Saturday, March 27, 2010

MENJADI TUAN KEPADA FIKIRAN

"Kerana seorang individu adalah pelayan atau tuan bagi suasana hatinya, maka dia adalah pelayan atau tuan dirinya sendiri."

Gembira adalah bermaksud bergembira, sangat suka, sangat girang dan berbesar hati. Apabila perkataan gembira diberi imbuhan diawal dan diakhirnya maka ia menjadi berbagai perkataan. Kegembiraan adalah salah satu perkataan yang terhasil dari penambahan imbuhan di atas. Kegembiraan masih memberi maksud yang sama atau hampir dengan gembira iaitu, kesukaan, kegirangan, kebanggaan dan juga keberanian.

Kegembiraan lawannya adalah kesedihan. Kebiasaannya seseorang itu dapat melahirkan kedua-dua perasaan tetapi yang lebih banyak adalah perasaan gembira. Tambahan pula sekira kesedihan yang dialami tersebut boleh menjatuhkan imej atau maruah. Bagaimanapun setiap situasi pasti ada komuniti yang ikut serta di mana apabila gembira akan diucapkan tahniah manakala sedih takziah diluahkan.

"Apabila kita bangun pagi, kita terus ke bilik mandi. Menyanyi ketika mandi itu adakah menandakan kita gembira?

Suatu hari saya menceritakan kepada sahabat tentang kegembiraan yang mengisi kehidupan seharian saya. Saya berkata kepada mereka betapa saya amat rindu untuk segera terbangun dari tidur pada pagi hari. Saya merindui untuk segera pergi bekerja. Saya rindu untuk segera sampai ke rumah kembali dan akhirnya saya merindui untuk segera boleh tidur pada malam hari. Setiap kejadian yang membahagiakan itu menjadi batu loncatan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dan masing-masing menjadi impian untuk saya alami.

Ramai orang mengalami hari gembira mahupun hari sedihnya dalam sepanjang kehidupan mereka. Seringkali apabila kita terbangun dari tidur kita mengalami perasaan yang amat menyenangkan tiidak kira hari bekerja atau pun hari cuti. Namun begitu apabila kita mengisikan ketenangan kita itu dengan membaca surat khabar atau menonton televisyen atau mendengar radio, perasan kita akan mengalami tekanan bersama dengan sifat yang negatif dari media yang kita ikuti.

Terlalu banyak berita atau sifat yang negatif diisikan untuk memenuhi ruang dalam halaman sebilangan surat khabar. Seandainya ada pilihan pengarang untuk membahagikan isi medianya menjadi dua bahagian iaitu bahagian positif dan bahagian negatif, saya berpendapat bahawa isi media massa pastinya kepada perkara-perkara yang negatif. Pasti banyak berita peperangan, jenayah, skandal, kematian, perceraian dan berbagai lagi memenuhi ruang halaman sebilangan media massa tersebut.

"Banyak berita yang negatif dipamerkan di muka hadapan sebilangan media massa. Apakah maksud yang tersurat dan tersirat?

Apa yang pasti, apabila kita disogokkan atau kita telah terseret ke dalam semua perkara yang negatif di sekeliling kita, maka kita akan mengalami ketagihan. Apabila ketagihan mulai menguasai diri kita, maka kita sebenarnya telah diperalatkan oleh perkara-perkara yang negatif itu. Kehidupan kita akan selalu diliputi dan disaluti oleh suasana dan perasaan yang gelisah, bosan dan kepayahan.

Suasana hati adalah keadaan mental dan kita adalah tuan bagi fikiran kita itu. Kita janganlah menjadi hamba kepadanya. Setiap manusia dikurniakan akal oleh Pencipta kita. Kita perlu menyedari bahawa akal yang dikurnikan itu adalah satu-satunya milik kita yang memungkinkan kita menjadi teguh, kukuh dan dengan sendirinya kita mempunyai kawalan diri. Oleh itu, kita harus memiliki akal budi dan menerapkan hak kita untuk memiliki kawalan.

"Bukakanlah pintu seluas-luasnya terhadap semua yang kita inginkan dan melaluinyalah juga kita boleh membuang semua yang tidak kita perlukan."

Apabila kita tahu ke mana hala tuju kita , kita akan mengikuti landasan yang kita sediakan untuk sampai ke destinasi yang kita ingin tujukan. Segala perkara yang bersangkutan dalam kehidupan, termasuklah suasana hati, akan menjadikan suatu yang mengasyikan, sama ada ianya memberi kegembiraan mahu pun memberi kesedihan.

"Lakukanlah pemilihan dua situasi tersebut dengan penuh kebijaksanaan."

No comments: