Thursday, March 25, 2010

KEPEMIMPINAN ADALAH SENI

Kepemimpinan adalah suatu seni. Oleh itu, setiap mereka yang digelar pemimpin adalah perlu mengenal setiap watak orang yang dipimpinnya. Maka bermula dari sinilah pemimpin itu dapat memainkan seni kepemimpinan melalui pelbagai pendekatan yang tertentu. Pendekatan ini akan dibuat secara individu dan juga secara berkumpulan. Pemimpin wajar tahu bahawa sikap manusia itu adalah berpunca dari kepentingan diri. Apabila pemimpin itu pandai memainkan seninya dengan menyentuh kepentingan mereka yang dipimpin, dia akan mendapat reaksi yang baik.

Apabila kita menjurus kepada soal kepemimpinan, kita tidak dapat lari dari membincangkan soal kepemimpinan dalam Islam. Islam telah membawakan contoh kepemimpinanNabi Muhammad s.a.w. Itulah yang sebenarnya kepemimpinan Islam iaitu kepemimpinan yang ada pada diri Nabi Muhammad s.a.w. Itulah contoh dan teladan yang baik dalam segala hal kehidupan manusia.

Nabi Muhammad s.a.w. telah menggunakan pendekatan individu dan juga pendekatan kumpulan dalam memimpin. Baginda selalu menyamakan diri baginda dengan orang lain. Kalau orang lain susah, baginda juga susah seperti mereka. Bila bertemu dengan kumpulan baginda akan menunjukkan kegembiraan. Setiap yang ada ndalam kumpulan itu digembirakan terlebih dahulu. Setelah itu, barulah diikuti dengan nasihat. Baginda mengadakan pelbagai variasi apabila menghadapi kumpulan yang berlainan.

Berdasarkan pelbagai contoh, pemimpin perlu mengetahui keadaan agar boleh menjadi pemecah masalah. Pemimpin tidak boleh sekali-kali mematahkan semangat tetapi pemimpin itu harus menambahkan keyakinan. Ada ketikanya orang yang kita pimpin itu melakukan kesalahan, kita perlu menggunakan kebijaksanaan agar dia tidak kecewa. Pemimpin perlu menimbulkan keinginan untuk berbuat yang lebih baik lagi.

Dalam situasi yang lain pula, pemimpin perlu menitikberatkan pengabdian. Pemimpin harus suka memberi dan kurangkan menerima. Ini memerlukan keikhlasan. Apabila melihat sifat yang baik sperti ini berterusan maka ramailah orang yang akan mengakuinya. Prestasi pemimpin akan meningkat. Pemimpin yang dipercayai, akan menambahkan kewibawaannya. Kepemimpinan mudah dijalankan apabila orang mudah mengikutnya.

Dalam situasi yang sama, harus diingatkan bahawa mengajak ke arah kebaikan itu lebih berkesan dengan perbuatan. Perbuatan akan meninggalkan kesan yang mendalam terutama di kalangan orang yang dipimpinnya. Kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. adalah dengan melakukan sesuatu lebih baik dari orang lain. Baginda menyuruh orang lain sembahyang lima waktu sehari sedangkan baginda berbuat lebih dari itu. Baginda menyuruh orang lain berpuasa sebulan dalam setahun sedangkan baginda saban hari berpuasa.

Keberhasilan kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. terletak kepada sekurang-kurangnya empat perkara:-
1. Memimpin dengan berbuat tidak cuma bercakap. Baginda tidak hanya memerintah orang lain berbuat sesuatu tetapi baginda sendiri melaksanakannya.
2. Memegang prinsip keadilan. Kepentingan orang yang dipimpin adalah yang utama. Nabi Muhammad s.a.w. mampu menjadi kaya tetapi baginda tidak ingin kepada kekayaan. Baginda lebih suka bersama dengan orang yang dipimpinnya.
3. Penggunaan pendekatan yang tepat iaitu pendekatan individu dan pendekatan berkumpulan.
4. Tidak wujudnya benteng pemisah. Oleh itu tiada sekatan antara baginda dengan orang ramai. Semangat kekeluargaan dan persaudaraan lebih diutamakan. Perhubungan pula tidak terlalu formal.

Oleh itu, kepada seseorang pemimpin Islam yang lain, sekurang-kurangnya empat perkara di atas patut ada pada diri mereka. Dalam pada itu harus pula diingatkan bahawa tentang prinsip umum Islam, apabila melaksanakan kepemimpinan ini. Keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi perlu dipelihara. Islam bukanlah terletak pada ciri-ciri Islam semata-mata. Untuk apa ciri kalau pada pelaksanaannya tidak mencerminkan keIslaman?

"Kalau satu dipentingkan manakala yang satu lagi dibiarkan runtuh,
maka kehancuran akan terjadi."

Orang-orang Barat menganggap Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin yang berhasil atau berjaya dalam kepemimpinannya kerana prinsipnya mencakupi keduniaan. Di sini terdapat keseimbangan dan pengaturan yang baik antara material dan spiritual. Dua ajaran dari Barat tidak sedemikian. Karl Marx berpegang bahawa kesejahteraan itu adalah bergantung kepada pemenuhan keperluan perut. Sigmund Preud pula mengatakan kesejahteraan bergantung kepada pemuasan nafsu, terutama nafsu sex.

Dalam Islam kebahagiaan itu adalah terhasil apabila kita mengikuti ajaran Allah dan rasul-Nya. Kebahagiaan adalah sesungguhnya spiritual dan material merupakan keperluan. Kedua-duanya mempunyai hubungan yang rapat. Bagaimana akan bahagia kalau keperluan tidak dipenuhi? Oleh itu seperti yang nyata sekarang, kalau cuma keperluan material sahaja yang dipenuhi sedangkan keperluan spiritual terbiar, maka kebahagiaan tidak diperolehi.

No comments: