling dalam dan benar-benar ikhlas. Keperibadian yang ditunjukkan itu tidak ada pembohongan atau berpura-pura.

Bagaimana agaknya akan terjadi kepada dunia ini seandainya kita boleh begitu sahaja menilaikan orang lain yang hanya berdasarkan penampilan luaran sahaja? Kita semua tahu bahawa perkara ini tidak mungkin kerana dunia ini terlalu sarat dipenuhi pembohongan. Manusia bukan hanya seperti lahirnya. Mereka menghiasi diri mereka baik dari segi mental mahupun fizikal. Perlakuan sebegitu rupa sehingga ia merupakan topeng bagi pembohongan dan kepurapuraan buruk mereka dengan penampilan yang menipu.

Jika kita ingin memiliki peribadi yang menarik, maka jadilah diri sendiri. Jangan kita mengubah diri kita membentuk diri orang lain. Oleh itu singkirkanlah segala bentuk pembohongan, kepalsuan dan kecurangan. Galilah dan kembangkan kualiti hati sendiri sebagai makhluk yang berakal. Janganlah meletakkan diri kita seolah-olah tidak mempunyai akal dalam segala perbuatan dan kelakuan kita.

Kita semua adalah intan yang belum diasah. Kita tidak perlu berkeliaran dengan mengenakan sepotong batu pengkilat. Hanya yang perlu kita lakukan adalah menggalikan kualiti dalam diri kita sendiri. Kembangkanlah. Hidupkanlah. jika kita melakukannya, maka nilai diri kita, permata kita yang sebenarnya akan mula bersinar. Nilai asas kita akan wujud dalam keperibadian yang menyenangkan, menarik dan menjadi peribadi yang menang.

Setiap bentuk pembohongan adalah penghancur kepada karakter. Ia juga penghancur kesempatan seseorang untuk berjaya dalam hidup. Ramai di antara kita yang dirugikan oleh pembohongan orang lain. Bagaimanapun yang paling menderita adalah pembohong itu sendiri. Setiap tindakan pembohongan akhirnya akan merupakan senjata makan tuan. Pembohongan itu akan membohongi si pembohong.

Kejujuran adalah carara terbaik. Mengapa kita perlu cuba meniru-niru kemuliaan yang bukan milik kita. Kita tidak mendapat apa-apa pun dari perbuatan itu kecuali ejekan dan kebencian orang lain. Sebenarnya kita mempunyai kejujuran yang menciptakan kedamaian batin dan penghargaan dari semua orang.

Monday, March 1, 2010

MEMPOLITIKKAN PENDIDIKAN. SALAH SIAPA?

Apabila membicarakan tentang politik, kita tidak dapat lari dari membincangkan kedudukan politik Malaysia masa kini. Di Malaysia kini telah terlalu banyak bidang yang telah pun dipolitikkan. Ini termasuklah dalam bidang pendidikan negara ini. Ianya adalah merangkumi semua peringkat, baik di peringkat sekolah rendah, di perinkat sekolah menengah dan tidak ketinggalan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). Persoalannya, mengapakah dalam bidang pendidikan pun boleh dipolitikkan?

Wang Bantuan Persekolahan:-
Memang terlalu banyak bantuan-bantuan yang diberikan sama ada oleh kerajaan atau swasta kepada murid-murid atau pelajar-pelajar miskin. Satu ketika dulu wujudnya bantuan persekolahan yang dinamakan "one-off". Selepas itu lahir pula bantuan yang dinamakan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Terkini, lahir pula bantuan "e-Kasih". Disamping itu terdapat juga bantuan kepada murid atau pelajar miskin yang berbentuk pakaian seragam dan sebagainya.

Bagi badan-badan swasta, mereka juga banyak menghulurkan bantuan kepada murid atau pelajar miskin. Umpamanya, Bank Rakyat, Tabung Haji, Baitulmal dan sebagainya sering menghulur bantuan yang digelar "wang zakat" kepada murid atau pelajar miskin. Selain itu terdapat juga orang-orang perseorangan yang telah menghulurkan bantuan kepada murid atau pelajar sekolah yang memerlukannya. Sumbangan dari dermawan-dermawan ini juga berbentuk kewangan dan peralatan sekolah.

Apa yang telah dipolitikkan ialah cara penyampaian sumbangan atau bantuan tersebut. Mengapakah perlunya diadakan majlis penyerahan bantuan tersebut melibatkan orang-orang politik? Mengapakah pihak sekolah tidak mengadakan majlis penyerahan bantuan di sekolah masing-masing? Mengapakah perlu di adakan majlis penyerahan bantuan dibuat secara besar-besaran yang menelan perbelanjaan yang besar dan menyusahkan ibu bapa untuk hadir? Mengapakah perlunya orang-orang politik dalam penyerahan 'wang zakat"?

Perasmian Majlis-Majlis Di Sekolah:-
Terdapat banyak majlis yang perlu diadakan di sekolah-sekolah. Antara majlis yang terbesar ialah Sukan Tahunan Sekolah dan Hari Penyampaian Hadiah atau Hari Anugerah. Pihak sekolah biasanya akan mengundang orang-orang tertentu untuk merasmikan majlis tersebut. Terdapat arahan agar majlis-majlis tersebut dirasmikan oleh orang-orang politik tempatan untuk merasmikannya seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga Ahli Parlimen. ADUN dan Ahli Parlimen pembangkang adalah dilarang sama sekali.

Penempatan dan Pertukaran Guru:-
Penempatan guru-guru baru juga telah dipolitikkan. Mana-mana guru baru yang tidak ada "kabel" terpaksalah akur dengan surat penempatan yang diterima. Situasi yang berbeza akan dihadapi bagi guru-guru baru tetapi mempunyai ramai kenalan di pihak "atasan". Mereka akan menggunakan "kabel" untuk menempatkan mereka di sekolah-sekolah yang mereka pilih atau sekurang-kurangnya di sekolah yang berdekatan dengan kediaman mereka. Maka berlaku ketidakadilan dalam penempatan guru-guru.

Begitu juga dengan pertukaran guru. Ada terdapat guru yang telah lama mengajar di pedalaman memohon pertukaran hatta mengikut suami pun tidak mendapat layanan. Apatah lagi kalau sekiranya guru tersebut masih bujang. Namun begitu, sekiranya guru tersebut ada kaitannya dengan "somebody", maka amat beruntunglah ia. Perkara sebegini akan menimbulkan masalah lebihan guru di kawasan-kawasan tertentu terutama di bandar-bandar besar. Sekolah-sekolah di pedalaman akan terus terpinggir dengan masalah kekurangan guru.

Pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT):-
Pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi juga seolah-olah telah dipolitikkan. Adalah tidak wajar sesebuah sekolah yang sememangnya sudah pun berprestasi tinggi dipilih kerana di sekolah tersebut adalah tempat pengumpulan murid atau pelajar yang cemerlang. Pemilihan sepatutnya banyak ditumpukan kepada sekolah-sekolah luar bandar juga sekolah-sekolah di pedalaman yang telah mencapaikan prestasi yang memberansangkan dengan kedudukan sekolah ini yang serba kekurangan.

Dalam perkara ini bukanlah niat saya untuk menidakkan pencapaian sekolah-sekolah yang telah terpilih. Namun yang menjadi kemusykilan ialah ganjaran sebagai motivasi yang telah diberikan kerana sekolah-sekolah tersebut (Sekolah Berasrama Penuh) sememangnya sudah kukuh dalam semua bidang. Sekolah ini mempunyai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mantap. Persatuan Murid Tua atau Persatuan Bekas Pelajarnya (Alumni) yang kukuh serta peruntukan-peruntukan kewangan dari kerajaan yang agak lumayan.

Penempatan Pelajar Ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT):-
Saban tahun semua keputusan peperiksaan terus meningkat. Atas ingatan saya belum pernah terjadi kemerosotan. Peningkatan terus diperolehi dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Saban tahun ramai pelajar yang cemerlang dapat dilahirkan. Bilangan pelajar yang cemerlang mencecah angka ribu dan lebih. Persoalannya, apakah kerajaan telah menyediakan tempat yang mencukupi untuk mereka yang cemerlang?

Ada pelajar UPSR yang cemerlang (5A atau 7A) gagal menempatkan diri ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Begitu juga pelajar yang cemerlang dalam PMR (8A dan 9A) gagal ditempatkan ke sekolah pilihan. Lebih menyedihkan atau lebih malang lagi terdapatnya pelajar yang cemerlang dalam SPM (11A) gagal ditempatkan di IPTA dann terpaksa memilih ke IPTS. Sedangkan ada terdapat pelajar yang hanya memperolehi pencapaian 5A atau 6A dalam SPM telah ditawarkan untuk belajar ke luar negara.

Begitu juga ada terdapat pelajar yang cemerlang (10A) yang berminat untuk menjadi guru. Pelajar tersebut telah memohon untuk mengikuti pengajian dalam Program Pensiswazahan Lepasan SPM di luar negara. Malangnya, pelajar tersebut gagal mengikuti program di luar negara sebaliknya ditawarkan pengajian dalam negara. Lebih mengecewakan pelajar tersebut apabila terdapat rakan-rakannya yang memperolehi 5A - 6A berjaya mengikuti program bagi pengajian di luar negara. Apakah pelajar yang cemerlang tidak layak menjadi guru? Apakah pelajar yang cemerlang tidak layak melanjutkan pelajaran ke luar negara?

Melalui pendedahan beberapa isu yang dibangkitkan di sini, sudah sewajarnya kita menoleh ke belakang (jangan kita melangkah ke belakang) untuk melihat semua kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam pendidikan. Kita akur terdapatnya banyak kekuatan dalam pendidikan tetapi kita lupa dan kita gagal untuk membuat penambahbaikan kepada setiap kelemahan yang terdapat. Wajarlah kita memantapkan setiap kekuatan yang ada dan sewajarnya kita mengkaji setiap kelemahan agar dapat dibuat pembetulan.