Tuesday, March 9, 2010

MILIKILAH KEBIJAKSANAAN DALAM KEHIDUPAN

"Emas itu mempunyai harga yang pasti sedangkan belajar tidak."

Perihal mengetahui atau apa-apa yang diketahui itu adalah pengetahuan. Pengetahuan juga boleh dimaksudkan dengan perihal tahu atau kepandaian dan kebijaksanaan. Ilmu iatu segala yang diketahui atau yang dipelajari itu juga boleh dikatakan sebagai pengetahuan.

Namun begitu, pengetahuan itu bukanlah merupakan suatu kekuatan apabila ianya belum diproses untuk menjadi suatu kebijaksanaan. Kebijaksanaan itu lahir adalah melalui pengalaman. Baik melalui pengalaman yang dialami sendiri atau pun melalui pengalaman orang lain yang diceritakan.

Kebiasaannya sesuatu kejayaan yang kita kecapi dalam kehidupan kita adalah bergantung kepada kita sendiri. Diperolehi melalui cara membuat penyelenggaraannya. Cara kita untuk memanfaatkan pengetahuan yang dimiliki. Dalam perkara ini sewajarnya kita perlu mengetahui bahawa semakin banyak pengetahuan yang kita miliki maka semakin banyaklah pula perkara yang harus kita garap.

Walaupun sebenarnya kita memiliki banyak pengetahuan, namun semua itu tidak berharga dan tidak berguna kepada kita. Pengetahuan akan menjadi penting kepada kita apabila ia boleh diasimilasikannya. Disamping itu kita juga perlu mengorganisasikannya dan mengarahkannya untuk diabadikan serta diaplikasikan dengan sempurna. Pengetahuan yang ada perlu kita garapkan agar ia dapat memberi faedah dalam kehidupan di dunia ini.

Kita juga perlu tahu bahawa bukan apa yang kita ketahui itu yang diperhitungkan. Mungkin apa yang kita ketahui tidak diketahui oleh orang lain dan begitulah sebaliknya. Kita hanya dapat membezakan antara orang yang berjaya dengan orang yang gagal melalui pengetahuan kita.

Banyak contoh yang boleh kita ikuti dan kita teladani. Ramai diantara mereka yang tidak berpelajaran tinggi tetapi memiliki kebijaksanaan. Ini boleh kita lihat melalui kejayaan-kejayaan yang telah tercapai dalam kehidupan mereka. Kejayaan yang mereka perolehi telah menjadikan mereka terkenal di seluruh dunia. Jelaslah kepada kita bahawa kejayaan yang diperolehi itu adalah hasil dari kebijaksanaan mereka.

Pengetahuan yang tertinggi adalah terletak di tangan orang yang telah menemukan dirinya sendiri. Mereka inilah orang yang tahu ke arah manakah yang patut ditujui. Mereka inilah orang yang memiliki keteguhan hati untuk mencapai kehendak hatinya. Mereka ini jugalah yang dapat merumuskan rencana tepat untuk memenuhi keinginan dalam diri sendiri.

Oleh itu, orang yang berpengetahuan adalah orang yang secara tegas memutuskan untuk memajukan setiap manusia. Untuk membangunkan kualiti batin mereka adalah melalui karakter dan keperibadian. Karakter dan keperibadian mereka letakkan ditempat yang tertinggi kerana ia merupakan suatu yang amat berharga.

Melalui karakter dan keperibadian inilah yang dapat memungkinkan peningkatan kemanusiaan. Karakter dan keperibadian yang tertinggi telah meletakkan dunia ini menjadi tempat yang layak untuk diduduki.

No comments: